Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Maksud Surah Ar-Rum: 21)
DAHULU seorang anak saya yang belajar di tadika Pasti selalu mengungkapkan kata-kata ini kepada saya - "ayah, banyak makan dan tidur hati jadi keras." Eh budak ni...pada mulanya saya mahu marah, tetapi tak jadi kerana melihat keletahnya yang lucu..
Entahlah, mungkin dia menghafal perkataan itu 'secara bulat-bulat' (tanpa memahaminya) daripada gurunya dan 'memuntahkannya' setiap kali saya mahu makan atau tidur tetapi setidak-tidaknya apabila ungkapan itu diulang-ulang, ia berkesan di jiwa saya...yalah jangan banyak makan dan tidur...pergi atau buat kerjalah...
Melakukan sesuatu secara konsisten itu namanya istikamah, demikian juga untuk berjaya dalam dakwah (atau misi politik), kita perlukan juru kempen yang kuat serta ramai dengan usaha berterusan, kata seorang ustaz dalam satu tazkirah yang saya hadiri baharu-baharu ini.
Kita tidak perlu merujuk jauh, jenguk dan amat-amatilah iklan di televisyen; ada satu iklan berbunyi: "Minum....anda jadi sihat dan ......"
Slogan jenama ini diulang-ulang, lagi kerap lagi bagus sehinggalah sekarang ini ia sudah sebati dalam masyarakat. Orang sudah tahu bahawa minum...jadi sihat...dan hampir 100 peratus yakin jika mengambil jenama ini dia akan sihat.
Di sini kita tidak berhajat menyentuh kebenaran dakwaan pihak berkenaan tetapi ingin menegaskan apabila sesuatu perkara itu diledakkan dalam kepala seseorang secara berulang-ulang puluhan, ratusan, ribuan, puluhan ribuan atau jutaan kali, akhirnya orang yang dipropaganda itu akan mengaku kalah.
Inilah juga sebahagian ajaran Menteri Propaganda Jerman era Adolf Hitler, Joseph Goebbels, yang antara lain menyebut: 'a propaganda theme must be repeated' (tema propaganda mesti diulang-ulang).
Seorang pemimpin politik dalam satu majlis ceramahnya yang saya ikuti juga menyebut akan kaedah propaganda ini.
Katanya sekarang ini walaupun sesuatu perkara kita yakini tidak betul pada mulanya tetapi akibat propaganda yang agresif, keyakinan kita mula terhakis dan lambat-laun kita mula percaya apa yang dipropagandakan itu.
Ambil contoh belanjawan yang akan diumumkan tidak lama lagi, apabila semua media massa mencanangkan ia terbaik...terbaik...terbaik dan diulang ratusan dan ribuan kali pada setiap ruang dan peluang, maka hampir semua orang akan mengungkapnya kembali, terbaik...terbaik...terbaik.
Maka mungkin tiada yang berkata ia tidak baik. Orang yang pada mulanya berkata tidak baik, apabila diledakkan dalam otaknya hampir setiap masa manakala ungkapan itu dilihat dalam semua media, akhirnya dia juga akan mengaku kalah dan berkata, terbaik...terbaik...terbaik.
Berbalik kepada ustaz yang bertazkirah tadi, katanya, kempen ke arah kebaikan juga perlu dilakukan secara agresif; beliau memberikan contoh ini - Seorang ulama tersohor dijadualkan akan berceramah di masjid kita; jadi kita sebagai tukang kempen perlulah bekerja keras; misalnya kita mulalah mencetak dan mengedarkan 50,000 'flyer' (kertas edaran maklumat majlis) di kawasan berkenaan; barulah majlis kita mendapat sambutan. Itu pun jumlah yang hadir mungkin 5,000 atau 10,000 orang saja.
Jika dengan mengedarkan 50,000 'flyer' kepada orang ramai hanya 1/5 atau 1/10 daripada mereka saja yang datang, bayangkan jumlah hadirinnya kita tidak membuat kempen itu. "Mungkin yang datang adalah macam jumlah hadirin di majlis ini (20-30) orang saja," kata ustaz itu.
Demikianlah, dalam dakwah kepada masyarakat, juru kempennya (pendakwah) perlu ramai dan melakukannya secara berulang-ulang kali, kata ustaz itu.
Misalnya, bercakap mengenai kebesaran Allah, kita terus menerus bercakap mengenai hal ini tanpa rasa jemu dan penat, insya-Allah lama kelamaan akan tertanam juga di hati sebahagian daripada anggota masyarakat akan apa kita nyatakan itu.
Apabila Allah SWT memberi hidayah, tidak ada apa yang dapat menghalangnya lagi, namun dalam masyarakat kita hari ini, tidak ramai rela berkorban menjadi juru kempen kebaikan.
Bagi yang sudah menjadi juru kempen kebaikan, teruslah istikamah berkempen tetapi jangan lupa untuk berdoa, memohon kejayaan kepada-Nya, kata ustaz itu. Ya, jika kita tak buat kempen kebaikan tetapi membiarkan 'si penjahat' membuat kempen kejahatan secara berleluasa apa akan berlaku? Misalnya jika kita biarkan pendokong dan penyokong LGBT 'bermaharajalela', kita pun akan sama-sama menerima padahnya!
No comments:
Post a Comment