Thursday, November 17, 2022

22 Rabiulakhir 1444: PM untuk semua rakyat (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Rabb-nya dengan mendapat rezeki. Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada mereka. Dan mereka bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka. Bahkan tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." (QS. Ali Imran: 169-170)


Bersyukur ke hadrat Illahi kerana kita dipanjangkan usia untuk memuzakarahkan isu semasa; kali ini kita terpanggil untuk memberi pandangan mengenai insan-insan pilihan rakyat  (pemimpin) yang diberi amanah menerajui sesebuah institusi termasuklah apa yang dipanggil negara. 

Bagi kita negara wujud kerana adanya pemimpin dan rakyat. Negara tidak mungkin wujud jika ada kerajaan tetapi tiada rakyat, dan begitu sebaliknya jika ada rakyat tetapi tiada kerajaan.

Semua orang atau pihak mempunyai pandangan mereka mengenai pemimpin, tetapi kata mutlak atau pemutusnya adalah apa yang ditentukan oleh Allah SWT melalui kitab dan rasul-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. 

Berhubung soal pemimpin ini ada hadis bermaksud: "Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu bertanggungjawab ke atas sesiapa yang dipimpinnya maka seseorang ketua adalah pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya." 

Pemimpin yang adil dijanjikan oleh Allah SWT dengan balasan yang baik, mendapat naungan Allah SWT pada hari Pembalasan nanti. Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud bahawa salah satu golongan yang mendapat naungan Allah SWT pada hari akhirat nanti ialah pemerintah yang adil

Ya, pemimpin yang adil itulah yang didambakan oleh seluruh rakyat. Dia dijanjikan naungan Allah SWT di akhirat nanti; di dunia ini dia menaungi seluruh rakyatnya, bukan kelompok tertentu atau orang yang menyokong atau mengundinya saja. 

Seorang cendekiawan Barat, James Freeman Clarke mengungkapkan: "A politician thinks of the next election; a statesman thinks of the next generation" (Seorang politikus memikirkan (untuk menang) pilihan raya berikutnya, seorang negarawan memikirkan mengenai generasi berikutnya).

Berdasarkan hujah ini, insan diamanahkan sebagai pemimpin (terutama Perdana Menteri) perlu diingatkan beliau seorang perdana menteri untuk seluruh rakyat Malaysia bukan perdana menteri untuk sekelompok orang atau partinya sahaja.

Sebagai perdana menteri, beliau sewajarnya mempamerkan wibawanya sebagai negarawan bagi semua rakyat. Negarawan yang memikirkan akan generasi akan datang dan bukan semata-mata untuk menang pilihan raya.

Kerajaan baharu perlu melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana.Ya kerajaan dan PM-nya perlu adil dan dilihat adil kepada semua; bukan terhadap kelompok disukai atau penyokongnya shaaja kerana PM adalah untuk semua rakyat.


No comments: