Wednesday, November 4, 2020

Rabiulawal 18, 1442: Jurukempen kebaikan terlalu kurang...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

"Oleh itu, jika mereka bertaubat (daripada kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama, dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui." (At-Taubah Ayat 11) 


UNTUK berjaya dalam dakwah, kita perlukan jurukempen yang kuat dan ramai dengan usaha berterusan, kata seorang ustaz dalam satu tazkirah yang saya hadiri baru-baru ini. 

Kita tidak perlu merujuk jauh, jenguk dan amat-amatilah iklan di televisyen; ada satu iklan berbunyi: "Minum....anda jadi sihat dan kuat." 

Slogan jenama ini diulang-ulang, lagi kerap lagi bagus sehinggalah sekarang ini ia sudah sebati dalam masyarakat. Orang sudah tahu bahawa minum...jadi sihat...dan hampir 100 peratus yakin jika mengambil jenama ini dia akan sihat. Di sini kita tidak berhajat menyentuh kebenaran dakwaan pihak berkenaan tetapi ingin menegaskan apabila sesuatu perkara itu diledakkan dalam kepala seseorang secara berulang-ulang puluhan, ratusan, ribuan, puluhan ribuan atau jutaan kali, akhirnya orang yang dipropaganda itu akan mengaku kalah. 

Inilah juga sebahagian ajaran Menteri Propaganda Jerman era Adolf Hitler, Joseph Goebbels, yang antara lain menyebut: 'a propaganda theme must be repeated' (tema propaganda mesti diulang-ulang). 

Sejumlah pemimpin mengakui akan kaedah propaganda ini. Kata mereka sekarang ini walaupun sesuatu perkara kita yakini tidak betul pada mulanya tetapi akibat propaganda yang agresif, keyakinan kita mula terhakis dan lambat-laun kita mula percaya apa yang dipropagandakan itu. 

Ambil contoh  apabila pemimpin mencanangkan kita terbaik...terbaik...terbaik dan diulang ratusan dan ribuan kali pada setiap ruang dan peluang, maka hampir semua orang akan mengungkapnya kembali, terbaik...terbaik...terbaik. Maka mungkin tiada yang berkata ia tidak baik. 

Orang yang pada mulanya berkata tidak baik, apabila diledakkan dalam otaknya hampir setiap masa manakala ungkapan itu dilihat dalam semua media, akhirnya dia juga akan mengaku kalah dan berkata, terbaik...terbaik...terbaik. 

Berbalik kepada ustaz yang bertazkirah tadi, katanya, kempen ke arah kebaikan juga perlu dilakukan secara agresif; beliau memberikan contoh ini - Seorang ulama tersohor dijadualkan akan berceramah di masjid kita; jadi kita sebagai tukang kempen perlulah bekerja keras; misalnya kita mulalah mencetak dan mengedarkan 50,000 'flyer' (kertas edaran maklumat majlis) di kawasan berkenaan; barulah majlis kita mendapat sambutan. Itu pun jumlah yang hadir mungkin 5,000 atau 10,000 orang saja. 

Jika dengan mengedarkan 50,000 'flyer' kepada orang ramai hanya 1/5 atau 1/10 daripada mereka saja yang datang, bayangkan jumlah hadirinnya kita tidak membuat kempen itu. "Mungkin yang datang adalah macam jumlah hadirin di majlis ini (20-30) orang saja," kata ustaz itu. 

Demikianlah, dalam dakwah kepada masyarakat, jurukempennya (pendakwah) perlu ramai dan melakukannya secara berulang-ulang kali, kata ustaz itu. Misalnya, bercakap mengenai kebesaran Allah, kita terus menerus bercakap mengenai hal ini tanpa rasa jemu dan penat, insya-Allah lama kelamaan akan tertanam juga di hati sebahagian daripada anggota masyarakat akan apa kita nyatakan itu. 

Apabila Allah SWT memberi hidayah, tidak ada apa yang dapat menghalangnya lagi, namun dalam masyarakat kita hari ini, tidak ramai rela berkorban menjadi jurukempen kebaikan. 

Bagi yang sudah menjadi jurukempen kebaikan, teruslah istikamah berkempen tetapi jangan lupa untuk berdoa, memohon kejayaan kepada-Nya, kata ustaz itu.

Tuesday, November 3, 2020

Rabiulawal 17, 1442: Ketepikan kata orang, ikutlah kata Allah…(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim) 


KESEMPATAN berbual-bual dengan seorang teman karib semasa kecil dulu tetapi sekarang sudah hanyut dalam dunianya sendiri seperti penyalahgunaan dadah, menginsafkan saya bahawa, "kita sebenarnya tidak melakukan kerja-kerja kebajikan, sebaliknya kita banyak syok sendiri kononnya kita orang baik kerana orang yang hampir dengan diri kita seperti isteri, anak, saudara mara dan rakan pun kita tidak mampu mendakwah mereka. Malah untuk diri sendiri pun kita tidak mampu mendakwah nafsu dan kejahatan diri."

* Teman karib ini meninggal dunia baharu-baharu ini, sedekahkanlah Al-Fatihah untuk dirinya.

Hakikatnya, kita lemah dan jahil; kita sebenarnya tidak berdaya. Namun apabila kita akui kelemahan dan kejahilan itu sebagai sifat biasa manusia termasuk diri sendiri, insya-Allah kita dapat semangat bahawa kita boleh beriktihar dan berusaha (melakukan yang terbaik termasuk membuang ego diri); yang lain serahkan kepada Allah SWT, berjaya atau tidak itu bukan urusan dan kerja kita, itu kerja Allah SWT, mengapa kita mahu campur tangan urusan Allah SWT? Tidak malukah kita? 

Untuk membuang ego bukan mudah, ia perlu mujahadah yang tinggi. Ya, bukan mudah untuk diri ini bertegur sapa dan bermesra dengan seorang penagih dadah. Nanti apa orang kata, "Aiyy, budak LanH tu dah berkawan dengan si penagih dadah. Agak-agaknya dia pun sudah jadi penagih agaknya." 

Demikian kita terlalu memikirkan apa orang lain akan kata, namun jarang sekali kita memikirkan apa yang Allah SWT kata, apa yang Tuhan kita firmankan melalui al-Quran yang kita baca itu. Antaranya, ayat 6 Surah at-Tahrim yang bermaksud: "Wahai orang-orang beriman, selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka..." 

Akhirnya saya bertegur sapa dengan teman itu. Selepas beberapa kali berjumpa, saya hadiahkannya senaskhah buku kompilasi fadilat zikir dan doa selepas solat yang kebetulan berada di tangan saya. Terkejut besar dia, lantas bertanya: "Ehh, ini bacaan selepas solat...aku sembahyang pun tak buat lagi!" 

"Itulah kau kena sembahyang," kesempatan itu saya gunakan untuk berbicara. "Kau nampak tak pokok mangga tu? Sekarang sedang berbunga. Cantik bunganya. Selepas itu akan muncul buah. Daripada putik kemudian jadi buah yang ranum. Kita petik dan makan. Sedap. Perut kita pun kenyang. Siapa jadikan semua ini. Apabila makan buah mangga, siapa beri kita kenyang?" 

“Allah," jawab teman itu. 

"Jadi ucaplah terima kasih kepada Allah. Satu cara ucap terima kasih kepada Allah ialah dengan menyembah-Nya. Jadi solatlah," kata saya. 

"Aku tahu,” katanya. “Bukan aku tak tahu. Aku bukan tak nak sembahyang, tapi tak ada kekuatan.” 

“Kau perasan tak sesetengah buruh yang buat kerja kat masjid kampung kita? Angkat batu dia boleh, tapi bila orang bang (azan), nak angkat air sembahyang (wuduk) tidak mampu. Mana lebih berat, angkat batu ke atau angkat wuduk? Ya ramai orang boleh angkat batu tapi tak ramai yang boleh angkat wuduk. 

“Ya sama seperti kekuatan untuk angkat wuduk, kau juga perlu kekuatan untuk solat. Sebenarnya, bukan kau saja, hampir semua orang malas untuk solat. Orang berjaya adalah mereka yang lawan sifat dan nafsu jahat itu. Itulah kau mesti lawan perasaan tak nak solat tu.” 

“Nanti kalau aku solat, apa pula orang kata? Kawan aku akan kata, “ehh budak…kaki dadah itu dah solat, dah alim dah…” 

“Engkau jangan peduli apa orang kata. Itu tak penting. Kau kena peduli apa Tuhan kata. Tuhan kata, kalau kau tak solat kau masuk neraka. Kau nak masuk neraka?” 

“Aku sekarang dah dekat 50 tahun. Ada peluang untuk aku bertaubat?” 

“Apa kau cakap ni, kau tentu tahu ada kisah seorang penjahat, dia sudah bunuh 100 orang tetapi Allah terima taubatnya sekali pun dia baru bergerak ke negeri orang baik-baik; demikian juga khalifah kedua Umar al-Khattab sebelum Islam dia samseng Makkah yang telah bunuh anak perempuannya sendiri, tetapi selepas Islam, Nabi pernah berkata jika ada seorang nabi selepas baginda, orang itu adalah Umar!

"...(nama sahabat itu) sekarang ni, kalau kau tak mampu buat baik, jangan buat jahat..." 

"Maksud kau?" 

"Kau sendiri pun tahu!" 

"Kalau masih tak mampu solat, jangan hisap dadah?"

Demikianlah, dalam menjalani kehidupan, ramai berpandukan apa orang kata, sebaliknya hanya segelintir yang berpandukan apa yang Tuhan kata; berdoalah kita agar kita sentiasa mendengar dan mengikut kata Allah dan bukannya kata manusia!


Monday, November 2, 2020

Rabiulawal 16, 1442: Alhamdulillah jika orang mahu bersihkan kita...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 


PADA tazkirah setiap malam Rabu di sebuah masjid berhampiran rumah saya, ustaz yang mengajar merujuk kitab 'Bidayatul Hidayah' karangan Al-Imam Hujjatul Islam Al-Ghazali. Terkini ustaz membahaskan topik 'cara meninggalkan maksiat'...satu perkara menyentuh saya adalah 'isu bersih'.


Kata Imam Ghazali: "Seandainya engkau melihat dirimu bersih daripada dosa, baik zahir atau batin dan engkau melihat dirimu bersih daripada segala keaiban baik yang berkenaan dengan urusan agamamu ataupun duniamu, maka ketahuilah bahawa kejahilan terhadap dirimu sendiri adalah sejahat-jahat kejahilan. 


"Tidak ada aib yang lebih besar daripada seseorang yang menganggap dirinya bersih daripada segala dosa dan kesalahan. Sebenarnya ketika itu Allah SWT tidak menghendaki kebaikan terhadap dirimu. Jikalau Dia menghendaki kebaikan pada dirimu tentu Dia menunjukkan kepadamu akan aib dirimu. Jadi ketika engkau melihat dirimu sebagai seorang yang bersih, maka itu adalah kesudahan daripada segala kejahilan."


Subhanallah, sebenarnya kita semua tak bersih. Hakikatnya tiada orang yang boleh mengaku dia bersih. Tiada seorang manusia pun kecuali nabi-nabi yang bersih daripada dosa (maksum). Kalau seseorang itu mengaku dia bersih, sahlah dia tak bersih. Bercakap mengenai bersih ini, Nabi Muhammad s.a.w. yang maksum itu pun bertaubat meminta ampun kepada Allah SWT; sesetengah riwayat menyatakan sebanyak 70 atau 100 kali sehari - jadi sudah pasti kita ini tidak bersih dan perlu sentiasa meminta maaf kepada manusia lain dan ampun kepada Yang Maha Kuasa.


Orang atau pihak yang tidak mahu ditunjuk dan dinasihatkan mengenai perkara tidak bersih mengenai dirinya adalah orang sombong dan takabur, menepati ciri-ciri iblis yang tidak akan duduk diam sehingga semua manusia masuk neraka bersama-samanya! Namun iblis tewas kepada orang ikhlas dan salah satu ciri orang ikhlas ada orang yang sedia menerima teguran dan nasihat.


Keburukan yang melanda diri hatta negara kita makin lama makin dahsyat (busuk). Masyarakat semakin 'konfius' (keliru antara perkara baik dan jahat). Ya, mereka terutama generasi baru tidak tahu lagi akan ketepatan istilah-istilah seperti 'derma', 'rasuah', 'politik wang' dan 'rasuah politik'. Mereka terkeliru apakah pemberian wang berbilion-bilion ringgit itu 'derma' sedangkan 'melarikan' seringgit dua daripada tabung masjid atau 'melesapkan' sepaket milo daripada pasar raya untuk diberi makan kepada anak isteri yang kelaparan adalah jenayah besar dan apabila tertangkap ada yang dipukul orang ramai sehingga separuh mati sebelum diserahkan kepada polis?


Ya, semua orang dan pihak perlu sentiasa membersihkan diri. Mengikut ajaran Islam, untuk melakukan ini kita perlu sentiasa belajar dan muhasabah (mengkoreksi) diri serta melakukan kebaikan sebanyak mungkin sebaliknya menghindari daripada segala kejahatan seperti makan rasuah, berlaku zalim ke atas orang lain yang jika dilakukan akan menumbuhkan titik-titik hitam di hati kita.


Kalau kita istiqamah untuk membuat kebaikan dengan ikhlas, insya-Allah, Yang Maha Kuasa akan membuka hijabnya sedikit demi sedikit, hati kita yang ditutupi terlalu banyak titik-titik hitam akan bersih secara beransur-ansur.


Insya-Allah, akan tiba suatu peringkat kita sendiri akan mengakui; "Ya Allah, rupanya aku ini tidak bersih, aku ini kotor, aku ini jahat, aku tak layak masuk ke dalam syurga-Mu, tapi aku tak tahan azab neraka-Mu. Jadi Kau ampunkan dosa hamba-Mu yang tidak bersih ini!"


Jadi siapakah diri kita untuk mengaku kita bersih dan tidak perlu sebarang nasihat atau penambahbaikan! Ya, akuilah kita sebenarnya TIDAK BERSIH, jadi jika ada orang mahu MEMBERSIHKAN kita, ucaplah terima kasih dan alhamdulillah!