Thursday, February 3, 2022

Rejab 1, 1443: Cari pencerahan mulai Rejab ini

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Abdullah bin Amruy r.a. berkata: "Bersabda Rasulullah s.a.w. 'Sungguh untung orang yang masuk Islam dan rezekinya cukup dan merasa cukup dengan apa-apa pemberian Allah kepadanya'. (bersifat qanaah, tidak tamak)" (HR Muslim)


TIDAK lama dahulu, ketika berbual-bual persoalan agama dengan seorang penumpang bas di sebelah saya, beliau memberitahu dia berpuasa tiga bulan berturut-turut – sepanjang bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan.


Saya kagum dengan kegigihannya. Sebagai insan kurang arif, saya pun bertanyakan seorang ustaz mengenai amalan itu.


Kata ustaz berkenaan, mana ada amalan berpuasa berturut-turut sepanjang tiga bulan itu. Nabi tidak melakukannya. Ertinya pelakunya terikut-ikut dengan amalan orang lain yang ternyata bukan sunnah.


Demikianlah pendapat kita berkenaan pantang larang, soal-soal agama, perkara-perkara yang tidak sopan, kengerian (seperti takutkan hantu) dan bermacam-macam lagi, sebahagian besarnya adalah hasil daripada sogokan masyarakat sekeliling yang sama jahil dan tidak rasional macam kita dan bukannya terbentuk daripada penguasaan ilmu dan pemikiran yang benar-benar masak dan jitu.


Misalnya, masyarakat sesebuah kampung yang tidak tahu bahawa ‘kenduri arwah’ itu sebenarnya tidak diwajibkan dalam Islam, akan terus mengadakannya walaupun terpaksa berhutang dan bergolok gadai.


Kita juga berbangga apabila terdapat usaha untuk menunjukkan negara kita sebagai negara Islam contoh seperti mengadakan ujian tilawah (dulunya musabaqah dan pertandingan) membaca al-Quran tetapi kita buat-buat tidak peduli banyak binaan untuk majlis itu seperti pintu gerbang dan pentas dibina oleh orang bukan Islam.


Kita begitu ghairah untuk berarak dan berhimpun sempena Maulidur Rasul tetapi kita lupa papan tanda dan kain rentang yang kita arak itu dibikin oleh orang bukan Islam.


Kebanyakan pegangan mengenai agama ini langsung tidak boleh dipersoal kebenarannya. Ia ibarat lembu suci (sacred cow). Slogannya adalah seperti – lakukan, jika tidak berdosa. Itu saja kata-katanya, tetapi sudah cukup untuk membunuh kemampuan berfikir seseorang.


Kadang-kadang jika bernasib baik akan muncullah ‘Hang Nadim’ dan ‘Hang Jebat’ (sebagai lambang saja) yang berusaha mengubah apa yang kita fikirkan benar itu. Malangnya usaha mereka ini dipatahkan oleh orang yang mempunyai kuasa, kepentingan dan pengaruh.


Jika ada orang cuba menyatakan yang kenduri arwah itu tidak ada dalam Islam, orang seperti Pengerusi JKKK, Tok Imam, Tok Lebai dan ‘apa-apa Tok lagi’ (maaf bukan semuanya bersikap begini), akan menentang habis-habisan.


Apa yang peliknya orang tiada duit untuk membuat kenduri arwah pun menyebelahi Tok Imam yang seolah-olah mewajibkan kenduri arwah.


Mereka bukan menyokong membabi-buta tetapi takut dipulaukan masyarakatnya sendiri. Yang akhirnya mati adalah ‘Hang Nadim’, yang cuba membuat pembaharuan (reformasi) dalam masyarakatnya. ‘Hang Nadim’ yang muncul sekali sekala membawa agenda pembaharuan ini mungkin dipecat, diasing atau dihumbankan ke dalam penjara.


Dalam menghadapi masalah seharian, kebanyakan kita masih terlalu bergantung kepada ‘bisikan’ (pendapat) insan sekelompok dengan kita tanpa mengambil kira faktor lain. Kita tidak mengkaji sesuatu perkara itu, tetapi berkecenderungan membuat kesimpulan sendiri.


Dengan belajar mengenal diri, mengenal pasti sebab-sebab sebenar kita berpegang kepada pendapat kelompok dan mengenal pasti punca prasangka, tohmahan dan ‘bias’ kita (psychological reasons) sedikit sebanyak diharap dapat merombak kebuntuan emosi terhadap realiti.


Walaupun prosesnya panjang, sekurang-kurangnya kita sudah mula bergerak ke arah pembangunan dan kematangan berfikir. Bukankah Konfucius pernah berkata, 1000 langkah (ke arah pembaharuan – reformasi) bermula dengan langkah pertama.

No comments: