Monday, May 2, 2016

Ini bumi Allah, bukan bumi manusia...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

HARI Bumi disambut 22 April lalu pada ketika negara kita membahang panas. Di masjid tidak jauh dari rumah saya diadakan solat sunat istisqa' (memohon hujan) selepas kuliah subuh hari Ahad, 24 April. Pada kuliah subuh hari itu sang ustaz memberi penerangan mengenai solat istisqa' di samping hal-hal berkaitan keadaan yang membahang panas sekarang ini.

Kata ustaz, sekarang ini masyarakat kita terlalu banyak melakukan maksiat dan kezaliman, jadi bertaubatlah dan minta ampun kepada Allah SWT. Keadaan membahang yang kalau boleh dikatakan bahana diturunkan oleh Allah SWT itu baru sedikit tetapi sudah tidak tertanggungkan manusia, jadi marilah kita bersama-sama membulatkan hati, menekadkan keazaman bagi menjunjung segala perintah-Nya. 

Sesungguhnya ini bumi Allah, bukan bumi manusia yang membolehkan manusia membuat sesuka hati masing-masing dengan manusia mengamalkan hukum rimba; yang berkuasa menekan dan menindas yang lemah. Jika Allah SWT mahu menghancurkan umat manusia, hal ini boleh dilakukan mengikut kehendak-Nya, jadi masihkah kita mahu mendabik dada mengaku dunia ini kita punya?

Perilaku manusia yang degil, tidak mahu tunduk kepada perintah Allah SWT ini yang kemudian dimusnahkan dirakamkan oleh-Nya dalam al-Quran melalui kisah kaum Nabi Nuh, Ad, Tsamut, Lut dan sebagainya. Hari ini, manusia mengulangi kisah sama, membuat maksiat dan onar seolah-olah dunia ini milik mereka. 

Apabila kekufuran dan kemaksiatan sudah berleluasa, kita bimbang umat manusia hanya menunggu bala daripada-Nya. Inilah yang paling kita takuti, kerana bala itu tidak mengenal siapa, orang beriman dan tidak beriman sama-sama terkena akibatnya. 

Sesungguhnya bala daripada Allah SWT tersangat dekat, tetapi tertahan disebabkan adanya orang tua rukuk kepada-Nya, anak-anak muda yang taat kepada agama-Nya, bayi-bayi yang masih menyusu dan binatang melata di muka bumi. Kini dunia semakin dibakar kepanasan disebabkan maksiat manusia.

Apabila manusia menganggap dunia ini milik mereka, mereka berpesta bermaksiat di atasnya, mengetepikan sama sekali perintah-Nya. Tetapi itu hanyalah sementara, apabila Allah kehendaki, Dia akan lenyapkan segala-galanya kerana bumi ini milik-Nya. Manusia hanya menumpang, sejurus cuma, ibarat berteduh di bawah sebatang pokok sebelum pergi buat selamanya!

Demikianlah pandangan 'orang agama' mengenai punca bahana yang menimpa manusia seperti cuaca panas membayang sekarang ini. Namun ada pejuang alam sekitar termasuk yang mengaku Islam 'memperlekeh' pandangan berleluasa maksiat sebagai punca Allah SWT menurunkan bala kepada manusia. Mereka mengaku pejuang sedangkan kepentingan diri sendiri pun tak terjaga, misalnya yang perempuan mendedahkan rambut. 

Menurut mereka, perubahan alam sekarang ini disebabkan oleh kerakusan golongan kapitalis yang merosak dunia untuk kepentingan tembolok masing-masing seperti memusnahkan hutan (bagi mendapat kayu balak), membina empangan dan penggunaan kenderaan bermotor yang terlalu meluas. Hal inilah yang menyumbang kepada pemanasan global, ia tidak ada kaitan langsung dengan 'dosa-dosa' manusia.

Pada kuliah subuh itu, saya bertanyakan sang ustaz; apakah pandangan pejuang alam sekitar itu betul? Sang ustaz berkata, ia separuh betul lantas beliau membacakan ayat al-Quran yang bermaksud: "Telah tampak kerosakan di darat dan di laut, disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). - Surah ar-Rum, ayat 41

Betul dunia menjadi rosak disebabkan tangan-tangan rakus manusia. Namun ia hanya sebahagian daripada dosa-dosa dilakukan manusia seperti berleluasanya zina dan kezaliman. Selain merosakkan alam seperti hutan dan lautan, manusia juga terlalu banyak bermaksiat dengan tidak mengikut jalan ditunjuki-Nya. Mereka menjalani  kehidupan termasuk berhukum berdasarkan 'kepala otak' masing-masing seperti 'menghalalkan' perkahwinan sejenis - tidakkah mereka 'mengundang' bala daripada Allah Taala yang telah menghancur-leburkan kaum Nabi Lut a.s.!

No comments: