Sunday, December 18, 2016

U Masjid (2): Surat terbuka kepada PM ke-5, Tun Abdullah

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

ASSALAMUALAIKUM YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi, didoakan Tun serta keluarga dan kita semua dalam perlindungan Allah SWT. Bersyukur ke hadrat Illahi kita dipanjangkan usia, memberi kesempatan kepada saya sebagai wartawan yang bersama-sama Tun ketika lawatan bersejarah ke Rusia dan empat republik merdeka Asia Tengah (Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan dan Turkmenistan) pada pertengahan tahun 1992 selepas terlerainya empayar Soviet Union, mengimbau kunjungan itu dan mengaitkannya dengan perkembangan semasa.

Dalam salah satu rencana yang saya tulis selepas lawatan itu, antara lain saya mencatatkan: "Berikutan kemerdekaan Uzbekistan dan kesediaan beberapa pihak perlancongan di sini (Uzbekistan) membawa rakyat Malaysia ke Samarkand, berikut disenaraikan tempat-tempat bersejarah Islam yang boleh membuatkan seseorang itu mengenang kembali zaman kegemilangan Islam di sini."

Antara tempat itu adalah Kompleks Arkitektual dan Pemakaman Shakhi-Zinda (Hamba Yang Terus Hidup) yang antara lain terdapat makam Kussam ibn Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w. Pemakaman ini turut menempatkan jenazah Presiden Islam Karimov iaitu presiden pertama pasca kemerdekaan yang meninggal dunia beberapa bulan lalu. Ketika lawatan pada 1992 dulu, Tun membuat kunjungan hormat kepadanya manakala wartawan diberi peluang mewancara beliau secara eksklusif.

Kawasan tarikan lain adalah Permakaman Gur Emir, Registan, Madrasah Ulugbek, Permakaman Imam Bukhari dan Masjid Bibi-Khanum. Ketika lawatan dulu, kita turut mengunjungi kota Bukhara dan antara tempat bersejarah yang dikunjungi adalah Permakaman Ismael Samani, Masjid Kalyan, Madrasah Mir Arab dan Menara Kalon.

Maafkan saya YAB Tun kerana mengenang kembali lawatan bersejarah itu; saya berbuat demikian kerana baru-baru ini isteri dan seorang anak saya berpeluang menjejak bumi Uzbekistan selepas 25 tahun saya berbuat demikian. Maka mereka berceritalah mengenai tempat-tempat yang disebutkan terutama mengenai masjid dan madrasahnya. Masjid dan madrasah Uzbekistan pada zaman silam adalah ibarat universiti yang melahirkan ribuan tokoh ternama antaranya Imam Bukhari, periwayat hadis terulung dunia.

Sungguh membanggakan, sekarang ini Uzbekistan sudah menjadi antara destinasi popular yang ditawarkan syarikat-syarikat perlancongan negara kita. Melihatkan atur cara program pelancongan rakyat Malaysia ke Uzbekistan, perjalanannya 'hampir sebiji' (lawatan ke Bukhara, Samarkand dan Tashkent) dengan apa yang Tun dan rombongan rintis 25 tahun lalu. Sehubungan itu, saya sungguh berbesar hati untuk menyatakan penghargaan kepada usaha Tun dan semua yang terbabit; semoga kita semua diberkati Allah SWT.

Malaysia-Uzbekistan ternyata boleh bekerjasama dalam banyak bidang; salah satu daripadanya adalah memantapkan industri pelancongan seperti yang telah dinyatakan. Selain itu, sebagai negara Islam yang berpengaruh di rantau masing-masing (Malaysia di Asia Tenggara manakala Uzbekistan di Asia Tengah), kedua-dua pihak dilihat boleh bekerjasama dalam bidang keagamaan seperti dakwah.

Berdasarkan pengalaman pelancong Malaysia, mereka melihat betapa saudara mereka di Uzbekistan perlu dimantapkan dari segi pengamalan Islam. Mereka mendakwa memang betul banyak masjid lama sudah diperbaiki manakala yang baru didirikan tetapi pengamalan agama di kalangan penduduk seperti solat fardu berjemaah tidak memberangsangkan. Malah sembahyang waktu itu sendiri 'agak asing' di kalangan warga Uzbek yang ditemui seperti pemandu pelancong dan petugas hotel.

Manakala pemakaian tudung iaitu sebahagian daripada keperluan menutup aurat di kalangan wanita Islam juga 'tidak segah' di Malaysia. Kebanyakan wanita muda Uzbek nampaknya 'menghala' ke Barat; jika ada yang memakai tudung hampir kesemuanya adalah golongan veteran. Mungkin kita di Malaysia boleh mendoakan agar saudara kita di Uzbekistan diberi taufik dan hidayah untuk berada di jalan-Nya yang lurus.

Suasana di Uzbekistan ini mungkin disebabkan negara ini  'baru' merdeka daripada cengkaman komunis Soviet dengan pemerintahnya sendiri adalah daripada warisan kolonial; namun insya-Allah dengan usaha gigih pendakwah tempatan dan luar yang tidak mengenal kekangan dan berjuang semata-mata kerana Allah SWT, Islam di Uzbekistan (bumi Khurasan) akan kembali bersinar dan menjadi permata di kalangan ummah seantero dunia!

No comments: