Sunday, March 13, 2022

Syaaban 10, 1443: Aku lebih dahulu makan garam...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 


Renungan


"Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu sesungguhnya orang-orang sombong takabur daripada berdoa serta beribadat kepada-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina." (Surah Ghafir, ayat 60)


SEPANJANG hidup saya yang menjangkau usia 60 tahun ini, ada beberapa kali orang menegur cara solat saya. Puluhan tahun lalu, seorang jemaah memberitahu sebutan ‘la-dzii’ (swi-raa-twal la-dzii-na an-‘am-ta ‘a-lai-him) yang saya baca ketika mengalunkan al-fatiHah tidak tepat, bacaannya adalah nipis, saya telah membuat kesalahan di situ, katanya. 


Saya terima tegurannya dengan besar hati, dia mengajar saya menyebut bacaan itu beberapa kali. Katanya, jika saya tersilap sebut, maknanya dikhuatiri sudah lari, akibatnya sangat berat sehingga solat boleh jadi tak sah. Namun, Allah itu Maha Pengampun, ada ruang untuk Dia memaafkan perbuatan tidak sengaja atau kerana kejahilan seseorang. 


Seorang jemaah pernah menegur bacaan saya agak kuat, boleh mengganggu jemaah di sebelah. Kemudian ada menegur, duduk tahiyat akhir saya agak terbuka, ada kemungkinan aurat terdedah.


Ya, dalam menjalani kehidupan pada mulanya, memang sukar untuk kita menerima teguran, tetapi secara beransur-ansur hati ini dijinakkan untuk mengakui bahawa diri ini sebenarnya begitu banyak kelemahan dan kesilapan, hanya kita sendiri perasan atau syok sendiri kita yang terbaik dan berada di jalan betul sedangkan banyak hal yang kita lakukan adalah tidak betul. 


Kita tidak nampak kesalahan sendiri, kita perlukan orang lain menegur kita. Yalah, kalau ada kudis di belakang kita mana kita tahu sehingga orang lain memberitahunya. Orang yang menegur itu sebenarnya sayang kepada kita, dia mahu kita selamat di akhirat sana (termasuklah kehidupan di dunia ini), malangnya tidak ramai yang bersedia menegur atau ditegur. 


Ramai tahu kesilapan kita tetapi tiada kesanggupan menegur. Ini kerana mereka bimbang bahananya kerana ramai orang melenting apabila ditegur. Sesetengah orang ditegur menempelak dengan berkata, 'kau siapa, aku dahulu makan garam daripada kaulah!"


Semua orang membuat kesilapan (peribahasa Melayu berbunyi ‘bumi mana yang tidak ditimpa hujan’) dan yang terbaik adalah orang yang mengaku kesalahannya dengan meminta ampun kepada Allah SWT dan meminta kemaafan sesama manusia. 


Setiap orang yang mengaku dirinya banyak melakukan kesalahan dan dosa berada di jalan benar sebab itu ada doa berbunyi: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar kata-kataku, Melihat tempatku berada, Mengetahui perkara yang rahsia dan yang nyata daripadaku dan tiada sesuatu pun urusanku yang tersembunyi daripada pengetahuan-Mu.


Aku adalah hamba-Mu yang hina dan serba kekurangan, yang sentiasa mengharapkan pertolongan dan perlindungan, cemas dan takut serta mengakui segala dosaku di hadapan-Mu. Aku memohon kepada-Mu umpama si miskin yang meminta-minta, aku juga tunduk di hadapan-Mu sebagai orang berdosa dan hina. Aku memanjatkan doa kepada-Mu umpama orang yang dicengkam rasa takut dan bahaya sebagai hamba yang patuh dan tunduk di hadapan-Mu...” 


Kalau kita hayati doa yang dikaitkan dengan Rabiatul Adawiyah lagi mengharukan...ya Tuhanku, aku tidak layak dengan syurga-Mu tetapi aku tidak sanggup menahan azab neraka-Mu... 


Kebalikannya, jika kita terus mengaku diri kita sentiasa betul walaupun ada orang pernah menegur, dikhuatiri kita berada di jalan salah. Amat dibimbangi jika kita membawa bersama sikap itu sehingga tanah memasuki mulut kita (matilah). 


Dalam tafsiran Surah Al-A’raf, 7: 8 ada dinyatakan: “Allah menerangkan dialog penghuni A’raf dengan penghuni neraka yang terdiri daripada orang-orang yang sombong dan takabur pada masa hidup di dunia. Orang-orang yang merasa mulia kerana kekayaan dan hartanya yang banyak, merasa bangga hidup di dunia, memandang hina orang-orang mukmin yang miskin dan lemah kekuatan dan lemah, iaitu lemah kekuatan dan lemah kedudukan, dan sedikit pengikutnya. Mereka selalu membanggakan bahawa siapa yang hidup kaya dan mulia, serta berkuasa di dunia, itulah orang-orang yang akan berbahagia di akhirat dan terhindar daripada azab Allah.” (Syaamil Al-Qur’an, The Miracle, Departmen Agama RI, ms 310) 


Berdasarkan keterangan ini, fahamlah kita mengapa ada tokoh pelbagai bidang termasuk politik sentiasa berfikir dan berkata dia betul dan enggan menerima teguran. Dia saja betul, orang lain salah, jadi jangan tegur kerana aku dahulu makan garam dah!


Marilah semua (termasuk penulis yang sudah 60+ ini) memerdekakan diri daripada ‘perasan’ atau ‘syok sendiri’ “aku sentiasa betul.” Marilah kita berubah termasuk berlapang dada menerima teguran, yalah, sebelum ‘tanah memenuhi mulut kita’ (matilah!). 

Saturday, March 12, 2022

Syaaban 9, 1443: Jangan meniarap kepada manusia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang aniaya, nanti kamu ditimpa api neraka.." (Q.S. Hud:113)


BAHARU-BAHARU ini seseorang (Muslimah ) bertanya (menyatakan kemusykilannya) kepada saya bahawa dia tidak faham mengapa sesetengah wanita (orang Islamlah) sukar benar hendak bertudung. "Kankah hampir semua wanita dah bertudung, kenapa dia pulak tak nak bertudung...apa sebabnya?"

Saya tak menjawab secara terus tetapi berkata: "Lebih 20 tahun lalu saya ada membaca sebuah buku (ditulis oleh seorang wanita, saya terlupa namanya) yang bertajuk lebih kurang begini 'MENGAPA SAYA BERTUDUNG?' Buku ini menghimpunkan kisah sejumlah wanita (kalau tak silap saya lebih 20 wanita pelbagai latar belakang) yang akhirnya bertudung. Ya masa itu tak seramai wanita yang bertudung seperti sekarang.

Saya mengesyorkan kepada si penanya: "Anda tulislah sebuah buku yang mungkin tajuknya berbunyi 'MENGAPA SAYA TAK BERTUDUNG' atau 'MENGAPA SAYA TAK NAK BERTUDUNG'. Wawancaralah lebih kurang 20 responden, tanyalah kisah mereka,  jadi awak tahulah jawapannya. 

Ini cerita lain pula. 

Pada waktu 'tak berapa muda' sekarang ini, saya perlu mengikuti panduan 'buku-buku baik' untuk bekalan ke alam sana. Alhamdulillah antara lain, saya dapat membaca buku 'Penenang Jiwa (Pengubatan & Rawatan) oleh Imam Al-Ghazali dan diterjemahan oleh Muhammad Qadirun Nur (Wholesale Mart)

Mengenai bab QANAAH ada diungkapkan:


Meniaraplah di hadapan Allah, jangan meniarap kepada manusia,

Menerimalah dengan memutuskan keinginan,

Sungguh kemuliaan itu dalam tiada keinginan,

Jangan berharap kepada sanak saudara,

Orang kaya yang tidak berhajat kepada manusia.


Juga dikatakan senada dengan syair itu:

Wahai si pengumpul dunia!

Waktu kian menentukan,

Terkunci rapat semua pintu,

Sambil kau fikir bagaimana mewujudkan keinginan,

Entah mudah atau sulit kau buru juga,

Kau kumpulkan harta,

Katakan padaku, sudahkah kau kumpulkan?

Hai pemburu harta,

Hari-hari kian meninggalkanmu,

Hartamu telah dilirik ahli waris,

Milikmu hanyalah yang kau infakkan,

Zat yang membahagi akan memberimu rezeki,

Pemberian daripada-Nya selalu terjaga,

Selalu baru takkan binasa,

Qanaah itu selalu menerima,

Tidak pernah tergesa atau berduka.

Friday, March 11, 2022

Syaaban 8, 1443: Suami doa 'mahu tambah', isteri doa tak mahu bermadu... (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim) 


SEORANG mutawif menceritakan kisah sepasang suami isteri yang sama-sama ke Makkah bagi menunaikan umrah. 

Di depan Kaabah, si suami antara lain berdoa berjayalah usahanya untuk menambah satu lagi 'cawangan' (beristeri barulah) sedangkan si isteri pula berdoa biarlah dia dan suaminya hidup rukun damai, janganlah hendaknya hadir orang ketiga yang boleh mengeruhkan rumah tangga mereka berdua. Ringkasnya dia tak rela dimadukan, dia tak rela berkongsi suami. 

Dalam situasi begini, kedua-duanya bebas untuk berdoa mengikut kehendak masing-masing. Tentunya hajat mereka berlawanan antara satu sama lain. Tiada siapa boleh menghalang mereka daripada berdoa sedemikian. Si suami dengan doanya manakala si isteri dengan doanya pula. Soal siapa benar dan doa siapa dikabulkan itu bukan urusan manusia, semuanya diserahkan kepada Yang Maha Kuasa.

Terpulanglah kepada Allah SWT untuk menentukan siapa yang dipilih-Nya. 

Demikian juga dalam kisah korban dua orang anak Nabi Adam a.s. - Qabil dan Habil. Kedua-duanya bebas membuat korban. Yang menjadi pemutus kepada korban mereka adalah SWT. Allah SWT Yang Mahu Mengetahui siapa antara kedua-duanya yang ikhlas, yang berada di jalan benar dan lurus. Hak Allah-lah yang menjadi pemutus kepada korban mereka.S

Seperti doa pasangan suami isteri tadi, apa nak ditakutkan dengan doa 'lawan' masing-masing. 

Jika kita yakin kita di jalan yang benar pastilah Allah SWT akan berpihak kepada kita, bukankah bagi setiap doa itu sudah dijanjikan untuk dimakbulkan di dunia ini, jika tidak 'disimpan' untuk kita nikmati di akhirat nanti dan lebih mulia lagi di dunia pun kita dapat di akhirat pun kita dapat sejajar dengan doa ulung ini: "Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar" yang bermaksud "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka." (QS. Al Baqarah 201) 

Sewajarnya sebagai orang jitu imannya, kita tidak gusar dengan perbuatan termasuk doa orang lain kerana berpegang teguh kepada akidah, tiada apa yang boleh merosakkan kita sekali pun bergabung seluruh makhluk jika hal itu tidak dizinkan Allah SWT. Jadi jika kita berada di landasan (jalan) yang betul dan lurus, apa yang hendak ditakutkan? 

Biasanya yang takut itu adalah orang bersalah, dia sentiasa bimbang orang akan tahu tembelangnya. Orang tidak pun membicarakan kesalahan atau perbuatan jahatnya, tetapi dia terasa pula. Macam orang sudah berak di tengah jalan, mana dia mahu mengaku. Tetapi apabila ada orang buka bicara 'kisah tahi', dia dengan mudah akan terasa. Orang cerita kisah tahi ayam pun, dia terasa! 

Jika dengan melakukan perbuatan jahat kecil-kecilan seperti berak di tengah jalan pun pelakunya sudah resah gelisah, bayangkan jika seseorang atau kumpulan terbabit dalam kes bunuh, rogol, zina, rasuah, rompak wang rakyat, menipu dalam proses mendapat kuasa dan sebagainya. 

Tentunya mereka bimbang apabila orang membicarakan hal ini sekalipun tidak menyebut nama mereka. Apabila orang memperkatakan bab hudud, hati mereka akan berdegup pantas dan kuat...dup...dap...dup...habislah aku nanti aku kena rejam dengan batu (bagi pesalah zina) dan potong tangan (bagi pencuri). 

Jika kita rajin mengikuti tazkirah termasuk kelas pengajian di masjid, kerap benar kita mendengar ustaz memberitahu antara doa yang mustajab (cepat dimakbulkan) adalah doa orang teraniaya atau dizalimi. Pelaku zalim ini tidak payahlah menunggu di akhirat, di dunia lagi mereka sudah dinampakkan dan menerima kesengsaraan kehidupan.

Kata ustaz, kezaliman itu bukan saja bermaksud menzalimi manusia (terhadap orang Islam dan bukan Islam) tetapi juga kepada binatang malah seluruh makhluk-Nya. Jika kita menzalimi seekor binatang, binatang itu akan mendoakan kebinasaan kita, itulah sebabnya kehidupan kita tak pernah aman, selalu berkeluh kesah dan sengsara sekalipun harta bertimbun, kuasa besar dan berjawatan tinggi melangit.