Thursday, October 1, 2009

Teladani pengorbanan Muslimah Barat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Perkembangan dunia maklumat termasuk media massa sekarang ini terlalu pantas; tidak terkecuali perkembangan umat Islam termasuk golongan minoriti seperti orang Uighur di Xinjiang.

Dalam media massa bernaunsa Islam kerap disentuh mengenai umat Islam secara umum tetapi cukup jarang yang mengangkat kisah-kisah terbilang dan pengorbanan Muslimah sedangkan sejumlah mereka seperti Dr Marwah As-Syarbini, 32, sanggup mati mempertahankan maruahnya sebagai seorang Muslimat menutup aurat sepenuhnya. Kisah Marwah tidak diangkat sewajarnya media massa, hatta di negara kita.

Terbaru seorang Muslimah Perancis yang hanya dikenali sebagai Carole, berusaha keras mempertahankan hak wanita Islam memakai ‘burqini’ (pakaian renang menutup aurat) di kolam-kolam renang di Paris. Perjuangan warga Perancis yang memeluk Islam ini adalah hebat kerana sebelum ini Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy memberi amaran keras kepada Muslimah berburqa kerana “pakaian itu tidak diperlukan di negara sekular seperti Perancis.”

Marwah dan Carole adalah contoh Muslimah Barat (nota, Marwah adalah warga Mesir tetapi sudah lama menetap di Jerman) yang sanggup mengorbankan diri, menghadapi tribulasi dalam menegakkan perintah Allah SWT dalam diri mereka. Mereka mengetepikan kepentingan diri, tidak tunduk kepada tekanan hatta daripada pemerintah bagi menegakkan hukum-hakam Allah SWT.

Tetapi bagi sesetengah diri kita, apa yang sudah kita lakukan dalam perjuangan menegakkan Islam? Dalam soal berpakaian (menutup aurat), masih ada lelaki yang gemar memakai seluar pendek, sedangkan dalam Islam aurat lelaki tersangat mudah ditutup iaitu antara pusat dan lutut. Kemudian ada juga yang memakai jeans yang daripada jenis terlondeh; apabila duduk alur punggung pun boleh nampak.

Bagi perempuan, syukur alhamdulillah semakin ramai bertudung, malangnya sebahagiannya tidak menepati ciri-ciri menutup aurat sepenuhnya. Ramai bertudung tetapi memakai baju berlengan pendek, memakai pakaian terlalu ketat, menyimpulkan ikatan tudung di dagu atau leher malah ada yang berskirt singkat dan mengenakan mekap menghairahkan.

Jika Muslimah Barat terpaksa berjuang untuk membolehkan mereka hidup sebagai penganut Islam sejati, wanita Islam di tanah air tidak perlu pergi sejauh itu. Mereka tidak perlu mengorbankan nyawa seperti Marwah kerana tiada orang dan pihak (kecuali dalam kes-kes terpencil) yang menghalang mereka daripada mengenakan pakaian menutup aurat sepenuhnya.

Kemudian dalam isu pemakaian burqini di kolam renang awam, sewajarnya wanita Islam tanah air, malu kepada diri sendiri apatah lagi kepada Muslimah Barat berjiwa besar seperti Carole. Sudah menjadi pengetahuan umum di tanah air kita yang bergelar negara Islam contoh ini, pemakaian selain daripada ‘pakaian renang sekular’ dilarang sama sekali di kolam renang awam. Apakah ada Muslimah yang berani mengenakan burqini atau bersedia membawa kes itu ke mahkmah jika dihalang daripada mengenakan pakaian menutup aurat di kolam renang awam?

Sehubungan itu, sempena kedatang Ramadan yang penuh barakah dan pengampunan ini, marilah kita Muslim dan Muslimah bermusabah diri, berusaha keras membaiki diri agar kehidupan kita sentiasa mengikut ketetapan-Nya. Jika dulu kita berseluar pendek, hentikan perbuatan itu (bagi lelaki) dan bagi Muslimah jika sudah bertudung usahlah mengikut nafsu terikut-ikut dengan dunia fesyen dengan bertudung jarang, singkat, berpakaian ketat atau dalam perkataan keras; bertudung di atas, melopong di bawah.

Ingatlah firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab yang bermaksud: “Hendaklah mereka menghulurkan tudung ke seluruh tubuh mereka, supaya mereka lebih mudah dikenali orang, kerana itu mereka tidak diganggu.”

Rasulullah s.a.w, pula bersabda yang maksudnya: “Wahai anakku Fatimah! Ada pun perempuan-perempuan yang digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya.”

No comments: