Saturday, October 24, 2009

Ayuh, korbankan tenaga mudamu demi perjuangan Islam!

Tengah hari 2 Syawal, kereta penulis dipinjam seorang anak. Motosikal buruk saya pancit pula. Untuk ke masjid bersolat berjemaah Zuhur, saya mencapai basikal seorang lagi anak saya dan mengayuhnya sejauh setengah kilometer. Berhampiran masjid kena pula naiki jejantas bagi menyeberangi jalan.

Sudah lama saya tidak menunggang basikal. Waduh, sakit-sakit tubuh saya. Peluh menyimbah, membasahi baju Melayu saya. Sampai di masjid, dalam tercungap-cungap saya solat. Tentulah kurang khusyuk sebab pakaian basah, dan saya mungkin mendatangkan bau kurang enak kepada jemaah lain.

Demikianlah, apabila usia meningkat, kudrat semakin kurang. Terkenanglah saya orang-orang hebat seperti Hasan Nawawi yang menjadi rakyat Malaysia pertama mengayuh basikal menggelilingi dunia. Beliau melakukannya pada tahun 2001-2002 pada usia 46 tahun.

Insaflah saya bahawa untuk melakukan sesuatu yang boleh dikenang kemudiannya, hendaklah dikerjakan segera sebelum seseorang itu mencapai usia tua yang biasalah lemah dari segi fizikal.

Itulah sebabnya umat Islam dinasihatkan pergi haji semasa muda, jangan menunggu tua kerana rukun dan wajib haji seperti tawaf, saie dan melontar jamrah memerlukan kekuatan fizikal.

Jika Hasan berjaya menggelilingi dunia dengan basikalnya, alangkah malunya saya kerana menunggang basikal ke masjid di kampung pun boleh menyebabkan badan sakit-sakit.

Umur Hasan dan saya tidak jauh beza; jika dia boleh lakukan, mengapa tidak saya? Membuak-buaklah semangat saya untuk melakukan kembara, melapangkan minda bagi melihat kebesaran Illahi berdasarkan ciptaan-Nya dan dan menimba pengalaman baru.

Selepas solat subuh 1 Oktober saya nekad menunggang motosikal Yamaha Cup buruk saya yang berusia hampir 30 tahun meredah lebuh raya Utara-Selatan dari Melaka ke Kuala Lumpur. Inilah antara ‘kerja gila’ saya lakukan pada usia meningkat tua ini. Bayangkan kali terakhir saya menunggang motosikal itu ke Kuala Lumpur puluhan tahun lalu; kini saya gunakan motosikal itu untuk berulang alik ke masjid di kampung.

Itupun kerap motosikal itu pancit. Kalau pancit di kampung, tidak menjadi masalah kerana si Seng yang mempunyai bengkel motosikal berhampiran masjid sedia mengganti tiubnya, tetapi jika pancit atau rosak di lebuh raya, bagaimana?

Suatu hari puluhan tahun lalu ketika menunggang dari Bangi ke Melaka, motosikal itu pancit di lebuh raya. Terpaksalah saya menolaknya hampir 20 kilometer sepanjang lebuh raya sehingga R&R Ayer Keroh, kemudian menggunakan jalan pintas ke pekan Alor Gajah dan di situlah baru ketemui sebuah bengkel motosikal.

Kalau motosikal itu pancit atau rosak kali ini, bagaimana? Saya kurang kudrat menolaknya jauh-jauh. Saya sudah atur strategi, kalau hal itu terjadi, saya akan tanggalkan plet dan meninggalkan motosikal itu di tepi lebuh raya. Tentulah sayu untuk mengucapkan ‘good-bye’ kepada ‘kekasih’ saya itu, tetapi kalau sudah terpaksa apa boleh buat?

Kemudian saya akan ‘hitch-hike’ ke Kuala Lumpur. Saya tidak bimbang sebab ramai pemandu bas ekspres laluan Melaka-KL kenal saya. Kalau mereka nampak saya di lebuh raya, insya-Allah mereka akan berhenti, demikian fikir saya.

Dengan kalimah Bismillah dan doa, saya dengan motosikal yang berbunyi ‘but-but’ (macam enjin motobot menurut seorang anak saya) itu pun menuju Kuala Lumpur.

Alhamdulillah semuanya berjalan baik, setelah berhenti sebanyak tiga kali untuk berehat, mengisi minyak dan solat duha, akhirnya saya tiba di pejabat jam 11.30 pagi. Perjalanan sejauh kira-kira 130 kilometer itu memakan masa lima jam, sedangkan dengan bas dua jam atau menaiki kereta 1 jam 45 minit!

Pada 3 Oktober pula, selepas solat subuh, sekali lagi dengan lafaz Bismillah dan doa tawakal Lillah, saya menunggang motosikal itu dari Kuala Lumpur ke Bagan Pinang, Port Dickson seterusnya ‘balik kampung’.

Sebelum ini saya ada terbaca, ada pejuang PAS sanggup bermotosikal jauh-jauh, melakukan jihad dalam kempen pilihan raya atau muktamar. Saya teringin merasai pengalaman itu, lantas memilih menunggang motosikal buruk ke Bagan Pinang.

Benar, di Bagan Pinang ketika berehat di atas motosikal ketika berhenti akibat sekatan jalan raya, saya terpandang seorang kenalan veteran sekampung saya, Haji Ahmad membonceng sebuah motosikal. Dia senyum kepada saya, saya pun membalasnya; dalam hati saya berkata, alangkah gigihnya ‘orang tua’ ini, sanggup dia bermotosikal 90 kilometer bagi memberi sokongan kepada PAS.

Haji Ahmad yang saya agak sudah berusia 70 tahun itu pernah memberitahu saya dia menghidap sejenis penyakit serius yang memerlukan pembedahan; tetapi lihatlah betapa hari itu dia berada di Port Dickson, membonceng motosikal sebagai bukti komitmennya sebagai pejuang PAS yang mahu menegakkan Islam!

Terharu saya melihat kelibat Haji Ahmad yang kemudian lesap di celah-celah ribuan kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang itu yang menyaksikan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar menentang calon BN, Isa Samad.

Mereka yang bermotosikal pada hari itu berhadapan ujian besar seperti hujan lebat, tetapi bagi saya ia dapat dijadikan pengalaman hebat termasuk menyaksikan gelagat ribuan manusia; sama ada penyokong PAS (Pakatan Rakyat), Barisan Nasional dan orang awam (seperti mereka yang terperangkap dalam kesesakan).

Ketika duduk-duduk itu saya saksikan satu drama ejek-mengejek antara beberapa pemuda menaiki kereta membawa bendera besar PAS dengan sekumpulan Puteri Umno berjalan kaki. Penulis tidak tahu mereka penyokong PAS atau menyamar saja, tetapi duhai pemuda, usahlah berbuat demikian, ia menjejaskan imej Islam.

Perbaikilah akhlak kalian, berjihadlah untuk menegak agama-Nya, oleh itu hentikan segala perbuatan menurut nafsu syaitan. Bukankah tarbiyah Ramadan baru dilalui, korbankan tenaga mudamu itu untuk Islam, bukan untuk menggembirakan syaitan!

1 comment:

Pakwar said...

Saya teringat ketika PRK Manek Urai, seorang pakcik dtg dari sungai petani seorang diri dgn motosikal ex5 melalui jalan thailand. Dia sempat pergi melihat masjid yg ditembak semasa solat isyak. Hebat semangat beliau.