DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
KAMI sampai di Kuala Kangsar pada kira-kira jam 3.00 petang hari Sabtu, 4 Jun iaitu sehari sebelum penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.
Tempat pertama dituju adalah medan selera berhampiran tebing Sungai Perak kerana kami belum makan. Kenderaan sesak demikian juga warung makan; maklumlah pekan diraja ini menerima ramai tetamu luar termasuk petugas parti sempena PRK itu.
Kali ini kami ke Kuala Kangsar melalui Jalan Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik) dari Kota Bharu, Kelantan. Dari pekan Gerik ke Kuala Kangsar, kami melalui beberapa kampung yang ‘berbekas’ di hati saya seperti Lubuk Merbau; dulunya semasa menuntut di MCKK seorang rakan mengajak saya ke kampung ini untuk mandi-manda di anak sungainya yang dingin.
Ketika di Lubuk Merbau ketika itu penulis tidak pernah terlintas bahawa kampung ini sebenarnya pernah 'membesarkan' seorang cendekiawan agama yang mahsyur di seluruh dunia. Kini ketika usia ‘senja’ dan mula ‘berjinak-jinak’ dengan kelas pengajian di masjid, barulah nama Sheikh Muhammad Idris Al-Marbawi ‘menusuk’ hati saya.
Muhammad Idris yang memakai gelar Al-Marbawi (dari Lubuk Merbau) adalah satu-satunya ulama Nusantara yang kitabnya pernah disyarahkan di Masjidilharam, kata seorang ustaz yang mensyarahkan kitab Bahru Al-Madzi (Bahru Mazi Li Syarah Mutkhtashar Shaih At-Mirmidzi) karangan ulama dari Lubuk Merbau itu. Kitab Bahru Al-Madzi itu yang banyak jilidnya (22 jilid, lebih 5,000 halaman, menghurai 2,775 hadis yang dikumpulkan oleh Imam At-Tirmidzi. Muhammad Idris juga terkenal dengan kamus Arab-Melayu Al-Marbawinya.
Kata ustaz, Sheikh Idris adalah satu-satunya anak Melayu yang mensyarahkan hadis-hadis yang dikumpul At-Tirmidzi, yang kitabnya ada di perpustakaan terkemuka di dunia termasuk di Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah. Ulama Lubuk Merbau ini sebenarnya dilahirkan di Makkah pada 1893 Masihi. Sekembalinya beliau dan keluarganya ke Lubuk Merbau, beliau menyambung pengajian di pelbagai pondok termasuklah Pondok Sheikh Wan Ahmad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Sheikh Idris meninggal dunia dalam usia tua pada 1989.
Nama Al-Marbawi (Sheikh Idris) berterusan harum di hati ummah; disebut-sebut oleh tok-tok guru, ustaz, ustazah dan mereka yang dekat dengan lubuk ilmu Islam. Ya, Kuala Kangsar dan kawasan sekitarnya seperti Gunung Semanggol adalah lubuk melahirkan pejuang-pejuang Islam. Kini dengan berlangsungnya PRK Kuala Kangsar, penduduk kawasan ini berpeluang memilih wakil yang bercita-cita menegakkan Islam.
PRK yang tarikh pengundiannya pada 18 Jun nanti menemukan calon parti Islam PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad; calon Umno-BN, Mastura Mohd Yazid; calon Parti Amanah Negara (PAN), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail.
Apa yang menarik PRK ini ialah ia diadakan pada bulan Ramadan manakala calon Umno-BN (Mastura) bertanding pada ketika beliau dalam iddah berikutan kematian suaminya ahli Parlimen Kuala Kangsar, Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam satu nahas helikopter ketika berkempen dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11, di Sebuyau, Sarawak 11 Mei lalu.
Pada PRU ke-13 lalu, Allahyarham Mohammad Khair-il Anuar menang dengan majoriti 1,082 undi apabila mendapat 14,218 undi mengatasi pencabar daripada PAS, Khalil Idham Lim Abdullah yang mendapat 13,136 undi manakala calon Bebas, Kamilia Ibrahim meraih 447 undi.
Pada pagi penamaan calon, calon PAS dan wakil calon Umno-BN (Mastura tidak hadir kerana dalam iddah) diiringi ribuan penyokong namun seolah-olah ada yang tak kena dengan ‘rombongan’ PAN yang begitu ketara ‘kehadiran’ orang dan lambang DAP. Jelas kelihatan tokoh kuat DAP seperti Lim Guan Eng.
Berdasarkan latar belakang PRK pada bulan Ramadan ini, memberi peluang kepada penduduk Kuala Kangsar menilai parti mana yang berjuang menegakkan Islam termasuk dari segi amalannya; bagi mereka yang mahu rujukan pihak sebenar yang bercita-cita mewujudkan kehidupan Islam syumul bolehlah menelaah kitab-kitab Sheikh Muhammad Idris Al-Marbawi, ulama dari Lubuk Merbau yang masyhur itu!
No comments:
Post a Comment