***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
KULIAH subuh Ahad lalu (20 November), antara lain ustaz di sebuah masjid berdekatan rumah saya, membicarakan kepentingan untuk pemimpin bukan saja telus tetapi dilihat ketelusannya.
Ustaz membawakan kisah Sayidina Umar Al-Khattab ketika membahagian harta rampasan perang, memberikan bahagian rakyat sama seperti dirinya iaitu sepotong kain yang tidak cukup untuk dibuat sehelai pakaian lengkap. Namun pada suatu hari ketika hadir di satu majlis di masjid, beliau dilihat memakai pakaian yang lengkap daripada kain yang dibahagikan tempoh hari.
Melihatkan keadaan itu, bangunlah seorang sahabat, Salman Al-Farisi menyoal khalifah (sekarang ini ibarat presiden atau perdana menteri) bagaimana beliau boleh membuat pakaian yang lengkap sedangkan kain diagihkan dulu tidak cukup untuk tujuan itu. Salman berkata dia dan orang Islam lain tidak akan taat dan menjunjung perintah khalifah jika benar khalifah melakukan penyelewengan.
Lantas bangunlah Abdullah anak Khalifah Umar bagi menjelaskan bahawa pakaian atas ayahnya dibuat daripada kain milik khalifah sendiri manakala pakaian bawah dibuat daripada kain miliknya. Salman dan sahabat serta rakyat bersyukur di atas kejujuran khalifah dan menyatakan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepadanya.
Demikianlah khalifah dituntut bukan hanya untuk telus tetapi dilihat telus manakala rakyat pula berhak mempersoalkan perkara yang mereka tidak puas hati. Khalifah Umar pula yang memiliki kuasa dari timur dan barat (wilayah Islam sudah menjangkau Afrika Utara dan Parsi) terbuka untuk menerima kritikan dan kecaman rakyat sendiri tetapi apa yang berlaku hari ini?
Pemimpin besar hatta kecil pun langsung tidak mahu menerima pandangan sisi (pihak) lain (termasuk rakyat) tetapi sentiasa menganggap dia dan gerombolannya saja yang betul hatta mendabik dada mereka saja yang pandai memerintah negara sehingga disanjung seantero dunia!
Sebagai contoh di negara kita Belanjawan 2017 sudah dibentangkan PM merangkap Menteri Kewangan, tetapi apakah pemimpin sedia menerima pandangan sisi lain. Jika dilihat kepada ulasan 'tokoh dan kaki bodek' tentulah semuanya bagus saja tetapi apa salah jika pemimpin terbuka menerima kritikan dan kecaman seperti dicontohkan Khalifah Umar yang tokoh Barat, Michael H Hart meletakkan 'ranking'nya yang ke-52 dalam bukunya 'The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History'.
Pemimpin dengarlah salah satu keluahan rakyat pada harga barangan dan perkhidmatan naik 'bagai nak gila' sekarang ini. Pelbagai insentif dan hadiah (bantuan) ditawarkan kepada rakyat daripada wang berbilion-bilion ringgit belanjawan itu, tetapi apa yang ingin dikomen adalah ketelusan sistem penyampaian bagi membolehkan rakyat yang berhak menerimanya.
Adalah lumrah kebanyakan kerajaan di dunia berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat masing-masing; persoalannya adakah peruntukan atau bantuan itu sampai kepada kumpulan sasaran.
Tidak guna kita bercakap mengenai jumlah wang berbilion-bilion ringgit tetapi akibat sistem penyampaian yang tidak telus, kantung wang telah bocor dengan banyak wang tercicir sepanjang perjalanan dan akhirnya penerimanya hanya mendapat tulang, dagingnya telah dibaham oleh buaya di daratan (sungai) dan jerung di lautan.
Kita tidak perlu pergi jauh untuk membuktikan perkara ini, di sekitar kita ada bangunan awam seperti sekolah, hospital, stesen bas dan stadium; sekalipun pembinaannya mendapat peruntukan berbilion-bilion ringgit daripada kementerian berkaitan; ketidak-telusan dengan jerung-jerung berkeliaran, menyebabkan bangunan berkenaan rosak atau runtuh dalam tempoh singkat selepas digunakan. Mungkinkah bangunan berkenaan tidak menepati spesifikasi dan piawai kerana dibina dengan kos dikurangkan bagi 'memberi makan' kepada jerung dan buaya terbabit.
Demikian juga bantuan terus kepada rakyat; disebabkan terlalu ramai orang tengah yang menangguk di air keruh, ada kemungkinan penerima layak mendapat separuh daripadanya sedangkan separuh lagi sudah dimakan jerung. Orang yang menepati syarat juga ada yang tidak menerimanya kerana pelbagai faktor seperti sentimen politik tetapi yang tidak layak pula tersenarai; ini semua disebabkan sistem penyampai yang sarat dengan masalah.
Kegagalan Baitulmal sesetengah negeri dalam sistem penyampaiannya sehingga ada golongan daif yang terpaksa meraih simpati kepada organisasi lain, sewajarnya mengingatkan kita bahawa wang berjuta atau berbilion ringgit yang ada jika tidak dapat diagihkan secara baik, tidak dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat sebaliknya mengemukkan tembolok jerung dan buaya.
Bagi kita jerung dan buaya inilah yang perlu dihapuskan dan yang lebih mustahak dihapuskan pihak yang membela mereka (penguasa korup).
Kita lihat keperluan untuk kita membina insan bukan semata-mata membina bangunan hebat seperti yang berlaku hari ini. Jika kita dapat melahirkan golongan penyampai yang amanah, insya-Allah rakyat marhaen akan dapat sama-sama merasai nikmat kekayaan negara. Pengagihan akan dilakukan secara adil dan saksama menepati peribahasa 'hati kuman sama dicicip, hati gajah sama dilapah'.
Berdasarkan porak perandanya masyarakat yang hidup nafsu nafsi hari ini, marilah kita kembali kepada hukum Allah termasuklah bagi membanteras pembela jerung dan buaya serta buaya dan jerung itu sendiri bagi membolehkan kekayaan negara berbilion dan berbilion ringgit itu dikembalikan kepada rakyat!
No comments:
Post a Comment