Saturday, December 10, 2016

U Masjid (1): Saya bukan ustaz tetapi cikgu...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

KHAMIS, 1 Disember 2016, seorang sepupu saya meninggal dunia dalam usia 50 tahun. Masih muda, tetapi segala-galanya ketentuan Illahi. Bagi diri saya pula pada usia 50 tahun kira-kira lima tahun lalu, saya mengambil keputusan nekad berhenti daripada bekerja sepenuh masa di Harakah dan antara pengisiannya adalah meluangkan waktu di masjid setiap malam bagi menuntut ilmu.

Lima tahun menuntut ilmu secara tetap di masjid yang saya anggap sebagai universiti (U) juga, apa yang saya dapati dan pelajari? Pengalamannya 'tak ternilai', pada pandangan 'hamba yang daif' ini, alangkah elok perkara ini dikongsi bersama pembaca dan mulai keluaran ini saya akan berusaha mencelotehkannya secara bersiri. Adalah diharapkan ia menjadi saham saya untuk 'dinikmati' di dunia dan 'dituai' di akhirat nanti.

Namun perlu saya jelaskan kepada pembaca sekalipun selepas tempoh lima tahun itu dan sebelumnya puluhan tahun menuntut ilmu di masjid secara tidak konsisten (tetap), saya dapat rasakan diri ini tidak layak sama sekali bergelar ustaz jadi apa yang ingin 'hamba' paparkan bukan ilmu agama seperti akidah, feqah, tasawuf, hadis, tawjid, tafsir dan sebagainya tetapi apa yang dapat dirasai dan diilhamkan daripada keberadaan di masjid itu.

Bagi hamba serahkanlah kepada ustaz-ustaz yang bertauliah mensyarah dan mengkuliahkan ilmu-ilmu tersebut...ya itu tugas, bidang dan kepakaran mereka; orang awam seperti saya ikutilah saja pengajian mereka secara ikhlas, insya-Allah, Allah SWT akan membuka hati untuk melihat kehidupan ini dalam perspektif lebih luas sekali gus menepati kehendak-Nya untuk berbahagia di dunia dan akhirat.

Sekalipun tidak layak bergelar ustaz, ada juga sesekali diri ini dipanggil 'ustaz' dan 'syeikh'. Teringat hamba, pengalaman hamba lebih 10 tahun lalu dengan wartawan baharu Wan Nordin Wan Yaacob (kini Ketua Pengarang Harakah) yang ketika melintas meja kerja hamba untuk ke surau Harakah, akan dengan 'sopan' menegur hamba panggilan 'ustaz'. Tak tahulah 'apa yang ustaz' akan diri hamba ini, tetapi apabila dipanggil begitu terimalah saja, mana tahu mulut masin jadi ustaz juga akhirnya diri ini!

Seorang ustaz dalam pengajiannya di masjid mengingatkan jemaah betapa banyaknya jalan-jalan kebajikan yang perlu kita usahakan sebelum kita dijemput-Nya. Sebagai contoh katanya, dalam keadaan jemaah yang kebanyakannya orang RTM (rehat tunggu mati), kemungkinan untuk menjadi hafiz dan hafizah (menghafal seluruh al-Quran) sudah tiada tetapi rebutlah peluang dalam bidang itu.

"Bantulah anak-anak tidak kira anak kita sendiri atau anak orang lain untuk menjadi hafiz. Kalau kita ada duit sumbangkan kepada pusat tahfiz. Kita boleh buat wakaf. Kita boleh jadikan budak tahfiz anak angkat dengan membayar yuran bulanan mereka. Kita juga boleh membantu dari segi buah fikiran ataupun tenaga. Apa yang penting ambil bahagian supaya kita ada saham. Jangan tak ada saham langsung," katanya.

Berjinak-jinak dengan masjid menemukan saya dengan seorang lagi ustaz yang mengendalikan sebuah pusat tahfiz. Dia meminta saya mengajar subjek Bahasa Inggeris (BI) dan Matematik. Memikirkan bahawa itu antara perkara yang dapat saya sumbangkan kepada tahfiz itu sebagai saham saya, saya menerimanya dan mengajar setiap hujung minggu. 

Kini sudah bertahun-tahun saya mengajar...mungkin murid dan bekas murid saya sudah ratusan orang ramainya. Jadi taklah saya terkejut jika secara tiba-tiba dan di mana-mana ada orang menyapa saya 'Assalamualaikum dan apa khabar Cikgu'. Ya akhirnya jadilah saya seorang cikgu tetapi bukan seorang ustaz!

No comments: