Monday, May 16, 2016

'Tiada beban batu digalas'

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

TERKEJUT saya apabila dikunjungi tiga pemimpin kanan PAS tempatan baru-baru ini. Dalam perbincangan kami kemudiannya, mereka meminta saya menulis mengenai sikap dan kecenderungan pelbagai pihak yang semakin lantang malah sudah ke peringkat menghina ulama.

Saya nyatakan sukar untuk saya menulis subjek berkenaan kerana minat saya sejak sekian lama adalah perkara-perkara berkaitan sosial masyarakat tetapi sempat saya sebutkan salah satu kisah Israq Mikraj yang sedang kita sambut sekarang ini iaitu mengenai bagaimana Rasulullah s.a.w. menyaksikan sekumpulan manusia yang sedang mengumpul kayu api, mereka tidak mampu untuk memikulnya, namun mereka terus menambah beban kayu tersebut. 

Segera teringat di kepala akan artikel saya dalam English Section Harakah baru-baru ini yang mengupas penyataan kontroversi Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak OIC di Istanbul baru-baru ini bahawa "My religion is Islam; not Sunnis, Shias" (Agama saya Islam; bukan Sunnah atau Syiah). - sila rujuk 'My religion is Islam; not Sunnis, Shias...' di muka N28 Harakah, 2-5 Mei 2016

Saya sudah tanyakan kepada beberapa orang ustaz mengenai penyataan Erdogan itu; seorang ustaz berkata yang lebih kurang begini maksudnya...ulama-ulama hebat termasuk ulama empat mahzab (Imam Ahmad Hambal, Imam Malik, Imam Shafie dan Imam Abu Hanifah) dan di rantau kita tok-tok guru telah mem'pakej'kan ilmu Islam itu untuk kita pelajari dan amalkan, mengapa kita perlu susahkan diri kerana ilmu kita secubit cuma berbanding ulama berkenaan malahan hampir semua daripada kita tidak menguasai bahasa Arab iaitu punca dan rujukan pertama/utama ilmu-ilmu Islam.

Subhanallah...mengapa tiada beban batu digalas. Ulama adalah pewaris Nabi, mereka diamanahkan menyampaikan ilmu yang diwariskan Nabi. Daripada merekalah kita menimba ilmu yang kemudian kita amalkan dalam kehidupan kita. Jika mereka tidak turunkan ilmu kepada kita (tidak amanah) termasuk memudahkan kefahaman kita, bagaimana kita dapat memanfaatkannya dalam kehidupan kita?

Apabila diminta menulis mengenai peri pentingnya penghormatan kepada ulama dan berhenti dengan segera mencerca mereka, teringat saya kenangan indah bersama-sama sahabat (sesetengahnya pemimpin) dalam PAS yang melakukan khidmat bakti di rantau dan negara dilanda musibah seperti di Afghanistan/Pakistan dan Aceh, Indonesia lebih sedekad lalu.

Ya, dulu kita bersama-sama meredah kepayahan (seperti minum air perigi dan makan seadanya) untuk sama-sama belajar erti derita saudara seagama di Peshawar, Aceh dan sebagainya...tetapi mengapa sekarang kita sudah membawa jalan masing-masing. Masih teringat dalam minda bagaimana kita bersama-sama menegakkan satu papan tanda bernama 'Al-Noor-Al Khidmat School' di sebuah kem pelarian Afghanistan yang gersang di Jalozai, Peshawar. Ya nama itu sebagai penghormatan kepada pemimpin dan tok guru kita ketika itu, Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Ada di kalangan rakan-rakan 'seperantau' kita (seperti ke Peshawar) sudah meninggal dunia. Ada yang meninggal sebelum berlaku sedikit pergeseran dan kita 'membawa haluan masing-masing' termasuk menubuhkan sebuah parti baru. Tidak dapat saya bayangkan akan remuk redam hati insan-insan ini jika mereka masih hidup dan menyaksikan betapa jauh kita sudah pergi...Ya dulu kita bersama, sekarang?

Demikian juga diri ini sebagai bekas petugas di Harakah lebih sedekad lamanya, amat terasa remuk redam di hati (demikian juga agaknya di hati rakan-rakan) apabila rakan dan bekas rakan setugas (termasuk bos besar dan pengarangnya) tidak sehaluan dan membawa diri masing-masing. Saya tahu ada yang berkecil hati kerana terasa tersisih tetapi apa hendak dikata...itulah namanya perjuangan kehidupan.

Cuma apa yang dapat disimpulkan di sini, teruskan tunjukkan kecintaan kita kepada alim ulama kerana ada satu doa berbunyi: "Ya Allah, aku memohon agar cinta kepada-Mu, cinta kepada hamba-Mu yang menyintai diri-Mu dan cinta kepada amalan yang mendekatkan cinta kepada-Mu." Ya, siapa di kalangan manusia yang dapat menunjukkan jalan menuju Illahi ini kalau bukan alim ulama?

No comments: