Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
SEBAGAI murid Tingkatan Enam aliran sastera puluhan tahun lalu (1980-81), teks 'Sejarah Melayu' menjadi bacaan wajib. Malah kerana minatnya kepada sastera Melayu Lama, 'Hikayat Hang Tuah' yang tebal itu pun saya cuba baca, tetapi tidak pernah tamat sebab sukar difahami.
Antara kisah 'memukau perasaan' saya sebagai seorang anak muda yang penuh angan-angan ketika itu adalah mengenai rombongan peminangan Sultan Melaka, Mahmud Shah ke atas Puteri Gunung Ledang yang dikepali oleh Laksamana Hang Tuah dan Tun Mamat.
Tun Mamat dilaporkan berjaya ke puncak Gunung Ledang dan menemui seorang nenek berbongkok tiga (ada yang mempercayai dia adalah Puteri Gunung Ledang) yang meletakkan tujuh syarat bagi dipenuhi Sultan antaranya menyediakan jambatan emas dari Melaka ke Gunung Ledang dan persembahan kepada sang puteri semangkok darah Raja Ahmad, putera Sultan.
Ada sejumlah filem dan drama dibuat mengenai kisah klasik ini. Saya tertarik dengan sebuah filem (terlupa pula saya tajuknya) yang menggambarkan bagaimana pembesar dan hulubalang Melaka 'menjarah dan melarikan harta rakyat' dalam menjayakan pembinaan jambatan emas.
Syukurlah akhirnya rancangan pembinaan jambatan emas itu tidak jadi diteruskan kerana Sultan sedar bahawa sekalipun jika jambatan itu 'boleh dibina', tidak mungkin dia tergamak menumpahkan darah anaknya sendiri!
Kisah di atas diangkat daripada perspektif orang Melayu/Islam; elok juga kita melihat satu kisah yang 'seakan-akan sama' membabitkan orang Arab/Islam pula. Kisah benar ini adalah berkaitan kegemparan orang Arab/Islam dalam menghadapi kedahsyatan serbuan tentera berkuda Monggol yang telah menghancurkan Baghdad, ibu kota Abbasiyah pada 1258 Masihi.
Dunia Islam seluruhnya terdedah untuk dihancurkan oleh tentera bengis dan ganas Hulago Khan, cucu Genghiz Khan. Selepas jatuhnya daulat Abbasiyah, giliran Mesir pula untuk menghadapi Hulago. Mesir ketika itu diperintah Sultan Malikul Muzafar Quthaz, seorang bekas hamba.
Berhubung pemerintahan Quthaz, Wikipedia, menyatakan Saif ad-Din Qutuz (Quthaz), kadang-kadang dieja Kutuz dan Koetoez (memerintah dari 2 November 1254 - 24 Oktober 1260) adalah sultan ketiga Dinasti Mamluk (Hamba). Pasukan perang Quthazlah yang berjaya menewaskan kemaraan tentera Monggol dalam Pertempuran Ain Jalut sekali gus menyelamatkan dunia Islam di sebelah barat.
Kejayaan di Ain Jalut adalah teladan yang perlu dicontohi sepanjang zaman - ia berdiri di atas pengorbanan daripada orang setinggi-tinggi kedudukan (raja), para isteri, ulama dan rakyat. Kempen perang di Ain Jalut memerlukan kos yang sangat besar; sebelum ke medan perang Sultan memanggil amir, gabenor, menteri, hakim, ulama dan ketua-ketua masyarakat dalam satu mesyuarat tergempar.
Dalam mesyuarat, Sultan meminta pandangan ahli mesyuarat adalah wajar kerajaan mengutip wang dan harta daripada rakyat untuk membiayai kempen perang. Semua orang membisu; tiba-tiba seorang ulama, Sheikh Izzuddin Abdus Salam berkata: "Perkara itu perlu dimulakan dengan sultan, amir, gabenor, menteri dan orang kaya." Beliau tidak mahu rakyat miskin ditambah lagi kesusahkan mereka.
Sheikh 'sudah bersedia untuk mati' dengan mengemukakan pandangan itu. Apa hendak ditakutkan kerana semua orang akan mati. Hanya masa menentukannya. Namun alangkah terkejutnya semua orang apabila Sultan menerima cadangan Sheikh Abdus Salam dengan dada terbuka.
Persediaan perang segera dipersiapkan dengan Sultan dengan permaisurinya, Jalinar berada di barisan depan medan perang. Saat sedih berlaku apabila Jalinar terbunuh dengan menghembuskan nafas terakhir di pangkuan suami tersayang tetapi sebelum itu sempat menitipkan semangat juang demi Islam,
Pengorbanan permaisuri menjadikan Sultan dan tentera Muslim bertambah bersemangat; akhirnya di Ain Jalut mereka berjaya mengundurkan tentera Monggol yang ganas itu sekali gus menyelamatkan dunia Islam.
Demikian, wahai semua pihak, teladani watak-watak mulia daripada dua kisah ini - pemimpin dan rakyat perlu seiring jalan, berpadu erat dalam mencapai kejayaan. Raja dan perdana menteri contohilah Quthaz, isteri-isteri contohilah Jalinar manakala ulama contohilah Syeikh Abdus Salam.
Mungkin rakyat boleh mencontohi 'kebijaksanaan' Puteri Gunung Ledang apabila menolak peminangan Sultan dengan begitu berhemah sekali. Tidak perlu berkonfrontasi dalam suasana tegang sebaliknya cari dan usahakan penyelesaian terbaik.
No comments:
Post a Comment