DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang bersyukur." (Surah Al-Furqan; ayat 62)
SEORANG pembaca berusia lebih 80 tahun (namanya dirahsiakan) menelefon saya memberitahu dia tertarik dengan artikel-artikel saya kerana kerap menggunakan peribahasa dan simpulan bahasa yang katanya menepati naluri dan sifat orang Melayu yang suka menegur secara hikmah dan bijaksama.
Dengan melakukan pendekatan ini, siapa yang termakan cili dia terasa pedasnya bagi yang tidak bersalah, mereka ‘biasa-biasa saja’ (tidak terasa apa-apa), katanya.
Dalam salah satu artikel sebelum ini saya mengetengahkan mentaliti menteri dalam ‘The Emperor’s New Clothes’; kali ini berikutan ‘panggilan pakcik’ itu saya teringat satu lagi kisah rakyat dari Barat, ‘The Country of the Blind’ yang ditulis oleh HG Wells. Antara kata-kata hebat dalam kisah ini adalah ‘in the country of the blind, the one-eyed man is king’ (dalam negeri orang buta, si mata satu adalah raja).
Secara ringkas, ia kisah seorang pendaki gunung di Amerika Selatan, Nunez yang terjatuh ke lembah (negeri) di mana semua penduduknya buta. Nunez ingat dia boleh jadi raja tetapi tidak mudah baginya kerana penduduk tiada konsep penglihatan. Bagaimana mahu menerangkan pancaindera itu…penduduk pun menjalani penghidupan tanpa membabitkan mata, misalnya rumah mereka tidak bertingkap. Ya, apa yang hendak ‘ditingkapkan’ kerana mereka tidak melihat!
Akhirnya Nunez menyedari dia tidak boleh hidup di negeri penduduk buta dan bertindak melarikan diri sekalipun dia sudah jatuh cinta dengan seorang gadis, Medina. Dia nekad ‘menyelamatkan diri’ selepas lamarannya terhadap Medina ditolak orang-orang tua mentah-mentah. Mereka terlebih dulu mahu mengubat Nunez daripada ‘kecacatan’ beliau dengan membedah dan membuang matanya!
‘In the country of the blind, the one-eyed man is king’ dijadikan ‘idiom’ (seumpama peribahasa) dalam bahasa Inggeris yang kamus menjelaskannya sebagai ‘a person who is not particulary capable can attain a powerful position if the people around him or her are evenless capable’.
Jika HG Wells mengungkap keresahan seorang celik (mata) berada di kalangan orang buta (mata), izinkan saya mengetengahkan satu lagi ‘kebutaan’ di kalangan masyarakat kita iaitu berdasarkan simpulan bahasa ‘buta hati’. Apa maksud ‘buta hati’? Kamus Dewan mendefinisikannya sebagai ‘tidak berhati perut’ dan ‘gelap fikiran’ (tidak berpengetahuan).
Sekarang ini jika kita menelusuri serta menghayati kehidupan pemimpin dan rakyat negara ini, kedua-dua maksud yang diberikan oleh Kamus Dewan itu tepat sekali. Ada pemimpin (juga rakyat) yang tidak berhati perut misalnya mereka mengenakan cukai melampau kepada orang awam sehingga berlaku keluh kesah di sana sini apalagi menjelang Aidilfitri ini. Barangan keperluan terutama bahan mentah menjadi tersangat mahal; misalnya ikan cencaru dan temenung yang sinonim dengan golongan miskin sudah mencanak ke RM12 manakala udang serta daging lembu RM30 sekilogram – sesuatu yang hampir tidak mampu dibeli si miskin. Namun pemimpin mendendangkan lagu lama 'ini masih termurah di kalangan negara Asean'.
Berkenaan dengan ‘gelap fikiran’ itu memang tepat sasarannya – merujuk kepada rakyat yang tidak tahu atau tidak mahu berubah – mereka fikir ‘puak dulu, kini dan selamanya’ saja betul sedangkan kebejatan dilakukan pemimpin seperti rasuah, pemborosan, penyalahgunaan kuasa dan penipuan bermaharajalela. Bongkarlah kes rasuah berjuta malah berbilion ringgit atau hutang negara mencecah RM800 bilion, mereka yang (maaf cakap) sudah buta hati ini tidak terangkat sedikit pun bulu mata mereka!
Jika Nunez si celik mata tidak dapat hidup di ‘the country of the blind’ lantas berusaha melarikan diri, saya percaya orang (individu) yang ‘celik hati’ atau sekurang-kurangnya ‘hatinya belum mati’ perlu segera ‘blah’ (meninggalkan) puak (parti) dan pemimpinnya yang bukan daripada jenis buta mata tetapi buta hati!
No comments:
Post a Comment