DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
HAMPIR tergelak saya membaca catatan seorang editor sebuah akhbar arus perdana mengenai perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu, 2 April lalu. Antara lain beliau menulis: "Perhimpunan itu akhirnya kelihatan sangat melucukan. Terdapat peserta menyorok dan berlindung di balik pokok kerana tidak tahan dengan cuaca panas Kuala Lumpur.
"Kerana cuaca panas melebihi 37 darjah Selsius, pemimpin pembangkang turut meninggalkan pentas demonstrasi dengan cepat. Terlintas di fikiran, inikah kualiti peserta demonstrasi membantah pelaksanaan GST? Sekadar bertanya, jika keadaan sepanas itu pun mereka tidak boleh tahan ketika mereka kononnya mahu memperjuangkan nasib rakyat, apakah sepatutnya majoriti rakyat negara ini lakukan.
"Maka, marilah kita beramai-ramai menolak pihak yang tiada intergriti ini dan individu tertentu yang mendakwa mahu berjuang mahu menyelamatkan negara tetapi hakikatnya memperjuangkan kepentingan peribadi hingga sanggup menghancurkan negara."
Demikianlah, sesetengah petugas syarikat akhbar itu dan sesetengah pemimpin dan ahli sebuah parti politik bagaikan 'bingung' pemikiran mereka dalam hujah terutama dalam menidakkan apa saja yang dibuat oleh pihak tidak disukai mereka.
Kenyataan pemimpin kerajaan daripada parti berkenaan seperti 'kalau ayam mahal jangan makan ayam' dan 'kalau tak nak bayar tol guna jalan lama atau bangun awal pagi' adalah contoh 'kebingungan' itu...dan akhbar yang dikuasai parti ini juga mempunyai petugas yang 'sewaktu dengannya'.
Hujah editor ini kelihatan melucukan...takkanlah peserta demonstrasi mencari tempat berteduh mahu dikaitkan dengan intergriti mereka termasuk dituduh memperjuangkan kepentingan peribadi. Kehadiran mereka dalam suasana membahang itu sendiri membuktikan pengorbanan mereka bagi 'mensejahterakan' orang lain iaitu berjuta-juta rakyat marhain yang kian lama kian menderita disebabkan GST enam peratus dikenakan ke atas setiap pembelian barangan sejak setahun lalu.
Entahlah, kata seorang kawan saya, orang bijak sekalipun yang masuk akhbar dan parti itu sesetengahnya 'jadi bingung' juga. Ambil contoh mudah laporan dan komentar-komentar akhbar terbabit mengenai pelbagai perhimpunan di Kuala Lumpur termasuk Bersih. Perhimpunan ini dihadiri puluhan malah ratusan ribu orang tetapi akhbar berkenaan melaporkan perhimpunan tidak mendapat sambutan. Jika peserta perhimpunan sendiri menganggarkan 10,000 orang hadir, petugas akhbar berkenaan mungkin menyatakan hanya ada 2,000 orang saja.
Sebuah majlis seperti Perhimpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka tidak lama dulu, dihadiri kira-kira 100,000 orang tetapi apa yang dilaporkan oleh akhbar berkenaan atau ' sejenis' dengannya'? Sambutan hangat terhadap perhimpunan itu tidak dihiraukan akhbar berkenaan tetapi yang menjadi fokus adalah isu remeh-temeh seperti kanak-kanak dibawa ke perhimpunan, peniaga terpaksa 'tutup kedai' dan penganjur tidak mematuhi syarat perhimpunan.
Akhbar terbabit juga mengambil kesempatan mewawancara pemimpin parti berkenaan dan orang ramai...maka jawapan sterotaip sudah dijangka seperti 'perhimpunan menyusahkan orang ramai', 'merugikan peniaga', malah ada berkata 'mereka ditaja oleh ejen asing'.
Apa yang menghairankan jika ada 100,000 orang berdemonstrasi di luar negara seperti Si Baju Merah di kota Bangkok maka laporan mengenainya disiarkan secara besar-besaran (termasuk gambar besar dan banyak) oleh akhbar berkenaan tetapi 100,000 orang yang berdemonstrasi di depan mata mereka (di Kuala Lumpur) tidak nampak di mata mereka. Ya, petugas akhbar ini mungkin menepati peribahasa 'kuman di sebarang lautan nampak, bangkai di depan mata tak nampak!'
Malah akhbar ini dan sejenisnya sanggap menghantar wakil untuk membuat liputan peristiwa di luar negara untuk mendapat laporan eksklusif tetapi amat menyedihkan dalam kes demonstrasi dalam negara mereka yang turut menghantar wartawan (pada Perhimpunan Kebangkitan Rakyat ada akhbar mengerahkan sehingga 15 petugas) tetapi laporan yang disiarkan adalah hal remeh-temeh seperti peserta demonstrasi membawa anak dan pokok bunga dipijak peserta. Mungkinkah petugas akhbar ini 'sudah dibingungkan' - tidak tahu mana satu 'benda besar' dan 'benda kecil'. Tidak mengerti yang mana satu mahu di'highlight' dan yang mana satu layak jadi
'filler' (penyendal) saja. Ya mereka sudah bingung!
No comments:
Post a Comment