Wednesday, December 20, 2017

PAU: Apabila 'kejayaan' kerajaan dilambung-lambung; apa Umno buat?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)

SELEPAS pencen daripada kerjaya wartawan, sudah lama saya tidak menjejak kaki ke PWTC bagi mengikuti dan membuat liputan Perhimpunan Agung Umno (PAU). Alhamdulillah, Jumaat lalu (8 Disember) saya berkesempatan ke sana; 'terpesona' saya menyaksikan 'gah'nya PAU 2017 - 'dibanjiri' ribuan perwakilan yang ramai berpakaian merah, pemerhati dan 'individu penyibuk' seperti saya.

Berdasarkan 'kehebatan' perhimpunan yang saya lihat (secara zahir), 'seperti tidak mungkin' Umno akan tumbang pada PRU ke-14 nanti. Tetapi nanti dulu, ambil iktibar sejarah...ketika belajar Sejarah di sekolah menengah puluhan tahun dulu, guru saya memberitahu berdasarkan kelengkapan dan persiapannya tidak mungkin Kesultanan Melaka jatuh ke tangan 'Benggali Putih' (Portugis) yang datang 'merempat' ribuan kilometer jauhnya, tetapi sejarah mencatat akhirnya empayar hebat itu tersungkur jua pada tahun 1511.

Apa faktor yang menyumbang kepada kejatuhan empayar Melaka? Pelajar-pelajar, peminat apatah lagi guru Sejarah sudah pasti tahu punca yang menyebabkan Melaka jatuh...(pembaca carilah sendiri jawapannya); perkara yang sama nampaknya 'menjangkiti' Umno; ia nampak 'gah' di permukaan tetapi 'sudah reput' di dalam...seumpama kayu atau buku yang dimakan anai-anai atau asai. 

Ya, kenapa saya berkata demikian? Ini sebahagiannya berdasarkan apa yang saya saksikan sendiri...Umno hari ini sebenarnya banyak bergantung hayatnya kepada jentera dan agensi pihak pemerintah. Di PAU 2017, saya dapat saksikan betapa 'galaknya' kementerian antaranya Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia malah kerajaan negeri 'memainkan peranan'; malah sudah heboh 'seantero dunia' bahawa ribuan anggota polis dibawa untuk bertugas, itu belum lagi diambil kira pelajar institusi pengajian tinggi.

Umno sebagai sebuah parti dan kerajaan Malaysia nampaknya 'sudah menjadi satu'. Mana satu 'hak Umno', mana satu 'hak kerajaan Malaysia' sudah tidak dapat dibezakan. Pemimpin Umno mendabik dada akan 'kejayaan' dan 'kebagusan' inisiatif pemerintah dalam isu seperti BR1M dan GST.

Di sini kita mengambil dua contoh ini saja kerana ia membabitkan kepentingan rakyat terbanyak yang kini sengsara kehidupan mereka sebahagiannya disebabkan bebanan hidup. Di PAU 2017 ini, mengenai BR1M, Presiden Umno mengungkapkan bahawa "sejak BR1M diperkenalkan, lebih RM25 billion telah kita agih-agihkan. Ini belum termasuk pemberian BR1M tahun 2018, sebanyak RM6.8 bilion, memanfaatkan lebih tujuh (7) juta penerima, sehingga mencapai RM1,200 seorang."

Alangkah 'lunak' didengar perwakilan dan pemerhati (yang sesetengahnya mungkin tidak mampu 'berfikir di luar kotak')...wow sungguh hebat dan baiknya parti (dan pemimpin parti) kita kerana 'berkorban' jutaan ringgit bagi membantu rakyat...hakikatnya duit itu adalah daripada hasil masyhul negara termasuklah GST yang dikenakan kepada seluruh rakyat tidak kiralah dia kaki pembangkang atau pembodek. Pendeknya, ini bukan 'duit Umnolah' beb!

Berhubung GST, Presiden Umno menyatakan: "...terbukti ia menjadi penyelamat ekonomi kita, kerana tanpa kutipan GST sebanyak RM41 bilion, bagaimana negara boleh menampung perbelanjaan yang diperlukan untuk rakyat?"

GST adalah 'apparatus' kerajaan masa kini; pemimpin Umno cuba 'merasionalkan' kezaliman mencukai semua lapisan masyarakat yang kononnya perolehan itu adalah untuk membantu semula rakyat; persoalannya bolehkah seorang bapa dalam sebuah keluarga memaksa anak-anak menyerahkan sebahagian wang mereka dengan alasan untuk menjayakan projek keluarga bagi kesejahteraan semua...ya kalau bapa itu seorang bijak dan bertanggungjawab, berusahalah cari wang daripada luar (kerja 'over-time' ke) janganlah nak menyusahkan anak-anak.

Kalau seorang bapa memeras wang anak-anaknya untuk menjayakan projek keluarga; itu namanya bukan bijak tetapi 'seorang penyamun tarbus'...ya kadang-kala kita dapat saksikan seorang bapa memecah tabung ayam anak selepas hari raya kerana dia sudah kehabisan wang dan dalam kes-kes tertentu dia kuat berjoli atau takut bini sehingga terpaksa membelikan si dia beg tangan dan kasut berjenama antarabangsa.

Ternyata GST sudah banyak menyusahkan 'anak-anak' (rakyat) sehingga sekarang ini artis-artis pun sudah menyuarakan beban yang terpaksa dipikul kerana harga barangan keperluan tinggi dan selalu naik (lebih-lebih lagi minyak). Jika orang 'famous' (termasyhur) sudah terbeban apatah lagi rakyat biasa seperti penulis sendiri.

Persoalan terakhir, jika apa yang didakwa sebagai 'kejayaan kerajaan' dilambung-lambung' dan dibanggakan oleh pemimpin Umno termasuk di PAU 2017, apa yang Umno buat sebenarnya? Misalnya, dalam isu rakyat terbeban dan bergelut untuk meneruskan kesinambungan hidup sekarang ini, berperananlah Umno, jangan terlalu sangat menumpang nama kerajaan...!

No comments: