Saturday, October 31, 2009

Segera tunaikan ibadat haji

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Kebenaran itu ialah hak Allah, maka janganlah kamu menjadi orang yang membangkang dan menolak kebenaran." - Maksud Ayat 60 Surah Ali Imran
***

"Saudaraku jemaah haji, kami berharap anda memberi kesempatan untuk selain anda supaya bisa melaksanakan sya'iroh (syariat) haji!" - kata-kata indah ini saya temui di badan sebuah bas jemaah Indonesia di Mina ketika menunaikan haji kali pertama pada musim haji 1422 (2002M).

Kata-kata perangsang ini amat bermakna untuk menyuntik semangat muda-mudi Islam agar merancang pemergian mereka ke Tanah Suci. Sebaik-baiknya seseorang Muslim itu mula menyimpan sejumlah wang setiap bulan apabila dia mula bekerja, mungkin pada usia 23 tahun (selepas tamat pengajian universiti).

Dengan menyimpan atau membuat potongan gaji RM50 atau RM100 sebulan kepada Tabung Haji, seseorang itu boleh memasang niat dengan mendaftar menunaikan haji dalam masa 10 tahun kerana pada ketika itu jumlah simpanannya sudah mencukupi.

Ini kerana dalam setahun simpanan RM100 sebulan itu berjumlah RM1,200 dan dalam masa 10 tahun menjadi RM12,000 tanpa dicampur bonus simpanan. Jumlah itu sudah memadai untuk penyimpan itu menunaikan haji kerana perbelanjaan semasa kira-kira RM10,000 seorang.

Berdasarkan congkak mudah ini, seseorang itu dapat menunaikan haji pada usia 30 atau 40-an. Pada peringkat umur ini, fizikal seseorang itu adalah pada tahap terbaik dan ini akan memudahkannya melakukan manasik haji yang penuh cabaran seperti melontar di jamrah, bermalam di Mina, berwukuf di Arafah, bahkan untuk tawaf dan saie di Masjidilharam.

Selain tahap fizikal terbaik itu, adalah bermanfaat untuk seseorang itu memantapkan ilmu agamanya termasuk pengetahuan haji dan umrah secara beransur-ansur sejak dia muda lagi. Jika tahap fizikal dan ilmu serta amalan sudah mantap, maka pemergiannya ke Tanah Suci adalah bertepatan dalam usaha mendapatkan haji mabrur.

Tanggal 11 Disember 2005, saya dan isteri berangkat menunaikan Rukun Islam kelima. Pemergian saya kali kedua sedangkan isteri kali pertama. Pada tahun 2002 saya pergi bersendirian kerana isteri bersalin.

Selain pendaftaran dan usaha mencukupkan wang perbelanjaan yang dibuat sejak sekian lama, jejak ke Tanah Suci perlu pengorbanan masa, sekurang-kurangnya setahun sebelum berlepas. Ini kerana bakal jemaah itu perlu menghadiri kursus haji, menjalani pemeriksaan kesihatan, orientasi haji (termasuk amali) malah menduduki peperiksaan!

Semua ini memerlukan kesabaran tinggi, mungkin dapat disimpulkan melalui ungkapan - "bukan mudah nak bergelar haji dan hajah ni, bang dan kak oii!" - oleh seorang penggendali kursus.

Betapa tidak mudahnya seseorang itu terpilih menunaikan haji dapat dilihat daripada surat tawaran haji, biasanya pada bulan Rabiulawal. Kebanyakan penerima diletakkan dalam senarai calon STANDBY - bermakna mereka tidak pasti terpilih ke Makkah tahun itu. Bagaimanapun calon 'standy' perlu mengikuti kursus haji bersiri, mungkin sebanyak 15 pengajian pada setiap hujung minggu.

Kelas pengajian ini berakhir sebelum Ramadan. Pada bulan puasa ini bakal jemaah berdebar-debar kerana akan diberitahu sama ada permohonan mereka berjaya atau tidak.

Selepas disahkan berjaya, seseorang jemaah itu bolehlah bersiap sedia ke Tanah Suci selepas raya (Syawal). Jemaah muassasah dikehendaki ke pejabat Tabung Haji menyiapkan pasport haji dan kad nama serta mengambil pelbagai kelengkapan seperti beg, rantai pengenalan dan buku panduan terkini.

Pada musim haji lalu (2005/06), berlaku sesuatu yang tidak diduga. Sebahagian daripada jemaah haji yang sudah membuat pasport, mengambil rantai dan beg, tiba-tiba sahaja mendapat surat menyatakan pemergian mereka dibatalkan, mereka dikhaskan tempat untuk musim haji berikutnya, 2006/07.

Ramai bakal jemaah veteran yang berhajat bersungguh-sungguh ke Tanah Suci mengalirkan air mata - mana tidaknya kerana sesetengahnya telah membuat persiapan terakhir termasuk mengadakan khenduri!

Pada musim haji lalu, hanya 26,000 jemaah (satu peratus daripada jumlah penduduk Malaysia seramai 26 juta) berjaya ke Tanah Suci. Kerajaan Arab Saudi dilaporkan begitu ketat dalam soal kuota sedangkan sebelum ini jumlah jemaah Malaysia dianggarkan antara 40,000 ke 50,000 orang.

Kesihatan diri juga amat dititik-beratkan Tabung Haji ke atas jemaah. Setiap bakal jemaah diberikan buku rekod kesihatan yang menyenaraikan jemaah ke dalam tiga kategori - hijau (tiada masalah kesihatan), kuning (ada penyakit tetapi dalam kawalan) dan merah (berpenyakit kronik).

Bakal jemaah dikehendaki menjalani pemeriksaan doktor kerajaan yang ditentukan Tabung Haji. Pemeriksaan adalah secara menyeluruh dan mereka yang berpenyakit perlu menjalani rawatan dari semasa ke semasa sehingga keadaan mereka stabil.

Pertama kali menjalani pemeriksaan kesihatan ini, saya gagal kerana kandungan gula dalam darah tinggi (diabetes) dan disuruh datang kembali selepas diberi ubat.

Pemeriksaan kali kedua saya gagal juga. Keresahan sudah bersarang dalam hati tetapi saya memujuk diri untuk sabar kerana ujian menunaikan haji memang berat. Kali ketiga barulah saya lulus.

Bersyukur kepada Allah kerana saya semakin hampir ke Tanah Suci, tetapi satu persoalan besar timbul kerana saya belum menerima surat daripada Tabung Haji menyatakan status saya - sama ada terpilih atau tidak menunaikan haji musim 1426 itu. Ohh, betapa berdebar-debarnya hati saya ketika itu! (PETIKAN DARIPADA SEBUAH BUKU PERJALANAN HAJI YANG SEDANG DIUSAHAKAN PENULIS)

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam

Friday, October 30, 2009

Kenapa orang Islam hanya mampu baling batu, kasut?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

***

Renungan
"Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di muka bumi yang halal lagi baik." - Maksud Ayat 168 Surah Al-Baqarah)

***

Ketika menuntut di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak pada tahun 1970-an dulu, kereta api menjadi pengangkutan utama penulis ketika balik ke kampung pada setiap cuti penggal. Disebabkan perjalanan terlalu lama, kadang kala penulis memakai selipar untuk keselesaan.

Di dalam gerabak kelas ketiga, kerusinya adalah daripada jenis keras yang ada ruang antara penyandar dan tempat duduk. Kadang-kadang penulis secara tidak sengaja merehatkan kaki berselipar di ruang kosong berkenaan.

Suatu malam, ditakdirkan selipar itu terkena punggung penumpang yang duduk di bahagian depan. Belum sempat penulis membuka mulut untuk meminta maaf, lelaki di kerusi depan itu ‘menangkap’ selipar itu dan dengan pantas melemparkannya ke badan penulis.

Terasa sakit tetapi tidaklah sepedihnya hati apabila lelaki itu menyumpah seranah penulis di depan penumpang lain.

Dilempar dengan selipar (atau kasut) adalah sesuatu yang begitu mengaibkan. Terasa begitu tebalnya muka penulis ketika itu. Melihatkan wajah-wajah penumpang lain yang memandang sinis, rasanya mahu saja penulis ‘terjun ke dalam kegelapan malam’ dari kereta api yang bergerak laju itu.

Jika penulis yang tiada jawatan, pangkat malah ‘tiada apa-apa’ (ketika itu hanya seorang pelajar sekolah), berasa begitu malu akibat dibaling selipar, tentulah Presiden Amerika Syarikat (kini bekas), George W Bush, sebagai ‘orang paling berkuasa di dunia’, lebih hebat rasa malunya apabila dilempar dengan kasut oleh wartawan Iraq, Mantazer Al-Zaidi.

Di dunia Arab ‘hadiah kasut’ itu disifatkan sebagai sesuatu yang paling bermakna sempena persaraan Bush yang menyerahkan kuasa kepada Barack Hussein Obama Jr pada 20 Januari. Muntazer dengan segera dianggap sebagai wira baru dunia Arab.

Sekalipun hanya melempar kasut, beliau menunjukkan sifat penentangan paling hebat kepada pemimpin zalim yang telah memusnahkan tanah airnya. Hampir sejuta rakyat Iraq mati manakala ratusan ribu lagi mengalami kecederaan akibat pencerobohan askar Amerika ke atas Iraq sejak Mac 2003.

Dunia Islam memang memerlukan orang bersemangat tinggi seperti Muntazer yang sanggup menanggung risiko bagi menyatakan kebenciannya kepada pemimpin zalim seperti Bush, tetapi apakah pengorbanan beliau mahu dibiarkan begitu sahaja sedangkan di seluruh dunia, umat Islam terus dihina sedemikian rupa?

Sebagai contoh ketika umat Islam menyambut tahun baru Hjirah 1430, rejim haram Israel melancarkan serangan roket terhadap kedudukan Hamas di Gaza, menyebabkan lebih 300 penduduk awam terbunuh.

Turut musnah dalam serangan itu adalah Masjid Al-Sheffa, tetapi seluruh dunia Islam membisu, kecuali beberapa pihak seperti pemerintah Iran dan orang awam di seluruh dunia.

Di negara kita, bantahan turut dilakukan orang awam dan persatuan tetapi semuanya secara kecil-kecilan; tidak dapat menujukkan keutuhan ummah dalam menangani keganasan berskala besar oleh rejim Zionis dan kuncu-kuncunya.

Berhubung serangan ganas rejim Zionis ini, Bush yang dibaling kasut oleh Muntazer, melalui jurucakapnya dipetik sebagai menyifatkan pejuang Hamas yang diserang itu sebagai samseng dan Israel hanya mempertahankan penduduknya.

Hakikatnya yang terbunuh dalam serangan ganas Israel adalah orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita.

Mengapa umat Islam dihina begitu sedahsyat sekali dengan hampir tiada negara dan umat Islam berani mempertahankan saudara seagamanya? Apakah umat Islam terutama pejuangnya hanya layak membaling kasut seperti dilakukan oleh Mutazer Al-Zaidi? Ataupun mereka bagaikan pemuda-pemuda Palestin yang kerap dilihat membaling batu ke arah kereta kebal Israel?

Memanglah sukar menjawab permasalahan di peringkat antarabangsa ini, tetapi kes-kes tempatan boleh dijadikan sempadan dan teladan untuk umat Islam mencermin diri teutama pada tahun 1430 Hijrah dan 2009 Masihi ini.

Kalau disoroti permasalahan ummah di tanah air, sekali pun tidak berhadapan dengan perang seperti di bumi Palestin, mereka awal-awal lagi telah tewas di tangan musuh. Orang Islam, terutama pemimpinnya semakin jauh daripada mengamalkan cara hidup dan hukum-hakam Islam.

Mereka kini hidup menyerupai orang bukan Islam, seperti yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Hiburan dan kehidupan nafsu-nafsi mewarnai kehidupan mereka, baik generasi muda malah golongan ‘tua bangka’ yang sebenarnya hidup dalam ‘usia subsidi’ – menuju masa saja untuk disemadikan.

Renunglah dan lihatlah kehidupan anak-anak muda. Mereka dilekakan dengan program-program hiburan melampau. Siaran televisyen tidak sunyi daripada program nyanyian, tarian manakala kehidupan di luar rumah dihiasi konsert dan majlis pesta-pestaan.

Kemudian ada majlis perayaan dan makan-makan yang dianjurkan oleh pemerintah tanpa mengambil peduli ia boleh merosak dan menjejaskan akidah ummah. Atas nama perpaduan dan medan mendapatkan sokongan, mereka menjadikan orang Islam dan bukan Islam sama saja, sedangkan al-Quran menjelaskan bahawa Islam itu paling tinggi, tiada yang lebih tinggi atau menyamainya.

Pada majlis umat Islam dan bukan Islam itu ‘bersama-sama ketawa berdekah-dekah’, ketika itulah rejim Zionis mengambil kesempatan membunuh dan menghina orang Islam. Nampaknya orang Islam berkutik sedikit saja, apakah mereka rela kezaliman dilakukan musuh ke atas saudara seagama mereka?

Berdasarkan perkembangan ini, jelas bahawa musuh memperkotak-katikkan ummah kerana mereka sendiri sudah jauh daripada Islam, mereka tidak lagi mengikuti perintah Allah dan Rasul-Nya.

Jika mereka ikuti pun, mereka mengambil sebahagian yang mereka fikir menguntungkan, sebaliknya memperlekehkan sebahagian yang lain.

***
IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam

Thursday, October 29, 2009

Ada apa dengan kempen Bulan Bahasa Melayu?

***Renungan

"Dan Allah mewajibkan manusia (orang Islam) mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya, dan siapa yang kufur (ingkarkan kewajipan haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk." - Maksud Ayat 97 Surah Ali-Imran

***
Bahasa Melayu (Malaysia) sudah berdekad diterima bahasa rasmi (kebangsaan). Malah perkara ini termaktub dalam Perlembagaan. Ertinya sejak merdeka lagi bahasa Melayu sudah diiktiraf kedudukannya sebagai bahasa tertinggi di negara ini. Demikian betapa tinggi kedudukan bahasa Melayu dari segi perundangan.

Dalam dunia serba pantas hari ini orang berkempen untuk memperkenalkan produk atau perkhidmatan baru. Orang tidak berkempen untuk memperkenalkan barangan lama atau lusuh. Ibu bapa mengadakan majlis untuk memperkenalkan pengantin baru; gila namanya membuat majlis untuk memperkenalkan pengantin lama.

Tetapi alangkah anehnya, pemerintah Malaysia yang menyepikan diri sejak sekian lama akan soal bahasa, mengadakan kempen Bulan Bahasa Melayu pada Oktober ini. Apa sudah jadi, apakah orang Malaysia tidak tahu berbahasa Melayu sehinggakan kempen Bulan Bahasa Melayu terpaksa diadakan?

Hakikatnya memang begitu. Walaupun sudah merdeka 52 tahun lalu, ada orang Malaysia tidak petah dan betah bertutur dalam bahasa Melayu. Ramai yang gemar bertutur bercampur perkataan Melayu dan Inggeris. Macam itik dan ayam. Saksikanlah di kaca televisyen, menteri dan VIP pun berlagak begitu.

Jadi apa sudah jadi? Jika dari segi bahasa pun tidak boleh wujudkan Satu Bahasa, bolehkah kita pergi jauh daripada itu?

Apabila bahasa Melayu yang diberi kedudukan tinggi dalam Perlembagaan itu terpaksa melalui proses kempen selepas 52 tahun negara merdeka, bermakna bahasa itu berada dalam keadaan amat kritikal. Ini kerana ia terpaksa dikempenkan sedangkan kalau ia didaulatkan, perkara memalukan ini tidak berlaku.

Adalah amat menggelikan hati bahawa bahasa Melayu terpaksa dikempenkan selama sebulan sedangkan ia bahasa berdaulat. Sebagai bahasa berdaulat ia wajib dimartabat dulu, kini dan selamanya bukan melalui kempen bermusim. Apakah apabila mahu mendapat sokongan rakyat barulah digerakkan kempen?

Hakikatnya amat malang bahasa Melayu yang diiktiraf dalam Perlembagaan ini dihalang daripada menjadi bahasa pengantar bidang penting (Sains dan Matematik) di sekolah-sekolah dan universiti sehingga rakyat terpaksa berdemonstrasi di jalan-jalan raya.

Sungguh ajaib rakyat dipaksa menghirup asap gas pemedih mata dan dibelasah semata-mata kerana mahu kedudukan bahasa Melayu yang sudah terjamin melalui Perlembagaan, didaulatkan.

Sungguh aneh rakyat disalahkan; hakikatnya pemerintah (pemimpin) adalah pencabul Perlembagaan negara. Kini mereka bercakap mengenai kempen Bulan Bahasa Melayu; apa mereka fikir bahasa Melayu barang dagangan yang boleh mereka berbuat sesuka hati?

Wednesday, October 28, 2009

Menumpang bangga bahasa orang seberang

***Renungan
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan atau nasib seseorang (sesuatu kaum) kecuali dia (mereka) sendiri mengubah apa yang ada dalam dirinya (mereka)." - Maksud Ayat 11 Surah Al-Ra'd.
***

Tanggal 20 Oktober kumpulan pertama jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci. Insya-Allah dalam tempoh sebulan lebih ini, puluhan ribu jemaah dari Malaysia, ratusan ribu dari Indonesia dan tiga juta dari seluruh dunia akan berhimpun di Tanah Suci bagi menunaikan manasik haji yang terdiri daripada rukun, wajib dan sunat Rukun Islam kelima itu.

Adalah menjadi kebanggaan jemaah haji Malaysia kerana bahasa Melayu diguna pakai salah satu daripada sejumlah enam bahasa yang digunakan secara meluas atau urusan rasmi di Tanah Suci. Sama ada pada padan tanda, risalah dan buku panduan serta kitab, ketika pengumuman dan urusan niaga, bahasa Melayu digunakan selain bahasa Arab, Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Urdu.

Namun kebanggaan jemaah Malaysia menjadi tawar apabila bahasa Melayu yang disangkakan bahasa tanah airnya itu sebenarnya adalah bahasa Indonesia. Orang Malaysia hanya dapat bangga menumpang menggunakan bahasa itu; hakikatnya bahasa Melayu Malaysia hanya dituturkan sesama rakan dari negara sendiri.

Selain pengumuman dan kenyataan di papan tanda, sesetengah syeikh Arab yang mempunyai urusan dengan wakil dan jemaah Malaysia dan pekedai menggunakan sebutan bahasa Indonesia.

Kunjungan ke kedai-kedai buku juga menunjukkan tiada satu pun buku dalam bahasa Melayu Malaysia sebaliknya ada buku dalam bahasa Indonesia. Kebanyakan buku-buku adalah dalam bahasa Arab manakala kedai yang ada ‘status antarabangsa’ turut menjual buku-buku dan majalah dalam bahasa Inggeris.

Buku-buku panduan dan risalah yang disediakan oleh pemerintah Arab Saudi bagi kemudahan jemaah adalah juga menggunakan bahasa Indonesia. Malah kitab tafsir al-Quran yang dihadiahkan kepada jemaah Malaysia juga menggunakan bahasa Indonesia.

Demikianlah gambaran tahap bahasa Melayu Malaysia yang dapat disaksikan di Tanah Suci. Jika dalam perhimpunan yang begitu hebat seperti di Makkah, bahasa Melayu Indonesia lebih diiktiraf daripada bahasa Melayu Malaysia, apakah masih ada kebanggaan pada sesetengah pemimpin kita yang bercakap bagaikan tin kosong kononnya bahasa Malaysia akan dimartabatkan di persada antarabangsa seperti Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Demikian juga di universiti-universiti tersohor dunia, mereka mengajarkan bahasa Indonesia manakala para diplomat seperti dari Russia dan China, ramai yang fasih bahasa Indonesia.

Kini pemimpin Malaysia sibuk dengan Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan. Sepanjang Oktober ini bahasa Melayu (Malaysia) dipromosikan, semua pihak digalakkan menggunakan bahasa kebangsaan.

Tetapi apakan daya, permintaan itu bagaikan ajak-ajak ayam atau usaha itu hangat-hangat tahi ayam, hakikatnya bukan saja bahasa Malaysia tiada tempat di persada antarabangsa seperti terbukti di Tanah Suci Makkah dan Madinah, malah di tanah air ia pun merempat sama.

Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Profesor Dr Hashimah Jalaluddin mempersoalkan bagaimana pemimpin negara boleh menguar-uarkan konsep 1-Malaysia tetapi tidak merangkumkan sekali Satu Bahasa. Kalau dari segi bahasa pun wujud kecelaruan dan masalah, bagaimana mahu menangani jurang perbezaan luas dari segi pelbagai perkara lain.

Mengenai kedudukan bahasa Indonesia yang lebih popular daripada bahasa Malaysia, Dr Hashimah menyatakan: “Saya mengatakan bahawa kita kena belajar hendak menjual bahasa ini dengan Indonesia. Pihak Indonesia yang paling serius mengetengahkan bahasa Melayu. Kita menumpang kejayaan bahasa Melayu itu dengan Indonesia. Hampir semua tempat di dunia yang mengajar bahasa Melayu ialah Indonesia.”

Di negara kita pun, dengan kita buat-buat tidak sedar, bahasa Indonesia semakin mendapat tempat di kalangan rakyat tempat. Siaran televisyen seperti sinetron dan cerekarama hidayah begitu digemari; penonton sekarang tidak mempunyai masalah memahami sesetengah perkataan bahasa Indonesia seperti cewek, cowok, singkung dan maling.

Selain itu pekerja Indonesia seperti di kilang dan dalam sektor pembinaan telah membantu mempopularkan bahasa itu. Demikian juga dengan penjaja Indonesia, peluang berinteraksi dengan penduduk digunakan untuk mempromosikan bahasa itu.

Pembantu rumah Indonesia juga berperanan penting. Bayangkan mereka yang bekerja di rumah majikan bukan Melayu berjaya ‘memaksa’ anak-anak asuhan mereka bertutur dalam bahasa Indonesia malah si majikan juga terpaksa menggunakan bahasa itu.

Di pasaran pula, buku-buku dan majalah serta akhbar Indonesia boleh didapati dengan mudah; malah ada penerbit Malaysia menciplak karya dari seberang untuk diterbitkan di sini dan tidak kurang juga yang menyesuaikan bahasa agar mudah difahami orang di sini.

Jika orang Melayu Malaysia enggan mempopular dan mendaulatkan bahasa Melayu mereka termasuk menjadi bahasa ilmu; kemungkinan bahasa mereka mati, sebaliknya bahasa Indonesia menjadi masyhur seantero dunia; orang Malaysia boleh tumpang menggunakannya seperti yang berlaku di Tanah Suci sekarang ini!

Tuesday, October 27, 2009

Pertahan kemabruran haji sepanjang hayat

Sabtu, 10 Oktober, penulis menghadiri majlis doa selamat seorang sahabat; insya-Allah dia bertolak ke Tanah Suci pada 20 Oktober ini. Beruntung sungguh dia kerana terpilih menjadi tetamu Allah pada usia muda, 42 tahun. Di masjid kampung penulis juga diadakan majlis meraikan bakal haji dan hajah.

Diucapkan selamat berangkat kepada semua jemaah haji, didoakan mendapat haji mabrur yang menurut hadis tiada balasannya kecuali jannah (syurga).

Seseorang haji dan hajah perlu bertanggungjawab dan berusaha keras memastikan ibadah hajinya itu kekal mabrur (yang diterima) sepanjang hidupnya. Seseorang haji sewajarnya mengekalkan peranannya sebagai utusan kebenaran dan menjadi model kepada masyarakat.

Namun sungguh malang jika jemaah haji gagal menghayati falsafah haji, menyebabkan mereka bertungkus-lumus dalam beribadat di sana termasuk menentang kebatilan (seperti ‘melontar syaitan’ di jamrah), tetapi selepas pulang, kehidupan mereka adalah sama sebelumnya, malah menjadi lebih buruk lagi.

Setiap Muslim, apatah lagi yang bergelar haji dan hajah perlu mengetahui bahawa mengamalkan Islam sepenuhnya dan menegakkan segala hukum-hakamnya menjadi tanggungjawab mereka.

Apabila dinyatakan mengamalkan Islam sepenuhnya, ia bermaksud menjadikan al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup dalam semua bidang kehidupan.

Ia bukan sahaja dalam soal ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji seperti difahami sesetengah pihak tetapi merangkumi segala-galanya - daripada soal dipandang remeh temeh kepada urusan mengatur masyarakat seperti politik, muamalat dan perundangan.

Pesanan Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi melalui buku 'Panduan Untuk Jemaah Haji dan Umrah serta Pengunjung Masjid Rasul' yang menegaskan perkara-perkara yang membatalkan Islam, perlu dihayati.

Selain syirik iaitu mempersekutuan Allah yang dianggap kesalahan terbesar, turut disenaraikan perkara batil ialah berkeyakinan bahawa petunjuk lain daripada Nabi s.a.w. adalah lebih sempurna atau berkeyakinan bahawa hukuman yang lain daripada hukuman Nabi s.a.w. lebih baik seperti mereka yang mengamalkan peraturan thaghut (aturan manusia yang melampaui batas dan menyimpang daripada hukum Allah) dan mengenepikan Rasulullah s.a.w. Maka orang yang berkeyakinan seperti itu adalah kafir.

Sebagai contoh; a) berkeyakinan bahawa peraturan atau perundangan yang dibuat oleh manusia lebih utama daripada Syariat Islam; atau perundangan Islam tidak sesuai dilaksanakan sekarang; atau Islam adalah sebab kemunduran umat Islam; atau Islam hanya mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya sahaja dan bukan urusan kehidupan dunia.

b) Berpendapat bahawa melaksanakan hukum Allah seperti melaksanakan hukum hudud, memotong tangan pencuri dan merejem penzina yang telah berkahwin (muhsan) tidak sesuai lagi pada masa kini.

c) Berkeyakinan bahawa dibolehkan untuk mengamalkan perundungan yang lain daripada Syariat yang diturunkan oleh Allah SWT sama ada dalam hukum muamalat (perdagangan) atau dalam melaksanakan hukum hudud (jenayah) atau lainnya sekalipun tidak disertai dengan keyakinan bahawa hukum-hukum tersebut lebih utama daripada Syariat Islam kerana dengan sedemikian, ia telah menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah WT menurut ijmak (kesepakatan) ulama.

Setiap orang yang menghalalkan perkara yang sudah jelas dan tegas diharamkan oleh Allah SWT dalam agama seperti zina, arak, riba dan melaksanakan perundangan yang lain daripada Syariat Islam adalah kafir menurut kesepakatan umat Islam.

Perkara lain yang boleh membatalkan Islam ialah membenci sesuatu yang telah ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai Syariat walaupun ia mengamalkannya. Dengan melakukan demikian dia telah menjadi kafir, kerana firman Allah SWT yang bermaksud: "Demikian itu adalah kerana mereka benci terhadap sesuatu yang diturunkan Allah, maka Allah menghapuskan (pahala) segala amal perbuatan mereka."

Selain itu, mempersendakan Allah SWT atau Kitab-Nya, atau Rasulullah s.a.w. atau sesuatu daripada ajaran agama, maka dia telah menjadi kafir, kerana firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah terhadap Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu sekalian memperolok-olok? Tiada ertinya kamu meminta maaf kerana kamu telah kafir setelah beriman."

Dalam urusan masyarakat hari ini banyak perkara termasuk hukum-hakam disandarkan kepada undang-undang ciptaan manusia. Ini termasuklah dalam urusan memilih pemimpin seperti pilihan raya. Berdasarkan ini, sedar dan insaflah betapa banyak dosa kita. Hanya kepada Allah SWT-lah kita bertaubat, memohon keampunan kerana gagal melaksanakan hukum-hakam-Nya.

Monday, October 26, 2009

OIC perlu matang tangani isu ummah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Bersyukur ke hadrat Illahi kerana umat Islam kini yang berjumlah 1.57 bilion baru-baru ini dapat meraikan ulang tahun ke-40 organisasi yang diamanahkan memayung mereka iaitu Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Organisasi ini ditubuhkan pada 25 September 1969 selepas berlaku kebiadapan Yahudi membakar Masjid al-Aqsa iaitu kiblat pertama umat Islam.

Umur 40 tahun dikira sudah memasuki peringkat matang kerana Nabi Muhammad s.a.w. dilantik menjadi rasul pada usia itu. Oleh demikian OIC juga sewajarnya sudah menjadi sebuah organisasi yang cukup ampuh bagi kesejahteraan umat Islam yang dipayunginya malah kemanusiaan keseluruhannya.

Namum apa yang kita saksikan OIC terus lesu dalam menangani permasalahan ummah apatah lagi pada peringkat lebih tinggi. Hari ini isu kebiadapan rejim Zionis-Yahudi yang menjadi titik tolak penubuhan OIC tetap gagal ditangani.

Tangan-tangan zalim rejim Zionis berterusan mencemar kesucian al-Aqsa dan kawasan sekitarnya di Haram al-Sharif (Temple Mount) manakala nasib orang Palestin tidak berubah sejak 40 tahun lalu malah menjadi semakin buruk. Ekstremis Yahudi bertindak berani mengorek terowong di bawah al-Aqsa, tetapi apa reaksi ummah, negara dan organisasi yang memayungi mereka?

Dalam menangani krisis seumpama ini, OIC memperlihatkan ia hanya sebuah pertubuhan yang tidak lebih daripada membuat kenyataan. Lebih menyedihkan kenyataan-kenyataannya di pandang sepi, membuatkan musuh-musuh semakin berani menindas dan menghina umat Islam di seluruh dunia. Lihatlah apa yang terjadi kepada saudara se-Islam di negara di mana mereka kumpulan minoriti seperti di Myanmar (Burma), China, Russia, Thailand, India dan Filipina.

Muslim Rohingya, Uighur, Chechnya, Melayu, Kashmir dan Moro menjadi mangsa; sesetengahnya diperangi dan dihalau dari kampung halaman masing-masing. Namun apa dibuat oleh OIC dan lebih 45 negara Islam yang bernaung dalam organisasi ini? Paling kuat mereka mengeluarkan kenyataan mengutuk, lebih menyedihkan sebahagian besar daripadanya memilih membisu seribu bahasa.

Bukan saja umat Islam minoriti dizalimi, malah negara ummah anggota OIC seperti Iraq dan Afghanistan dijarah sepuas-puasnya oleh kuasa biadap tetapi ummah terutama pemimpin mereka mendiamkan diri. Tiada yang berani menyatakan yang hak dan batil malah ada pemimpin bersengkokol dengan musuh untuk menghancurkan Islam.

Kemudian pemimpin zalim, sekutu dan pengikutnya yang menjarah negara umat Islam tanpa segan silu menuduh pula orang Islam sebagai pengganas dan memburu mereka di seluruh dunia. Umat Islam mengiyakan saja, malah sesetengahnya berganding tenaga membantu musuh. Dengan bantuan media massa dikuasai mereka, maka tergambarlah seolah-olah penganut Islam itu ganas, agama itu menganjurkan keganasan.

Kini selepas berusia 40 tahun; OIC, pemimpin dan ummah perlulah bermuhasabah diri, mengkoreksi dan memperbaiki apa-apa kelemahan yang menyebabkan umat Islam seluruh dunia dihina sedemikian rupa. Hakikatnya selepas kebanyakan tanah air umat Islam dijarah penjajah dan daulah Khilafah Islam terakhir, Uthmaniyah tersungkur pada 1924, kehidupan umat semakin jauh daripada panduan Allah dan Rasul-nya termasuk dari segi pemerintahan.

Kita yakin selagi umat Islam terutama pemimpinnya tidak kembali kepada panduan Allah dan Rasul-nya selagi itu penghinaan akan dihadapkan kepada umat ini. Kini dari China ke Afrika Selatan, dan dari Amerika Syarikat ke Australia, umat Islam hidup penuh tekanan sehinggakan di negara yang mengaku negara Islam contoh, hukum-hakam Islam dicemuh walaupun baru ada ura-ura melaksanakan sebahagian daripadanya.

Bagi kita, berapa banyak pun sidang OIC, selagi sebahagian besar pemimpinnya dan juga pemimpin negara umat Islam masih berkiblatkan Washington, London dan Moscow, selagi itulah ummah akan dihina. Kita cukup bimbang selepas Iraq dan Afghanistan, ada lagi negara umat Islam akan menjadi mangsa; gara-gara ummah tidak kembali kepada panduan Allah dan Rasul-Nya.

Saturday, October 24, 2009

Ayuh, korbankan tenaga mudamu demi perjuangan Islam!

Tengah hari 2 Syawal, kereta penulis dipinjam seorang anak. Motosikal buruk saya pancit pula. Untuk ke masjid bersolat berjemaah Zuhur, saya mencapai basikal seorang lagi anak saya dan mengayuhnya sejauh setengah kilometer. Berhampiran masjid kena pula naiki jejantas bagi menyeberangi jalan.

Sudah lama saya tidak menunggang basikal. Waduh, sakit-sakit tubuh saya. Peluh menyimbah, membasahi baju Melayu saya. Sampai di masjid, dalam tercungap-cungap saya solat. Tentulah kurang khusyuk sebab pakaian basah, dan saya mungkin mendatangkan bau kurang enak kepada jemaah lain.

Demikianlah, apabila usia meningkat, kudrat semakin kurang. Terkenanglah saya orang-orang hebat seperti Hasan Nawawi yang menjadi rakyat Malaysia pertama mengayuh basikal menggelilingi dunia. Beliau melakukannya pada tahun 2001-2002 pada usia 46 tahun.

Insaflah saya bahawa untuk melakukan sesuatu yang boleh dikenang kemudiannya, hendaklah dikerjakan segera sebelum seseorang itu mencapai usia tua yang biasalah lemah dari segi fizikal.

Itulah sebabnya umat Islam dinasihatkan pergi haji semasa muda, jangan menunggu tua kerana rukun dan wajib haji seperti tawaf, saie dan melontar jamrah memerlukan kekuatan fizikal.

Jika Hasan berjaya menggelilingi dunia dengan basikalnya, alangkah malunya saya kerana menunggang basikal ke masjid di kampung pun boleh menyebabkan badan sakit-sakit.

Umur Hasan dan saya tidak jauh beza; jika dia boleh lakukan, mengapa tidak saya? Membuak-buaklah semangat saya untuk melakukan kembara, melapangkan minda bagi melihat kebesaran Illahi berdasarkan ciptaan-Nya dan dan menimba pengalaman baru.

Selepas solat subuh 1 Oktober saya nekad menunggang motosikal Yamaha Cup buruk saya yang berusia hampir 30 tahun meredah lebuh raya Utara-Selatan dari Melaka ke Kuala Lumpur. Inilah antara ‘kerja gila’ saya lakukan pada usia meningkat tua ini. Bayangkan kali terakhir saya menunggang motosikal itu ke Kuala Lumpur puluhan tahun lalu; kini saya gunakan motosikal itu untuk berulang alik ke masjid di kampung.

Itupun kerap motosikal itu pancit. Kalau pancit di kampung, tidak menjadi masalah kerana si Seng yang mempunyai bengkel motosikal berhampiran masjid sedia mengganti tiubnya, tetapi jika pancit atau rosak di lebuh raya, bagaimana?

Suatu hari puluhan tahun lalu ketika menunggang dari Bangi ke Melaka, motosikal itu pancit di lebuh raya. Terpaksalah saya menolaknya hampir 20 kilometer sepanjang lebuh raya sehingga R&R Ayer Keroh, kemudian menggunakan jalan pintas ke pekan Alor Gajah dan di situlah baru ketemui sebuah bengkel motosikal.

Kalau motosikal itu pancit atau rosak kali ini, bagaimana? Saya kurang kudrat menolaknya jauh-jauh. Saya sudah atur strategi, kalau hal itu terjadi, saya akan tanggalkan plet dan meninggalkan motosikal itu di tepi lebuh raya. Tentulah sayu untuk mengucapkan ‘good-bye’ kepada ‘kekasih’ saya itu, tetapi kalau sudah terpaksa apa boleh buat?

Kemudian saya akan ‘hitch-hike’ ke Kuala Lumpur. Saya tidak bimbang sebab ramai pemandu bas ekspres laluan Melaka-KL kenal saya. Kalau mereka nampak saya di lebuh raya, insya-Allah mereka akan berhenti, demikian fikir saya.

Dengan kalimah Bismillah dan doa, saya dengan motosikal yang berbunyi ‘but-but’ (macam enjin motobot menurut seorang anak saya) itu pun menuju Kuala Lumpur.

Alhamdulillah semuanya berjalan baik, setelah berhenti sebanyak tiga kali untuk berehat, mengisi minyak dan solat duha, akhirnya saya tiba di pejabat jam 11.30 pagi. Perjalanan sejauh kira-kira 130 kilometer itu memakan masa lima jam, sedangkan dengan bas dua jam atau menaiki kereta 1 jam 45 minit!

Pada 3 Oktober pula, selepas solat subuh, sekali lagi dengan lafaz Bismillah dan doa tawakal Lillah, saya menunggang motosikal itu dari Kuala Lumpur ke Bagan Pinang, Port Dickson seterusnya ‘balik kampung’.

Sebelum ini saya ada terbaca, ada pejuang PAS sanggup bermotosikal jauh-jauh, melakukan jihad dalam kempen pilihan raya atau muktamar. Saya teringin merasai pengalaman itu, lantas memilih menunggang motosikal buruk ke Bagan Pinang.

Benar, di Bagan Pinang ketika berehat di atas motosikal ketika berhenti akibat sekatan jalan raya, saya terpandang seorang kenalan veteran sekampung saya, Haji Ahmad membonceng sebuah motosikal. Dia senyum kepada saya, saya pun membalasnya; dalam hati saya berkata, alangkah gigihnya ‘orang tua’ ini, sanggup dia bermotosikal 90 kilometer bagi memberi sokongan kepada PAS.

Haji Ahmad yang saya agak sudah berusia 70 tahun itu pernah memberitahu saya dia menghidap sejenis penyakit serius yang memerlukan pembedahan; tetapi lihatlah betapa hari itu dia berada di Port Dickson, membonceng motosikal sebagai bukti komitmennya sebagai pejuang PAS yang mahu menegakkan Islam!

Terharu saya melihat kelibat Haji Ahmad yang kemudian lesap di celah-celah ribuan kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang itu yang menyaksikan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar menentang calon BN, Isa Samad.

Mereka yang bermotosikal pada hari itu berhadapan ujian besar seperti hujan lebat, tetapi bagi saya ia dapat dijadikan pengalaman hebat termasuk menyaksikan gelagat ribuan manusia; sama ada penyokong PAS (Pakatan Rakyat), Barisan Nasional dan orang awam (seperti mereka yang terperangkap dalam kesesakan).

Ketika duduk-duduk itu saya saksikan satu drama ejek-mengejek antara beberapa pemuda menaiki kereta membawa bendera besar PAS dengan sekumpulan Puteri Umno berjalan kaki. Penulis tidak tahu mereka penyokong PAS atau menyamar saja, tetapi duhai pemuda, usahlah berbuat demikian, ia menjejaskan imej Islam.

Perbaikilah akhlak kalian, berjihadlah untuk menegak agama-Nya, oleh itu hentikan segala perbuatan menurut nafsu syaitan. Bukankah tarbiyah Ramadan baru dilalui, korbankan tenaga mudamu itu untuk Islam, bukan untuk menggembirakan syaitan!

Friday, October 23, 2009

Isu rasuah: Hanya jauhari mengenal manikam

Akhir-akhir ini, saya kerap mendengar kuliah dan membaca artikel berkenaan rasuah. Khutbah Jumaat yang saya ikuti di sebuah masjid di Kuala Lumpur pada 9 Oktober membicarakan rasuah, kemudian pada kuliah subuh di masjid kampung saya pada 12 Oktober menyentuh soal sama, malah majalah Hidayah (keluaran Oktober 2009) ada membicarakan hal rasuah.

Dalam ruangan Mutiara, Hidayah, ditulis; - “Pelaku rasuah masuk neraka: Abdullah bin ‘Amr bin Ash menceritakan, bahawa dulu ada seorang dalam pasukan perang Rasulullah s.a.w. seorang lelaki yang digelar ‘karkaroh’. Orang tersebut meninggal, lalu Nabi s.a.w. bersabda: “Ia masuk neraka.” Pada sahabat pergi melihat orang tersebut, ternyata mendapati orang itu melakukan rasuah dengan mengambil rampasan perang.” (Hadis riwayat Bukhari)

Hadis di atas menegaskan sesiapa pun yang melakukan rasuah kelak ia akan masuk neraka. Tidak peduli ia seorang pegawai kerajaan atau tokoh masyarakat yang banyak berjasa kepada masyarakat dan negara. Apalagi pegawai sudah dibayar gajinya dan menerima pelbagai kemudahan daripada negara.

Seorang yang turut berjuang dengan Rasulullah s.a.w. tanpa digaji saja, setelah terbukti rasuah dihukum masuk neraka. Mudah-mudahan hadis ini membangkitkan keinsafan kita untuk berhati-hati dalam mencari wang.

Dalam kuliah Subuh seorang ustaz membicarakan bab qisas berdasarkan kitab Bahru Al-Madzi iaitu berkenaan dengan hadis Termizi yang disyarahkan oleh Syeikh Idris Marbawi. Ilmuan dari Perak ini adalah satu-satunya ulama berketurunan Melayu yang mensyarahkan hadis-hadis.

Ustaz itu membawakan kisah khianat (pecah amanah, rasuah) berdasarkan sebuah hadis mengenai ghanimah iaitu harta rampasan perang. Katanya, hadis daripada Sayidina Umar al-Khattab ini menceritakan seorang lelaki yang pecah amanah dengan menyembunyikan jubah (ada menyatakan sehelai sapu tangan) bagi tujuan kegunaannya sebelum dilakukan pembahagian dibuat ke atas harta rampasan perang itu.

Hukum bagi orang khianat ini ialah dibakar semua harta bendanya manakala dirinya menempah tempat di neraka. Ustaz bertanya jika seorang khianat dengan hanya menyembunyikan sehelai sapu tangan atau jubah dihukum begitu, apa agaknya balasan bagi orang mengkhianati amanah atau melakukan rasuah jutaan ringgit atau ratusan juta ringgit seperti zaman sekarang?

Berdasarkan perkembangan kini, keadaan begitu membimbangkan apabila masyarakat mengambil ringan perkara rasuah sehingga ada tokoh yang disabitkan dengan kesalahan seumpama ini masih diberi kepercayaan untuk memimpin mereka.

Perkara ini cukup bahaya; satu isyarat kecemasan telah diberikan bahawa masyarakat mengundang kemurkaan Allah SWT dengan memilih dan melantik seseorang yang tidak layak ke jawatan tinggi. Apa yang dibimbangkan, apabila berlaku khianat dalam pemilihan pemimpin, manusia seolah-olah menunggu hukuman daripada Allah SWT.

Ustaz menerangkan bahawa masyarakat kini hancur gara-gara manusia tidak berhukum dengan undang-undang Allah SWT. Katanya, hukum-hakam Allah SWT adalah kehidupan tetapi manusia hari ini berlagak lebih pandai daripada Sang Pencipta.

Katanya, jika sesebuah kereta rosak, untuk membaikinya perlulah dirujuk kepada si pembuat atau pakarnya (mekanik) kerana dia yang tahu selok belok mengenai kenderaan itu. Allah sebagai Pencipta manusia (dan seluruh makhluk) tahu segala hal mengenai ciptaan-Nya, jadi mengapa manusia dengan bongkak menolak bulat-bulat undang-undang-Nya?

Ustaz bertanya, jika pembeli kereta boleh patuh kepada ‘manual’ (buku panduan) kereta, kenapa mereka enggan saja mengikuti ‘manual’ yang disediakan oleh Allah SWT. Jelas sekali manusia sombong dan bongkak, berlagak lebih tahu daripada Pencipta mereka.

Satu persoalan penting, mengapa rasuah terus berleluasa sedangkan ia kerap disyarahkan? Ia seolah-olah sama seperti gejala arak dan judi; sekalipun hebat disyarahkan akan akibat buruk dan dosanya, tetapi kegiatan ini berterusan menular dalam masyarakat.

Ustaz berkata, sebab utama perkara ini terjadi kerana manusia tidak mengambil hukum-hakam Allah SWT dalam kehidupan mereka. Sebaliknya mereka mengambil undang-undang manusia, apabila tidak berhukum dengan undang-undang Allah SWT, mereka sengsara dan sesat dalam kehidupan.

Sekarang ini hampir setiap hari berlaku jenayah bunuh, merompak, merogol dan sebagainya. Menurut Ustaz apabila hukum-hakam Allah SWT tidak dilaksanakan, tiada barakah dalam kehidupan sebaliknya masyarakat dan negara menjadi huru-hara dan menuju kehancuran.

Kemajuan dan kemodenan yang dilihat dan diuar-uarkan sekarang ini adalah kemewahan material sedangkan pembangunan insaniah semakin lama semakin merosot. Lihatlah semakin banyak masjid-masjid hebat didirikan tetapi isinya, ternyata kosong; ia bagaikan hampas.

Masjid hebat tetapi golongan muda semakin menjauhkan diri. Jenguklah masjid-masjid di luar bandar; kadang-kadang untuk mendirikan solat jemaah pun sukar; golongan tua saja yang hadir sekali-sekala sedangkan orang muda entah ke mana lesapnya.

Berhubung pemilihan tokoh yang disabitkan dengan kesalahan rasuah sebagai pemimpin, dikhuatiri perkembangan ini akan menjadi kes rujukan yang menyeramkan kepada generasi masa depan. Ini kerana masyarakat akan beranggapan tidak ada apa-apa dengan rasuah, sogokan dan aneka kejahatan lain; seterusnya menjadikan mereka tidak kenal apa itu hak dan yang batil.

Demikianlah apabila hukum-hakam Islam tidak terlaksana; undang-undang dan harga diri boleh dibeli dengan wang ringgit. Falsafahnya mudah, ada wang semua boleh jadi, tiada wang merempatlah kau sendiri. Apabila majoriti orang kini berkiblat atau bertuhankan wang ringgit, pangkat dan kuasa, kebenaran akan terhumban ke dalam lumpur.

Kini, alangkah beratnya untuk menggali kebenaran atau permata dalam lumpur itu; hanya dengan iman, ilmu dan amal yang dapat menyelamatkan seseorang itu daripada hanyut; bukankah perpatah Melayu ada menyebut, hanya jauhari (orang berilmu) mengenal manikam!

Thursday, October 22, 2009

Melayu Nusantara kembalikan keagungan ummah?

Baru-baru ini penulis berhajat menziarahi sekolah lama di Kuala Kangsar, tetapi terpaksa membatalkannya kerana ayah mentua menghadapi masalah jantung dan dimasukkan ke unit pengawasan jantung (CCU) hospital. Namun Kuala Kangsar tetap membawa erti besar kerana secara tiba-tiba saya dikunjungi seorang penulis dari bandar diraja itu, Haji Amin Nordin Haji Abdul Rahman, 65 tahun.

Haji Amin muncul di pejabat penulis pada suatu petang dengan membawa buku ‘Kebangkitan Semula Islam’, karya terbaru (2009) beliau dalam penulisan berkaitan Islam. Selain menulis, Haji Amin menerbitkan sendiri buku itu atas nama syarikatnya, Taftan Enterprise yang beralamat di 37B Wisma Kurnia Sempurna, Jalan Taiping, 33000 Kuala Kangsar Perak (nombor telefon 017-3873979 dan 03-41074737).

Sebelum kunjungan Haji Amin, penulis tidak mengenalinya. Tetapi berdasarkan kesungguhan beliau menghujahkan kandungan bukunya selama sejam dan selepas penulis membaca dan memikirkan kandungannya, adalah manfaat untuk dikongsi pandangan beliau mengenai era kebangkitan semula Islam yang dakwanya akan dikepalai orang Melayu dari rantau Asia Tenggara.

Penulis tergerak hati menukilkan apa yang dimuzakarahkan Haji Amin, berdasarkan tulisan lalu dalam kolum ini yang menyentuh sejarah beragama orang Melayu. Orang Melayu memeluk Islam kira-kira 600 tahun lalu dan sebelum itu mereka beragama Hindu dan Buddha.

Selepas orang Melayu diislamkan, mereka tidak pernah mengepalai ummah secara global; kuasa besar orang Melayu seperti Empayar Melaka dan Aceh hanya bersifat lokal (di Alam Melayu) malahan Sultan-Sultan Aceh berbaih kepada Khalifah Uthmaniyah yang berpusat di Konstantinopel (Istanbul).

Mengenai orang Melayu menerajui kekuatan Islam, Haji Amin dalam bukunya antara lain menulis: “Sekiranya pada zaman-zaman kegemilangan Islam dulu lahirnya khilafah-khilafah atau empayar Islam seperti Khilafah Umaiyah, Abasiyah, Uthmaniyah, dan sebagainya maka adalah dipercayai akan lahirnya khilafah atau empayar Islam yang setanding khilafah yang terdahulu.

“Dari segi negara atau wilayah yang berpotensi untuk menjadi khilafah atau empayar Islam dewasa ini adalah wilayah Nusantara (meliputi Indonesia, Malaysia, Brunei, Selatan Thailand dan Selatan Filipina). Ini kerana selain daripada mempunyai bilangan penduduk Muslim paling ramai di dunia, keinginan untuk menghayati ajaran Islam adalah juga tinggi di sini.

“Sebagai contoh di Indonesia pesantren-pesantren atau sekolah-sekolah agama telah tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Di sana telah lahir belasan ribu pesantren, yang memberi pendidikan kepada ratusan ribu pelajar.

“Pesantren Gontor yang diberi nama ‘Pondok Moden Gontor’ yang terletak berdekatan Surabaya, adalah contoh pesantren yang wujud di Indonesia. Pusat pengajian agama ini mempunyai sebanyak lapan cawangan yang menempatkan seramai 12,000 pelajar. Kelulusan di institusi agama ini mendapat pengiktirafan daripada universiti di beberapa negara Islam seperti Universiti Al-Azhar, Mesir; dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.”

Keyakinan Haji Amin akan kemunculan Melayu Nusantara sebagai kuasa baru dunia dinukilkannya berdasarkan kebimbangan Amerika terhadap perkembangan Islam di rantau ini. Antara lain beliau menyatakan: “Amerika, atas sebab berasa gentar terhadap perkembangan ini, pernah cuba menyogok bantuan sebanyak RM600,000,000 kepada pesantren-pesantren di Indonesia agar institusi-institusi itu bersetuju mengadakan kurikulum pelajaran yang sesuai dan sealiran dengan kehendak mereka. Bagaimanapun, syukur Alhamdulillah, tawaran daripada Amerika tersebut gagal menggelapkan mata pihak penguasa pesantren di sana.”

Kebangkitan semula Islam adalah perjuangan berasaskan iman, tulis Haji Amin. Beliau berkata perjuangan ‘biasa’ adalah berdasarkan hukum adat atau hukum sebab dan akibat. Sebagai contoh bagi menghadapi dan mengalahkan tentera musuh yang berjumlah 1,000 orang, bilangan askar diperlukan berjumlah sekurang-kurang 1,000 orang juga serta mempunyai kelengkapan persenjataan setara.

Tetapi di bawah pendekatan ‘iman’, sesuatu perjuangan tidak tertakluk kepada hukum sebab dan akibat semata-mata, kerana ia bukan saja bergantung kepada kekuatan manusia dan kelengkapan perang, tetapi juga kepada bantuan dan pertolongan Allah SWT. Dalam ayat 65 Surah Al-Anfal, Allah telah berjanji sekiranya orang Islam betul-betul beriman dan bersikap sabar, 100 orang mukmin dapat mengalahkan 1,000 orang kafir.

Pada zaman Rasulullah s.a.w. dan sahabat; perkara ini terbukti dalam Perang Badar (314 pejuang Islam dapat menewaskan 1,000 orang kafir) dan Perang Yarmuk (40,000 pejuang Muslim dapat menewaskan 240,000 tentera Byzantine). Mutakhir ini pejuang Hamas dan Hizbullah membuktikannya; tentera mereka kira-kira 1,000 orang dapat menewaskan armada perang Zionis Israel yang dianggotai sekurang-kurangnya 30,000 orang.

Haji Amin sudah melontarkan pandangannya melalui buku ‘Kebangkitan Semula Islam’ tetapi bersediakan umat Islam Melayu Nusantara mengepali ummah kembali ke martabat tertinggi seperti dinikmati pada zaman Uthmaniyah dan Abasiyah? Menyoroti kemelut ummah rantau ini, harapan itu kelihatan tinggi menggunung tetapi beberapa mutiara kata yang dimuatkan dalam buku Haji Amin begitu meyakinkan.

Antara lain beliau menukilkan: “Perubahan-perubahan besar dalam sejarah bukan atas kehendak manusia tetapi atas kehendak Allah – melalui agen-agen-Nya dalam bentuk rasul-rasul, nabi-nabi dan pemimpin-pemimpin berkarisma.

“Sejarah telah berkali-kali membuktikan bahawa nasib sesuatu kaum tidak dapat diubah atau diselamatkan oleh kaum itu keseluruhannya; tetapi oleh kumpulan kecil manusia yang ‘dedicated’ dan terbentuk peribadinya.” Persoalannya siapakah KUMPULAN KECIL ini?

Wednesday, October 21, 2009

Sejarah Melayu sarat khazanah keilmuan

Penulis kerap menekankan agar generasi muda, terutama anak-anak di bangku sekolah, menguasai bahasa Inggeris. Apabila dapat menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa (bahasa Melayu dan Inggeris), tentulah 'saham' mereka tinggi. Jika dapat menguasai tiga atau lebih banyak bahasa lagi baik, tentulah peluang dan masa depan mereka terutama dalam kerjaya semakin terbuka.

Dalam kehidupan harian (biasa) pun seseorang itu akan mendapat banyak kelebihan jika dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Misalnya jika seseorang itu ke perpustakaan awam, mereka yang hanya dapat membaca dalam bahasa Melayu, bahan bacaan (termasuk akhbar) yang dapat baca adalah yang berbahasa Melayu saja, sedangkan yang menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dapat membaca kedua-duanya.

Biasanya akhbar berbahasa Inggeris jarang menjadi rebutan, jadi seseorang itu boleh membacanya dengan santai. Itulah contoh mudah kelebihan seseorang yang dapat menguasai lebih daripada satu bahasa. Tetapi perlu diingat bahawa sekalipun mampu menguasai banyak bahasa, seseorang itu sewajarlah mencintai bahasanya lebih daripada bahasa lain; kecualilah bahasa Arab kerana ia bahasa al-Quran; setiap Muslim diajar agar mencintainya sekalipun tidak faham.

Akhbar-akhbar berbahasa Inggeris di negara kita kerap menyiarkan pandangan individu dan kumpulan mengenai mengapa subjek Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa Inggeris. Antara hujah yang kerap digunakan ialah bahasa Inggeris adalah bahasa ulung sains dan teknologi manakala bahasa Melayu seperti diungkapkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak 'terlalu muda' dalam bidang ini.

Betulkah sains dan teknologi 'terlalu muda' di kalangan orang Melayu? Jika dlihat daripada perspektif Barat, memanglah demikian, tetapi mengapa tidak disorot daripada kaca mata dan nilai orang Melayu sendiri. Sesuatu yang dianggap maju oleh orang Barat, tidak semestinya dianggap maju oleh orang Melayu, dan demikian juga sebaliknya. Barat kaya dengan khazanahnya, demikian juga orang Melayu kaya dengan khazanahnya, jadi mengapa terus dicop bahasa Melayu 'terlalu muda' dalam sains dan teknologi.

Pada pendapat penulis, dunia Melayu sudah terlalu lama dijajah sehingga anak bangsanya sendiri tidak tahu atau sengaja tidak mahu mengambil tahu akan kehebatan bangsa termasuk bahasanya. Mereka mencela bahasa sendiri, enggan membantu memperkayanya sebaliknya bersandar kepada pemahaman bahawa Barat adalah paksi segala-galanya termasuk sains dan teknologi.

Bayangkan ramai yang menyokong penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik, menjadikan alasan entri istilah teknologi bahasa Melayu dalam enjin pencarian internet amat berkurangan berbanding bahasa Inggeris, tanpa mereka membuat sesuatu untuk membaikinya. Memang betul mungkin nisbahnya 1: 100, tetapi apakah kita boleh berbangga dengan 'kehebatan' bahasa Inggeris, sedangkan bahasa sendiri dicampak ke tepi?

Bagi membuktikan masyarakat dan bahasa Melayu tidak kurang hebatnya dari segi kemajuan teknologi, pencarian penulis akan perkataan dalam teks Sejarah Melayu yang diusahakan oleh WG Shellabear, menunjukkan wujud sejumlah istilah berkenaan. Sejarah Melayu bukan teks mengenai teknologi, jadi apabila ia turut memuatkan entri berkaitan, bermakna orang Melayu juga hebat sebagai pencipta.

Antara perkara yang dimuatkan dalam teks Sejarah Melayu adalah 'rentaka' iaitu sejenis meriam yang dapat diputar-putar. Apakah benda ini, apakah orang Melayu sudah mengkajinya? Kemudian disebabkan oleh kehebatan orang Melayu dalam ilmu layar (laut), dinyatakan banyak jenis kapal seperti lanca, kerakah, ghalis, ghali, fusta, baluk dan sebagainya. Apakah 'benda-benda' ini boleh dicari dalam enjin pencarian internet sehingga orang Melayu sendiri sanggup memperleceh bahasanya?

Kemudian ada istilah peralatan penting dalam ilmu pelayaran, peperangan dan kehidupan seperti batu tolak (teluk) bara, ali-ali, rangan, sikin, tirkash dan sebagainya. Adakah orang yang kerap mengkritik kekurangan bahasa Melayu tahu akan makna perkataan-perkataan ini? Jika tidak tahu, janganlah bercakap sombong, silalah rujuk Sejarah Melayu dan kitab-kitab lama lain.

Dalam bab politik, termasuk krisis Perlembagaan yang hebat diperkatakan menimpa negeri Perak, apakah orang Melayu yang beriya-iya bercakap macam bertih goreng itu sudah merujuk kepada kitab lama termasuk Sejarah Melayu?

Sejarah Melayu memuatkan kisah permulaan akan keturunan kebanyakan Raja-Raja Melayu yang ada hari ini. Dalam 'Alkisah Cetera Yang Kedua' Sejarah Melayu, ada dimuatkan 'perjanjian antara rakyat dan raja' yang antara lain mencatatkan:

"Maka sembah Demang Lebar Daun (kepada Sang Sapurba). "Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak."

Maka titah Sang Sapurba, "Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba." Maka sembah Demang Lebar Daun, "Janji yang mana itu, Tuanku?"

Maka titah Sang Sapurba, "Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun." Maka sembah Demang Lebar Daun, "Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah."

Maka titah Sang Sapurba. "Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu." Maka baginda pun bersumpah-sumpahan barang siapa mengubah perjanjian itu dibalikkan bumbungannya ke bawah, kaki tiangnya ke atas. Itulah sebabnya dianugerahkan Allah subhanahu wataala pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu; jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada diikat dan digantung dan difadhihatkan dengan kata-kata yang jahat.

Jikalau ada seorang raja memberi memberi aib seorang hamba Melayu, maka alamat negerinya akan binasa. Syahdan, segala anak Melayu pun dianugerahkan Allah subhanahu wataala tiada pernah durhaka dan memalingkan muka pada rajanya, jikalau jahat pekerti sekalipun serta aniaya."

Tuesday, October 20, 2009

Babi ditakuti tetapi tidak rasuah, judi dan todi

Kali pertama saya ke Dubai, UAE tahun 1992. Pakej penginapan di sebuah hotel di sana termasuklah minum pagi. Ketika mengambil lauk-pauk, saya terperasan di sebelah bekas daging ayam, disediakan daging babi. Istimewanya, setiap jenis makanan yang dihidangkan ada labelnya. Kalau lauk 'ayam' ditulis 'chicken', daging lembu ditulis 'beef' manakala daging babi ditulis 'pork'.

Guanno ni, kata hati saya, di tanah Arab pun disediakan makanan haram itu. Macam mana ni, mahu makan atau tidak? Maksud saya bukan makan daging babi itu tetapi makanan lain. Apakah boleh dimakan hidangan 'chicken' yang terletak bersebelahan dengan 'pork'?

Akhirnya saya terpaksa berpuas hati dengan menikmati roti bercicahkan air kopi. Guano, hotel-hotel pak syekh Arab ini, rungut hati saya. Hidangan daging babi disediakan, bercampur-gaul dengan makanan lain.

Ketika itu, saya yang kurang pengalaman, ingat negara-negara Arab bebas daripada hidangan daging babi, tetapi rupa-rupanya tidak begitu. Kota-kota seperti Dubai, Beirut dan Doha yang menjadi transit utama penerbangan nampaknya sudah menepati cirri-ciri antarabangsa, termasuk menghidangkan makanan dan minuman haram. Bir adalah biasa saja di hotel.

Kalau sesetengah orang Arab di beberapa negara Arab sudah tidak sensitif dengan babi, bagaimana pula reaksi orang Melayu Malaysia yang boleh dikatakan semuanya beragama Islam. Oohh, berdasarkan perkembangan semasa, orang Melayu tetap sensitif dengan babi.

Pantang cakap babi, orang Melayu akan melenting. Dengar babi saja pun orang Melayu tak nak, apa lagi makan babi. Mungkin itu sebabnya nama babi itu ditukar kepada khinzir.

Beberapa minggu kebelakangan ini, saya telah menerima sejumlah e-mel dan SMS menyentuh isu babi ini. Seorang peminat, meminta pihak editorial akhbar tempat saya bertugas, membuat satu keluaran khas mengenai isu babi ini.

Katanya, dia tidak berpuas hati dengan cercaan pihak tertentu termasuk akhbar arus perdana yang memutarbelitkan isu ladang ternakan babi secara moden di Selangor. Katanya, dakwaan itu perlu ditangkis, jangan biarkan puak-puak ini bertindak kotor, menipu rakyat terutama orang Melayu.

Seorang pembaca menghantar e-mel menempelak saya, sidang pengarang dan kerajaan Pakatan Rakyat dengan mendakwa berikutan kesediaan kerajaan Selangor memberi laluan kepada pusat ternakan babi moden itu, 'tidak lama lagi akan terbinalah ladang babi terbesar di Kedah dan Perak'.

"Itulah," tulisnya, "bahana memilih Pakatan Rakyat. Orang Melayu terpaksa hidup dalam lingkungan babi-babi ini."

Seorang lagi menulis: "Lebih baik bina ladang babi moden itu di Pulau Ketam. Di sana banyak orang makan babi."

Penulis tidak mahu komen mengenai isu penternakan babi ini, hanya menyerahkannya kepada kebijaksanaan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk menanganinya.

Cuma yang mahu disentuh penulis adalah mengenai kebagusan orang Melayu yang menolak benda haram seperti babi. Dengar saja mereka sudah jijik. Penulis yakin tidak ada orang Melayu-Islam yang makan babi. Sebab sudah jelas makan babi haram.

Di sini penulis berfikir jika orang Melayu-Islam 100 peratus jijik dan tidak makan daging babi kerana 'keharamannya', alangkah bagusnya jika 100 peratus daripada mereka jijik dan berusaha menolak perkara haram seperti rasuah, riba, mencuri, khianat, kesaksian palsu atau mengambil harta dan kuasa dengan sumpah palsu.

Selain daging babi yang sudah jelas haram dimakan, makan atau menggunakan faedah daripada hasil yang haram adalah juga haram. Allah Azza Wa Jalla berfirman dalam al-Quran, ayat 29 Surah An-Nisa' yang bermaksud: "Hai orang-orang beriman, janganlah kamu makan harta orang lain dengan jalan yang batil..."

Ibnu Hibban meriwayatkan, "Tidak akan masuk syurga, daging dan darah yang tumbuh daripada usaha yang haram. Bahkan neraka lebih patut baginya. At-Tarmizi pula meriwayatkan; "Tidak baik (subur) daging yang tumbuh daripada usaha haram, melainkan neraka lebih patut baginya."

Dalam buku 'Penenang Jiwa - Pengubatan dan Rawatan' yang diterjemahkan daripada kitab Imam Al-Ghazali 'Mukashafah Al-Qulub' ada ditulis: "Al-Bazzar (meriwayatkan); "Sungguh tidak ada agama bagi orang yang tidak amanah, solat dan zakat. Siapa yang memakai baju daripada duit yang haram, maka tidak diterima solatnya sehingga baju itu dilepaskan. Sesungguhnya Allah Maha Mulia dan Maha Agung. Tidak akan diterima solat lelaki yang memakai pakaian haram."

Ahmad daripada Ibnu Umar, dia berkata, "Siapa membeli pakaian 10 dirham tetapi satu dirham daripadanya adalah haram, Allah tidak akan menerima solatnya selama ia dipakai." Kemudian dia memasukkan dua jarinya ke dua-dua telinganya sambil berkata, "Tuli saja aku jika Nabi tidak mengatakannya." Al-Baihaqi (meriyawatkan), "Siapa yang membeli barang curi, sedang dia tahu, maka dia turut berdosa."

Berdasarkan pembacaan, pemerhatian dan pengalaman penulis, orang Melayu jijik sekali dengan babi. Tiada orang Melayu-Islam yang makan daging babi, apatah lagi sentuh atau berdekatan dengan babi (kecuali 'tokoh' yang menunjukkan tanda bagus di kandang babi di Jerman).

Tetapi berdasarkan suasana persekitaran, ada orang Melayu-Islam tikam ekor (berjudi), minum arak (todi), makan rasuah, riba, dedah aurat dan yang terakhir ini ramai yang mahu menjadi penyanyi (artis) sedangkan Imam Al-Ghazali dalam bukunya itu menyatakan: "Al-Qadi Abu Thaiyyib ath-Thabrani mengutarakan beberapa pendapat daripada Asy-Safie. Abu Hanifah, Sufyan dan segolongan ulama, bahawasanya mendengar lagu dan seumpamanya adalah haram."

Abu Thaiyyib mengatakan, "Mendengar nyanyian daripada wanita yang bukan muhrim tidak dibolehkan menurut ulama Syafie, baik terbuka atau dari balik hijab, baik merdeka atau budak. Dia mengatakan bahawa telah berkata Imam Syafie, "Pemilik jariah (budak perempuan) apabila dia mengumpulkan manusia untuk memperdengarkan nyanyiannya, maka dia adalah bodoh dan harus ditolak kesaksiannya."

Jika Imam Syafie yang diakui hampir setiap Melayu-Muslim di negara ini sebagai imam mereka (mereka mengaku bermahzabkan Iman Shafie), tetapi mengapa tidak mengikut ajarannya sebaliknya terus menghimpunkan penyanyi dan artis dalam pelbagai pertandingan dan akademi serta anugerah dengan hadiah lumayan?

Pada majlis ini, selain percampuran bebas, artis perempuan mengambil kesempatan 'berbogel'. Dengan anugerah mewah dan kerap, jelaslah artis disanjung-sanjung sedangkan ulama dan amanat mereka dihumbankan. Jadi amat tersasarlah untuk pihak-pihak ini mengaku, mereka sedang mencari Asy-Shafie atau Al-Ghazali seperti didakwa Imam Hadhari!

Monday, October 19, 2009

Usah bermain bahasa, kalau rasuah katakan rasuah

Wikipedia Bahasa Melayu (ensiklopedia bebas) mendefiniskan politik wang sebagai RASUAH bagi perlakuan mengunakan wang ringgit dalam pertandingan atau dalam mempengaruhi seseorang ahli atau perwakilan bagi meraih sokongan terhadap seseorang calon yang bertanding merebut jawatan yang dipertandingkan.

Secara mudah politik wang adalah wang tunai diberikan kepada pengundi bagi mendorong mereka mengundi calon berkenaan. Selain wang, pemberian berbentuk hadiah, barangan seperti kain pelikat / kain batik, dan pemberian tender atau kontrak tertentu jika bertujuan mempengaruhi pengundi, juga digolongkan sebagai politik wang.

Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang di mana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) daripada pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:
* Meminta/Menerima Rasuah
* Menawar/Memberi Rasuah
* Membuat Tuntutan Palsu
* Menyalahguna Jawatan/Kedudukan

Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa.

Jika politik wang adalah rasuah, maka mereka yang memberi wang politik adalah perasuah manakala mereka yang memakan wang politik adalah penerima rasuah. Perkara ini tersangat jelas, tetapi mengapa pihak-pihak tertentu begitu gemar menggunakan istilah politik wang, tidak rasuah.

Demikianlah amat menarik untuk dikaji mengapa amalan rasuah dinamakan politik wang terutama menjelang pilihan raya kecil Bagan Pinang 11 Oktober ini. Apakah dengan menggunakan istilah pesalah politik wang akan mengurangkan aib seseorang itu daripada pesalah rasuah?

Nampaknya begitulah keadaannya, seseorang yang telah pun didapati bersalah mengamalkan politik wang oleh partinya sendiri, kelihatan telah bersih kerana apalah salah sangat politik wang. Sedangkan kalau dia dicop sebagai perasuah, kesannya sangat besar, mungkin orang akan ingat kesalahannya sepanjang hayatnya.

Pemberian barangan kecil seperti kain pelikat dan batik juga diistilahkan sebagai politik wang, jadi tidak nampak sangat kesalahannya. Mengapa semua ini tidak dikatakan RASUAH saja? Mengapa mesti bersembunyi di belakang istilah politik wang?

Orang kampung (pengundi) jika dikatakan dia dihadiahkan kain pelikat atau kain batik, dia tidak akan terasa apa-apa tetapi jika dikatakan dia DIRASUAH dengan kain batik, dia akan marah. Apatah lagi jika dikatakan dia MAKAN DUIT RASUAH.

Jika memberi kain batik saja sudah rasuah, apatah lagi janji-janji tender, kontrak, pembangunan, infrastuktur dan sebagainya. Tetapi perkara inilah yang terjadi pada setiap kali pilihan raya, di Bagan Pinang juga tidak terkecuali.

Alangkah berbahagianya warga di Port Dickson terutama tentera kerana secara tiba-tiba kawasan mereka diisytiharkan sebagai Bandar Tentera. Alangkah beruntungnya orang-orang di sana kerana mereka secara tiba-tiba disantuni, mulut pengunjung luar terutama pemancing undi manis-manis belaka menabur 1,001 janji.

Kini pengundi Bagan Pinang dihadapkan dengan dua pilihan – memangkah calon yang sudah jelas disabitkan dengan politik wang (rasuah seperti didefinisikan oleh Wikipedia) atau memilih calon yang bukan saja dilihat bersih daripada tuduhan politik wang tetapi diyakini tidak melakukannya.

Dalam pengajian Islam selalu dinyatakan orang-orang baik adalah untuk orang-orang baik, misalnya seorang lelaki baik adalah untuk seorang perempuan baik dalam mereka mendirikan rumah tangga manakala seorang lelaki jahat adalah untuk perempuan jahat.

Nah sekarang pilihlah sendiri; jika pencuri dipilih oleh seseorang itu maka sahlah dia seorang pencuri jua; jika seorang pembunuh dipilihnya maka sah dia juga cenderung ke arah itu dan jika seorang perasuah dipilihnya maka sah dia juga seorang perasuah atau penerima rasuah.

Di akhirat nanti, manusia juga dikumpulkan mengikut kumpulan masing-masing; orang-orang baik bersama-sama orang baik; manakala orang jahat bersama-sama orang-orang jahat. Orang-orang baik berazam untuk bersama Nabi-Nabi, sadikin, syuhada dan solehin tetapi orang-orang jahat memilih untuk bersama Firaun, Hamman, Abu Jahal dan Abu Lahab.

Jadi kepada pengundi Dun Bagan Pinang; buatlah pilihan betul-betul, sama ada mahu bersama orang baik atau orang jahat. Orang-orang muda sekarang cakap: “‘Lu’ fikirlah sendiri!”

Saturday, October 17, 2009

Benih baik, dicampak ke laut menjadi pulau

September ini genap 10 tahun penulis menyertai sebuah akhbar alternatif yang juga organ jemaah bernama Harakah selepas meninggalkan gergasi penerbitan akhbar arus perdana bernama The New Straits Times Press (NSTP). Adalah menarik untuk mengimbau apa yang penulis perolehi sepanjang 10 tahun itu dan membandingkannya dengan pengalaman 12 tahun di NSTP.

Tentunya dalam kebanyakan kes membabitkan pekerjaan, antara perkara pertama ditanya adalah soal gaji. Apabila meninggalkan NSTP pada 1998, gaji terakhir penulis adalah kira-kira RM4,200 sebulan. Ketika mula-mula bertugas di Harakah, gaji bulanan penulis adalah RM1,700 dan kini selepas 10 tahun, gaji penulis kira-kira RM3,500. Jumlah ini kurang RM700 daripada apa yang penulis terima 10 tahun lalu.

Jika dibuat perhitungan kasar, andai penulis tidak meninggalkan NSTP, kemungkinan gaji bulanan penulis boleh mencapai RM10,000 dengan andaian berlaku peningkatan sebanyak RM500 setahun. Tentunya tersangat besar bezanya gaji RM3,500 dengan RM10,000; tetapi berdasarkan suka duka kehidupan yang penulis kecapi di dua tempat berbeza ini, penulis menginsafi bahawa wang dan kekayaan bukanlah segala-galanya. Ringkasnya bahagia bukanlah terletak pada wang ringgit.

Kini 10 tahun sudah berlaku; apa yang penulis dapati daripada organisasi yang lebih bersifat jemaah parti daripada syarikat korporat ini? Awal-awal lagi kekayaan material perlu ditolak ke tepi; tiada yang boleh menjadi kaya dengan bekerja dalam organisasi jemaah. Terus terang dikatakan gaji adalah mencukupi untuk memberesi keperluan kehidupan dan sedikit bakinya ditabung untuk masa depan seperti menanggung persekolahan anak-anak dan menyampaikan cita-cita meluap-luap ke Tanah Suci.

Jadi apa yang menyebabkan penulis boleh bertahan sehingga 10 tahun kini? Malahan penulis terpaksa berulang-alik antara Melaka-Kuala Lumpur dengan jarak pergi balik lebih kurang 250 kilometer hampir setiap hari yang memerlukan masa perjalanan kira-kira enam jam. Jawapannya tidak lain kerana percaya bahawa bidang penulisan ini adalah salah satu perjuangan bagi membantu menegakkan Islam.

Penulis menyatakan ‘membantu’, kerana terasa begitu malu untuk mengaku sebagai pejuang, apatah lagi menyedari ilmu, amal, pemahaman dan penghayatan terhadap agama agung itu teramatlah kurang. Dengan istiqamah dalam bidang penulisan, mudah-mudahan Allah SWT menerimanya sebagai amal kebajikan, sekali gus dapat membantu penulis pada saat-saat sukar ketika sakratulmaut, alam kubur, masyhar, titian siratulmustaqim dan akhirat.

Berhubung perkara ini, penulis terkenang pesanan seorang tuan guru tempoh hari. Katanya, jika kita tidak mampu menjadi seorang hafiz al-Quran, bantulah orang lain menjadi hafiz atau hafizah. Kalau kita ada wang ringgit, sumbangkannya kepada pengelola sekolah tahfiz; kalau kita ada tanah, wakafkannya kepada mereka; kalau kita boleh mengajar subjek akademik, ajarlah budak-budak di sana dan jika bertubuh sasa, curahkan tenaga itu seperti bergotong royong membersihkan bangunan dan persekitarannya.

Berdasarkan pandangan inilah penulis mencari sedikit kesempatan untuk membantu kumpulan atau jemaah yang berjuang menegakkan kebenaran atau lebih tepat lagi Islam sebagai cara hidup. Jika tidak membantu kumpulan penegak kebenaran sudah salah, apatah lagi berkomplot, mengkhianati mereka.

Menegakkan kebenaran dan menyisih kebatilan (amal makruf nahi munkar) adalah sesuai dengan ikrar setiap kali solat, “hidup dan matiku hanya untuk Allah, tuhan seru sekalian alam.” Penulis mendoakan diri dan sekalian muslimin dan muslimat akan sentiasa berada di jalan lurus dengan membantu penegak kebenaran dan tidak sekali-sekali menyertai kumpulan yang berdolak-dalik dalam menegakkan hukum-hakam Sang Pencipta.

Sepuluh tahun penulis bersama akhbar jemaah ini, ia tidak juga terlepas daripada onak dan duri. Ada saat merasai keindahan dan kesyahduannya dan ada tikanya, jerih dan terasa pahit. Namun ia menguatkan semangat dan memantapkan persepsi penulis bahawa kehidupan ini sebenarnya tidak sempurna. Setiap manusia termasuk penulis sendiri tidak terlepas daripada kejelekan, semuanya akan melalui tapisan Allah SWT bagi menentukan siapa beriman dan bertakwa dan siapa yang tidak. Siapakah manusia untuk mengukur iman dan takwa seseorang?

Namun berdasarkan pandangan zahir penulis yang serba lemah ini dengan disokong pengalaman di media arus perdana dan media jemaah, dapatlah penulis nyatakan pencarian dan pendakian kerohanian yang dialami penulis 10 tahun terakhir ini amat mengesankan berbanding 12 tahun di media perdana.

Ukhuwah yang terjalin adalah hebat sedangkan dulunya terlalu longgar. Zaman lalu penulis di syarikat gergasi berkenaan dipenuhi nafsu-nafsi, dengan sejumlah besar kakitangan berjuang untuk melonjakkan diri bagi meraih kelebihan dari segi perolehan material, pangkat dan kuasa. Apabila keinginan duniawi menguasai diri, maka terjerumuslah manusia menjatuhkan satu sama lain dalam sandiwara bobrok yang bernama fitnah-memfitnah, tindas menindas dan sebagainya.

Namun penulis akui hal ini berlaku di mana-mana, termasuklah dalam jemaah. Itulah sebabnya, ikhlas diletakkan pada kemuncak mana-mana perbuatan termasuk ibadat. Apabila IKHLAS tertancap kukuh pada diri peribadi, tiada yang dapat menghalang seseorang daripada mencapai kemuncak pencarian kerohaniannya.

Orang ikhlas inilah yang tidak dapat ditewaskan musuh-musuh termasuk jin dan syaitan. Ingat-ingatlah kisah seorang penebang kayu yang mahu menghancurkan sebatang pokok kerana menjadi tempat pemujaan orang ramai, apabila ikhlasnya terlerai, dia dengan mudah ditewaskan syaitan.

Mungkinkah orang ikhlas menepati peribahasa Melayu, “benih yang baik kalau dicampak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau?”

Friday, October 16, 2009

Pemimpin naik melalui ampu, cenderung berlaku zalim

Empat mutiara yang dipetik dari kitab ‘Tanbihul Ghafilin’ oleh Abullaits Assamarqandi (Hidayah September 2009) ini benar-benar menginsafkan kerana ia mengingatkan akan bahaya berkawan, bersekutu apatah lagi mengampu pemerintah.

1. Larangan menjilat raja-raja. Makhul berkata: “Siapa yang belajar al-Quran dan pengertian agama, kemudian menjilat-jilat kepada raja (pemerintah) dan patuh kepadanya, bererti dia telah menyelam dalam neraka jahannam sejauh (sebanyak) langkahnya.

2. Bahaya bersahabat dengan raja/pemerintah. Maimun bin Mahran berkata: “Dalam bersahabat kepada pemerintah itu ada dua bahaya; jika patuh kepada raja (kerajaan) berbahayalah agamamu, dan jika menentangnya berbahaya jiwamu, dan keselamatan itu jika ia (raja atau pemerintah) itu tidak mengenali kamu.”

3. Jangan jadi ulama pengampu. Fudhail bin Iyadh berkata: “Andaikan ada orang yang tidak mendekati raja (pemerintah/kerajaan) dan dia tidak melebihi daripada mengerjakan sembahyang fardu (yakni tidak mengerjakan ibadat-ibadat sunat) maka dianya lebih afdal daripada ulama-ulama yang mendekat kepada raja/kerajaan walaupun ulama itu berpuasa setiap hari dan bertahajud dan berjihad dan menunaikan haji.

4. Jangan mengagung-agungkan orang jahat dan zalim. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Selalu pertolongan Allah menaungi umat Muhammad ini, selama orang-orang yang taat tidak mengagung-agungkan orang-orang yang jahat, dan selama orang-orang baik-baik tidak merasa lunak/mesra kepada orang-orang yang jahat, dan selama ahli-ahli Quran tidak menjilat-jilat kepada amir (raja/pemerintah). Maka apabila mereka berbuat yang demikian, Allah SWT akan mencabut dari mereka ‘barakah’ dan mengangkat di atas mereka pemerintah yang kejam, dan ditanamkan di dalam hati mereka rasa takut, dan menjadikan mereka orang miskin.

Hari ini kita dapat saksikan betapa ramai orang termasuk cendekiawan agama merapat dan menyembahkan diri kepada pemerintah dengan maksud untuk mendapatkan segala kemegahan dunia yang terdiri daripada pangkat, kuasa, harta benda dan kemasyhuran.

Mereka melakukannya tanpa mempedulikan harga diri lagi. Persetankan semua itu asalkan pangkat dan kuasa berada dalam genggaman. Mereka tidak pedulikan langsung pesanan Shakespeare lewat sebuah karyanya apabila seorang cendekiawan memberitahu Rajanya, 'Tuanku, jika Tuanku hilang kerajaan, Tuanku masih ada diri Tuanku, jika Tuanku hilang kesihatan, tuanku sudah hilang separuh daripada diri Tuanku, tetapi jika Tuanku hilang harga diri, Tuanku sudah hilang segala-galanya."

Orang yang merebut kedudukan, kuasa dan pangkat di sisi raja dan pemerintah adalah ibarat burung yang terkurung dalam sangkar emasnya. Orang berjiwa merdeka menghargai kemerdekaan itu dan tidak rela terkurung, terbelenggu dan terperangkap oleh perasaan sendiri walaupun hidup ditimbuni emas perak, wang berpeti-peti dan pangkat tinggi melangit.

Sesetengah pengampu yang kemudian dilantik menjadi pemimpin dan pembesar, berkemungkinan besar akan bersifat talam dua muka, misalnya mereka begitu hebat melaungkan semangat patriotik dan meminta rakyat berbuat demikian, tetapi apabila masalah timbul seperti jerebu melanda, mereka dan keluarga masing-masing yang pertama berangkat meninggalkan tanah air, bercuti di Los Angeles atau ke Australia dengan duit berguni-guni.

Tak tahulah apa tindakan pemimpin kaki bodek ini jika meletus huru-hara dan perang. Agaknya mereka yang pertama hantar keluarga masing-masing ke 'oversea', biarlah rakyat hadapi kemelut itu. Berjuanglah rakyat ke titisan darah terakhir, kata mereka.

Pada ketika kehidupan rakyat meruncing dan terpaksa mengikat perut disebabkan kenaikan harga barang-barang, ramai daripada anggota keluarga terhormat ini masih ber'shopping' di London, Paris dan Dubai.

Masih ramai yang menunjukkan kemewahan dengan kenduri kahwin macam 'pesta puteri kayangan' atau macam anak Raja Donan - 40 hari 40 malam dan wang hantaran RM20,000 - RM30,000.

Pemimpin yang naik daripada sikap ampu bodeknya akan boros berbelanja sedangkan rakyat disuruh 'jimat, jimat, jimat' dan pada masa yang sama majalah, surat khabar dan TV terus menyiarkan kisah dan gambar perkahwinan 'luar biasa' ini. Apakah ini untuk dicontohi oleh rakyat yang saban hari bersarapan cekodok, lempeng, ubi rebus, nasi sejuk dan lauk lebihan semalam dengan kopi O panas atau pun air suam saja disebabkan harga barangan keperluan sudah naik harga?

Demikian apabila orang dulunya tidak ada apa-apa tetapi naik menjadi pemimpin melalui ampu bodeknya, mereka akan terlalu cepat lupa daratan. Mereka bagaikan kaduk naik ke junjung.

Mereka menjadi ‘yesmen’, tidak ada harga diri langsung. Orang ini termasuklah daripada jenis orang politik lompat katak yang tidak ada maruah diri. Apa yang penting mereka dapat bodek pemerintah agar mereka pun dapat ke singgahsana kuasa!

Maka benarlah seperti dalam dialog raja dan cendekiawan dalam karya Shakespeare, mereka tidak ada apa-apa lagi kerana telah menjual harga diri masing-masing untuk mendapatkan laba dunia seperti kuasa, pangkat dan kedudukan. Di dunia lagi, apabila berselisih, orang akan meludah dan mengeji mereka, itulah yang terjadi kepada sesetengah Adun lompat katak!

Thursday, October 15, 2009

Henti keganasan sesama Muslim

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Dalam ruangan komentar ini, sesekali diulas kebiadapan pemerintah bukan Islam menzalimi umat Islam minoriti seperti di Arakan (Myanmar) yang mengakibatkan puluhan ribu Rohingya meninggalkan tanah air mereka ke negara berdekatan seperti Thailand, Indonesia malahan ke negara kita, Malaysia.

Ribuan terpaksa menaiki tongkang dan bot sesak dan ramai dilaporkan lemas tidak jauh dari pantai Aceh, Indonesia manakala di Thailand mereka menerima layanan amat buruk. Selain orang Rohingya, Muslim Kashmir, Muslim Chechnya, Muslim Selatan Thailand, Muslim Selatan Filipina, malah paling menyayat hati Muslim Palestin diperlakukan sedemikian dahsyat oleh rejim berkuasa di negara masing-masing.

Kezaliman ke atas Muslim minoriti ini perlu dikutuk masyarakat dunia dan langkah segera diusahakan organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengakhirinya. Demikian juga organisasi yang memayungi ummah – Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) – perlu bertindak segera, malangnya sekarang ini ia membisu seribu bahasa di atas keganasan terhadap umat Islam.

Nasib malang umat Islam minoriti difahami, tetapi berdasarkan perkembangan semasa di beberapa negara umat Islam seperti Pakistan, kita berasa begitu sedih dan terpukul sekali. Laporan dari negara pimpinan Presiden Asif Ali Zardari (bekas suami Benazir Bhutto), menyatakan hampir 15,000 askar dikerahkan ke Lembah Swat di mana undang-undang Islam berkuatkuasa, bagi menghapuskan apa didakwa kubu kuat Taliban di sana.

Akibat serangan yang dikatakan didalangi oleh Amerika ini, lebih 1.5 juta orang awam menjadi pelarian. Washington dilaporkan menekan Islamabad bagi melakukan operasi ketenteraan itu, dengan dakwaan bagi menghancurkan tentangan Taliban yang mendatangkan ancaman kepada Pakistan seterusnya menggugat dunia Barat.

Tragedi di Lembah Swat kurang mendapat tempat di media antarabangsa, terutama di dunia Islam. PBB melaporkan 1.5 juta orang meninggalkan kampung halaman mereka bulan ini menyertai 550,000 pelarian dalaman sebelum ini, menjadikan lebih dua juta orang yang perlu dibantu segera termasuk penyediaan makanan dan tempat tinggal.

Berhubung krisis terbaru di Pakistan ini, Washington ‘begitu pemurah sekali’ dengan Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton mengumumkan bantuan segera AS$100 juta (RM360 juta) bagi meringankan derita pelarian. Selain Washington, negara lain terutama pemerintah umat Islam diam saja, tidak mengulas apa-apa mengenai perkembangan itu.

Bagi kita adalah amat malang sekali, bagaimana sesama Muslim dizalimi di negara yang pemerintahnya adalah orang Islam sendiri. Kemudian seluruh dunia Islam menyepikan diri, tidak mengambil peduli perkembangan ini. Kita juga berasa hairan kenapa OIC tidak bersuara langsung. OIC seolah-olah sudah tidak wujud lagi kerana dalam pelbagai perkembangan muktakhir membabitkan negara dan umat Islam, ia terus membisu dan membisu.

Sebagai contoh apabila rejim Zionis menguji segala macam jentera perangnya ke atas bumi Gaza pada penghujung tahun lalu, OIC dan negara Islam tidak pun bingkas bangun. Seolah-olah ledakan bom termasuk foforus ke atas orang awam Gaza adalah ibarat permainan bunga api saja. Demikianlah, apa sudah jadi ke ummah, sehingga sedemikian teruknya longlainya ikatan persaudaraan sesama Muslim.

Jika keganasan sesama Muslim di negara umat Islam pun tidak dapat ditangani, apakah mahu diharapkan pembelaaan ke atas saudara se-Muslim di negara mereka golongan minoriti. Itulah sebabnya sejak sekian lama nasib umat Islam di Selatan Filipina, Kashmir, Selatan Thailand, Myanmar, China dan banyak lagi rantau tidak terbela. Mereka terus dizalimi, usaha untuk membantu sesama Muslim semakin pudar, apatah lagi berjuang bersama mereka.

Demikianlah penyakit yang melanda ummah hari ini, salah satu faktornya mereka semakin jauh daripada mengamalkan perintah Allah SWT. Hidup ummah kini porak peranda, yang kuat menindas yang lemah, hatta sesama Muslim sekalipun!

Wednesday, October 14, 2009

Ada apa dengan angka?

Ada beberapa berita tidak lama dulu memeranjatkan penulis. Selain berita mengenai krisis politik di Perak, berita mengenai sukan juga tidak kurang gemparnya. Antaranya pelajar sukan (atlet-atlet muda di sekolah-sekolah sukan) tidak perlu belajar Matematik.

Tidak perlu belajar Matematik? Ini satu perkembangan menarik pada ketika isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menunju suhu tertinggi dengan perhimpunan 100,000 orang di ibu kota pada 7 Mac.

Nampaknya sesuatu yang berkaitan angka (ilmu hisab) seolah-olah menjadi fobia baru dalam masyarakat. Soalan pertama yang perlu ditanya; mengapa mengajar dan belajar Matematik dalam bahasa Inggeris?

Bagi penulis yang terbabit mengajar anak-anak kampung sendiri subjek bahasa Inggeris dan Matematik secara sukarela pada hujung minggu, kasihan sungguh melihat mereka yang berada di bangku sekolah rendah ini terkial-kial cuba menyelesaikan masalah matematik sedangkan mereka tidak faham kehendak soalan.

Ambil kisah Ali untuk dijadikan contoh. Ali berada dalam Tahun Empat. Prestasi pelajarannya sederhana. Ali cekap menjawab soalan-soalan Matematik ‘tanpa bahasa’, misalnya ½ = 50%, ¾ = 75%; tetapi apabila permasalahannya membabitkan bahasa, misalnya: “In a class of 40 pupils, ½ of them are boys. How many girls are there in the class?” Kasihan Ali; dia melopong tidak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah itu. Macam mana mahu selesai, dia tidak faham soalannya.

Ali tidak takut angka. Dia mampu menyelesaikan pelbagai masalah dalam matematik; campur, tolak, darab, bahagi, pecahan, peratus dan sebagainya tetapi apabila membabitkan permasalahan yang menggunakan bahasa Inggeris, dia macam ‘cicak berak kapur’.

Kasihan Ali, dengan bahasa Inggerisnya yang ‘tidak maju-maju’ sekalipun belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sejak masuk tadika, terasa rugi membiarkan anak ini, salah seorang daripada ratusan ribu pelajar yang bermasalah gara-gara dek bahasa.

Akhbar Mingguan Malaysia pada 15 Februari melaporkan daripada 518,616 murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2008 (kumpulan pertama yang belajar Sains dan Matematik daripada Tahun Satu pada 2003), 477,575 murid menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam menjawab kertas Sains dan Matemtik. Daripada jumlah itu, 243,799 menjawab bagi kertas Sains dan 233,766 lagi bagi kertas Matematik.

Jika angka ini tepat, apakah makna PPSMI kerana hampir 50 peratus murid menjawab sepenuhnya dalam bahasa Melayu sedangkan mereka belajar subjek ini dalam bahasa Inggeris sepanjang enam tahun di bangku sekolah rendah.

Sungguh melucukan apabila anak-anak belajar dalam bahasa Inggeris tetapi dibenarkan menjawab dalam bahasa Melayu. Kalau pihak kementerian yakin dengan PPSMI usahlah disediakan soalan dalam bahasa Melayu.

Itu lebih bagus sebab, tidak masuk akal seseorang murid itu belajar dalam bahasa Inggeris tetapi menjawab dalam bahasa Melayu. Lagipun bukankah bahasa Melayu tidak layak (tiada standard) untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik!

Dalam memorandum Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) yang diserahkan kepada Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein; Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim; dan Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang; antara lain ditulis: “Pengumuman keputusan UPSR tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid daripada 511,875 murid Tahun 6 menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris.

“Dalam mata pelajaran Matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam dalam bahasa Melayu atau bahasa Melayu/bahasa Inggeris.”

Sekalipun kedua-dua sumber ini ada sedikit perbezaan; yang jelas pelajar, terutama di luar bandar tidak mampu menjawab soalan dalam bahasa Inggeris. Ada yang faham soalan tetapi tidak boleh menjawab dalam bahasa Inggeris, maka terpaksalah menggunakan bahasa Melayu. Malang bagi mereka kerana sekalipun boleh menjawab dalam bahasa Melayu, ‘bahasa Melayu diharamkan daripada pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah’.

Jadi, bagaimana masa depan anak-anak ini? Ditambah dengan cadangan tidak mengajar Matematik kepada atlet-atlet muda di sekolah sukan, jadilah anak bangsa orang yang tidak faham mengenai angka-angka. Anak-anak muda akan fobia angka-angka. Apabila jahil hal ini, adalah pihak mengambil kesempatan.

Cendekiawan Dr Anwar Ridhwan, dalam wawancara Siasah (22-28 Februari) mengenai isu PPSMI menyatakan: “Akibatnya, dasar pelik ini hanya akan melahirkan generasi pekerja kelas kedua atau kelas ketiga, apabila mereka hanya layak ‘makan gaji’ (dalam bahasa kasar sebagai kuli…”

Ya, dasar PPSMI akan melahirkan orang awam (kebanyakan) yang buta atau benci angka sebagai kuli. Apabila ini berlaku, maka berleluasalah ‘jerung darat dan laut’ memanupulasikan angka. Sebagai bukti, penulis terkejut besar melihat satu notis di papan kenyataan sebuah masjid; yang antara lain tertulis: “Projek-projek yang di dalam perancangan oleh JKKK. Cadangan Projek Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) tahun…”

Projeknya berpuluh-puluh, antaranya; buat longkang konkrit 2 kaki kiri dan kanan sepanjang Jalan……sepanjang 3,000 meter – kosnya RM250,000; membina jejantas bagi kegunaan kanak-kanak melintas (RM600,000); turap semula Jalan……sepanjang 1,500 meter (RM57,000); membaik pulih gelanggang takraw dan buat satu lagi gelanggang dua dalam satu (RM15,000) dan membina medan makan (RM1,000,0000).

Wow, banyaknya duit, kalau orang buta angka (ilmu hisab) mungkinkah dia tidak dapat bezakan 1,000; 10,000; 100,000; 1,000,000. Lebih banyak orang buta angka, lebih baguslah sebab itu agaknya Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris!

Tuesday, October 13, 2009

Burung terbang usah dipipiskan lada

Syukurlah isu kerajaan perpaduan berkubur sudah, ditangani secara berhemah menepati peribahasa ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus manakala tepung tidak rosak’.

Tidak lama dulu Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara menolak gagasan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno-BN sebaliknya akan berusaha keras bagi memperkasakan gabungan pembangkang itu.

Pemimpin ketiga-tiga parti dalam Pakatan Raktar (PAS, DAP dan PKR) mengulangi pendirian untuk mengukuhkan kerjasama dalam gabungan pembangkang dengan hasrat mengambil alih kerajaan Persekutuan tidak lama lagi.

Pendirian bersama yang ditandatangani oleh Penasihat PKR yang juga Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP, Lim Kit Siang, sekali gus mengakhiri satu lagi talian hayat Umno-BN yang benar-benar berharap untuk memaut sokongan sehingga Perdana Menteri yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, Najib Razak mengisytiharkan PAS ikhlas dalam menghulurkan gagasan kerajaan perpaduan itu.

Dengan berkecainya talian hayat untuk Umno-BN dalam bentuk kerajaan perpaduan ini, pakatan PAS, DAP dan PKR perlu membuktikan keampuhannya pada pilihanraya kecil dan pilihan raya umum ke-13 nanti.

Umno-BN perlu dikalahkan sekali lagi bagi menginsafkan pendokong, penyokongnya dan pengundi atas pagar bahawa masa depan parti ini sebenarnya sudah berakhir dan sewajarnya mereka meniti jambatan, memasuki kapal baru Pakatan Rakyat yang selamat.

Terlalu banyak kegagalan yang boleh dikalungkan ke leher pemimpin Umno sejak kemerdekaan negara lebih 50 tahun lalu; tetapi oleh kerana keterbatasan ruang dan minat mendalam penulis akan persoalan bahasa, aspek ini saja akan dibincangkan dalam artikel ini.

Isu bahasa ini kini hebat diperjuangkan oleh ramai tokoh ternama seperti Pak Samad (A Samad Said), Dr Hassan Ahmad, Awang Sariyan, Nik Safiah Karim dan Profesor Abdullah Hassan (sekadar contoh).

Persoalan bahasa ini turut membabitkan pencapaian dan kemajuan pelajaran anak-anak di luar bandar seperti di Manek Urai. Apabila bahasa merundum, anak bangsa pun sama-sama kecundang, seterusnya membentuk generasi masa depan yang haprak; jadi apa sebenarnya mahu diperjuangkan oleh Umno yang berslogankan ‘dulu, kini dan selamanya’?

Kita merujuk kepada isu semasa iaitu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI); pendekatan kerajaan Umno-BN melalui ketuanya Mahathir Mohamad yang memaksakannya di sekolah-sekolah sejak 2003, apa pencapaian diraih setakat ini? Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Muhyiddin Yassin, PPSMI tidak banyak mengubah penguasaan dan pencapaian pelajar dalam bahasa Inggeris, kemungkinan peningkatannya hanya tiga peratus saja!

Demikianlah selepas berbilion ringgit wang negara dibelanjakan manakala masa lebih enam tahun berlalu (tidak termasuk masa akan datang dan masa pemulihan jika dikembalikan Sains dan Matematik ke dalam bahasa Melayu) tiada pencapaian hebat; status negara tidak pun terangkat sebagai negara maju, jadi apa yang boleh dibanggakan dengan kerajaan Umno-BN.

Kegagalan pemimpin Umno-BN dalam isu ini jelas sekali sehinggalah orang Umno sendiri seperti yang ditunjukkan oleh Umno Johor membantah PPSMI. Namun pemimpin besar Umno seperti biasa tidak mahu mengetepikan keegoannya, tetap dengan dasar yang tidak menguntungkan segelintir rakyat cuma. Malahan kajian akademik yang menunjukkan betapa merosot dan merananya anak-anak luar bandar dalam bidang pendidikan tidak langsung menginsafkan mereka.

Dari segi bahasa pula, sudah sewajarnya logik akal menyatakan jika bahasa Melayu tidak digunakan untuk membicarakan ilmu penting seperti Sains dan Matematik, ia bermakna bahasa ini sedang dipersiapkan untuk ditalkinkan di perkuburan. Jika pelajar dan cendekiawan membicarakan sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, siapa akan mengangkat martabat ataupun sekurang-kurangnya menggunakan bahasa Melayu dalam bidang berkenaan?

Berdasarkan tindakan menguncupkan bahasa Melayu inilah, pejuang-pejuang seperti Pak Samad sanggup mengerakkan urat-urat yang sudah letih dan bersengkang mata menyertai kumpulan dan gerakan yang diyakini dapat menobatkan kembali bahasa Melayu.

Pak Samad mengutarakan “jangan diberi undi kepada pihak yang menguncupkan bahasa ini” adalah isyarat jelas kepada rakyat yang cintakan masa depan anak bangsa dan bahasa agar menolak Umno-BN di mana-mana saja.

Rakyat perlu difahamkan bahawa Umno-BN telah gagal merealisasikan harapan anak bangsa, termasuk juga cita-cita pemimpin awal mereka yang mahu melihat rakyat disatukan di bawah satu bahasa kebangsaan bernama bahasa Malaysia atau dari segi globalnya bahasa Melayu.

Jika satu bahasa pun gagal direalisasikan, ada apa dengan 1 Malaysia yang diuar-uarkan itu? Demikian juga dengan kerajaan perpaduan, usah difikirkan kerana parti-parti dalam BN malah Umno pun sudah berpecah kepada banyak haluan dan kumpulan. Sebaliknya, ingat-ingatlah akan pantun Melayu ini:

Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada,
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada.

Monday, October 12, 2009

Melayu tak sedia meninggalkan bantal busuk bernama Umno

Nampaknya orang Melayu masih belum sedia melepaskan bantal busuknya yang bernama Umno selepas parti itu menang besar di Bagan Pinang dalam pilihan raya kecil Dun itu 11 Oktober lalu. Malah dengan kemenangan Umno dengan majoriti lebih 5,000 undi, kesetiaan mereka masih berpihak kepada Si Tuah yang taat membabi-buta.

Orang Melayu terlalu bergantung kepada perkara disanjungnya, dalam kes ini Umno yang telah menghuni dalam diri mereka sejak penubuhan parti itu sebelum merdeka sehingga negara sudah 52 tahun bebas daripada cengkaman penjajah.

Mengkaji kecenderungan sesetengah kanak-kanak kepada bantal busuk (dalam kes ini Umno) mungkin dapat melerai persoalan bersediakah orang Melayu meninggalkan Umno dalam menghadapi zaman baru yang lebih mencabar.

Jika sesetengah kanak-kanak tidak lekang dengan bantal busuknya, demikian juga orang Melayu, tidak selesa untuk meneruskan kehidupan tanpa pegangannya.

Daripada zaman kecilnya sehinggalah hampir ke liang lahad, sebahagian Melayu memerlukan wira, idola, tokoh, legenda dan ikon semasa (termasuklah Umno) untuk dijadikan dahan, tempat berpahut sama seperti seorang kanak-kanak mendambakan bantal busuknya.

Hang Tuah adalah antara idola dan ikon Melayu. Sama ada dia benar-benar wujud atau tidak, Hang Tuah tetap membawa kehebatan dan keperkasaan Melayu yang juga mahu dikaitkan dengan keturunan Iskandar Zulkarnain yang turun di Bukit Seguntang Mahameru.

Zaman berubah, sepanjang sejarahnya, Melayu berusaha mendekatkan diri dengan idolanya. Idola Melayu turut berubah daripada Hang Tuah yang digambarkan sentiasa berkeris kepada 'pahlawan' Melayu berkot dan bertali leher atau sesekali berpakaian Melayu seperti Dr Mahathir Mohamad.

Melayu baru adalah jelmaan Melayu lama. Ia tidak berubah sepenuhnya kerana sebahagian ciri, sifat dan sikapnya masih kekal. Ia masih mengekalkan pemujaan idola Hang Tuahnya (perhatikan bagaimana Melayu baru tetap bangga dengan keris seperti yang dipertunjukkan dalam perhimpunan agung sebuah parti Melayu).

Melayu baru yang mendakwa kontemporari masih mengekalkan cara hidup Melayu lama, jadi tidak hairanlah semoden mana seseorang Melayu itu, ia mengekalkan 'apa-apa yang diajarkan datuk neneknya' seperti adat bersanding, kenduri kendara dan menghidupkan budaya lama berdondang sayang, mak yong, berkuda kepang dan mendendangkan lagu unsur khurafat seperti Ulik Mayang atau Puteri Santubong.

Manusia Melayu yang bertuhankan sesama insan, harta benda, wang ringgit, pangkat, nafsu serakah dan iblis syaitan ini adalah kemuncak kepada pergantungan kepada idola seperti yang menjadi amalan sesetengah orang Melayu.

Slogan-slogan seperti 'hanya......saja mampu buat itu dan ini. Hanya ......saja yang mampu memerintah negara adalah antara manifestasi kebergantungan orang Melayu kepada idola dan pujaannya.

Slogan berbentuk indoktrinasi inilah sebahagian faktor penghalang minda Melayu untuk berkembang dan keluar daripada kepompong menyanjung idolanya sama seperti seorang kanak-kanak yang berpegang kejap kepada bantal busuknya. Sejak kecil sehingga dewasa dan seterusnya tua, kebanyakan manusia Melayu menerima apa saja yang disogokkan tanpa berusaha menyelidiki kebenaran atau hakikat sesuatu perkara itu.

Kebanyakan menggunakan alasan, 'itu adalah ajaran datuk-nenek (budaya) kita' sedangkan dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 170, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: "Dan apabila dikatakan kepada mereka: 'Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,' mereka menjawab: '(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami.' "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?"

Indoktrinasi ke atas orang Melayu begitu berkesan sehingga sebahagiannya tidak bergerak akal fikiran mereka - asyik memikirkan laba dunia - dengan semata-mata berpegang kepada idola, tidak lebih daripada kanak-kanak yang mahukan bantal busuk mereka sekalipun ia hapak, busuk dan meloyakan.

Jika tiada ajakan paradigma Melayu, orang Melayu dikhuatiri akan terus kekal hanyut dengan idolanya itu tidak kira dalam apa bidang pun, sama ada politik, ekonomi, budaya dan sebagainya sekalipun parti Melayu terbesar di dunia terus bersidang saban tahun.

Selagi Melayu tidak meninggalkan slogan '......dulu, kini dan selamanya', jangan harap Melayu lama akan bertukar Melayu baru yang hidup bertunjangkan al-Quran dan hadis, bukannya kerap menghunuskan keris lama (seperti sesetengah pemimpin Umno) ke udara seperti idola lamanya, Hang Tuah!

Kebergantungan orang Melayu kepada ‘bantal busuk’ bernama Umno itu nampaknya masih kejap (berdasarkan pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang). Orang Melayu masih tak lekang dengan idolanya, mereka mahu kekal dulu, kini dan selamanya.

IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN/IKLAN

Penjualan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’

* Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis telah menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam

Friday, October 9, 2009

Pemimpin korup: Usah biar Bagan Pinang jadi kes rujukan

Berdasarkan kelengkapan fizikal termasuk khemah gergasi dan lautan poster dan lambangnya di Bagan Pinang, ditambah lambakan kemewahan dan kewujudan hampir 5,000 pengundi pos, Umno-BN tidak mempunyai masalah mengekalkan kerusi Dun N31; tetapi tunggu dulu, pengundi kena ingat kemenangan itu akan menjadi ‘precedent case’ (kes rujukan) dalam memilih pemimpin termasuk dalam pilihan raya akan datang.

Apabila seorang calon bermasalah dipilih sebagai pemimpin, tidak menjadi hal pada masa depan, orang bermasalah dilantik ke jawatan tertinggi dan penting. Adalah menakutkan jika pada masa depan mereka yang telah didapati bersalah oleh lembaga tatatertib di pejabat dilantik ketua pegawai eksekutif (CEO), AJK korup menjadi pengerusi masjid, sidang bermasalah dilantik ketua kampung ataupun posmen pencen bermasalah menjadi ketua pos.

Apabila ini berlaku, bermakna sudah berlalu khianat dalam pemilihan pemimpin. Pemimpin dipilih secara sewenang-wenang tanpa mengambil kira ciri-ciri wajib dimilikinya seperti berakhlak mulia.

Hari ini begitu ramai orang menawarkan diri menjadi pemimpin sedangkan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq ketika orang ramai mahukan beliau menjadi khalifah menggeletar tubuh badannya seraya berkata: “Taatilah kepada aku selagi aku taat kepada Allah. Sekiranya aku menyeleweng atau melanggar perintah Allah jangan taat kepada aku. Tentanglah aku sehingga aku kembali kepada hukum Allah."

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, bermaksud: “Akan datang selepasku ini pemimpin-pemimpin yang suka bercakap bohong, dan suka melakukan kezaliman; sesiapa di kalangan kamu yang membenarkan pembohongannya, dan menyokong kezalimannya, mempertahankan kezalimannya bersama kezalimannya, kau bukan umatku dan aku bukan Nabi kamu, dan kamu tidak akan layak minum air kauthar (telaga)ku.” - Riwayat At-Tarmizi Wal Hakim Wannasa'i

Tinjauan di Port Dickson dalam kesibukan menjelang pengundian 11 Oktober ini menunjukkan bahawa limpahan kemewahan dan janji-janji manis, menenggelamkan sama sekali hakikat. Orang tidak mempedulikan ciri-ciri wajib ada pada pemimpin tetapi melihat kepada apa ditawarkan, hampir semuanya membabitkan keuntungan duniawi.

Keluarga seorang pembekal ayam daging di pekan Port Dickson memberitahu penulis, permintaan terhadap ayam terlalu tinggi, terlalu banyak pihak yang mahu mengadakan jamuan ketika kempen pilihan raya ini. Mereka untung besar, itu antara nikmat pembangunan dan kemajuan yang uar-uarkan kepada rakyat.

Rakyat disuakan dengan jamuan sana sini, hadiah itu dan ini sehingga mereka terlupa atau tidak tahu langsung siapa sebenarnya yang layak dipilih pemimpin. Bagi kebanyakannya, pemimpin yang datang dengan janji-janji pembangunan itulah yang layak dipilih sedang janji musim lalu masih tidak tertunai.

Bagan Pinang sebuah perkampungan Melayu semakin ditelan arus pembangunan. Semakin banyak hotel besar dan mewah menghiasi gigi air pantainya. Ketika duduk-duduk menunggu pada sekatan jalan raya pada hari penamaan calon (3 Oktober), seorang lelaki tua bertanyakan penulis arah Hotel Selesa yang menjadi penginapannya.

Penulis menyatakan tidak tahu, tetapi ketika melalui jalan Port Dickson-Teluk Kemang, barulah terperasaan hotel besar dan hebat itu. Kagumlah penulis kepada lelaki tua yang mampu duduk di situ, demikian betapa mewahnya warga negara ini sehingga orang terlupa masalah kronik yang menimpa masyarakat, apatah lagi memilih pemimpin yang baik.

Bagan Pinang dan Port Dickson bukanlah asing kepada penulis kerana mempunyai saudara. Ketika kunjungan penulis singgah solat waktu di masjid. Jemaahnya boleh dikira dengan jari; ertinya masjid-masjidnya gagal menarik minat masyarakat.

Tetapi pada hari penamaan calon, Masjid Bagan Pinang penuh dengan jemaah. Berdasarkan pembawaan mereka, dapat dikenali mereka orang luar dan daripada kumpulan mana. Di masjid ini penulis ketemui mantan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob yang apabila ditanya akan harapan PAS berkata: “Insya-Allah dan insya-Allah Negeri Sembilan akan ditawan apabila Den balik dari Bangladesh nanti!”