Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)
Renungan
"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)
SELEPAS dua kali mengunjungi Sarawak, saya masih tidak mengerti mengapa dinyatakan sungai di Sarawak sempit. Amat-amatilah lirik lagu Seri Sarawak - Sayang Sarawak sungainya sempit, berbuahnya nenas lamun-lamunan, hendaknya kubawa perahuku sempit, tinggallah emas, tinggallah kenangan.
Sungai-sungai di Sarawak, masya-Allah besar-besar belaka. Sungai (Batang) Rajang amat luas dan panjang (563 kilometer); demikian juga Batang Lupar malah Sungai Sarawak yang 'melewati' ibu negeri Kuching, pun luas dan panjang.
Sungai Rajang adalah terpanjang dan antara paling luas di Malaysia; jadi apa sebenarnya yang 'sempit' itu? Persoalan ini sukar dijawab tetapi mungkin ada yang mahu mengaitkannya dengan politik - al-maklumlah Sarawak akan mengadakan pilihan raya negeri dalam masa terdekat ini.
Penganalisis politik mungkin mahu mengaitkan 'sempit' itu dengan 'bertakhtanya' Tun Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak selama 32 tahun - ini satu rekod sukar dipecahkan mana-mana pemimpin apatah lagi pengganti Taib, Tan Sri Adenan Satem awal-awal lagi mendedahkan bahawa pilihan raya kali ini adalah yang terakhir baginya.
Adenan dilantik Ketua Menteri Sarawak pada Mac 2014 dan jika pada pilihan raya nanti, gabungan parti diketuainya menang dan dia dipilih lagi sebagai KM seterusnya berupaya berkhidmat lima tahun lagi, bermakna tempohnya sebagai peneraju kerajaan negeri hanya lapan tahun - tersangat jauh bagi menyaingi Taib Mahmud.
Bagi mana-mana pemerintah terlalu lama memenang kuasa, dikhuatiri 'menjumud' serta 'menyempitkan' pemikiran rakyat. Rakyat hanya mengenal stail (style) dan pendekatannya saja sedangkan dunia sentiasa berubah. Adalah tidak munasabah untuk generasi baru menerima pandangan lama sepenuhnya...mereka mendambakan perubahan. Jika melihat kepantasan perubahan dalam dunia ICT sekarang ini pun kita tahu golongan lama tidak mampu mengejarnya...
Adenan ketika mula menjadi KM juga mahu keluar daripada 'suasana sempit' yang membelenggu rakyat berikutan cengkaman pemimpin terdahulu terlama lalu. Misalnya sebaik-baik dilantik KM, beliau menonjolkan usahanya meraih faedah untuk rakyat Sarawak iaitu mendapatkan lebih banyak royalti bagi minyak dan gas.
Pada 6 Mei 2014 semua anggota Dun Sarawak menyokong Rang Undang-Undang Penambahan Royalti daripada lima peratus kepada 20 peratus; persoalannya apakah tuntutan pemimpin dan rakyat Sarawak ini sudah terlaksana?
Usaha bagi mendapatkan penambahan royalti ini menjadi buah mulut rakyat Sarawak sehingga ada berfikir ke depan dengan membandingkan pencapaian pembangunan negeri ini dengan negeri-negeri lain di Semenanjung. Terkesan juga mereka dengan 'situasi sebuah negeri yang kaya raya dengan rakyat terutama nun di pedalaman miskin-miskin belaka'.
Ya, 'Sayang Sarawak sungainya sempit...' hanyalah antara seni kata sebuah lagu tetapi hakikatnya rakyat Sarawak berjiwa besar, mereka mahu melihat negeri mereka lebih maju atau setidak-tidak setara dengan negeri-negeri di Semenanjung. Kemajuan bukan bermaksud membabitkan negeri saja tetapi juga kehidupan rakyat tidak kiralah mereka yang tinggal di kota seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri atau jauh di pedalaman seperti Belaga, Long Banga dan Sungai Asap.
Kemajuan juga bukan hanya bermaksud dari segi fizikalnya tetapi juga spiritualnya. Sebagai contoh, bumi Sarawak kaya dengan hasil alam, misalnya balak (pada tahun 2013 eksport balak dan produknya bernilai RM7,057,890,230) manakala royalti daripada hasil hutan adalah RM544,805,073; tetapi rakyat kebanyakan 'terkebil-kebil saja' kerana kehidupan mereka tetap sama menepati satu ungkapan terkenal 'dulu, kini dan selama-lamanya' sedangkan perubahan di sekeliling mereka 'dahsyat sekali'. Di kota-kota, bangunan besar dan hebat termasuk masjid pun sungguh gah tetapi 'rakyat tak berdaya' semakin lama semakin hanyut dalam arus pembangunan.
Hal ini membawa maksud ada 'penyamun tarbus' di mana-mana dalam 'membaham' hasil negeri. Tidak guna negeri kaya raya tetapi ada ramai 'penyarmun tarbus' bermaharajalela. Ini termasuklah golongan yang bermuka-muka, hidup bagaikan gunting dalam lipatan atau dalam bahasa orang sekarang 'cakap tak serupa bikin'. Mereka berlagak bagaikan 'pemimpin alim dan suci', hakikatnya merekalah yang 'membaham' hasil negeri.
'Penyamun tarbus' yang 'meragut' hasil negeri termasuklah kayu balak, daripada serendah-rendah kedudukan sehinggalah 'yang menongkat langit dan tinggal dalam istana' perlu diheret ke muka pengadilan. Jika pemimpin sekarang tidak mampu melakukannya, usah gila untuk terus berkuasa...dan kepada rakyat yang sudah sedar akan 'cakap tak serupa bikin' pemimpin-pemimpin ini, 'humbankan' mereka dalam pilihan raya akan datang.
Sarawak, tanah bertuah kaya sumber alam yang keluasannya 124,450 kilometer persegi iaitu hampir sama luas dengan Semenanjung Malaysia dengan jumlah penduduk hanya kecil (2.5 juta), adalah medan berpotensi untuk melakar kejayaan fizikal dan spiritual....hanya jika rakyatnya bijak menggunakan 'kuasa' pada pilihan raya negeri Mei ini!
Percayalah rakyat Sarawak tidak sempit pemikiran mereka sebagaimana mereka didoktrin dan didendangkan sejak sekian lama melalui pelbagai cara termasuklah pemimpin berkuasa lama dan seni kata lagu...Sayang Sarawak sungainya sempit!
No comments:
Post a Comment