Saturday, December 31, 2016

Hutang negara: Biar ‘pape’ asal ‘bergaye’…

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)

HUTANG negara kini lebih 800 bilion. Satu angka menakutkan. Tetapi pemimpin negara kita tidak takut – mereka memperbanyak hutang termasuk menjayakan projek mega umpamanya Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang kedua-duanya bernilai berpuluh-buluh billion ringgit.
Kantung negara kekeringan wang untuk membiayai projek-projek ini jadi terpaksalah berhutang termasuklah daripada negara asing seperti China; ya ECRL saja hutangnya lebih RM50 bilion. Kalau negara boleh diumpamakan sebagai individu, seseorang itu tidak cukup wang tetapi hidup mahu berlagak mewah, mereka menepati sindiran orang Perak – biar ‘pape’ (papa) asal ‘bergaye’ (bergaya).

Sebelum melihat bahaya kepada negara akibat berhutang terlalu banyak, kita melihat dulu bahana (implikasi) yang ‘tertimpa’ kepada seorang yang berhutang. Seorang ustaz dalam kelas pengajiannya yang kerap saya ikuti menyatakan  orang yang mati syahid pun tertangguh daripada diberi balasan baik kerana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Semua dosa orang yang mati syahid akan diampuni kecuali hutang.” (riwayat Imam Muslim)

Sungguh menakutkan, pada suatu ketika Nabi SAW tidak mahu menyembahyangkan jenazah seseorang yang ada hutang manakala baginda pernah bersabda yang bermaksud “siapa saja yang berhutang lalu berniat tidak mahu melunasinya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari khiamat) dalam status pencuri.” (riwayat Ibnu Majah)

Apabila berlaku kematian, harta peninggalan si mati juga tidak boleh ‘difaraidkan’ (dibahagi-bahagikan) sehinggalah semua hutangnya kepada Allah (seperti bayaran fidyah puasa dan badal haji) dan kepada manusia dilangsaikan.

Satu persoalan timbul, jika harta peninggalan allahyarham semuanya bernilai katakanlah RM500,000 tetapi hutangnya berjumlah RM1 juta; apa akan berlaku? Di sini waris tidak akan menerima ‘sesen’ pun sebaliknya terpaksa bergolak gadai untuk menyelesaikan hutang si mati.

Demikianlah dalam kehidupan ini, terutama pada zaman orang banyak berhutang sekarang ini seperti penggunaan pelbagai kad kredit, dikhuatiri seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan mempunyai beban hutang terlalu banyak.

Tentunya si mati (termasuk pemimpin yang boros berhutang) 'sudah selamat' dimasukkan ke dalam kubur (dari sisi pandangan dunia) tetapi waris (rakyat dan negara) yang ditinggalkan akan menanggung bahana berpanjangan. Ya siapa menanggung bahana gara-gaya pemimpin mahu hidup ‘biar pape asal bergaya’? 

Sesetengah penganalisis menyatakan aset negara akan tergadai akibat pemimpin mengikut nafsu boros ini. Sebagai contoh jika RM50 bilion dipinjam daripada China untuk projek ECRL, kepentingan negara akan tergadai…malah sekarang pun akibat aneka pemborosan, penyelewengan dan tipu muslihat yang berleluasa; ekonomi negara merundum teruk, nilai ringgit menjunam, harga barangan keperluan semakin mahal manakala golongan muda hatta yang berkelulusan universiti ramai menganggur.

Pemimpin negara hari ini nampaknya tidak mencontohi usaha bapak dan datuk mereka yang ‘sedikit demi sedikit mengumpul harta’ (memerdekakan seterusnya membangunkan negara) tetapi mereka bertindak ‘melelong’ negara ini (semakin banyak hartanah jatuh ke tangan pihak asing)…ya mereka mahu puaskan nafsu diri, isteri dan kaum kerabat (kroni) dengan gaya hidup ‘biar pape asal bergaye’!

Pemimpin berhutang di sana sini bagi melaksanakan projek gah agar mereka dilihat hebat di mata rakyat dan di seantero dunia, tetapi persoalannya siapa mahu bayar hutang-hutang mereka? Mahu tak mahu rakyatlah menanggung bebannya. Jadi wahai rakyat, nyahkan pemimpin jenis ini sebelum lebih banyak aset (harta) negara digadainya!

Tuesday, December 27, 2016

U Masjid (3): Duit masjid bukan untuk 'disimpan'...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
 

SUATU petang selepas solat asar di sebuah masjid yang biasa dikunjungi, saya berehat sebentar di beranda, melihat-lihat sebuah papan putih yang tertera jumlah wang kutipan masjid setiap minggu dan bulan.

Pada kebanyakan minggu jumlah kutipannya melebihi RM3,000. Jadi jumlah kutipan bulanan tidak kurang RM10,000. Kadang-kadang dalam sebulan ada lima minggu manakala kutipan juga dibuat pada Aidilfitri dan Aidiladha…bermakna lumayanlah masjid ini dari segi kewangannya.

Di dua masjid berdekatan yang juga kerap saya kunjungi, kutipan kedua-duanya tidak pernah kurang daripada RM2,500 seminggu. Malah di papan putih sebuah masjid ada tercatat jumlah kutipan bulanan daripada hasil ladang dan pajakan tanah.

Ya sungguh lumayan perolehan masjid-masjid kita; persoalannya apakah wang daripada derma orang ramai, sama ada melalui peti mini yang diedarkan pada setiap Jumaat  ataupun tabung tetap di masjid digunakan secara maksimum untuk mengimarahkan rumah-rumah Allah itu?

Duit itu adalah sumbangan orang yang mahu melihat masjid diimarahkan dengan program yang dapat mendekatkan masyarakat kepada Ilahi, tetapi kadang kala lain pula terjadi - ada sesetengah ahli jawatankuasa masjid terlalu berminat menimbunkan wang sedekah dalam bank.

Sesetengah setiausaha dan bendahari masjid bersaing antara satu sama lain, masjid mana yang mempunyai simpanan paling banyak. Mereka yang menyimpan paling banyak bangga, kononnya berjaya mengkayakan masjid, hakikatnya masjid tidak perlu dikayakan, yang perlu dikayakan adalah masyarakat Islam, sama ada dari segi kehidupan harian ataupun keimanan mereka.

Tidak lama dulu penulis menghadiri ceramah seorang motivator yang namanya pada pandangan penulis usah disebut. Di masjid itu beliau bercakap dengan nada keras: "Kalau jawatankuasa masjid tidak tahu buat kerja, muka pun tak ada ketika solat jemaah, lebih baiklah letak jawatan. Janganlah gila pangkat dan kedudukan, bagilah pada orang yang boleh buat kerja."

Beliau meminta jemaah melihat sekeliling dan berkata: "Lihatlah muka yang datang ke masjid, asyik-asyik muka yang sama. Muka KRU (kumpulan rambut uban). Mana dia anak-anak muda kita? Tanyalah diri sendiri mengapa mereka tidak datang ke masjid?"

Katanya, AJK perlu menguruskan masjid dengan berkesan. Makmurkan masjid. Buat program-program yang dapat menarik minat anak-anak muda. Untuk tujuan ini, tentulah perlukan peruntukan kewangan yang banyak.

"Inilah masanya untuk kita gunakan wang derma orang ramai itu. Janganlah simpan wang banyak-banyak dalam bank, tak mahu keluarkan. Orang yang dermakan wang itu mahu melihat wang itu digunakan untuk manfaat orang ramai, ini simpan dalam bank banyak-banyak buat apa?" tanyanya.

Beliau membidas AJK masjid yang gemar berbincang mengenai apa makanan yang hendak disediakan selepas majlis ceramah dan sebagainya tetapi tidak pula membahaskan dan menjayakan program apa yang sesuai bagi memakmurkan masjid terutama bagi menarik generasi muda.

Katanya, pemuda-pemudi sudah tahu aktiviti yang berlangsung di masjid seperti kelas pengajian, majlis marhaban (ketika sambutan Maulidur Rasul), bacaan Surah Yassin pada malam Jumaat, jadi mereka tidak tertarik untuk datang kerana majlis-majlis seumpama itu pada fikiran mereka hanya sesuai untuk orang tua.

“Cuba buat kelainan, buatlah sesuatu yang dapat memikat mereka,” katanya. 

Penulis teringat ada pengurusan beberapa masjid sudah menjayakan projek seperti membina gelanggang sepak takraw di tepi masjid. Apabila azan, budak-budak berhenti bermain dan diajak untuk solat berjemaah. Ada pengurusan masjid sudah memajukan kelas komputer, golongan muda dapat dibimbing meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang teknologi maklumat.

Demikianlah banyak program dapat dimajukan di masjid sebagai pendekatan menarik sebanyak mungkin anggota masyarakat ke rumah Allah itu, tidak kira daripada golongan veteran, wanita, muda-mudi dan juga kanak-kanak.

Bagaimanapun sebahagian besar harapan orang ramai tidak tercapai kerana realitinya kebanyakan pengurusan masjid dimonopoli golongan tertentu yang ada kepentingan termasuk dari segi politik. Mereka berada di kedudukan berkenaan bukan dilantik oleh ahli kariah tetapi dipilih pihak berkuasa.

Apabila ini berlaku (pelantikan orang yang tidak mencintai rumah Allah), berlakulah kelemahan pengurusan masjid seperti sekarang. Jika solat waktu pun AJK jarang hadir, bagaimana mereka boleh mengaktifkan masjid?

Selain kelemahan pengurusan, sesetengah ‘orang masjid’ pula kurang dalam PR (perhubungan awam) mereka. Sebagai contoh, ramai yang bukan saja tidak mesra kanak-kanak  tetapi anti-kanak-kanak.

Misalnya baru-baru ini penulis melihat bagaimana sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain-main di masjid diusir sehingga jauh oleh ‘orang masjid’. Bagi penulis adalah biasa untuk kanak-kanak bermain-main, cukuplah menasihati mereka, tidak perlu ‘dihambat’ sedemikian rupa. Lainlah kalau 'bapak orang' bermain-main dalam masjid…itu baru tak reti bahasa namanya!

Tidak lama dulu, seorang anak penulis yang melalui satu kawasan ‘larangan’ (dia sendiri tidak tahu larangan itu) di masjid telah dijerit oleh seseorang: “Hei budak…” Itu ‘pengalaman ngeri’ baginya tetapi syukurlah dia tidak ‘patah hati’ untuk terus ke masjid!

Thursday, December 22, 2016

‘Railway engineering’ perlu dihebahkan, bukannya…

**
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***
SAYA baru saja menghadiri majlis konvokesyen IPT seorang anak dan alhamdulillah dapat berbual-bual dengan seorang pegawai tinggi institusi itu seusai majlis. Antara perkara yang menarik perhatian saya adalah pendedahan beliau akan bidang kelulusan dan pekerjaan yang menjadi buruan pada masa depan.
Katanya, sedikit masa dulu bidang itu adalah ‘oil and gas’ (minyak dan gas) tetapi berdasarkan perkembangan semasa negara ini, permintaan tinggi akan dialihkan kepada kerja-kerja berkaitan kereta api termasuklah berkaitan ‘railway engineering’ (kejuruteraan kereta api).
Pemerintah sekarang ‘begitu heboh’ dengan pelbagai projek kereta api meganya seperti ‘High Speed Rail’ (Kereta Api Berkelajuan Tinggi, HSR) menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura serta ‘East Coast Rail Line’ (Landasan Kereta Api Pantai Timur, ECRL) yang kedua-dua bernilai berpuluh-puluh billion ringgit.
Di ibu kota KL dan kawasan pinggirannya sudah dan sedang dibangunkan kemudahan perkhidmatan kereta api ringan (LRT dan MRT) manakala Keretapi Tanah Melayu (KTM) juga mempunyai pelbagai projek masa depan termasuklah ‘electric train service’ (ETS) yang dirancangkan sehingga ke Singapura.
Bagi orang Islam Malaysia yang ‘rapat’ dengan Makkah dan Madinah, dilaporkan ada sejumlah rakyat Malaysia sedang dan akan berkhidmat dalam pembangunan perkhidmatan kereta api di Tanah Suci yang begitu pesat sekarang ini. Ini juga peluang untuk rakyat Malaysia terbabit dalam ‘railway engineering’.
Demikianlah industri pengangkutan awam jenis ini sedang berkembang dengan pesat dan membuka peluang besar kepada rakyat terutama generasi muda tetapi parti pemerintah negara kita yang baru-baru ini mengadakan perhimpunan agung (PAU), fokusnya tidak menyentuh hal-hal kebajikan rakyat sebaliknya ‘mengisytiharkan perang’ dengan ‘menembak’ bekas PM, Dr Mahathir Mohamad dan ‘gengnya’.
Parti ini juga secara terang-terangan mempamerkan sikap dan tindakan perkaumannya dengan menakut-nakutan orang Melayu akan apa didakwa ancaman DAP; hakikatnya kedua-dua perkara ini (serang Mahathir dan DAP) tidak diperlukan pada ketika rakyat semakin sengsara menghadapi kemelut hidup sebahagiannya kerana harga barangan keperluan tinggi disebabkan GST (cukai barangan dan perkhidmatan).
Dalam PAU ada perwakilan membawa usul rakyat yang semakin susah hidup mereka tetapi semuanya ditenggelamkan dan ‘dimatikan’ oleh ucapan berapi-rapi pemimpin dalam dua isu yang disebutkan.
Pemimpin tidak menunjuk jalan keluar kepada rakyat (jika ada pun bersifat hampir tidak logik seperti jika ayam mahal jangan makan ayam atau jika pendapatan kurang buatlah dua tiga kerja) tetapi syukurlah ada pegawai seperti peneraju IPT dapat ‘menceriakan suasana’ seperti mendedahkan bidang pekerjaan berpermintaan tinggi seperti ‘railway engineering’. Mengapa pemimpin tidak menghebahkan 'prospek' bidang ini, apakah mereka mahu kroni mereka saja 'sapu bersih'?
Mengenai bidang ini, seorang penulis blog bertanya, sejak pelancaran LRT 20 tahun lalu, sudah berapa ramai rakyat tempatan yang pakar dalam bidang ‘railway engineering’? Industri pengangkutan kereta api mempunyai masa depan cerah bukan saja di Malaysia tetapi di seluruh dunia termasuk negara serantau seperi Indonesia, Thailand, China, India dan Australia.  
Penulis itu berpendapat kerja-kerja seperti re-evaluation, modification, re-built, atau paling kurang extension menyebabkan industri ini memerlukan pakar yang ramai. Apakah kita mahu berpuas hati dengan kepakaran dari China saja tanyanya sekali gus menunjukkan bidang ini mempunyai masa depan gemilang untuk diterokai pemuda-pemudi kita sama seperti diungkapkan pegawai tinggi IPT yang saya temui!

Sunday, December 18, 2016

U Masjid (2): Surat terbuka kepada PM ke-5, Tun Abdullah

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

ASSALAMUALAIKUM YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi, didoakan Tun serta keluarga dan kita semua dalam perlindungan Allah SWT. Bersyukur ke hadrat Illahi kita dipanjangkan usia, memberi kesempatan kepada saya sebagai wartawan yang bersama-sama Tun ketika lawatan bersejarah ke Rusia dan empat republik merdeka Asia Tengah (Kazakhstan, Kyrgyzstan, Uzbekistan dan Turkmenistan) pada pertengahan tahun 1992 selepas terlerainya empayar Soviet Union, mengimbau kunjungan itu dan mengaitkannya dengan perkembangan semasa.

Dalam salah satu rencana yang saya tulis selepas lawatan itu, antara lain saya mencatatkan: "Berikutan kemerdekaan Uzbekistan dan kesediaan beberapa pihak perlancongan di sini (Uzbekistan) membawa rakyat Malaysia ke Samarkand, berikut disenaraikan tempat-tempat bersejarah Islam yang boleh membuatkan seseorang itu mengenang kembali zaman kegemilangan Islam di sini."

Antara tempat itu adalah Kompleks Arkitektual dan Pemakaman Shakhi-Zinda (Hamba Yang Terus Hidup) yang antara lain terdapat makam Kussam ibn Abbas iaitu sepupu Rasulullah s.a.w. Pemakaman ini turut menempatkan jenazah Presiden Islam Karimov iaitu presiden pertama pasca kemerdekaan yang meninggal dunia beberapa bulan lalu. Ketika lawatan pada 1992 dulu, Tun membuat kunjungan hormat kepadanya manakala wartawan diberi peluang mewancara beliau secara eksklusif.

Kawasan tarikan lain adalah Permakaman Gur Emir, Registan, Madrasah Ulugbek, Permakaman Imam Bukhari dan Masjid Bibi-Khanum. Ketika lawatan dulu, kita turut mengunjungi kota Bukhara dan antara tempat bersejarah yang dikunjungi adalah Permakaman Ismael Samani, Masjid Kalyan, Madrasah Mir Arab dan Menara Kalon.

Maafkan saya YAB Tun kerana mengenang kembali lawatan bersejarah itu; saya berbuat demikian kerana baru-baru ini isteri dan seorang anak saya berpeluang menjejak bumi Uzbekistan selepas 25 tahun saya berbuat demikian. Maka mereka berceritalah mengenai tempat-tempat yang disebutkan terutama mengenai masjid dan madrasahnya. Masjid dan madrasah Uzbekistan pada zaman silam adalah ibarat universiti yang melahirkan ribuan tokoh ternama antaranya Imam Bukhari, periwayat hadis terulung dunia.

Sungguh membanggakan, sekarang ini Uzbekistan sudah menjadi antara destinasi popular yang ditawarkan syarikat-syarikat perlancongan negara kita. Melihatkan atur cara program pelancongan rakyat Malaysia ke Uzbekistan, perjalanannya 'hampir sebiji' (lawatan ke Bukhara, Samarkand dan Tashkent) dengan apa yang Tun dan rombongan rintis 25 tahun lalu. Sehubungan itu, saya sungguh berbesar hati untuk menyatakan penghargaan kepada usaha Tun dan semua yang terbabit; semoga kita semua diberkati Allah SWT.

Malaysia-Uzbekistan ternyata boleh bekerjasama dalam banyak bidang; salah satu daripadanya adalah memantapkan industri pelancongan seperti yang telah dinyatakan. Selain itu, sebagai negara Islam yang berpengaruh di rantau masing-masing (Malaysia di Asia Tenggara manakala Uzbekistan di Asia Tengah), kedua-dua pihak dilihat boleh bekerjasama dalam bidang keagamaan seperti dakwah.

Berdasarkan pengalaman pelancong Malaysia, mereka melihat betapa saudara mereka di Uzbekistan perlu dimantapkan dari segi pengamalan Islam. Mereka mendakwa memang betul banyak masjid lama sudah diperbaiki manakala yang baru didirikan tetapi pengamalan agama di kalangan penduduk seperti solat fardu berjemaah tidak memberangsangkan. Malah sembahyang waktu itu sendiri 'agak asing' di kalangan warga Uzbek yang ditemui seperti pemandu pelancong dan petugas hotel.

Manakala pemakaian tudung iaitu sebahagian daripada keperluan menutup aurat di kalangan wanita Islam juga 'tidak segah' di Malaysia. Kebanyakan wanita muda Uzbek nampaknya 'menghala' ke Barat; jika ada yang memakai tudung hampir kesemuanya adalah golongan veteran. Mungkin kita di Malaysia boleh mendoakan agar saudara kita di Uzbekistan diberi taufik dan hidayah untuk berada di jalan-Nya yang lurus.

Suasana di Uzbekistan ini mungkin disebabkan negara ini  'baru' merdeka daripada cengkaman komunis Soviet dengan pemerintahnya sendiri adalah daripada warisan kolonial; namun insya-Allah dengan usaha gigih pendakwah tempatan dan luar yang tidak mengenal kekangan dan berjuang semata-mata kerana Allah SWT, Islam di Uzbekistan (bumi Khurasan) akan kembali bersinar dan menjadi permata di kalangan ummah seantero dunia!

Thursday, December 15, 2016

Kos sekolah mahal, 'pass' U tak ada kerja!

**
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

TERMENUNG saya tatkala menatap ‘book list’ (senarai keperluan) sekolah diserahkan seorang anak saya yang tahun depan akan memasuki tingkatan tiga. Pada bahagian bawah ada ditulis ‘jumlah besar’ iaitu sebanyak RM548.00. Ya, banyak sungguh bayaran untuk membolehkan anak-anak ‘back to school’ (kembali ke sekolah) awal Januari 2017.

Saya menyemak senarai keperluan itu, ia tidak menyenaraikan yuran PIBG yang biasa mencecah ratusan ringgit dan bayaran makanan asrama yang boleh mencecah RM1,000 setahun. Jadi untuk tahun depan, bersedialah ibu bapa untuk ‘menyerahkan’ ratusan atau ribuan ringgit bagi seorang anak; persoalannya bagaimana ibu bapa mahu ‘cekau’ (dapatkan) duit sebanyak itu?

Demikianlah sungguh tak keruan ibu bapa dalam menghadapi tahun baharu. Jika perbelanjaan seorang anak boleh mencecah RM1,000 bagaimana bagi pasangan yang mempunyai lima anak di bangku sekolah? Nampaknya macam tak logik bagi sebuah keluarga untuk menyediakan RM5,000 sedangkan pendapatan ayah + ibu tak sampai sebanyak itu. Namun itulah realiti…kehidupan perlu diteruskan walau bagaimana sukarnya cabaran mendatang.

Pada ketika saya ‘terhenyak’ menatap ‘book-list’ itu, terlihat saya sebuah laporan di media sosial yang menyebut seorang perwakilan Pemuda Umno ketika PAU 2016 di PWTC secara bersahaja mengajak Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak turut sama beratur membeli minyak masak dalam paket satu kilogram bagi memahami suasana dihadapi rakyat.

Najib yang hadir bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut dicadangkan supaya menaiki bas henti-henti yang disediakan kerajaan.  Cadangan itu disuarakan perwakilan itu bagi menyatakan kos sara hidup yang dihadapi rakyat sejak kebelakangan ini, khususnya akibat kenaikan harga bahan api dan pemansuhan subsidi minyak masak.

Cadangan itu bagus sekali namun sayang seribu kali sayang seperti pengalaman lalu, PAU kerap benar menjadi ‘medan penglipur lara’ – semangat yang berapi-rapi dalam dewan jarang benar ditunjukkan dalam realiti kehidupan. 

Teringat saya pada PAU setahun dua lalu, perwakilan berapi-rapi membahaskan tanah orang Melayu yang semakin ‘terhakis’ tetapi bak kata ‘orang Utara’ wal hasil balik asal.

Berbalik kita kepada ‘cerita sekolah’ tadi, nampaknya  ibu bapa pada ‘zaman ICT’ sekarang ini perlu bergolok gadai (macam zaman dulu-dulu pula), melakukan pelbagai pekerjaan halal (menteri suruh melakukan dua kerja atau lebih) dan mengikat perut masing-masing bagi menyediakan anak-anak agar berjaya dalam persekolahan.

Mereka juga menebalkan muka berhutang kepada majikan dan saudara-mara jika wang yang disediakan tidak mencukupi kerana perbelanjaan persekolahan dan pengajian tinggi terlalu besar. Anak-anak pula ‘dibiasakan’ atau terpaksa meminjam wang PTPTN yang kerap benar menimbulkan masalah kepada mereka kemudiannya.

Seorang rakan saya mendakwa keluarga paling teruk membiayai perbelanjaan anak-anak adalah daripada golongan pertengahan (sederhana) seperti dirinya dan saya sedangkan golongan kaya tidak terasa apa-apa manakala golongan miskin menerima pelbagai bantuan seperti biasiswa (di IPT) dan diberi pengecualian pembayaran yuran dengan syarat anak-anak cemerlang dalam pelajaran.

Bijak pandai ada berkata di sebalik kesusahan ada kesenangan; ungkapan Melayu menyebut, berakit-rakit dulu berenang-renang kemudian, bersakit-sakit dulu bersenang-senang kemudian.

Yalah, selepas bersusah payah termasuk bergolok gadai untuk melihat anak-anak berjaya dan terus berjaya sehingga ke menara gading, tentulah ibu bapa akan tersenyum panjang melihat mereka meniti kejayaan termasuklah semasa menerima ijazah pada majlis konvokesyen.

Namun sedarlah wahai pembaca sekalian, sejumlah besar anak-anak muda yang bergelar graduan itu termasuk dalam bidang perubatan adalah PENGANGGUR! 

Seorang anak saudara saya yang menerima ijazah MBBS daripada sebuah universiti tempatan pada konvokesyen Oktober lalu memberitahu daripada lebih 100 rakan sepengajiannya yang tamat pengajian Jun lalu, tidak seorang pun telah dipanggil untuk melakukan ‘housemanship’! Dilaporkan ada lebih 1,000 graduan menunggu untuk menjalani 'housemanship' mereka.

Demikianlah, jika ‘doktor’ pun sekarang ini sukar dapat kerja, cuba bayangkan nasib graduan dalam bidang lain. Ramai anak-anak muda hatta berkelulusan sarjana pun tiada kerja, tetapi kerajaan tetap mendabik dada “kitalah yang terbaik di seantero dunia!”

Monday, December 12, 2016

A 'soleh wife'?

In the name of Allah, the Beneficent, the Merciful; blessings and peace be upon Prophet Muhammad s.a.w.

Reflection

The Declining Day (Al-'Asr)
1. By the declining day,
2. Lo! Man is in a state of loss,
3. Save those who believe and do good works, and exhort 
one another to truth and exhort one another to endurance.
***

I was totally 'off guard' during a 'tazkirah' (Islamic lesson) recently when the 'ustaz' (religious teacher) who was preaching, lambasted some women especially wives for aiming to be 'soleh' (pious). Perhaps I was 'day dreaming'; that's why I was blur to what the 'ustaz' was trying to convey. Well, what's wrong for wanting to be 'soleh' in life? 

The 'issue' caught my heart. I opened up my mind and ears; I heard the 'ustaz' told this story: "It was about 3.00 am. A husband woke up; his hands searched for his wife who he thought was on bed. She was not around. Where could 'the woman' be? whispered the husband.

"After 'his eyes searched' the dimmed light-room, he found his wife in a white 'telekung' (praying veil used by Muslim women during prayers) at a corner of the room,performing her 'solat sunat tahajjud' (recommended prayers perform at the wee hours of the night).

The 'ustaz' said some husbands did not mind with their wives doings but some became angry. He said it was not proper for a woman to perform recommended prayers without informing her husband. Perhaps the wife would like to be closer to Allah SWT but she must do it with knowledge.

In performing 'ibadah sunat' (recommended obligations), a wife must first inform her husband. A 'hadith' mentioned that a woman does not fast while her husband is present without his permission, except in Ramadan. (Narrated by Imam Al-Bukhari & Muslim)

The 'ustaz' said, the characteristics of a pious husband (soleh) and pious wife (solehah) is slightly different eventhough top priority of both are to seek the pleasure of Allah SWT. A wife must understand she is not required to be 'soleh' but 'solehah'.

For example a 'solehah wife' will not leave her home without her husband's permission even if it (the action) is regarding good deeds (becoming pious) to be closer to Allah SWT such as going to the 'masjid' for prayers and attending Islamic classes. Women are advised that performing prayers at their homes are better (more afdal) than at masjids and doing in in their rooms are better than in the open section of their homes such as the living rooms. Thus it is wrong for women insisting going to the masjid to be more pious compared to those who are not.

Women are not recommended doing 'congregational activities' but they are rewarded handsomely if they do things that fit and suit their physical being, emotional and abilities. Asma bint Yazeed r.a. once came to Rasulullah s.a.w. as an ambassador of the ladies and said; "Men have surpassed us in rewards through juma (Friday prayers), congregational prayers, visiting the ill, participating in funeral prayers and protecting the borders of the Islamic State." Rasulullah s.a.w. sent her with the message "Your adorning and beautifying yourselves for your husbands and your strivings to please your husbands and your obedience to the wishes of your husbands equals these actions (juma, jihaad etc.) in rewards."

Thus a wife must have knowledge regarding her duties and executes it accordingly to the examples shown by Prophet Muhammad (peace be upon him - s.a.w.), his wives, daughters and companions. 

A husband too must have knowledge regarding his duties which is much broader in scope such as regarding his friends and brothers in Islam, his society, his country, the 'ummah' and of course he is in charge of his wife, his children, his parents, his relatives and so on.

Scholars have made in clear about the characteristics of a pious wife (solehah) and a pious husband (soleh). Regarding a 'solehah' wife, they said her priority is to seek the pleasure of Allah. She tries acquiring the qualities of a good wife by following the examples of the Prophet s.a.w. and obeying what is commanded in the Book of Allah. Complete obedience and adherence to the Sunnah of the Prophet s.a.w. and the Qur'an is the best of a woman’s qualities. - Al-Islaah Publications

The Prophet in a 'hadith' said a woman is married for four reasons: for her wealth, for her fame, for her beauty and for her religion. So marry one for her religion and you will win. (Narrated by Imam Bukhari and Muslim)

Therefore the righteous women are devoutly obedient (to Allah and to their husbands) and guard in their husband’s absence what Allah orders them to guard (e.g. their honor, husbands property, etc) (Qur'an 4:34)

An-Nasaii narrated that the Prophet s.a.w. was asked “Who are the best of women?” He replied, “The one who pleases him (her husband) if he looks at her, obeys him if he orders (her) and does not subject her honor or money to what he dislikes.”

Ibn Hibban narrated that the Prophet s.a.w. said, “If a woman prayed five prayers, fasted in Ramadan, protected her honor and obeyed her husband; then she will be told (on the Day of Judgment): enter Paradise from any of its (eight) doors.”

If a woman harms (in any way) her husband, then his wife in Paradise tells her: “Do not harm him, May Allah fight you, he is only staying temporarily with you. Soon he will come to us.”  (Narrated by Imam Ahmad and At-Tirmithi)

If a man calls his wife to bed and she refuses till he slept while angry, then the Angels will curse her till the morning. (Narrated by Imam Muslim)

Allah does not look to the woman who does not appreciate her husband while she cannot stand his departing her. (Narrated by An-Nasaii)
Any woman who asks her husband for divorce for no reason will not smell the fragrance of Paradise. (Sahih Al-Jamii)

The Prophet s.a.w. said, “If I were to order anyone to bow down to other than Allah, I would order the wife to do so for her husband. By the One who owns the soul of Muhammad,if a wife does not fulfill her obligations towards her husband, then she will not have fulfilled her obligations towards Allah.” (Narrated by Imam Ahmad)

Regarding the characteristics of a pious husband (soleh) scholars said on the Day of Judgment; Allah will ask men if they fulfilled their obligations towards their families. They who fear Allah will do their best to direct the way their wives and children live by educating himself and his family to living according to the Sunnah of the Prophet s.a.w. and the Holy Qur’an, the final word of Allah.

The Prophet s.a.w. said, “The best of you is the best one to his family.” (Narrated by Imam Al-Tabarani)

To share food with her, to provide her with (decent) clothes as he provides himself, to refrain from smacking her, and not ignoring her but in the house. (Narrated by Imam Ahmad)

One should not hate his believer wife. If he dislikes some of her attitudes, he would (surely) like others (attitudes). (Narrated by Imam Muslim)

Woman was created from a bent rib and will not be made straight for you on one way (that you like). If you want to enjoy her, you enjoy her while she is still bent. If you want to straighten her up, you will break her. Breaking her is divorcing her. (Narrated by Imam Al-Bukhari and Muslim)

Do (volunteer) fasting (some days) and do not fast (in other days), pray at night (some nights) and sleep (in other nights). Your body has a right on you (to rest), your eye has a right on you (to sleep), and your wife has a right on you. (narrated by Imam Al-Bukhari and Muslim)

Fear Allah in (treating) women. (Narrated by Imam Muslim)

Be advised to treat women righteously. (Narrated by Imam Al-Bukhari and Muslim)

And live with them honorably. If you dislike them, it may be that you dislike a thing that Allah brings through it a great deal of good. (Qur'an 4:19)

The Prophet s.a.w. said,”A Dinar (a currency) that you spend on your family, a Dinar that you spend on a poor person and a Dinar that you spend in the sake of Allah. The one that carries the most reward is the one that you spend on your family.” ([Narrated by Imam Muslim)

The Prophet s.a.w. said to Saaid ibn Abi Waqqas,”Know that no charity that you give whether small or large, for the sake of Allah, but you will be rewarded for it, even the bite (of food) that you put in your wife’s mouth.” (Narrated by Imam Al-Bukhari and Muslim) - ES

Based on the characteristics discussed, a husband should strive to be 'soleh' while a wife to be 'solehah'. A 'soleh wife' goes against the teaching of Prophet Muhammad s.a.w. and would bring  much discomfort and stress in life (especially to her family) in this world whats more in the Hereafter! 

Saturday, December 10, 2016

U Masjid (1): Saya bukan ustaz tetapi cikgu...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

KHAMIS, 1 Disember 2016, seorang sepupu saya meninggal dunia dalam usia 50 tahun. Masih muda, tetapi segala-galanya ketentuan Illahi. Bagi diri saya pula pada usia 50 tahun kira-kira lima tahun lalu, saya mengambil keputusan nekad berhenti daripada bekerja sepenuh masa di Harakah dan antara pengisiannya adalah meluangkan waktu di masjid setiap malam bagi menuntut ilmu.

Lima tahun menuntut ilmu secara tetap di masjid yang saya anggap sebagai universiti (U) juga, apa yang saya dapati dan pelajari? Pengalamannya 'tak ternilai', pada pandangan 'hamba yang daif' ini, alangkah elok perkara ini dikongsi bersama pembaca dan mulai keluaran ini saya akan berusaha mencelotehkannya secara bersiri. Adalah diharapkan ia menjadi saham saya untuk 'dinikmati' di dunia dan 'dituai' di akhirat nanti.

Namun perlu saya jelaskan kepada pembaca sekalipun selepas tempoh lima tahun itu dan sebelumnya puluhan tahun menuntut ilmu di masjid secara tidak konsisten (tetap), saya dapat rasakan diri ini tidak layak sama sekali bergelar ustaz jadi apa yang ingin 'hamba' paparkan bukan ilmu agama seperti akidah, feqah, tasawuf, hadis, tawjid, tafsir dan sebagainya tetapi apa yang dapat dirasai dan diilhamkan daripada keberadaan di masjid itu.

Bagi hamba serahkanlah kepada ustaz-ustaz yang bertauliah mensyarah dan mengkuliahkan ilmu-ilmu tersebut...ya itu tugas, bidang dan kepakaran mereka; orang awam seperti saya ikutilah saja pengajian mereka secara ikhlas, insya-Allah, Allah SWT akan membuka hati untuk melihat kehidupan ini dalam perspektif lebih luas sekali gus menepati kehendak-Nya untuk berbahagia di dunia dan akhirat.

Sekalipun tidak layak bergelar ustaz, ada juga sesekali diri ini dipanggil 'ustaz' dan 'syeikh'. Teringat hamba, pengalaman hamba lebih 10 tahun lalu dengan wartawan baharu Wan Nordin Wan Yaacob (kini Ketua Pengarang Harakah) yang ketika melintas meja kerja hamba untuk ke surau Harakah, akan dengan 'sopan' menegur hamba panggilan 'ustaz'. Tak tahulah 'apa yang ustaz' akan diri hamba ini, tetapi apabila dipanggil begitu terimalah saja, mana tahu mulut masin jadi ustaz juga akhirnya diri ini!

Seorang ustaz dalam pengajiannya di masjid mengingatkan jemaah betapa banyaknya jalan-jalan kebajikan yang perlu kita usahakan sebelum kita dijemput-Nya. Sebagai contoh katanya, dalam keadaan jemaah yang kebanyakannya orang RTM (rehat tunggu mati), kemungkinan untuk menjadi hafiz dan hafizah (menghafal seluruh al-Quran) sudah tiada tetapi rebutlah peluang dalam bidang itu.

"Bantulah anak-anak tidak kira anak kita sendiri atau anak orang lain untuk menjadi hafiz. Kalau kita ada duit sumbangkan kepada pusat tahfiz. Kita boleh buat wakaf. Kita boleh jadikan budak tahfiz anak angkat dengan membayar yuran bulanan mereka. Kita juga boleh membantu dari segi buah fikiran ataupun tenaga. Apa yang penting ambil bahagian supaya kita ada saham. Jangan tak ada saham langsung," katanya.

Berjinak-jinak dengan masjid menemukan saya dengan seorang lagi ustaz yang mengendalikan sebuah pusat tahfiz. Dia meminta saya mengajar subjek Bahasa Inggeris (BI) dan Matematik. Memikirkan bahawa itu antara perkara yang dapat saya sumbangkan kepada tahfiz itu sebagai saham saya, saya menerimanya dan mengajar setiap hujung minggu. 

Kini sudah bertahun-tahun saya mengajar...mungkin murid dan bekas murid saya sudah ratusan orang ramainya. Jadi taklah saya terkejut jika secara tiba-tiba dan di mana-mana ada orang menyapa saya 'Assalamualaikum dan apa khabar Cikgu'. Ya akhirnya jadilah saya seorang cikgu tetapi bukan seorang ustaz!

Thursday, December 8, 2016

Hidung ‘pemimpin Pinocchio’ semakin panjang…

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

BAGI orang berpegang kepada agama hidup ini amat mudah. Hidup mereka berpandukan perintah dan larangan Allah SWT. Mereka patuh kepada hukum Allah. Hukum syara’ terbahagi kepada lima – wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Perkara wajib mereka buat, yang sunat digalakkan membuatnya, yang harus terpulanglah kepada seseorang, yang makruh digalakkan untuk ditinggalkan manakala yang haram ditinggalkan terus kerana ia mengundang dosa. 

Berbohong atau berdusta adalah haram. Ia salah satu daripada tiga petanda bahawa seseorang itu bersifat munafik. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Tanda orang munafik itu ada tiga keadaan. Pertama, apabila berkata-kata ia berdusta. Kedua, apabila berjanji ia mengingkari. Ketiga, apabila diberikan amanah (kepercayaan) dia mengkhianatinya.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Jadi berbohong wajib dijauhkan. Namun pembohongan semakin menjadi-jadi di kalangan pemimpin tertinggi, media massa dan rakyat. Pemimpin berbohong dalam isu salah tadbir negara membabitkan wang berbilion-bilion ringgit, media massa menipu dalam laporan mereka manakala rakyat mengikut pemimpin menepati pepatah ‘guru kencing berdiri anak murid kencing berlari’.

Pemimpin sudah acap kali ‘ditangkap’ berbohong. Misalnya dalam isu ‘wang derma’, kenaikan harga petrol dan barangan keperluan (dijanjikan tidak naik tetapi naik juga) dan pemansuhan undang-undang tertentu tetapi menggantikannya dengan yang lebih ‘kejam’.

Media massa pun semakin kuat pembohongannya. Misalnya dalam laporan mengenai Perhimpunan Bersih 5 baru-baru ini, mereka menyatakan ia tiada sambutan. Sebuah akhbar melaporkan hanya 15,500 orang hadir. Sungguh mengkagumkan kerana mereka dapat mengira hadirin dengan ‘tepat’, yalah kalau mereka membuat anggaran tentunya jumlahnya digenapkan kepada 10,000 atau 20,000 atau 50,000 dan sebagainya tetapi mengapa mereka boleh dapat angka 500 itu?

Jika seseorang itu beriman tentunya dia tidak membuat propaganda murahan bagi meraihkan kepentingan tertentu termasuk politik tetapi membuat penilaian berdasarkan hukum syara’ tadi – wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Ya, haram untuk melakukan pembohongan dan kemudian menyebarkan pendustaan itu. Yalah, semua pihak yang bertarung termasuk dalam politik mahukan kemenangan tetapi matlamat tidak menghalalkan cara. Kaedah Machiavelli tidak terpakai dalam ajaran murni Islam. Semua orang bertanggungjawab di atas perbuatannya – tidak kira kecil atau besar semuanya akan dibalas bukan saja di akhirat tetapi kadang-kadang di dunia lagi Allah SWT sudah tunjukkan buktinya. 

Pembohongan bukan saja tidak dapat diterima oleh Islam tetapi semua masyarakat dunia. Bagi orang Barat, mereka ada watak Pinocchio yang jika  dia berbohong akan bertambah panjang hidungnya. Bagi ketua kerajaan, menteri dan ahli Parlimen di negara Barat, pembohongan akan menyebabkan mereka kena ‘grill’ (diselidiki secara terperinci) oleh jawatankuasa khas dan jika didapat bersalah, alamat berakhirlah karier politik masing-masing. Ini kerana melakukan pembohongan tidak dapat diterima sama sekali oleh masyarakat negara-negara maju ini. 

Penyakit ‘bohong’ di kalangan masyarakat kita terutama pemimpin politik tertentu semakin kronik. Yalah, jika ‘kadar’ pembohongan dapat diukur seperti Pinocchio yang hidungnya menjadi semakin panjang setiap kali dia berbohong, tentunya kita dapat tahu siapa di kalangan menteri Kabinet yang paling kuat temberangnya.

Pembohongan sesetengah media massa kita amat menakutkan. Kalau tersilap lapor, boleh dimaafkan tetapi jika sengaja menyiarkan laporan tidak benar semata-mata untuk memuaskan pihak tertentu, ia akan 'melahirkan pembohong' dalam masyarakat kita. Pembohongan yang semakin menjadi-jadi ini ini akan mendatangkan kesan negatif kepada anak-anak. Jika orang tua sudah mengajar mereka berbohong, kita bimbang sifat buruk itu akan diteladani.

Hari ini politik negara kita menyaksikan pembohongan kronik. Misalnya, dari peringkat paling atas, cakap-cakap mengenai demokrasi dan hak asasi dihebohkan, tetapi setakat mana ia benar-benar dikotakan, tidaklah diketahui. Sifat hipokrit begitu ketara menjelang satu-satu pilihan raya. 

Bukankah semua ini menunjukkan sesetengah pihak terutama pemimpin amat hipokrit (munafik) dalam menjalani penghidupan. Mereka yang bersifat talam dua muka ini mendatangkan kebencian teramat sangat di kalangan rakyat sehingga pada perhimpunan Bersih 5 tempoh hari ada slogan besar ditulis ‘Koruptor Adalah Babi Berlagak Nabi’!

Wednesday, December 7, 2016

RUU 355: Dakwah perlukan kebijaksanaan…

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)

AKHIRNYA usul Pindaan Akta Rang Undang-Undang (RUU) 355 telah dibentangkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Parlimen 24 November lalu. Namun perbahasan usul pindaan itu dan proses selanjutnya ditangguhkan ke sidang akan datang dan ini memberi peluang (termasuk masa) kepada PAS dan pihak berkaitan untuk ‘berdakwah’ kepada orang Islam dan bukan Islam.

Seperti diumumkan Presiden PAS, satu perhimpunan besar akan diadakan manakala sesi penerangan akan diadakan di seluruh negara. Kata beliau ia merangkumi perjumpaan bersama kesemua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan dialog dengan orang bukan Islam.

Dengan menangguhkan perbahasan di Dewan, terbukalah ruang perbicaraan yang lebih meluas di kalangan masyarakat dengan PAS menyatakan akan meneruskan program pencerahan untuk difahami oleh semua pihak manakala proses selanjutnya di Parlimen dapat dilaksanakan dengan tenang.

Subhanalllah, demikianlah dakwah perlu dilakukan secara tenang dan bijaksana. Seruan ke arah kebaikan dan usaha mencegah kemungkaran bukan bertujuan untuk memalukan seseorang, sebaliknya mendidik masyarakat ke arah jalan kebenaran. Sehubungan itu seruan kebajikan dan larangan maksiat hendaklah dilakukan secara bijaksana. Ringkasnya dakwah perlukan hemah.

Dari perspektif bahasa, dakwah bererti seruan atau ajakan kepada sesuatu. Menurut pengertian istilah, dakwah bererti seruan atau ajakan kepada Islam.

Seorang cendekiawan, Syeikh Ali Mahfuds pula mendefinisikan dakwah sebagai 'mendorong manusia agar melakukan kebaikan dan mengikuti pentunjuk, menyuruhnya membuat kebajikan dan meninggalkan kemungkaran agar mereka memperolehi kebahagian dunia dan akhirat'.

Agama Islam berusaha meyakinkan manusia mengenai kebenarannya dan melatih mereka menjadi penganutnya. Dalam hal ini, Islam mempunyai ciri-ciri agung untuk menarik seluruh manusia kepadanya dan mendorong mereka ke arah mencapai keadilan, kebenaran, kesucian dan keindahan.

Orang Islam menganggap diri mereka sebagai diperintahkan Allah untuk menyeru semua manusia tunduk kepada-Nya (42:15). Matlamat hidup orang Islam ialah untuk membawa seluruh makhluk manusia kepada Islam, iaitu agama bagi manusia, agama Allah yang merangkumi teologi dan syariah, etika dan institusinya (Isma'il R Al-Faruqi dan Lois Lamnya dalam buku mereka 'Atlas Budaya Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992).

Dalam al-Quran, Allah memerintahkan orang Islam: "Serulah manusia ke jalan Allah dengan bijaksana dengan nasihat yang baik. Nyatakan alasan-alasan yang munasabah (6:125). Dakwah merupakan pengisian kepada perintah ini. Dakwah melibatkan usaha mengajar kebenaran kepada mereka yang lalai; membawa berita yang baik tentang nikmat dunia dan tentang nikmat syurga; memberi amaran tentang balasan neraka di akhirat dan tentang kesengsaraan di alam ini (22:67).

Tugas memenuhi perintah ini dinyatakan oleh al-Quran sebagai puncak kebaikan dan kebahagiaan. "Siapakah yang lebih baik pertuturannya daripada mereka yang menggunakannya untuk menyeru manusia ke jalan Allah." (41:33). Rasulullah s.a.w. juga menganggap bahawa dakwah merupakan usaha paling mulia dan hasilnya, iaitu penganutan kepada Islam sebagai kesan paling agung.

Satu aspek perspektif Islam dalam komunikasi ialah penekanannya ke atas nilai - sosial, agama dan kebudayaan - dan penyelidikan melalui penglibatan. Hasil daripada konsep pendekatan penyelidikan melalui penglibatan ini ialah satu aspek komunikasi antara perseorangan, yang mungkin merupakan suatu aspek komunikasi yang paling mengarah kepada sosio - agama - budaya (Pandangan Imtiaz Hasnain dalam buku Rahmah Hashim 'Komunikasi: Suatu Pendekatan Islam', DBP 1992).

Al-Quran dan hadis menyatakan di beberapa tempat mengenai prinsip dan kaedah komunikasi. Antara ayat-ayat al-Quran yang menyatakan perkara ini ialah:

1. "...dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik..." (Surah 2:83).

2. "(Menolak peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan) yang menyakitkan hati." (2:263).

3. "...dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras, tentulah mereka akan lari dari kelilingmu..." (3:159).

4. Allah tidak suka kepada perbuatan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan." (Surah 4:148)

5. "Dan katakan (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata-kata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia." (17:53).

6. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata yang lemah lembut semoga ia beringat atau takut." (20:44).

7. "Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka..." (29:46).

8. "Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredai-Nya), ialah mereka yang berjalan di muka bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini." (25:63).

9. "Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu lakukan! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (Surah 62:2-3).

Dalam hadis juga terdapat beberapa prinsip komunikasi yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Dalam kita membicarakan mengenai bentuk komunikasi, Rasulullah s.a.w. telah bersabda - seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Dunya yang bermaksud: "Sebutkan perkara baik mengenai saudara kamu yang tidak hadir dalam perjumpaan, terutama sekali perkara yang kamu suka diperkatakan oleh saudara kamu ketika kamu tidak hadir bersama."

Mengenai perkara yang perlu dijauhi seseorang, Dunya meriwayatkan dalam hadis yang sama, bagaimana Rasulullah s.a.w. meminta seorang pengulas supaya menjauhi memperkatakan apa juga yang tidak ada kena mengena dengan diri sendiri dan mengatakan apa juga tentang diri sendiri pada majlis yang salah.

Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Tuhan tidak suka orang seperti itu...yang memutarbelitkan (fakta) dengan lidah mereka seperti seekor lembu yang memusing-musingkan rumput dalam lidahnya."