Tuesday, April 26, 2016

Pudu Sentral sudah hilang 'raya'nya

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

SELEPAS Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan beroperasi pada Mac 2011 bagi pengendalian bas ekspres ke selatan tanah air, tiada keperluan untuk saya ke Pudu Sentral yang dulunya amat popular dengan nama Puduraya.

Pada 9 April lalu bagi menyertai perhimpunan membantah 'Dual Language Programme' (DLP) di Kuala Lumpur, saya berkesempatan berkunjung semula (revisited) ke Pudu Sentral. Terkejut saya melihat 'kesepian' di terminal bas yang dulunya mungkin paling sibuk di negara kita. 

Suasana 'muram' itu seakan-akan 'bertepatan' dengan tindakan pemimpin negara yang mengubah nama Puduraya kepada Pudu Sentral - hari ini suasana 'raya' (sibuk dan meriah) tidak wujud di terminal ini yang hanya mengendalikan perkhidmatan bas kawasan setempat dan berdekatan seperti Seremban, Tanjung Malim dan Genting Highlands. 

Ya, Pudu Sentral (bunyinya macam Pudu Jail) sudah hilang 'seri' dan 'raya'nya - sebahagian golongan yang terkesan dengan 'kemuraman'nya adalah peniaga kecil yang menjual makanan ringan, buah-buahan potong dan akhbar di tingkat satu yang mendakwa perniagaan mereka seperti hidup segan mati tak mahu.

Salah seorang penjual ditemui, Tini, berkata perniagaan merosot lebih 80 peratus berbanding ketika zaman gemilang Puduraya. Namun katanya, dia akan terus 'berjualan' seperti diarahkan 'bosnya' iaitu pemilik 'kiosk' itu. Jika zaman Puduraya dulu, tingkat satu penuh dengan gerai (termasuk gerai makan) dan kaunter tiket bas ekspres, hari ini hanya ada sejumlah 'kiosk' makanan ringan manakala sebahagian ruang menempatkan Kedai 1-Malaysia, Klinik 1-Malaysia dan premis Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Terkejut dengan keadaan 'sepi' di tingkat satu, kunjungan ke tingkat berikutnya lebih memeranjatkan. Suasana di ruang menempatkan kaunter tiket 'menyeramkan' dengan hanya sebuah dua kaunter dibuka. Di situ ada cahaya sedangkan di kawasan lain, gelap saja keadaannya.

Penulis tidak berkesempatan berkunjung ke tingkat empat yang menempatkan gerai-gerai menjual makanan dan juga surau yang khabarnya pada 'zaman kegemilangan' dulu sesak dengan jemaah malah dapat didirikan solat Jumaat. Namun berdasarkan suasana 'muram' di tingkat satu, dapat dirumuskan Pudu Sentral sudah benar-benar hilang 'raya'nya. Maka bertepatanlah nama Puduraya itu digantikan dengan Pudu Sentral!

Namun satu persoalan timbul mengapa Pudu Sentral dibiarkan begitu sedangkan dulu pemimpin dan kerajaan 'bergolak-gadai' untuk melaksanakan projek pengubahsuaian dan pembaikan ke atas hab pengangkutan awam itu yang dirasmikan pembukaannya pada 2 Oktober 1978 oleh Perdana Menteri ketika itu, Dato’ (kini Tun dan Allahyarham) Hussein Onn. Hentian ini dibina di bawah projek dan daya usaha positif Perbadanan Kemajuan Bandar (UDA) dan agensi gabungan kerajaan lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Polis, LLN, Air dan Telekom.

PM Najib Razak yang mengarahkan pertukaran nama Puduraya kepada Pudu Sentral pada 2011 sudah melakukan beberapa lawatan ke sana. Banyak wang sudah dibelanjakan untuk pembaikan Puduraya misalnya selepas lawatannya pada 2009, hentian itu diubah suai dan dinaikkan taraf dengan peruntukan RM44 juta - RM30 juta adalah untuk UDA membaik pulih bangunan dan RM14 juta bagi untuk Kementerian Wilayah untuk menceriakan kawasan sekeliling Puduraya.

Wang jutaan sudah 'dileburkan', tetapi kini Pudu Sentral dari sehari ke sehari semakin sepi. Kerja-kerja meningkatkan kemudahan awam seperti kaunter tiket lebih selesa, ruang menunggu yang lebih besar dan teratur, sistem pengudaraan (pendingin udara) menelan belanja yang besar (dikatakan RM32 juta) tetapi semuanya 'macam dibuang ke dalam longkang saja'. Ini kerana kemudahan itu tidak dapat digunakan secara maksimum disebabkan pengunjung Pudu Sentral amat kurang selepas kebanyakan perkhidmatan bas ekspres termasuk ke Utara dan Pantai Timur dipindahkan ke TBS baru-baru ini.

Demikianlah, jika pihak berkuasa dapat merancang dengan baik, tidaklah 'wang rakyat' dibuang begitu saja dengan ghairah membuat projek itu dan ini, tetapi akhirnya tidak dapat dimanfaatkan secara maksimum. Jika pemimpin daripada kerajaan Umno BN sekarang tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya wang rakyat dengan melakukan pelbagai pembaziran, berundurlah...manakala kepada rakyat pilihlah kumpulan yang dapat mensejahterakan anda dan generasi masa depan!

No comments: