DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)
BARU-BARU ini ketika saya ke KL, kawan-kawan lama ajak minum di sebuah restoran di Jalan Pahang Barat. Ketika kami sampai di bahagian depan kedai, seorang penyanyi jalanan (busker) mengalu-alukan kedatangan kami, lantas mengalunkan sebuah lagu ditujukan kepada kami.
Seorang kawan yang menjadi pelanggan tetap restoran itu berkata kehadiran 'busker' itu adalah kali pertama dilihatnya, sebelum itu tiada. Beliau mengandaikan kesukaran hidup sekarang ini 'mengajak' individu melakukan apa jua kerja asalkan 'wang 'masyuk' (masuk)'.
Demikianlah ramai rakyat yang kini 'terhimpit', berhempas pulas melakukan kerja tambahan bagi mencukupkan nafkah hidup apatah lagi apabila sesi persekolahan dibuka tidak lama lagi yang menghendaki ibu bapa mengeluarkan banyak wang.
Zaman 'sukar' sekarang ini memerlukan rakyat kreatif bagi menambah pendapatan. Ada yang melakukan dua kerja - pada sebelah siang dan malam - manakala ada juga 'mencuba-cuba' berniaga nasi lemak, kuih-muih dan sebagainya.
Seorang lagi rakan yang mengaku gaji November-nya dibayar setengah bulan saja (lewat pula), sedang memikir-mikirkan untuk menyuruh isterinya, seorang suri rumah berjualan nasi lemak. Katanya, mana boleh tahan dengan situasi begitu kerana dia terpaksa menangguhkan bayaran bulanan ansuran pelbagai pinjaman.
Katanya, majikan 'memberi janji manis' bayaran tertunggak setengah bulan akan dilunaskan tidak lama lagi, tetapi melihatkan syarikat kian nazak, dia tahu itu hanya janji dan apa dibimbanginya gaji bulan berikutnya mungkin dibayar setengah bulan lagi atau lebih parah tak dibayar malah ada pekerja dikehendaki berhenti.
Berdasarkan apa yang saya lihat sekarang ini, tidak mustahil adegan aksi 'luar biasa' mencari rezeki di negara jiran Indonesia dan sejumlah negara miskin lain seperti India akan menular di Malaysia sikit masa lagi.
Ketika berada di Jakarta tidak lama dulu, saya mencatatkan kisah ini: "Suatu ketika saya menaiki bas awam ke pusat membeli belah Sarina. Saya menunggu bas di sebuah perhentian di jalan besar depan Hotel Hilton. Saya perhatikan setiap kali bas berhenti, konduktornya menjerit laluan bas - Sarina, Monas, Tanah Abang dan Ancol - adalah antara destinasi dilaungkan. Apabila ada konduktor melaungkan Sarina, saya pun menaiki bas itu.
Apabila konduktornya menghampiri, saya hulurkan wang kertas 5,000 rupiah. Saya tidak tuturkan apa-apa. Dia kemudian memulangkan wang baki. Saya kira. Ada 4,000 rupiah. Saya tidak tahu tambang itu betul atau tidak. Yang pasti konduktor itu tidak menyerahkan sebarang tiket atau resit kepada saya. Tetapi penumpang lain pun tak diberikan tiket. Mungkin di Jakarta tiket bas tidak diperlukan, fikir saya.
Apabila tiba di sebuah perhentian lain, naik seorang budak lelaki berusia dalam lingkungan 10 tahun. Dia bersongkok dan memegang sebuah kotak aluminium. Dia tidak mencari tempat duduk seperti orang lain tetapi memegang palang besi di depan penumpang.
Ligat otak saya membuat andaian apa yang hendak dibuat budak ini. Apabila bas bergerak, dia pun memulakan tugasnya. "Assalamualaikum wbk...bapak-bapak dan ibu-ibu sekalian..."
Rupa-rupanya dia menyampaikan ceramah agama. Hebat sekali pidatonya. Dia mengingatkan kepentingan orang Islam menderma dan ancaman kepada orang yang kedekut, yang hanya mementingkan diri sendiri.
Selepas menutup ceramahnya dengan doa, dia mendapatkan seorang demi seorang penumpang sambil mengunjukkan kotak dermanya. Kebanyakan orang tidak mengendahkannya, ada pula menggelengkan kepala. Namun ada yang mencampakkan 'sesen dua', jadi dapat juga sedikit wang.
Tiba di sebuah perhentian lain, budak itu turun dan naik pula beberapa orang termasuk seorang pemuda dengan gitar kapuk bersilang di bahunya. Dia tidak duduk, sebaliknya menyandarkan dirinya di sisi sebuah kerusi penumpang. Apa pulak halnya kali ini, fikir saya.
Sama seperti budak tadi, pemuda itu memulakan aksinya dengan memberi ucapan selamat ketemu kepada penumpang bas. Kemudian dia pun mula memetik gitarnya dan mengalunkan lagu. Sayu sekali lagunya, kena dengan suaranya yang serak-serak basah. Lagunya kisah malang seorang penganggur dan seniman jalanan.
Selesai dia menyanyi, tiada tepukan kedengaran. Mungkin orang Jakarta sudah 'lali' dengan adegan seperti ini. Namun pemuda itu bergerak dari sebuah kerusi ke sebuah kerusi penumpang dengan 'muka seposen' seolah-olah merayu mereka mencampakkan 'sesen dua' ke dalam topinya. Kebanyakan penumpang tidak mempedulikannya, namun ada juga 'insan baik hati' - jadi dapat juga dia 'sedikit rezeki'.
Demikianlah kota Jakarta 'yang keras' mengajar penghuninya melakukan apa saja demi kesinambungan hidup. Adalah biasa untuk melihat kanak-kanak menjual akhbar (koran) di persimpangan jalan berlampu trafik malah ada yang mengangkat tangan di tepi jalan, bersedia menjadi penumpang bagi mereka yang memandu 'solo' kerana menjadi peraturan di sesetengah kawasan Jakarta kereta 'wajib penuh' sebelum dibenarkan masuk.
Subhanallah,'penderitaan' telah mengajar orang Jakarta (dan Indonesia) 'mencari jalan keluar', apakah kita rakyat Malaysia sedia mencontohi mereka apabila 'zaman susah GST' mulai dirasai rakyat berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan? Apa kata PM dan menteri-menteri Malaysia jika hal ini berlaku di KL dan kemudian merebak ke seluruh tanah air?
No comments:
Post a Comment