Wednesday, September 14, 2022

17 Safar 1444: Ambil iktibar kisah singa tua

 

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Sesiapa yang membaca 'Astaghfirullah al Lazi La Ilaha' illa Hual Hayyul Qayyum Wa Atubu Ilahi' (Aku meminta keampunan daripada Allah Taala yang tiada Tuhan melainkan-Nya, yang hidup lagi berdiri dengan sendiri-Nya, dan aku meminta taubat kepada-Nya), diampunkan dosanya walaupun dianya lari dari medan perang." (HR. Imam Abu Daud, Tarmizi dan Al-Hakim)

PENULIS  ke Segamat dari Melaka tidak lama dahulu; ketika memandu di kaki Gunung Ledang terkenang penulis akan kisah Laksamana Hang Tuah. Selepas gagal meminang Puteri Gunung Ledang untuk Sultan Melaka, Hang Tuah yang telah tua, ‘ghaib’ – cerita-cerita mengenainya selepas itu tiada.

Advertisement

Kisah ‘kehebatan’ pahlawan ini setakat itu saja, mungkin segala perkara mengenai ‘kesedihan dan kelemahan’ dirinya pada waktu tua sengaja tak dirakam agar orang akan mengenang dirinya hanya sebagai seorang pahlawan gagah perkasa. Bagi menambah ‘keluarbiasaan’ Hang Tuah, dia dikhabarkan sebagai ghaib dan tidak mati sebagaimana orang biasa.

Hang Tuah ‘lenyap’ sebagai seorang hebat tetapi hari ini mengapa sesetengah pemimpin kita ‘masih sibuk’ pada usia senja. Bagi penulis, contohilah Hang Tuah, ‘senyaplah’ (ghaib) dalam kehebatan… jangan cuba dipamerkan kekuatan diri kerana itu hakikatnya sudah hilang… kalau dibuat begitu semakin lama semakin banyaklah kelemahan, tembelang dan dosa terbuka.

Raja Singa di rimba yang telah tua juga tidak lagi mempamerkan kekuatannya (hakikatnya kekuatan itu memang sudah tiada). Ia banyak diam saja. Namun singa sekalipun sudah tua adalah pemaging; tidak makan dedaun. Singa tetap mahu makan daging sekalipun ia tidak lagi tangkas mengejar mangsa, jadi singa tua hanya ‘duduk diam-diam’ sambil memperdaya binatang kecil untuk menjadi santapannya. Ia tidak lagi ke sana sini mencari mangsa kerana tahu ketangkasannya sudah hilang, bimbang juga ‘diketawakan’ oleh binatang buruannya.

Berceloteh mengenai detik-detik tua ini, teringatlah penulis akan sajak A Samad Said berjudul ‘Tetamu Senja’. Antara lain katanya, kita datang ini hanya sebagai tetamu senja, bila cukup detik kembalilah kita kepadanya. Kita datang ini kosong tangan dada, bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala.

Seorang ustaz pula mengingatkan, sedarlah insan semua, kehadiran kita di dunia ini adalah hanya sebagai anak dagang – oleh itu usahlah bersenang lenang sebaliknya ‘ragutlah’ apa saja yang patut untuk dijadikan bekalan di ‘kampung kita’ yang kekal di alam sana.

Mengenai kisah hari tua ini, izinkan penulis menyiarkan titipan seorang pembaca tidak lama dulu. Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh; semoga Saudara LanH dan keluarga serta seluruh rakyat Malaysia sentiasa sihat bahagia senyum sentiasa dalam masa kecederaan menunggu pembubaran Parlimen.

Syukur kepada Maha Pencipta dan rantaian terima kasih buat Saudara yang sudi menyiarkan pandangan rakyat biasa ini yang tiada kepentingan kecuali rasa kasih melimpah-ruah buat agama dan anak bangsa.

Justeru apabila berhadapan adegan masyarakat hari ini termasuk ibu bapa yang sanggup mengheret guru ke mahkamah, sungguh terkilan rasa di hati ini.

Itulah hakikatnya orang Melayu beragama Islam pada hari ini. Ada ustaz dan ustazah di sekolah dituduh menyibuk sekiranya bertanya anak-anak, solat subuh pagi tadi? Ingin juga hati tua ini bertanya, murid yang tidak cukup sembahyang lima waktu, berada di ‘band’ mana dalam pentaksiran berasaskan sekolah?

Justifikasi kita orang tua, senang sahaja Saudara. Tidak sembahyang, tidak berterima kasih kepada Allah. Tidak cukup solat sehari semalam, tidak adalah rasa syukur, terima kasih kepada Tuhan bukan saja pada rezeki hatta oksigen yang disedut.

Fikiran tua ini berpandangan, mengingatkan sembahyang (detik berterima kasih rasmi kepada Maha Pencipta) ini bukan kerja ustaz ustazah sahaja tetapi semua terutama ibu bapa. Guru tugasnya menambah, mak dan bapalah guru pertama anak-anak.

Sekarang ini mak, bapa, nenek, datuk akan menuding pada tuan guru dan ulama, ini autoriti tuan guru, mufti, kata mereka. Tok guru pula kata, ini kerja pemimpin dan pemerintah. Pemimpin tak jaga solat, rakyat pun ikut sama.

Oleh sebab itu, mohon sangat kepada Saudara agar dihebah kepada rakyat jelata, hidup berkat disayangi Allah SWT lebih diutama. Pilihlah pemimpin yang sayang dan takut akan Maha Pencipta. Pemimpin inilah ulul-amri yang orang awam seperti hamba tua ini wajib dan mohon sentiasa diberi ingat akan kemenangan di dunia dan kemenangan di akhirat. Manusia berada di maya pada ini bersebab, bukan mati terus menjadi tanah.

Kepada mak dan bapa beragama Islam, jangan marah ustaz, ustazah yang menegur anak-anak Dato’, Datin, Tuan, Puan dalam pelbagai bab agama seperti aurat dan amal ibadat mereka terutama solat.

Jangan naik angin dengan soalan, solat tak subuh pagi tadi? Bukan saja anak-anak perlu ditanya, mak bapak pun perlu ditanya. Malah pemimpin pun perlu ditanya, solat subuh tak pagi tadi? Kalau tak solat subuh, tidak hairanlah selepas itu ketika bekerja, sanggup ‘songlap’ duit.

Oleh hal yang demikian, pemerintah setaat Umar Abdul Aziz sangat diperlukan di Malaysia. Pemerintah yang sangat takut akan Tuhannya, sangat menjaga perbendaharaan negara, sangat menjaga keluarga daripada menggunakan harta milik negara, sangat memikirkan jawapan yang akan diberikan di Padang Mahsyar, pemimpin Malaysia yang akan menjawab di hadapan Allah SWT bagi pihak 30 juta rakyat.

Malaysia memang sudah lama menunggu pemimpin yang amanah, ikhlas, cerdik dan membetulkan semula semua jentera kerajaan yang sudah jelas bobrok di makan anai-anai.

No comments: