***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
***
RAKYAT diberitahu dalam pertemuan umarak (pemimpin) dan ulama baru-baru ini pendekatan sederhana (wasatiyyah) Malaysia berjaya memikat Arab Saudi malah Amerika Syarikat yang diterajui Presiden Barack Obama.
Rakyat juga diberitahu oleh kerana begitu terujanya pemimpin Arab Saudi, ada di kalangan mereka menyumbang sejumlah wang yang besar kepada pemerintah Malaysia untuk projek dan program wasatiyyahnya; itulah yang didakwa sebagai wang RM2.6 bilion yang dimasukkan akaun bank PM sebagaimana dilapor media antarabangsa.
Terpulanglah kepada rakyat untuk mempercayai atau tidak mengenai apa yang diberitahu kepada mereka oleh pendukung dan penyokong PM termasuk oleh media massa yang dikuasai pemerintah dan juga pemimpin masyarakat seperti pengerusi JKKK dan imam.
Jika Islam Hadhari dipelopori PM ke-5 Abdullah Ahmad Badawi 'lenyap' begitu saja selepas Abdullah terpaksa menyerahkan jawatan; bagaimana dan berapa lama agaknya wasatiyyah PM Najib Razak dapat bertahan?
Dalam mempertahankan pendekatannya, Najib berkeras negara ini sedang berada di atas landasan yang menjurus ke arah kecemerlangan. Beliau mendabik dada menyatakan Malaysia mengungguli Petunjuk Ekonomi Islam Global 2014-2015.
Dulu tidak sampai setahun kepimpinan negara bertukar tangan daripada Abdullah kepada Najib, tidak terdengar lagi Islam Hadhari yang diangkat sebegitu tinggi sehingga hampir dijadikan subjek di institusi pengajian.
Kini, mungkin tiada lagi yang ingat 10 prinsip asas Islam Hadhari iaitu (i) Keimanan dan ketakwaan kepada Allah, (ii) Kerajaan adil dan amanah, (iii) Rakyat berjiwa merdeka, (iv) Penguasaan ilmu pengetahuan, (v) Pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif, (vi) Kehidupan berkualiti, (vii) Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita, (viii) Keutuhan budaya dan moral, (ix) Pemeliharaan alam semula jadi dan akhirnya (x) Kekuatan pertahanan.
Apa yang digembar-gemburkan kejayaannya sekarang adalah Islam sederhana (wasatiyyah atau moderate) sehinggakan pendekatan ini memikat pemimpin Arab Saudi dan Amerika. Kita ingin bertanya apakah Islam Hadhari 'tidak baik' sehingga terpaksa digantikan dengan 'wasatiyyah' yang didakwa pendukungnya sebagai menepati konsep 1-Malaysia? Sekali bah sekali pantai berubah, sekali pemimpin bertukar yang lama dibuang dalam belukar...begitukah sikap kita?
Maksud wasatiyyah ialah pertengahan atau sederhana. Al-Quran menggelarkan umat Islam sebagai umat pertengahan (ummatan wasatan). Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 143 bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Islam) sebagai umat yang pertengahan (umat pilihan dan adil) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad s.a.w.) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”
Sarjana mendefinisikan umat pertengahan dalam ayat di atas mempunyai beberapa maksud, antaranya: (a) umat yang terpilih di sisi Allah kerana sikap dan amalannya, (b) umat yang adil dan tetap dalam keadilan, (c) umat yang di tengah iaitu yang diperhati oleh orang lain sebagai contoh kerana keunikannya dan (d) umat yang mengamalkan sikap sederhana dalam segenap segi.
Namun kita tersangat bimbang sederhana atau 'moderate' itu ditafsirkan sesetengah pemimpin berdasarkan kefahaman dan latar belakang masing-masing, misalnya bersederhana dalam menjana pendapatan dan hiburan sehingga mencadangkan dirancakkan penubuhan hab hiburan maksiat bagi memperhebatkan perkembangan ekonomi negara dan tidak lama dulu disyorkan pertaruhan (judi) bola sepak dalam negara.
Kemudian isteri pemimin negara mengetengahkan fesyen pakaian yang didakwa sebagai Islamik di pentas antarabangsa atas nama kesederhaan dalam berpakaian sedangkan hal itu dilihat sebahagian besar ulama sebagai amat bercanggahan dengan kehendak Islam. Demikian juga pemimpin dan isteri berbelanja besar serta boros manakala rakyat ditambah derita seperti dikenakan GST; apakah itu wasatiyyah?
Suatu hal yang membimbangkan apa didakwa kesederhaan yang ditonjolkan pemimpin ini akan menjadi rujukan dan ikutan sedangkan ia terpesong daripada maksud sebenar kesederhanaan itu. Benar dalam beribadat pun seseorang dituntut bersederhana, tidaklah dia diminta solat sepanjang masa sehingga meninggal kewajipan hidup seperti makan minum, berfesyen (berpakaian) dan sebagainya tetapi semuanya wajib dilakukan dalam orbit dibenarkan Islam. Tidaklah benar dibolehkan menubuhkan hab hiburan maksiat atau mengenakan pakaian tidak menutup aurat sepenuhnya atas dakwaan mahu berserdahana dalam kehidupan.
Mereka yang mengemukan konsep sederhana cara ini perlulah insaf akan ayat Quran lain, misalnya Ayat 85 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “...Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”
Berdasarkan peringatan Allah SWT ini, adalah penting untuk umat Islam termasuk pemimpin mengambil dan mengamalkan seluruh isi al-Quran dan bukan menurut nafsu mengambil separuh-separuh atas dasar mahu 'berwasatiyah' (bersederhana) kononnya.
No comments:
Post a Comment