Monday, November 21, 2022

26 Rabiulakhir 1444: Makan satu lauk sehari...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesiapa yang membaca 'Astaghfirullah al Lazi La Ilaha' illa Hual Hayyul Qayyum Wa Atubu Ilahi' (Aku meminta keampunan daripada Allah Taala yang tiada Tuhan melainkan-Nya, yang hidup lagi berdiri dengan sendiri-Nya, dan aku meminta taubat kepada-Nya), diampunkan dosanya walaupun dianya lari dari medan perang." (HR. Imam Abu Daud, Tarmizi dan Al-Hakim)


DI Sabah, untuk memudahkan pergerakan, saya dan isteri menyewa kereta selama beberapa hari. Dengan memandu sendiri, kami dapat bergerak bebas di Negeri Di Bawah Bayu.


Namun ada harinya kami menaiki teksi - salah satu perjalanannya dari Sipitang ke Kota Kinabalu. Pemandu teksi etnik Cina-Kadazandusun (Sino) yang kami naiki mempunyai 'banyak cerita' - termasuk mengapa Lebuh Raya Pan Borneo tak siap-siap.


"Ini semua orang politik punya pasal," katanya. Saya hanya mengangguk-angguk kepala. Saya tak tahu menahu mengenai perkara itu. Banyak lagi 'cerita' mengenai lebuh raya itu 'didedahkan' pemandu teksi itu...tapi saya buat tak tahu. Saya memasang telinga sahaja.


Apabila balik ke Semenanjung,di ambang pilihan raya, 'terdengar' pula Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin lantang mendakwa bahawa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menjadi punca projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang sepatutnya siap pada tahun ini, gagal disiapkan mengikut jadual.


Beliau mendakwa ketika PH memerintah, peruntukan untuk projek itu 'dirampas' tetapi diumumkan di Parlimen kononnya tindakan itu berjaya menjimatkan duit kerajaan.


Katanya, satu lagi projek jalan raya menghubungkan sempadan Indonesia iaitu Jalan Serudong - Kalabakan turut dihentikan menyebabkan projek infrastruktur yang sangat penting kepada rakyat Sabah itu tergendala.


"Saya tidak tahu apa dia (PH) jaga di Sabah (sebelum ini). Apa yang saya tahu dia (PH) rampas peruntukan Pan Borneo dan Jalan Serudong dan mengumumkan di Parlimen kononnya dia berjaya menjimatkan duit.


"Kalau saya sebetulnya, tiada satu apapun yang baik PH buat untuk Sabah, bahkan ia biarkan rakyat Sabah menderita. Kalau bukan pentadbiran PH, Lebuhraya Pan Borneo Sabah sudah siap tahun ini," katanya.


Wahai pembaca budiman, apa yang disiarkan ini adalah dakwaan Bung...ya orang politik boleh mendakwa begitu begini tetapi bagaimana halnya dengan rakyat? Itulah yang dibimbangi pemandu teksi yang kami naiki...katanya harga barangan keperluan melambung tinggi...dakwanya dia seakan-akan tidak mampu lagi menanggung keluarganya.


Beliau mendakwa kini dia dan keluarganya hanya makan satu lauk sahaja sehari...kalau ada telur dan sayur itu sudah cukup untuk makan siang dan malam...dah tak dapat bermewah-mewah lagi...telur pun kadang-kadang tak ada stok di kedai.


Apabila teksi sampai ke destinasi di KK, saya bertanya harga tambang - dia menjawab RM120...isteri saya menghulurkan RM150 dan berkata bakinya untuk dirinya. Dia tak terkata-kata apa-apa pada mulanya, mengucup duit itu dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih.


Selain Sabah saya juga sudah beberapa kali ke Sarawak. Demikian juga saya sudah beberapa kali ke beberapa provinsi di Indonesia. Harap pembaca tidak marah jika saya katakan banyak kawasan di Sabah dan Sarawak ini lebih mirip keadaannya (pembangunan) dengan Indonesia berbanding Semenanjung Malaysia.


Ertinya lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk membangunkan Sabah dan Sarawak dan dalam hal ini saya pernah menulis sebuah artikel yang menekankan bahawa kedua-dua negeri ini amat-amat perlukan pemimpin ikhlas.


Rakyat Sabah dan Sarawak sangat berharap kelahiran pemimpin-pemimpin ikhlas dapat membimbing mereka ke arah kehidupan sejahtera dalam negeri yang kaya raya terutama daripada hasil asli seperti balak dan petroleum.


Ya, pemimpin perlu ikhlas untuk membangunkan rakyat bukan untuk 'membalun' hasil bumi untuk kepentingan diri dan kroni. Sebagai contoh, Sarawak diperuntukkan lebih RM1 bilion untuk projek solar sekolah, tetapi apa sudah jadi?


Di Sarawak, pemimpin/penjarah harta negeri ramai dan salah satu bidang yang dimonopoli mereka adalah hasil balak. Perkara ini membimbangkan banyak pihak hatta oleh pemimpin tertinggi kerajaan bagi menghadapi 'penjarah' hasil balak ini.


Sarawak, tanah bertuah kaya sumber alam yang keluasannya 124,450 kilometer persegi iaitu hampir sama luas dengan Semenanjung atau England malah lebih besar daripada Korea Utara tetapi dengan jumlah penduduk hanya 2.5 juta, adalah medan berpotensi untuk melakar kejayaan fizikal dan spiritual.


Namun pemimpin rakus telah merosakkan masa depannya. Mereka membolot segala sumber kekayaan dan bagi menutup mulut rakyat mereka mencampakkan 'seketul dua tulang'.


Kemajuan juga bukan hanya bermaksud dari segi fizikalnya tetapi juga spiritualnya. Sebagai contoh, bumi Sarawak kaya dengan hasil alam, misalnya balak (pada tahun 2013 eksport balak dan produknya bernilai RM7,057,890,230) manakala royalti daripada hasil hutan adalah RM544,805,073; tetapi rakyat kebanyakan Sarawak 'terkebil-kebil saja'.


Pemimpin negeri sendiri mengakui ada pemimpin bagaikan 'penyamun tarbus' 'membaham' hasil negeri. Tidak guna negeri kaya raya tetapi ada ramai 'penyarmun tarbus' bermaharajalela. Ini termasuklah golongan yang bermuka-muka, hidup bagaikan gunting dalam lipatan atau dalam bahasa orang sekarang 'cakap tak serupa bikin'.


Di Sabah, sengketa pemimpin (tuduh menuduh antara satu sama lain) membuktikan ada sesuatu yang tidak kena. Rakyat Sabah dahagakan pemimpin ikhlas yang dapat membaiki taraf hidup mereka yang kebanyakannya terhimpit dalam kemiskinan.


Namun tidak ramai pemimpin bersifat dan bersikap begitu. Akibatnya rakyat Sabah ramai yang merana - sesetengahnya terpaksa merantau jauh mencari sesuap nasi termasuklah seorang jiran saya yang katanya berasal dari Sandakan. Dia dan keluarganya kini bahagia sekalipun menumpang hidup di negeri orang!