Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. (Maksud Surah Al-Asr 1-3)
LEBIH sedekad dulu semasa berulang alik Melaka-Kuala Lumpur (rumah saya di Melaka tetapi bekerja
di KL) dengan bas ekspres setiap hari, saya berkenalan dengan 'rakan sepenumpang' iaitu
seorang lelaki pertengahan usia yang saya tersalah anggap sebagai Melayu-Islam.
Apabila bertemu saja, saya memberi dia salam. Dia tidak menjawab tetapi tersenyum saja.
Sudah banyak kali saya berbuat begitu, suatu hari dia 'membuka satu rahsia' yang membuatkan
saya terkejut dan malu sendiri.
Lelaki itu yang iras-iras orang Melayu dengan pertuturan bahasa Melayu mantap,
mendedahkan dia bukan Melayu dan tidak pula beragama Islam - namanya Maniam dan dia
orang Chetti.
Saya teringat Maniam ketika menonton sebuah paparan dalam Majalah Tiga/ TV3 baru-baru ini
yang menyiarkan kisah dan cara hidup orang Chetti Melaka.
Chetti atau Hindu Peranakan ini adalah satu kelompok masyarakat minoriti India yang unik -
masyarakat ini terbentuk sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511) hasil daripada
perkahwinan campur antara orang-orang Hindu dengan orang-orang tempatan di Melaka.
Apa yang menariknya, orang Chetti menyerap budaya tempatan (Melayu), dalam pelbagai segi
seperti berpakaian, makanan dan bercakap bahasa Melayu sekali pun tetap teguh dengan agama
asal - Hindu.
Jika masyarakat Chetti dapat menyerap budaya Melayu, tidak kurang dengan orang
Cina yang datang ke sini pada zaman Kesultanan Melaka dahulu dan kemudian
di negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Singapura. Mereka membentuk masyarakat
Baba dan Nyonya, juga dikenali Cina Peranakan.
Seperti orang Chetti, masyarakat Baba juga menyerap budaya Melayu sekalipun warisan Cina dan agama
tradisionalnya serta Buddha dikekalkan. Mereka juga bercakap dalam bahasa Melayu yang 'sebijik' orang Melayu.
Pada ketika masyarakat Malaysia terutama golongan politikus sekarang ini semakin lantang
bercakap mengenai perkauman dan isu perkauman, adalah baik kita merujuk bagaimana
pemerintah (pemimpin) zaman Kesultanan Melayu Melaka dulu berjaya mewujudkan perpaduan
melalui kewujudan masyarakat Baba dan Chetti ini.
Kehadiran masyarakat Chetti dan Baba ini menggambarkan betapa bijaksananya pemerintah
Melaka yang kuat berpegang kepada Islam mentadbir rakyatnya. Perlu diingat, Melaka ketika itu
adalah pusat dagang agung dunia yang bukan hanya 'mengundang' kehadiran orang Cina dan
India malah dari dunia Arab dan akhirnya orang Eropah dimulakan oleh Benggali Putih (orang Portugis).
Pemerintah Muslim yang baik (seperti ditunjukkan Sultan-Sultan Melaka) tahu bahawa Islam tidak
pernah memperjuangkan kaum - baginda Rasululllah Nabi Muhammad SAW tidak melaungkan
semangat perkauman seperti "hidup Arab" atau "hidup Quraisy" tetapi membebaskan
manusia daripada kejahilan dan kesesatan kepada hanya tunduk kepada Yang Maha Kuasa.
Baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah dan kemudian kembali ke Makkah adalah bagi
membebaskan bangsa Arab dan seluruh manusia daripada penjajahan dan penindasan
sesama manusia dan bukan mengangkat martabat sesuatu bangsa seperti Arab ke puncak
kuasa atau menguasai bidang kehidupan seperti ekonomi dan perluasan wilayah.
Bagi negara kita, perjuangan berasaskan perkauman kian menjauh dan tersasar daripada
realiti perkembangan semasa. Apatah lagi dalam situasai sekarang, dengan
perkembangan terlalu pantas di bidang teknologi maklumat, hampir semua perkara
terdedah kepada pengetahuan umum dan dibahaskan semua peringkat rakyat saban masa.
Oleh itu sebarang lontaran isu perkauman termasuk untuk mendapat sokongan undian
kaum tertentu ketika pilihan raya akan hanya memakan diri dan lebih malang lagi
mengundang negara dan manusia sejagat ke jurang kehancuran. Oleh itu hati-hatilah;
apa salah kita tiru pemerintah Melaka yang bijaksana, orang Chetti dan Baba serta Nyonya!
No comments:
Post a Comment