Saturday, September 3, 2022

6 Safar 1444: Merdeka - melahirkan negara barakah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Sesiapa yang membaca 'Astaghfirullah al Lazi La Ilaha' illa Hual Hayyul Qayyum Wa Atubu Ilahi' (Aku meminta keampunan daripada Allah Taala yang tiada Tuhan melainkan-Nya, yang hidup lagi berdiri dengan sendiri-Nya, dan aku meminta taubat kepada-Nya), diampunkan dosanya walaupun dianya lari dari medan perang." (HR. Imam Abu Daud, Tarmizi dan Al-Hakim)


PADA sambutan peristiwa penting, Hari Kebangsaan atau Kemerdekaan negara ke-65 tahun pada 31 Ogos dan ulang tahun Malaysia ke-59 pada 16 September, izinkan kita mengingatkan bahawa semua rakyat ada peranan dan saham dalam membentuk masa depan negara. 

Menjadi tanggungjawab seluruh rakyat daripada mereka yang berada pada setinggi-tinggi jawatan dan kedudukan seperti Perdana Menteri dan jemaah Kabinetnya hinggalah serendah-rendah kedudukan seperti penyapu sampah, mengangkat martabat negara penuh barakah dengan menjunjung tinggi prinsip, nilai, akhlak, etika dan moral di semua peringkat. Inilah prinsip 'negara barakah' yang menjadi idaman semua.

Semoga aspirasi 'negara barakah' yang diimpikan ini dapat menjadikan Malaysia 'baldatun toiyibatun warabbun ghafur', yang bermaksud; 'negara aman makmur dan mendapat keampunan Allah'.

Dalam menjalankan peranan sebagai rakyat demi agama, negara, bangsa dan keluarga, setiap orang walau apa jua jawatan mereka, perlu jujur, telus dan ikhlas dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Kita tak mahu kes memalukan seperti rasuah di kalangan pemimpin membuatkan negara kita terkenal seantero dunia.

Semua, termasuk pemimpin tertinggi sehingga seorang tukang sapu sampah mengenal tugas dan peranan masing-masing.Seorang buruh tahu tugasnya membersihkan kota dan bandar, besar manfaatnya bukan saja dari segi keduniaan tetapi juga akhirat. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w. bersabda antara cabang iman ialah membuang duri di jalanan malah memberi penghargaan tertinggi kepada seorang pembersih Masjid Nabawi selepas baginda diberitahu dia sudah meninggal dunia?

Manusia, semuanya hidup sia-sia kecuali mereka yang berpegang kepada firman Allah SWT melalui Surah Asr yang bermaksud - demi masa, sesungguhnya semua manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Dunia adalah tempat untuk kita menanam benih, di akhirat nanti kita menuai hasilnya. Jika di dunia kita menanam lalang (seperti menipu dan merasuah) apakah hasilnya di akhirat nanti?

Pemimpin lebih besar bahananya kerana Abu Sa'id Al-Khudri r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Setiap penipu mempunyai tanda-tanda yang ditancap di belakangnya, setinggi tipunya. Ingatlah tiada penipu yang lebih besar daripada ketua negara atau pemimpin rakyat ." (HR. Muslim) - sumber kitab Riadhus Shalihin.

Nun di akhirat menjadi taruhan,
tempat kita merdeka selamanya,
budi dan emas hanyalah ujian,
tanda keadilan Yang Maha Kaya.

Bercakap mengenai kemerdekaan, amat wajar kita merujuk sirah Nabi Muhammad s.a.w. yang 'memerdekakan' (membuka) kota Makkah pada 8 Hijrah atau 630 Masihi selepas 10 tahun baginda diusir dari tanah tumpah darahnya (Makkah).

Kejayaan Nabi Muhammad sebagai pemimpin duniawi dan kerohanian diiktiraf dunia sehingga Michael H Hart dalam bukunya, ‘The 100, A Ranking of the Most Influential Persons in History’, menulis: “My choice of Muhammad to lead the list of the world’s most influential persons may be surprise some readers and may be questioned by others, but he was the only man in history who was supremely successful on both the religion and secular level."

Persoalan besar di sini mengapa Nabi Muhammad s.a.w. dan pengikutnya perlu membebaskan bangsa dan tanah airnya sendiri? Bukankah kaum yang menguasai kota Makkah adalah sama seperti baginda sendiri, suku Quraisy daripada bangsa Arab. Buat apa Rasulullah s.a.w. memerdekakan bangsanya sedangkan yang berkuasa adalah bangsanya sendiri?

Kemerdekaan bukan sahaja bermaksud mengakhiri penjajahan sesuatu bangsa ke atas bangsa lain atau kuasa asing ke atas umat yang lemah.
Kemerdekaan juga bermaksud mengakhiri penjajahan sesuatu bangsa ke atas bangsanya sendiri. Rasulullah s.a.w. berjuang untuk membebaskan bangsa baginda (Quraisy) daripada penjajahan mental ketua suku kaumnya.

Ya, hampir 10 tahun selepas berhijrah ke Madinah, baharulah baginda dapat memerdekakan penduduk Makkah daripada amalan datuk nenek moyang mereka seperti menyembah berhala, membunuh anak perempuan dan menilik (sihir). Selepas pembersihan kota suci Makkah, baharulah Islam dapat berkembang dengan pesat di seluruh Jazirah Arab.

Bagi orang Malaysia terutama orang Melayu yang merdeka jiwanya, tentulah kemerdekaan itu tidak hanya bermaksud bebas daripada cengkaman penjajah British sahaja. 

Ramai yang berkata penjajahan dalam bentuk fizikal mungkin tidak berulang tetapi cengkaman dalam bentuk lain masih wujud. Contohnya cengkaman sesama bangsa sehinggakan orang tidak sebulu dinafikan hak mereka. 

Juga dapat dijadikan contoh golongan bangsawan, kaya raya dan pemimpin masih menindas rakyat bawahan walaupun mereka sesama bangsa. Semua ini perlu diakhiri bagi melahirkan negara 'baldatun toiyibatun warabbun ghafur'.


No comments: