Friday, November 4, 2022

9 Rabiulakhir 1444: TYT (Gabenor) baharu Sabah...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Maksud Surah Ar-Rum: 21)


DI Sabah saya berpeluang solat Jumaat beberapa kali - salah satunya di Masjid Kampung Palakat di Sipitang pada tanggal 30 September 2022. Antara isi kandungan khutbah di masjid ini adalah ketaatan kepada pemerintah.


Alhamdulillah, topik ini diangkat bertepatan dengan tarikh Hari Jadi Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin yang ke-69 pada keesokan harinya (Sabtu).


Juhar adalah Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-10 bermula 1 Januari 2011. Pada khutbah itu dinyatakan peranan TYT di kalangan rakyat terutama masyarakat Islam dan diakhiri dengan titipan doa kesejahteraan untuk Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama negeri, TYT dan rakyat negeri Sabah.


Pada ketika khutbah Jumaat dibacakan menyentuh TYT, 'di luar sana' (media massa dan media sosial) sibuk membicarakan perihal TYT (Gabenor) Sabah baharu yang akan menggantikan Juhar. Antara calon hebat diperkatakan adalah bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang kini merupakan Huguan Siou (pemimpin tertinggi) pribumi (Kadazandusun) Sabah.


Masalahnya Pairin bukan seorang Islam sedangkan kesemua (10) TYT Sabah adalah Islam termasuk Tun Muhammad Fuad Stephens iaitu TYT ke-3. Allahyarham seorang pemimpin Kadazan, dahulunya adalah Donald Aloysius Marmaduke Stephens memeluk Islam pada 1971. Persoalannya bolehkah Pairin menjadi TYT (Gabenor) Sabah pertama di kalangan 'non-Muslim'?


Bagi mencari jawapan saya cubalah mencari dan membeli akhbar di pekan dan kota. Sama seperti di Semenanjung, gerai akhbar sukar ditemui - orang Sabah sama macam orang Semenanjung terutama di kalangan generasi muda 'tak main lagi' dengan suratkhabar - mereka asyik dengan telefon pintar masing-masing.


Namun saya ketemu jua gerainya  - hanya ada dua akhbar dijual - Borneo Post iaitu akhbar berbahasa Inggeris dan Utusan Borneo dalam bahasa Melayu; saya nak beli kedua-duanya tetapi tak jadi...saya hanya beli Borneo Post...rupa-rupanya dalam Borneo Post ada Utusan Borneo dan dalam Utusan Borneo ada Borneo Post...muka depan dan beberapa muka saja lain, selebihnya sama!


Disebabkan isu TYT Sabah ini sensitif, saya petik sahaja apa yang diperkatakan sesetengah akhbar dan media sosial mengenai hal ini. Terpulang kepada pembaca untuk fikir-fikirkannya. Yalah, saya lihat sahaja apa yang berlaku di Sabah ini tanpa membuat sebarang komentar...saya tak masuk tangan.


Sabah Gazette melaporkan, Persatuan Sama Sabah (PSS) mencadangkan Yang Dipertua Majlis Gabungan Muafakat Persatuan Etnik Bumiputera Negeri Sabah (MAGEBS), Datuk Abdullah Sibil dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk menggantikan Tun Haji Juhar Mahiruddin jika tempoh jawatannya tamat pada Disember tahun ini.


Portal berita Sabah360online melaporkan Setiausaha Agung PSS, Etong Terang berkata, Abdullah yang juga Presiden PSS dipilih mengetuai MAGEBS sejak tahun 2016 hingga sekarang memiliki aura kepimpinan dan disenangi oleh persatuan-persatuan etnik lain di Sabah. Katanya, beliau menjadi penggerak utama kepada beberapa aktiviti dan program yang berkonsepkan permuafakatan antara etnik-etnik bumiputera di Sabah.


BH melaporkan secara konvensyen TYT Sabah dilantik dalam kalangan orang Islam. Pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah secara konvensyen dipilih dalam kalangan orang Islam bagi mewakili Yang di-Pertuan Agong dalam isu pengurusan dan pentadbiran agama Islam di negeri ini.


Presiden Peguam Syarie Sabah, Abdul Razak Jamil dipetik sabagai berkata pelantikan TYT juga adalah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Ketua Menteri Sabah.


"TYT secara konvensyen akan menjalankan tugas dan mewakili Yang di-Pertuan Agong dalam isu-isu pengurusan dan pentadbiran agama Islam di negeri ini. Oleh yang demikian, TYT yang dilantik sewajarnya beragama Islam untuk menjalankan tugas-tugas itu," katanya.


Sebuah portal berita melaporkan Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyokong cadangan untuk menjadikan Tan Sri Jospeh Pairin Kitingan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT). Jelasnya, tidak ada dalam Perlembagaan Sabah menyatakan kelayakan jawatan TYT harus beragama Islam.


The Malaysia Post memetik peguam-peguam sebagai berkata tiada apa-apa dalam Perlembagaan negeri yang menghalang seseorang bukan Islam daripada memegang jawatan itu walaupun mungkin terdapat “halangan” dalam cara.


Peguam yang bercakap dengan Malay Mail bersetuju bahawa undang-undang negeri tidak memperuntukkan Gabenor atau Yang di-Pertua Negeri yang dilantik sebagai agama tertentu dan hanya perlu menjadi rakyat Sabah, dan tanpa sebarang kepentingan perniagaan atau keuntungan yang aktif.


“Yang di-Pertua Negeri boleh menjadi mana-mana orang yang merupakan warganegara Sabah secara lahir dan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan ketua menteri. Baik sumpah jawatan TYT mahupun kelayakan bakal TYT tidak memerlukan orang itu beragama Islam,” kata peguam perlembagaan Tengku Datuk Fuad Ahmad.

No comments: