Wednesday, October 14, 2009

Ada apa dengan angka?

Ada beberapa berita tidak lama dulu memeranjatkan penulis. Selain berita mengenai krisis politik di Perak, berita mengenai sukan juga tidak kurang gemparnya. Antaranya pelajar sukan (atlet-atlet muda di sekolah-sekolah sukan) tidak perlu belajar Matematik.

Tidak perlu belajar Matematik? Ini satu perkembangan menarik pada ketika isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menunju suhu tertinggi dengan perhimpunan 100,000 orang di ibu kota pada 7 Mac.

Nampaknya sesuatu yang berkaitan angka (ilmu hisab) seolah-olah menjadi fobia baru dalam masyarakat. Soalan pertama yang perlu ditanya; mengapa mengajar dan belajar Matematik dalam bahasa Inggeris?

Bagi penulis yang terbabit mengajar anak-anak kampung sendiri subjek bahasa Inggeris dan Matematik secara sukarela pada hujung minggu, kasihan sungguh melihat mereka yang berada di bangku sekolah rendah ini terkial-kial cuba menyelesaikan masalah matematik sedangkan mereka tidak faham kehendak soalan.

Ambil kisah Ali untuk dijadikan contoh. Ali berada dalam Tahun Empat. Prestasi pelajarannya sederhana. Ali cekap menjawab soalan-soalan Matematik ‘tanpa bahasa’, misalnya ½ = 50%, ¾ = 75%; tetapi apabila permasalahannya membabitkan bahasa, misalnya: “In a class of 40 pupils, ½ of them are boys. How many girls are there in the class?” Kasihan Ali; dia melopong tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah itu. Macam mana mahu selesai, dia tidak faham soalannya.

Ali tidak takut angka. Dia mampu menyelesaikan pelbagai masalah dalam matematik; campur, tolak, darab, bahagi, pecahan, peratus dan sebagainya tetapi apabila membabitkan permasalahan yang menggunakan bahasa Inggeris, dia macam ‘cicak berak kapur’.

Kasihan Ali, dengan bahasa Inggerisnya yang ‘tidak maju-maju’ sekalipun belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sejak masuk tadika, terasa rugi membiarkan anak ini, salah seorang daripada ratusan ribu pelajar yang bermasalah gara-gara dek bahasa.

Akhbar Mingguan Malaysia pada 15 Februari melaporkan daripada 518,616 murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2008 (kumpulan pertama yang belajar Sains dan Matematik daripada Tahun Satu pada 2003), 477,575 murid menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam menjawab kertas Sains dan Matemtik. Daripada jumlah itu, 243,799 menjawab bagi kertas Sains dan 233,766 lagi bagi kertas Matematik.

Jika angka ini tepat, apakah makna PPSMI kerana hampir 50 peratus murid menjawab sepenuhnya dalam bahasa Melayu sedangkan mereka belajar subjek ini dalam bahasa Inggeris sepanjang enam tahun di bangku sekolah rendah.

Sungguh melucukan apabila anak-anak belajar dalam bahasa Inggeris tetapi dibenarkan menjawab dalam bahasa Melayu. Kalau pihak kementerian yakin dengan PPSMI usahlah disediakan soalan dalam bahasa Melayu.

Itu lebih bagus sebab, tidak masuk akal seseorang murid itu belajar dalam bahasa Inggeris tetapi menjawab dalam bahasa Melayu. Lagipun bukankah bahasa Melayu tidak layak (tiada standard) untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik!

Dalam memorandum Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang diserahkan kepada Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein; Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim; dan Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang; antara lain ditulis: “Pengumuman keputusan UPSR tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid daripada 511,875 murid Tahun 6 menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris.

“Dalam mata pelajaran Matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam dalam bahasa Melayu atau bahasa Melayu/bahasa Inggeris.”

Sekalipun kedua-dua sumber ini ada sedikit perbezaan; yang jelas pelajar, terutama di luar bandar tidak mampu menjawab soalan dalam bahasa Inggeris. Ada yang faham soalan tetapi tidak boleh menjawab dalam bahasa Inggeris, maka terpaksalah menggunakan bahasa Melayu. Malang bagi mereka kerana sekalipun boleh menjawab dalam bahasa Melayu, ‘bahasa Melayu diharamkan daripada pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah’.

Jadi, bagaimana masa depan anak-anak ini? Ditambah dengan cadangan tidak mengajar Matematik kepada atlet-atlet muda di sekolah sukan, jadilah anak bangsa orang yang tidak faham mengenai angka-angka. Anak-anak muda akan fobia angka-angka. Apabila jahil hal ini, adalah pihak mengambil kesempatan.

Cendekiawan Dr Anwar Ridhwan, dalam wawancara Siasah (22-28 Februari) mengenai isu PPSMI menyatakan: “Akibatnya, dasar pelik ini hanya akan melahirkan generasi pekerja kelas kedua atau kelas ketiga, apabila mereka hanya layak ‘makan gaji’ (dalam bahasa kasar sebagai kuli…”

Ya, dasar PPSMI akan melahirkan orang awam (kebanyakan) yang buta atau benci angka sebagai kuli. Apabila ini berlaku, maka berleluasalah ‘jerung darat dan laut’ memanupulasikan angka. Sebagai bukti, penulis terkejut besar melihat satu notis di papan kenyataan sebuah masjid; yang antara lain tertulis: “Projek-projek yang di dalam perancangan oleh JKKK. Cadangan Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) tahun…”

Projeknya berpuluh-puluh, antaranya; buat longkang konkrit 2 kaki kiri dan kanan sepanjang Jalan……sepanjang 3,000 meter – kosnya RM250,000; membina jejantas bagi kegunaan kanak-kanak melintas (RM600,000); turap semula Jalan……sepanjang 1,500 meter (RM57,000); membaik pulih gelanggang takraw dan buat satu lagi gelanggang dua dalam satu (RM15,000) dan membina medan makan (RM1,000,0000).

Wow, banyaknya duit, kalau orang buta angka (ilmu hisab) mungkinkah dia tidak dapat bezakan 1,000; 10,000; 100,000; 1,000,000. Lebih banyak orang buta angka, lebih baguslah sebab itu agaknya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris!

No comments: