Friday, September 18, 2009

Di sebalik kematian, ada yang kaut untung besar

Hampir setiap hari penulis melalui bahagian depan sebuah kedai keranda ketika menuju ke sebuah restoran, tetapi tidak ambil peduli kegiatan di situ kecuali melihat-lihat peti keranda daripada kayu jenis baik dan mahal.

Suatu hari penulis memberanikan diri, bertanyakan harga peti keranda yang pada fikiran penulis dijual. “Tidak, kami tidak menjualnya,” kata salah seorang pekerja di situ, mengejutkan penulis.

“Kami sebenarnya menawarkan pakej pengkebumian,” katanya, matanya mengawasi penulis penuh curiga kerana masakan seorang ‘pak aji’ mahu membeli keranda yang jelas bukan untuk orang Islam. Walau bagaimanapun, dia mempersilakan penulis duduk, sambil dia dan kawannya meneruskan sejenis permainan seolah-olah ‘scrabble’.

“Boleh awak beritahu saya kos satu pakej pengkebumian?” tanya penulis. Lelaki itu teragak-agak untuk menjawab, tetapi kemudian memandang seorang kawannya dan lama kemudian berkata: “Tengok juga, awak mahu yang macam mana; dalam negeri ke atau luar negeri. Kemudian urusan macam mana; bakar atau apa, yang mati itu agama apa?”

Penulis membuat cerita kononnya mahu bertanyakan harga itu bagi pihak seorang rakan bukan Islam. Akhirnya dia berkata; “Yang murahnya antara RM2,000 hingga RM5,000. Pakej yang ada kelas ada berharga RM10,000; RM20,000; RM30,000 dan RM50,000!”

Sekalipun kakitangan dalam kedai itu kurang mesra, penulis terus bertanya, dalam sehari mereka boleh dapat berapa pelanggan. Mereka tidak menjawab; penulis menukar soalan kepada beberapa kematian mereka kendalikan dalam sebulan. Seorang lelaki menjawab: “Lebih kurang 80 kematian.”

Kalau ada 80 kematian, katakan semuanya ambil pakej RM5,000; wang diperolehi sudah RM400,000 sebulan. Jumlah wang ini begitu besar, untung ‘lebat’ nampaknya bisnes mengendalikan urusan orang mati, demikian fikir penulis.

Demikianlah, apabila berlaku sesuatu kematian bukan semua orang sedih; ada mendapat manfaatnya; mereka termasuklah golongan mendakwa profesional yang menjadikan kematian seseorang untuk mengaut untung.

Penulis sengaja merujuk kepada kedai pengurusan mayat itu bagi membandingkannya dengan pihak yang menjadikan kematian Raja Pop, Michael Jackson sebagai satu bisnes yang meraih keuntungan lumayan.

Sejak kematiannya pada 25 Jun lalu, Michael Jackson menjadi bahan carian tertinggi di internet. Tempoh waktu panjang daripada kematiannya sehingga dia dikebumikan, memberi peluang keemasan kepada golongan kapitalis dan oportunis mengaut untung besar-besaran.

Penulis berpandangan jika Jackson dikebumikan dengan segera, akan hilanglah atau hanya ada peluang kecil untuk pihak-pihak ini mengaut keuntungan. Tetapi dengan menangguhkan pengkebumian sehingga hampir dua minggu, pelbagai jenis perniagaan yang berkaitan Jackson dapat dijayakan.

Peminat akan sentiasa tertanya-tanya jadi selain barangan kenangan mengenai raja pop itu, akhbar dan majalah yang memuatkan berita mengenai Jackson juga laris; demikian juga dengan paparan dalam internet termasuk laman web.

Daripada buku biografi yang disifatkan sebagai ‘collector’s item’ hinggalah pertunjukan terbesar (yang dihajatkan Michael sebagai ‘the greatest show on earth’) membabitkan artis ternama dan 11,000 peminat; semuanya berselindung di sebalik kesedihan kematian bintang pop itu bagi mengaut keuntungan.

Keranda bagi pengkebumian Jackson dilaporkan bersalut emas berharga AS$25,000 (RM87,500). Pendeknya daripada penjual kemeja-T dan bunga kepada syarikat hiburan bernilai berbilion dolar, semuanya mencari peluang daripada kematian Jackson untuk menambah kekayaan.

Tempoh antara kematian Jackson dan tarikh pengkebumian dimanfaat sepenuhnya golongan oportunis termasuk syarikat yang menganjurkan lawatan ke kediaman di mana bintang itu mati dan juga tempat beliau disemadikan.

Penganjur konsert atas nama memperingati dan menghargai Michael Jackson boleh mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit; kesedihan peminat dieksploitasi sepenuhnya oleh mereka yang bijak bersandiwara di pentas hiburan dunia.

Demikianlah dunia hari ini dipenuhi oleh orang-orang bijak yang berupaya menukarkan kelemahan, kesedihan dan kehendak orang lain kepada kilauan emas permata dalam genggaman mereka.

Berbicara mengenai kebijaksanan golongan kapitalis ini, penulis teringat akan iklan di televisyen dan akhbar yang sudah menyebut mengenai persediaan menyambut hari raya. Sekalipun sekarang ini baru bulan Rejab (sebulan lebih lagi sebelum berpuasa), jurukempen barangan sudah memikirkan strategi untuk memenangi hati pembeli sempena sambutan Aidilfitri.

Kini sudah dikempenkan kereta dan perabot hari raya dan tidak lama lagi akan muncullah iklan barangan lain seperti langsir, pakaian, kuih muih dan kelengkapan rumah.

Ramadan adalah bulan untuk meningkatkan ibadat tetapi golongan oportunis sudah mula memulakan langkah masing-masing. Iklan untuk berniaga di bazar Ramadan sudah lama dikeluarkan, kemungkinan besar permohonan untuk mendapatkan lot gerai tidak lagi dilayan.

Demikianlah manusia dilalaikan dengan dunia termasuklah kemegahan dan kekayaan masing-masing sehinggalah mereka masuk ke dalam kubur. Bukan saja Michael Jackson masuk ke dalam kubur, kita juga akan menyusulnya. Kematian Jackson pada usia ‘muda’ (50 tahun) sewajarnya menyedarkan diri kita; bilakah agaknya giliranku ke sana.

Jackson memilih untuk hebat di dunia, oleh itu peminatnya, oportunis dan kapitalis menghadiahkan beliau dengan ‘kehebatan dunia’ juga; tetapi bagaimana diri kita? Apakah kita hendak menghiasi saki baki hidup kita yang singkat itu dengan mengejar nama, kemegahahan dan kemashyuran dunia?

Ingatlah Surah ‘At-Takaatsur’ di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bermegah-megahan telah melalaikan kamu (ayat 1) sampai kamu masuk ke dalam kubur.” (ayat 2)

1 comment:

Unknown said...

Bila sy membaca tulisan tuan, terasa diri spt telah memdapat teguran. Ya..Allah kau letakkan diri hambamu ini bersama-sama orang yg beriman dan setiasa hidup dalam rahmatmu di Dunia dan jua di Padang Masar. Amin