Monday, September 14, 2009

Cium bau syurga pun tidak dapat…

Suatu malam sedang saya melepak-lepak di depan peti televisyen, saya terdengar seorang penyampai berita antara lain membaca; “Bahang panas akibat kebakaran kapal tangki didaftarkan di Liberia, MT Formosa Product dan MT Ostende Max di luar pantai Port Dickson, dapat dirasakan dalam jarak dua kilometer.”

Kebakaran itu di tengah-tengah laut, tetapi pasukan penyelamat ketika api marak, gagal mendekati lokasi kerana kepanasannya sudah terasa dari jauh. Mendengar laporan penyampai berita itu mengingatkan saya akan ungkapan tuan-tuan guru ketika saya mengikuti pengajian di masjid dan di tempat lain.

Bagi menggambarkan balasan neraka dan syurga mereka menyatakan ungkapan seperti; “neraka itu dipanaskan sejak ribuan tahun menunggu mangsanya,” dan “bau syurga dapat dihidu walaupun 500 tahun lagi jarak perjalanan ke sana.”

Saya berfikir-fikir, jika api kebakaran kapal tangki (di dunia) dapat dirasakan dalam jarak dua kilometer, tentunya api neraka itu dapat dirasakan pada jarak terlalu jauh. Demikian juga balasan syurga itu, ia juga dapat dirasakan pada jarak terlalu jauh sehingga ada mengungkapkan 500 tahun perjalanan ke sana.

Apa sebenar dimaksudkan ilmuan berkenaan adalah tempoh masa orang berdosa yang terhalang daripada memasuki syurga. Sebagai contoh, perempuan yang mendedah aurat tidak mencium bau syurga. Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Perempuan yang memakai baju tetapi telanjang, dan dia memandang lelaki lain, dan membuatkan lelaki-lelaki lain terpandang kepadanya, maka perempuan ini tidak akan mencium bau syurga. Sedangkan syurga sudah pun boleh dibau dari jarak 500 tahun perjalanan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Demikianlah, berdasarkan hadis ini dinyatakan syurga itu dapat dibau dari jarak 500 tahun perjalanan. Jika di dunia ini, dengan menaiki kapal terbang seseorang yang mahu menunaikan haji atau umrah, memerlukan lapan jam untuk sampai di Tanah Suci dari KLIA, bayangkan jaraknya jika penerbangan dilakukan selama 500 tahun!

Jarak perjalanan 500 tahun yang dinyatakan itu adalah 500 tahun akhirat bukan dunia, jadi tentulah masanya tersangat lama. Dulu memang susah hendak saya bayangkan perkara ini; tetapi kini (berdasarkan peristiwa kapal terbakar) ia membantu menambah kefahaman saya.

Jika kebakaran besar di dunia sudah dapat dirasakan dari jarak jauh lagi, tentulah syurga dan neraka yang amat hebat itu dapat dirasakan dari jarak yang tersangat jauh dan dalam kes syurga dikatakan mereka yang berdosa, tidak dapat mencium baunya sedangkan bau syurga boleh dihidu dalam jarak 500 tahun perjalanan.

Berlainan daripada hukuman kepada wanita mendedahkan aurat, bagi wanita soleh yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya dikatakan akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya.

Tempoh 500 tahun itu tentulah tersangat panjang; tetapi itulah balasan bakal diterima wanita seperti itu. Berbahagialah dia, tetapi tersangatlah malang bagi sejumlah manusia yang bukan saja tidak masuk syurga malah bau syurga pun tidak dapat dirasainya.

Dalam buku ‘14 Amalan Manusia Tak Dapat Bau Syurga’ oleh 'Abdullah Al-Qari Salleh (Dinie Publisher), dinyatakan mereka itu terdiri daripada anak mendurhakai ibu bapa, mengaku bapa kepada bukan bapa, memutuskan hubungan keluarga, minta cerai pada suami tanpa sebab, wanita keluar secara bersolek, orang tua yang berzina, lelaki memakai labuh bermegah, belajar agama untuk dunia, peminum arak, orang yang mati tersemat sombong, orang yang membangkit mmalan, membunuh kafir mu'aahid-dzimmi, pemimpin tidak menasihati rakyat dan pemimpin atau kumpulan zalim.

Kini Ramadan kembali mengetuk hati umat Islam di seluruh dunia. Kebanyakan daripada kita giat beribadat untuk mendekatkan diri kepada-Nya seterusnya mendapatkan syurga-Nya tetapi ramai juga yang menempah tiket tidak mampu mencium bau syurga.

Berhubung perkara ini, penulis tertarik dengan luahan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa umat Islam terlalu mengkaitkan Ramadan dengan puasa, solat tarawih, witir dan ibadat khusus lain tetapi gagal melihat kepentingannya dari segi penurunan al-Quran.

Seorang penceramah agama yang saya ikuti di kaca televisyen pula berkata adalah tidak tepat menamakan Ramadan sebagai bulan puasa kerana bimbang umat Islam akan melihatnya sebagai ibadat puasa saja sedangkan Ramadan adalah bulan penurunan al-Quran yang dalamnya merangkumi segala perintah dan larangan Allah SWT.

Apabila Ramadan dikaitkan dengan puasa saja, itulah menyebabkan timbul pelbagai masalah dalam masyarakat. Timbullah di kalangan umat, orang yang berpuasa tetapi tidak bersembahyang. Kemudian ada orang yang berpuasa tetapi tidak menutup aurat secara sempurna. Kemudian ada orang berpuasa tetapi tidak ‘mempuasakan’ anggota tubuhnya daripada melakukan maksiat. Mereka hanya tidak makan dan minum, sedangkan pelbagai maksiat diteruskan. Ada yang siangnya berpuasa tetapi malamnya pergi disko atau tikam ekor.

Demikianlah betapa ramai manusia yang kononnya cuba mendekatkan diri dengan Allah SWT dengan berpuasa tetapi hakikatnya mereka menjarakkan diri daripada mencium bau syurga Allah SWT apatah lagi memasukinya dengan melakukan perkara bertentangan secara serentak. Mereka berpuasa tetapi tidak sembahyang; ada yang puasa tetapi mengamalkan rasuah dan menzalimi orang lain. Ada yang berumrah saban Ramadan, tetapi aurat tidak ditutup sepenuhnya.

Ramai membaca dan memahami al-Quran tetapi mengambil hukum-hakamnya secara separuh-separuh. Misalnya ada pihak mengambil suruhan berpuasa untuk diamalkan tetapi menolak hukum hudud termasuk berdalih kononnya ia tidak sesuai dilaksanakan dalam masyarakat majmuk sedangkan kedua-dua perintah ini terkandung dalam surah sama iaitu al-Baqarah. Demikianlah begitu banyak manusia menempah untuk tidak mencium bau syurga apatah lagi memasukinya.

No comments: