DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sesungguhnya solat itu adalah fardu yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman." (Maksud Ayat 103 Surah An-Nisa')
PADA usia 60+ ini, kita berusaha membersihkan hati sebelum dipanggil-Nya. Maka kita pun mengikuti pengajian di masjid dan surau. Antara kitab yang disyarahkan tuan guru adalah Penawar Hati karya Syeikh Abdul Kadir Al-Mandili.
Sebelum dapat membersihkan hati, ada tujuh anggota zahir yang wajib dijaga iaitu mata, telinga, lidah, perut, faraj (kemaluan), dua tangan dan dua kaki.
Di dalam bukunya, Syeikh antara lain menulis: "Ingatlah di dalam hatimu bahawa Allah Taala telah memberi nikmat kepadamu dengan beberapa nikmat yang besar-besar, iaitu segala anggotamu yang wajib atasmu memelihara dan mensyukurinya. Maka jika engkau tidak memeliharakannya, nescaya semua itu akan menjadi saksi atasmu pada hari kiamat nanti."
Belajar satu hal, tetapi mempraktikkannya satu hal lain. Ia begitu sukar. Saya sudah belajar dan diajar menjaga mata, tetapi suatu hari hari saya tertewas jua. Ketika menatap skrin telefon pintar, tiba-tiba keluar gambar tak senonoh. Saya sudah belajar bahawa tertatap kali pertama itu ok (kata ustazlah), tetapi meneruskan pandangan kedua dan seterusnya sudah berdosa. Namun itulah yang telah saya lakukan! Astaghfirullah Al 'Azim.
Petang itu saya percaya, saya telah dibayar 'cash' (tunai) oleh Allah SWT. Sedang saya menunggang motosikal dengan lajunya ke masjid untuk solat, saya merempuh di muka reranting pohon nangka kering. Saya terasa sungguh pedih di muka. Apabila sampai di masjid, saya memeriksa luka-luka saya. Alangkah terkejut saya kerana kerana salah satu ranting itu mencetuskan luka panjang hanya satu sentimeter dari mata saya!
Mungkinkah Allah telah menghukum saya atas 'keliaran' (dosa-dosa) mata saya...tetapi pada masa yang sama menyelamatkan mata saya...mungkin ini amaran kepada saya...Syukur, alhamdulillah...terima kasih Allah kerana telah menyelamatkan saya...memberi lagi peluang untuk bertaubat dan memperbaiki diri...
Berceloteh mengenai mata ini, teringat saya akan kisah saya dengan seorang pengemis bernama Ricky yang saya santuni di Hentian Puduraya (Pudu Sentral) beberapa tahun lalu.
Di Puduraya dan kawasan sekitarnya seperti laluan pejalan kaki ke Plaza Rakyat, Kota Raya, Petaling Street membawa ke Bus Stand Klang (sudah dirobohkan) dan Jalan Pudu, saya temui dan kenali aneka ragam manusia - daripada pengemis jalanan, pencopet, peniaga, si putar alam, mualaf dan sebagainya. Di sekitar Pudurayalah saya menjalin persahabatan dengan Ricky, seorang pengemis Cina yang dalam lingkungan usia 50-an.
Hampir setiap hari selama bertahun-tahun lamanya saya berinteraksi dengan Ricky di laluan pejalan kaki (susur gajah) di antara Hentian Puduraya dan Plaza Rakyat yang hanya stesen LRT-nya boleh digunakan manakala struktur lain terbengkalai puluhan tahun lamanya.
Ricky pengemis unik - pada peringkat awal ketika berjalan 'melepasinya' saya amat-amati satu 'kelakuan buruknya' - setiap kali orang memasukkan wang syiling 10 sen atau 5 sen ke dalam bekas jualan tisunya dia akan mencampakkan duit itu. Ehh, dah le buta, kenal pulak duit kecik, dicampakkannya saja - 'sombongnya' pengemis ini, gerutu hati saya.
Selama berhari-hari setiap kali melalui lokasi Ricky saya akan berdiri lama sedikit - memerhatikan kelakuan Ricky. Dia tetap dengan perangai 'teruknya', mencampakkan duit syiling bernilai kecil. Kemudian saya 'cuba mengujinya' dengan memasukkan wang syiling 10 sen; hah dia tetap mencampakkannya.
Saya mengujinya beberapa kali sehingga suatu hari saya ada sedikit 'keberanian' untuk menyapanya seterusnya bertanya mengapa dia membuang duit syiling itu. Alhamdulillah, Ricky mahu berinteraksi dengan saya, katanya duit syiling bernilai kecil membawa 'suey'.
Saya memberitahu Ricky dalam Islam tiada 'suey' - semua perkara sekecil manapun ada manfaatnya di mana ada hadis Nabi s.a.w. menyebut mendermalah walaupun separuh butir kurma bagi menyelamatkan diri kita daripada neraka.
Ricky menunjukkan minat - demikianlah 'persahabatan' kami bertukar daripada hari ke minggu, kemudian kepada bulan seterusnya tahun - saya mengajar Ricky mengucap dua kalimah syahadah, membaca surah al-Fatihah namun sukar sekali dia mengikutinya menyebabkan saya mengesyorkan dia pergi ke pejabat agama atau Perkim tetapi saya tahu Ricky tidak pernah pergi pun.
Banyak juga kisah Ricky yang dapat saya cungkil namun tidak dapat dicelotehkan secara panjang lebar di ruang yang sempit ini. Antaranya jumlah pendapatan bulanan beliau yang 'agak baik', 'kerinduannya' kepada perempuan dan kisahnya tinggal di sebuah hotel di Singapura semasa mengemis di sana.
'Mengenai perempuan' (hah, ini yang saya nak fokuskan), Ricky berkata saya bertuah kerana ada mata boleh melihat perempuan cantik dan seksi tetapi dia bernasib malang tidak dapat menyaksikannya.
Saya membalas balik dengan berkata, "awak bernasib baik kerana tiada dosa mata" tetapi Ricky tetap tidak dapat menerimanya. Dia tak tahu orang tak buta macam saya banyak menanggung dosa kerana kerana mata banyak membuat maksiat. Ya, kalau mata 'tak bersih' macam mana hati nak bersih!
Namun satu hal yang menggembirakan saya adalah Ricky tidak lagi membuang wang syiling bernilai kecil. Namun 'persahabatan' saya dengan Ricky 'berakhir jua' apabila saya tidak lagi ke Hentian Puduraya secara kerap selepas berhenti kerja di KL.
No comments:
Post a Comment