Tuesday, April 5, 2016

Zalimi Anwar; OIC perakui hak asasi

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

TERTARIK saya membaca Ahli Parlimen Parti Kebebasan dan Keadilan Mesir, Dr Mawgoud Dardery menyatakan Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim mangsa kekejaman politik yang kini dipenjarakan (Suara Keadilan, 22 Mac 2016).

Dilaporkan Pengarah Center For Egyptian America Dialogue (CEAD) itu menghadiri mesyuarat bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi membincangkan isu-isu utama berkaitan permasalahan komuniti Islam global.

"Saya sokong sepenuhnya demokrasi. Saya menyeru kesedaran masyarakat tentang kepentingan hak asasi manusia ini terutamanya dalam kes pemenjaraan Anwar Ibrahim. Saya lihat saban hari, demokrasi hak asasi manusia dicabuli khususnya di kalangan orang Islam dan kekejaman politik di mana saja," beliau dipetik sebagai berkata.

Apabila disebut Mesir, teringat saya bahawa di bumi Mesirlah Deklarasi Kaherah mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam diisytihar dan dikeluarkan pada Persidangan Menteri Luar Pertubuhan Persidangan (kini Kerjasama) Islam (OIC) ke-19 di Kaherah pada 5 Ogos 1990. Sebanyak 57 negara menandatanganinya, dan tentunya Mesir sebagai anggota kanan OIC dan tuan rumah persidangan turut mengambil bahagian!

Melalui dokumen itu, negara anggota OIC amat menyedari kedudukan manusia sebagai khalifah Allah di bumi dan menyedari kepentingan mengeluarkan sebuah dokumen tentang hak asasi manusia dalam Islam yang akan menjadi garis panduan buat negara ahli dalam semua aspek kehidupan.

Deklarasi Kaherah memperakui peranan sejarah dan pemeradaban umat Islam yang dijadikan Tuhan sebagai umat yang terbaik yang telah menyumbang kepada manusia sebuah peradaban sejagat dan seimbang dalam mana keharmonian antara kehidupan ini dan kehidupan alam kemudian dicapai dan dalam mana ilmu digabungkan dengan iman; dan peranan yang harus dimainkan ummah ini untuk membimbing manusia yang terkeliru dengan 'trend' dan idoleogi-ideologi yang saling bersaing dan untuk menyediakan penyelesaian buat masalah-masalah kronik yang dihadapi peradaban materialistik ini.

Ia juga berhasrat untuk menyumbang kepada usaha-usaha manusia sejagat untuk menonjolkan hak-hak asasi manusia, untuk memelihara manusia daripada eksploitasi dan penindasan, dan untuk menyatakan kebebasan serta haknya terhadap kehidupan yang terhormat sesuai dengan Syariah Islam.

Dalam dekralasi  ada dinyatakan kehidupan adalah kurnia Tuhan dan hak kepada kehidupan dijamin buat setiap manusia. Menjadi tanggungjawab individu, masyarakat dan negara untuk memelihara hak ini daripada dicabul, dan adalah dilarang mengambil nyawa melainkan dengan alasan yang dibenarkan Syariah.

Ia juga menyatakan diilarang mengambil tindakan yang memungkinkan penyelapan genosid manusia sejagat, pemeliharaan nyawa manusia sepanjang tempoh yang ditentukan Tuhan menjadi tanggungjawab yang diperintahkan Syariah dan keselamatan daripada kecederaan jasad adalah hak yang dijamin. Menjadi tanggungjawab negara untuk memeliharanya, dan dicegah pelanggarannya tanpa sebab yang ditetapkan Syariah.

Berdasarkan perkembangan semasa, sungguh ironi apabila deklarasi OIC yang ditandatangani di bumi Mesir tidak menghalang pemerintah sekarang (rejim Abdel Fattah As-Sisi) daripada merampas kuasa daripada Presiden Dr Mohamad Morsi malah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atasnya dan juga tokoh ulama kontemporari, Sheikh Dr Yusof Al-Qaradhawi (hukuman dijatuhkan dengan Al-Qaradhawi tiada di Mesir).  Selain Morsi, ramai pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir juga dihukum mati manakala sebahagian lagi dipenjara.

OIC telah mengisytiharkan komitmennya di Kaherah, namun nampaknya ia hanya tertera di kertas; tiada sebarang tindak balas daripadanya. Kezaliman di depan mata tidak dipeduli, apakah OIC mahu mengiyakan persendaan masyarakat antarabangsa bahawa ia benar-benar tidak bertaring malah bergigi lantas layak digelar organisasi 'Ohh I See'.

Deklarasi Kaherah mengukuhkan hasrat menyumbang kepada usaha umat manusia untuk menegakkan hak asasi manusia, melindungi manusia daripada eksploitasi dan penganiayaan, dan mengesahkan kebebasan dan haknya untuk hidup bermaruah berdasarkan Syariah Islam.

Berkenaan hakikat hal ini, jika kita kaitkan dengan kes Anwar Ibrahim, kita tertanya-tanya apakah tokoh yang terpenjara di Sungai Buloh itu telah mendapat HAKNYA terutama perkara terakhir iaitu hidup bermaruah berdasarkan Syariah Islam...ya itu pun tak terlaksana dan sekarang ini bagaimana permintaan qazaf pihak Anwar yang masih tidak diketahui ketentuannya?

No comments: