Sunday, December 3, 2017

Bahasa Melayu/Malaysia menuju 'ke kubur'!


DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan


"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)

BAHASA Melayu merempat di bumi sendiri - demikian tajuk besar rencana sebuah akhbar harian perdana yang disiarkan 21 November lalu. Sekali lagi bahasa Melayu di Malaysia menjadi polemik pada ketika ada pihak mahu mengembalikan pengantar bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

Akhbar milik parti pemerintah itu mengakui sendiri betapa merempatnya bahasa Melayu sedangkan seorang aktivis bahasa pernah bertanya: "Perdana Menteri, Melayu; Timbalan Perdana Menteri, Melayu; Menteri Kebudayaan pun  Melayu. Jadi, kenapa susah sangat memartabatkan bahasa Melayu?"

Ya, bahasa Melayu di Malaysia diangkat sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi tetapi malang sekali selepas negara merdeka 60 tahun, pihak berkuasa terpaksa melancarkan Kempen Bahasa Kebangsaan. Bayangkan sebuah negara berdaulat lebih enam dekad lalu, terpaksa melancarkan kempen bahasa di kalangan rakyat sedangkan perkara itu sewajarnya sudah lama beres.

Kempen adalah bertujuan mempromosi sesuatu yang baru, tetapi apabila bahasa Melayu terpaksa dikempenkan, ertinya bahasa ini tidak ‘dituankan’ atau didaulatkan di negara ini. Demikianlah bahasa Melayu diperlakukan sedemikian rupa sehingga merempat di negara sendiri. Oleh itu, apa erti dilaung-laungkan ketuanan Melayu jika bahasanya sendiri beransur-ansur dikuburkan?

Bagi seorang manusia umur 60 tahun sudah merangkak memasuki usia tua tetapi negara kita masih menjalankan kempen bahasa kebangsaan (Melayu). Mengapa hal ini berlaku, jika soal bahasa pun kita belum dapat selesaikan bagaimana kita gampang bercakap mengenai 1-Malaysia, apa yang satunya sedangkan masih ada rakyat yang tergagap-gagap bercakap dalam bahasa kebangsaan?

Jika bahasa Melayu di Malaysia tidak dimajukan sebagai bahasa ilmu, bagaimana orang Melayu mahu diperkasakan? Tidak ada satu bangsa pun di dunia ini yang menjadi maju sedangkan bahasanya mundur, tidak digunakan di persada dunia keilmuan. Jika diimbau tamadun dunia, orang Arab pada zaman keemasan Islam maju kerana bahasanya maju sehingga begitu banyak perkataannya menjadi pinjaman tamadun lain, orang Inggeris maju seiring dengan bahasanya, demikian juga pada masa kini, orang Jepun dengan bahasanya, orang Korea dan orang Jerman dengan bahasa masing-masing.

Oleh itu adalah luar biasa jika orang Melayu dapat menjadi maju dengan bahasa Inggeris. Penulis yakin orang Melayu golongan atasanlah yang dapat mengaut faedah dengan dasar ini dengan merujuk negara sedang membangun yang mengutamakan bahasa Inggeris dalam pelbagai bidang kehidupan seperti India dan Filipina, sebagai contoh.

Benar, India maju dalam sebahagian hal, tetapi siapa sebenar yang mendapat manfaat? Sebahagian kecil rakyat India berjaya hebat dalam bidang teknologi tetapi majoriti penduduk negara demokrasi terbesar dunia ini, terus kekal miskin dan merempat. Demikian halnya di Filipina, sejumlah kecil berjaya sedangkan yang lain terus menderita dihimpit kemiskinan. Apakah pemimpin Melayu mahu sebahagian kecil Melayu maju dan kaya raya sedangkan majoriti rakyat terus hidup miskin dan merana?

Selain bahasa, identiti kebangsaan negara semakin lama semakin terhakis. Hampir keseluruhan cara hidup, identiti kebangsaan menuju kepunahan. Mungkin ada yang meletakkan kesalahan kepada perkembangan global atau dunia tanpa sempadan, tetapi benarkah demikian 100 peratus? 

Kalau dulu kedengaran juga suara memperjuangkan bahasa kebangsaan dan pelbagai isu berkaitan identiti kebangsaan, nampaknya suara-suara itu sudah tenggelam 'bersama tenggelamnya' penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. 

Sekalipun hari ini bangunan DBP sudah 'menongkat langit' tetapi bahasa Melayu di Malaysia sudah menuju saat 'ke kuburan', gara-gara sikap gelojoh sesetengah pemimpin negara menidakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Jika ada pemimpin negara bercakap besar mengenai bahasa Melayu yang bersifat global, yang mungkin akan diterima di peringkat antarabangsa seperti PBB, Asean, di institusi pengajian tinggi di Rusia atau China, mereka sebenarnya tidak menyedari bahasa itu bukan bahasa Melayu Malaysia tetapi bahasa Melayu Indonesia. 

Universiti-universiti utama dunia termasuk di China, Korea, Belanda dan Amerika juga menawarkan pengajian bahasa Melayu (Indonesia) manakala diplomat asing di Kuala Lumpur dan Jakarta (terutama dari Amerika dan Rusia), fasih berbahasa Melayu Indonesia. 

Bahasa Melayu di Malaysia akan hilang kepentingannya sama seperti hilangnya penggunaan tulisan jawi dari bumi yang pernah menggunakan nama 'Tanah Melayu' ini. Kata-kata hikmah Hang Tuah 'takkan Melayu hilang di dunia' mungkin boleh diletakkan di 'Keretapi Tanah Melayu' saja. 

Sekalipun hilang pengaruhnya di 'Tanah Melayu', bahasa Melayu dipercayai akan terus berkembang pesat di bahagian dunia lain. Ini kerana bahasa Melayu tergolong dalam kumpulan 12 bahasa utama dunia yang mempunyai lebih 100 juta penutur. 

Daripada 6,000 bahasa di dunia, bahasa Melayu berada di tangga kesembilan dengan lebih 150 juta penutur. Ini termasuk lebih 50 juta orang yang bahasa Melayu adalah bahasa ibunda mereka. 

Sebagai bahasa utama dunia, pejuang bahasa Melayu sebenarnya mempunyai landasan kukuh untuk mempertingkatkan bahasa ini sehingga ia boleh diterima sebagai bahasa rasmi pertubuhan serantau seperti Asean sehingga ke peringkat antarabangsa seperti PBB. 

Malangnya bahasa Melayu di Malaysia dipersempitkan penggunaannya di bekas bumi bernama 'Tanah Melayu'. Pemimpinnya yang bergegak gempita dengan ketuanan Melayu, tidak yakin bahasa Melayu/Malaysia dapat dijadikan bahasa ilmu atau lingua franca.

Jika dalam isu bahasa saja, pemimpin Melayu ini sudah gagal, apalah diharapkan untuk mereka berjuang dalam bidang lain? Mereka hanya melayukan orang Melayu kebanyakan sebaliknya menggemukkan tembolok sendiri, kononnya memperjuangkan ketuanan Melayu! Apa makna ketuanan Melayu sedangkan bahasa Melayu di Malaysia sendiri sudah hampir ke kubur?


Jika orang Melayu Malaysia tidak dapat mempertahankan bahasa mereka sebagai bahasa ilmu (seperti mengembalikan pengantar bahasa Inggeris di sekolah diikuti hampir semua kursus di universiti), adalah dikhuatiri bahasa Melayu akan hilang kedudukan utamanya.

Jika dulu 'Tanah Melayu' sudah berkubur dan menjadi sejarah saja, tunggulah ketikanya bahasa Melayu/Malaysia akan turut berkubur sedangkan secara globalnya bahasa Melayu berkembang maju selaras dengan bahasa-bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris, Arab dan Mandarin.

Ya, bahasa Melayu hebat termasuk dalam bab mengenai agama, jemaah haji/umrah boleh mengesahkan. Bahasa ini antara lima atau enam bahasa yang digunakan di Tanah Suci. Tak percaya pergilah ke perkuburan Baqi' di mana papan tandanya turut ditulis dalam bahasa Melayu. Malah pekedainya ramai yang bertutur dalam bahasa Melayu...jadi mengapa mahu sangsi dengan bahasa Melayu?

No comments: