Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)
Renungan
"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)
ALHAMDULILLAH, Dr Zakir Naik dan majlis ceramahnya memang hebat. Dalam siri jelajahnya di tanah air kita termasuk di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada Ahad, 17 April lalu yang turut saya hadiri, ada hadirin mengucap dua kalimah syahadah (memeluk Islam).
Berdasarkan pengamatan saya, pendekatan Dr Zakir yang mendedahkan antara perkara persamaan agama-agama besar dunia seperti Hindu, Kristian dan Islam adalah daya pemikat seseorang itu berfikir seterusnya mengakui kebenarannya sehingga memeluk Islam.
Antara persamaannya, agama-agama ini melalui kitab agama masing-masing ada menyatakan bahawa Tuhan itu Esa dan ada perkhabaran bahawa akan lahir seorang Rasul akhir zaman.
Kehebatan Dr Zakir adalah beliau menguasai kitab-kitab agama berkenaan - seperti Veda dan Bible...beliau memetik ayat-ayat daripada kitab-kitab sebagai hujah seterusnya memantapkannya berpandukan al-Quran dan hadis.
Bagi orang belum Islam jika berhujah berdasarkan al-Quran dan hadis saja, dikhuatiri mereka tidak atau kurang yakin dan percaya kerana pada asalnya mereka memang tidak beriman dengannya. Jadi dengan berhujah menggunakan kitab-kitab mereka sendiri, Dr Zakir ternyata memiliki kelebihan istimewa kurniaan Illahi yang menurut sesetengah pihak lebih hebat daripada tokoh tersohor perbandingan agama, Almarhum Ahmad Deedat.
Jika Dr Zakir, penganjur (UTeM) dan majlis ceramah semuanya hebat, bagaimana diri (penulis) ini pula? Saya sampai di sesi awal ceramah Dr Zakir pada jam 6.00 petang. Saya yang ada tiket undangan (diperolehi secara pendaftaran 'on-line') dihalang memasuki dewan oleh beberapa petugas Rela. Kata mereka, dewan sudah penuh, maka terpaksalah saya 'pergi' dan berpuas hati dengan mengikuti majlis daripada skrin besar di sisi dewan.
Sedang saya duduk termanggu-manggu di luar dewan, tup-tup datanglah sebuah kereta besar hitam diiringi motosikal polis trafik. Kereta berhenti di depan pintu dewan dan 'hadirin istimewa' itu pun melangkah masuk dengan gah ke dalam. Aiii, senangnya dia masuk sedangkan aku dihalang. Apabila melihat di skrin pada bahagian depan dewan, terlihat ada banyak juga kerusi kosong. Kata dewan sudah penuh, tetapi kenapa kerusi-kerusi itu masih kosong?
Inilah dunia, bisik hati saya. Kalau kau nak jadi 'hadirin istimewa' kau mesti ada 'benda'. Itulah kuasa, jawatan, pangkat, kedudukan, kekayaan dan seangkatan dengannya. Kalau kau tak ada 'benda' itu, jangan haraplah kau dipandu sampai ke pintu dewan...cukuplah kau sebagai orang 'biasa-biasa', bertenggeklah di bahu jalan.
Terlintaslah di benak saya, di dunia jika mahu layanan VIP kita mesti ada 'benda', di akhirat nanti pun kita pun perlu 'benda' untuk mendapat layanan istimewa. Kata seorang ustaz, di dunia hari ini untuk masuk ke dalam tandas awam yang kotor itu pun kita perlu 'benda' (duitlah), demikian dibuat contoh bagaimana kita mahu syurga tanpa ada 'apa-apa'.
Untuk masuk syurga apa 'benda' yang perlu kita usahakan. Jika orang dahulu bukan hanya berkorban harta bahkan jiwa demi agama, apa pengorbanan sudah kita lakukan? Berdasarkan pengorbanan orang mulia seperti para syuhada dan salihin, insya-Allah di akhirat nanti orang-orang ini akan mendapatkan layanan VIP seperti melalui titian sirat seperti kilat; persoalan bagaimana diri kita, adakah kita akan berengsot-engsot dan sudah bersediakah kita dengan 'benda keperluan' untuk dibawa ke sana nanti?
Maghrib itu saya solat berjemaah di Masjid UTeM yang besar dan cantik. Ketika berada di masjid bagi menunggu waktu isyak, pada jam 8.00 malam, di skrin-skrin besar di masjid disiarkan majlis Dr Zakir di Dewan Besar UTeM. Majlis dimulakan dengan ucapan Ketua Menteri, Dato' Idris Harun diikuti ceramah Dr Zakir pada kira-kira jam 8.25 malam.
Jam 8.27 masuklah wakyu Isyak. Sesetengah jemaah dalam masjid menjadi gelisah. Apa tidaknya, di masjid tiada seruan azan dan tidak didirikan solat berjemaah dalam dewan masjid. Mereka menunggu untuk solat tetapi solat tidak didirikan. Skrin terus memancarkan majlis di Dewan Besar. Apa sudah jadi...apakah bilal dan pak imam sudah pergi ke Dewan Besar sehingga waktu untuk menyatakan keagungan dan kebesaran Allah SWT itu berlalu begitu saja? Apakah majlis Dr Zakir sudah lebih besar daripada ibadat kepada Allah SWT tepat pada waktunya?
Disebabkan tiada solat jemaah di dewan masjid pada waktunya, maka jemaah mendirikan solat di beranda dewan. Ada secara sendirian dan ada secara berjemaah dalam kumpulan kecil. Bagi orang tempatan yang berhimpun di masjid, mereka mahu solat Isyak dulu sebelum pergi ke majlis Dr Zakir. Benar mereka boleh melewatkan solat, tetapi kebanyakannya sedar sebagai 'insan lemah', mereka khuatir tiada kekuatan untuk solat Isyak pada jam 2.00 atau 3.00 pagi kerana majlis Dr Zakir berakhir lewat malam. Jika Dr Zakir dan rombongannya boleh menjamakkan zolat, fikir-fikirkanlah keadaan orang tempatan.
Tiadanya solat Isyak berjemaah (kecuali ada jemah solat di tepi dinding dan beranda) di Masjid UTeM seolah-olah menggambarkan sikap kita terlepas pandang perkara-perkara keutamaan; sebaik-baiknya solat bagi membesarkan Allah SWT diberi perhatian; adalah tidak wajar satu waktu solat berjemaah (Isyak) tidak didirikan semata-mata bagi memberi liputan meluas (termasuk siaran di skrin masjid pada waktu Isyak) akan sesuatu majlis besar seperti ceramah Dr Zaki Naik!
No comments:
Post a Comment