Thursday, December 22, 2016

‘Railway engineering’ perlu dihebahkan, bukannya…

**
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
SAYA baru saja menghadiri majlis konvokesyen IPT seorang anak dan alhamdulillah dapat berbual-bual dengan seorang pegawai tinggi institusi itu seusai majlis. Antara perkara yang menarik perhatian saya adalah pendedahan beliau akan bidang kelulusan dan pekerjaan yang menjadi buruan pada masa depan.
Katanya, sedikit masa dulu bidang itu adalah ‘oil and gas’ (minyak dan gas) tetapi berdasarkan perkembangan semasa negara ini, permintaan tinggi akan dialihkan kepada kerja-kerja berkaitan kereta api termasuklah berkaitan ‘railway engineering’ (kejuruteraan kereta api).
Pemerintah sekarang ‘begitu heboh’ dengan pelbagai projek kereta api meganya seperti ‘High Speed Rail’ (Kereta Api Berkelajuan Tinggi, HSR) menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura serta ‘East Coast Rail Line’ (Landasan Kereta Api Pantai Timur, ECRL) yang kedua-dua bernilai berpuluh-puluh billion ringgit.
Di ibu kota KL dan kawasan pinggirannya sudah dan sedang dibangunkan kemudahan perkhidmatan kereta api ringan (LRT dan MRT) manakala Keretapi Tanah Melayu (KTM) juga mempunyai pelbagai projek masa depan termasuklah ‘electric train service’ (ETS) yang dirancangkan sehingga ke Singapura.
Bagi orang Islam Malaysia yang ‘rapat’ dengan Makkah dan Madinah, dilaporkan ada sejumlah rakyat Malaysia sedang dan akan berkhidmat dalam pembangunan perkhidmatan kereta api di Tanah Suci yang begitu pesat sekarang ini. Ini juga peluang untuk rakyat Malaysia terbabit dalam ‘railway engineering’.
Demikianlah industri pengangkutan awam jenis ini sedang berkembang dengan pesat dan membuka peluang besar kepada rakyat terutama generasi muda tetapi parti pemerintah negara kita yang baru-baru ini mengadakan perhimpunan agung (PAU), fokusnya tidak menyentuh hal-hal kebajikan rakyat sebaliknya ‘mengisytiharkan perang’ dengan ‘menembak’ bekas PM, Dr Mahathir Mohamad dan ‘gengnya’.
Parti ini juga secara terang-terangan mempamerkan sikap dan tindakan perkaumannya dengan menakut-nakutan orang Melayu akan apa didakwa ancaman DAP; hakikatnya kedua-dua perkara ini (serang Mahathir dan DAP) tidak diperlukan pada ketika rakyat semakin sengsara menghadapi kemelut hidup sebahagiannya kerana harga barangan keperluan tinggi disebabkan GST (cukai barangan dan perkhidmatan).
Dalam PAU ada perwakilan membawa usul rakyat yang semakin susah hidup mereka tetapi semuanya ditenggelamkan dan ‘dimatikan’ oleh ucapan berapi-rapi pemimpin dalam dua isu yang disebutkan.
Pemimpin tidak menunjuk jalan keluar kepada rakyat (jika ada pun bersifat hampir tidak logik seperti jika ayam mahal jangan makan ayam atau jika pendapatan kurang buatlah dua tiga kerja) tetapi syukurlah ada pegawai seperti peneraju IPT dapat ‘menceriakan suasana’ seperti mendedahkan bidang pekerjaan berpermintaan tinggi seperti ‘railway engineering’. Mengapa pemimpin tidak menghebahkan 'prospek' bidang ini, apakah mereka mahu kroni mereka saja 'sapu bersih'?
Mengenai bidang ini, seorang penulis blog bertanya, sejak pelancaran LRT 20 tahun lalu, sudah berapa ramai rakyat tempatan yang pakar dalam bidang ‘railway engineering’? Industri pengangkutan kereta api mempunyai masa depan cerah bukan saja di Malaysia tetapi di seluruh dunia termasuk negara serantau seperi Indonesia, Thailand, China, India dan Australia.  
Penulis itu berpendapat kerja-kerja seperti re-evaluation, modification, re-built, atau paling kurang extension menyebabkan industri ini memerlukan pakar yang ramai. Apakah kita mahu berpuas hati dengan kepakaran dari China saja tanyanya sekali gus menunjukkan bidang ini mempunyai masa depan gemilang untuk diterokai pemuda-pemudi kita sama seperti diungkapkan pegawai tinggi IPT yang saya temui!

No comments: