Friday, February 11, 2022

Rejab 9, 1443: Sabun banyak tetapi mengapa masih ramai kotor? (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan 

"...dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang kafir untuk membinasakan orang-orang beriman." (Surah al-Nisa' ayat 141)


PADA hujung minggu tidak lama dahulu, saya berpeluang 'menyambung' hobi saya - membaca. Sebuah buku bertajuk 'Let's 'Teh Tarik'! yang diusahakan oleh Goh Chee Beng (terbitan Publish The Word - Petaling Jaya) menarik perhatian saya.


Bahagian pertama buku itu berkenaan kehidupan (life). Pengenalannya memikat hati.


Penulisnya menukilkan: "Someone once asked a well-known religious leader, 'If religion is valid, why is there so much evil in the world?' To this, the leader replied, 'With so much soap, why are there so many dirty people in the world?' Religion, like soap, must be personally applied if it is to make a difference in our lives."


(Seorang pemimpin agama terkenal ditanya: 'Jika agama benar-benar berkesan, mengapa berlaku banyak kejelekan di dunia ini?' Pemimpin berkenaan menjawab, 'Dengan banyaknya sabun, mengapa pula terdapat ramai orang busuk di dunia ini?' Agama, seumpama sabun, mestilah diaplikasi secara peribadi jika seseorang itu mahu penghidupannya lebih bermakna).


Benar, dunia dipenuhi 1,001 kejelekan. Lebih membimbangkan kejelekan dan kebaikan bercampur-aduk, sekali gus membingungkan orang awam seperti kita untuk memahami sesuatu isu ataupun membuat pilihan.


Di peringkat antarabangsa, ketika ini di seluruh dunia dicanangkan dengan 'Islam sederhana' dan 'Islam sebenar' sedangkan istilahnya kabur dan tidak difahami. Apakah tafsiran 'Islam sederhana' dan 'Islam sebenar' itu propaganda Amerika, tidaklah diketahui.


Yang jelas propaganda Amerika semakin terserlah pembohongannya. Antaranya ialah dakwaan kononnya angkawasannya seperti Neil Armstrong daripada kapal angkasa lepas Apollo 11 sebenarnya tidak mendarat di bulan tetapi di padang pasir Nevada.


Jika dakwaan itu benar, sudah berdekad-dekat (sejak 1969) seluruh dunia termasuk orang Islam dibohongi dan tidak mustahil lebih banyak pembohongan akan dilakukan pihak berkenaan.


Tugas orang awam seperti kita adalah terus menuntut ilmu bagi mengelak daripada dibohongi.


Selain itu, perkukuhkan lagi semangat perjuangan bagi menghadapi cabaran lebih besar pada masa akan datang kerana di dunia sekarang ini semakin 'ramai orang berbau busuk sekalipun terdapat banyak sabun'.

No comments: