Sunday, June 26, 2016

Setiap Muslim wajib mendaulatkan hukum-hakam Islam

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

DALAM usaha memperkasa Mahkamah Syariah termasuk langkah Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian di Parlimen bagi meminta Akta 355; saya sebagai penulis terpanggil untuk mencoretkan sesuatu mengenainya.

Ini kerana setiap Muslim wajib mempunyai niat atau cita-cita menegakkan hukum-hakam Islam. Kata seorang tuan guru dalam kelas tafsir al-Quran mingguan yang saya ikuti tidak lama dulu, dengan adanya niat itu, diharapkan kita terlepas daripada dakwaan tidak melaksanakan hukum Allah yang menjadi kewajipan negara apabila diadili di Mahsyar nanti.

Bagaimanapun, kata tuan guru niat saja tidak mencukupi. Niat perlu disertakan usaha dan doa. Setiap orang perlu berusaha mengikut kemampuan masing-masing. Tuan guru atau ustaz dengan kelas pengajiannya, orang politik dengan medan politiknya manakala penulis dengan tulisannya dan begitulah seterusnya. 

Selain usaha, doa amat penting, jadi marilah kita sama-sama berdoa semoga pembesar, pemimpin negara dan politik dibukakan hati untuk melaksanakan hukum-hakam Islam, kata tuan guru itu.

Bagi memahami usaha bagi meminda Akta 355 yang sengaja dijadikan kecoh oleh sesetengah pihak sekarang ini, marilah kita rujuk bagaimana kedudukan perundangan Islam di negara ini.

Di Malaysia, marginalisasi undang-undang dan pentadbiran Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai perkara Negeri mempunyai bidang kuasa yang sangat terbatas. Ia bercanggah dengan hasrat orang Islam, yang merupakan majoriti penduduk, untuk hidup di bawah undang-undang Syariah.

Hal ini menguatkan hujah bahawa Islam di Malaysia adalah Islam yang ditadbir dan bukan Islam yang mentadbir kerana perkara-perkara berikut; 

1. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, agama Islam terletak di bawah kuasa negeri.
2. Setiap negeri menggubal Enakmen Pentadbiran Agama Islam masing-masing.
3. Setiap negeri juga membentuk Majlis Agama Islam yang mengandungi tokoh-tokoh Islam dan bertindak sebagai badan perundangan Islam yang sebenar di negeri itu.
4. Tugas utama Majlis Agama Islam termasuk:
a) Membuat peraturan-peraturan mengenai agama Islam.
b) Mengeluarkan fatwa.
c) Mentadbir masjid-masjid dan sekolah-sekolah agama.
d) Mengutip zakat, fitrah dan bayaran yang lain yang diwajibkan bagi orang Islam.
e) Mengurus wakaf.
5. Di samping itu sebuah Jabatan Agama Islam yang mengandungi pegawai-pegawai kerajaan juga dibentuk untuk membantu Majlis Agama Islam menjalankan tugasnya.

Perlembagaan Persekutuan juga mengehadkan pemakaian undang-undang Islam.
1. Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri untuk membuat undang-undang mengenai pentadbiran agama Islam termasuk Mahkamah Syariah bagi negeri yang berkenaan.
2. Bagaimanapun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa atas umat Islam dan mengenai pengamalan ajaran Islam setakat ditetapkan oleh undang-undang Persekutuan.
3. Dengan itu Akta Mahkamah Syariah 1965 (pindaan 1984) telah mengehadkan kuasa Mahkamah Syariah pada paras menjatuhi penjara sehingga tiga tahun, hukuman denda sehingga RM5,000 dan hukum sebat sehingga enam rotan.
4. Mengikut suatu pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1988, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah-mahkamah Bawahan tidak mempunyai kuasa kehakiman ke atas perkara-perkara yang telah menjadi bidang kuasa Mahkamah Syariah.
5. Undang-undang HUDUD tidak diamalkan di Malaysia.

Wahai pembaca, insaflah kita bahawa usaha PAS meminda Akta Mahkamah Syariah bukan sesuatu yang tidak berlaku sebelum ini. Ketika diperkenalkan pada 1965, ia mendapat banyak sokongan dan ketika pindaan kali pertama pada 1984 pun tidak ada bantahan dan 'kekepohan' seperti sekarang.

Jika dirujuk denda, pada 1965 ia adalah RM1,000 selepas 20 tahun (pindaan 1984) ia dinaikkan kepada RM5,000 jadi dengan keadaan semasa kini denda sebanyak ini tidak menakutkan orang Islam daripada melakukan jenayah. Jumlah RM5,000 adalah 'enteng' bagi mereka. Demikian juga hukuman penjara sehingga tiga tahun dan sebatan enam rotan tidak menakutkan mereka, jadi apakah ia tidak boleh diusahakan untuk ditingkatkan sehingga akhirnya menepati kehendak Islam?

Akta ini telah mengehadkan kuasa Mahkamah Syariah, sekarang orang Islam yang sedar mahu memindanya, jadi ada apa masalah? Ia sama sekali tidak membabitkan orang bukan Islam, jadi apa mahu 'bising-bising'!

Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa Islam di Malaysia adalah Islam diperintah dan bukan Islam yang memerintah. Di sinilah terletak kesedihan kita yang amat sangat kerana hukum-hakam Islam belum lagi didaulatkan sepenuhnya di bumi Malaysia sedangkan majoriti orang Islam mahukan Syariah.

Hal ini dibuktikan melalui tinjauan Pew Research Center  di seluruh dunia pada 2013, ia mendapati “peratusan besar Muslim di banyak negara mahu undang-undang Islam (Syariah) dimaktubkan sebagai undang-undang rasmi di negara mereka tetapi cuma dilaksanakan ke atas penduduk Islam sahaja. Sejumlah 86% penduduk Muslim di Malaysia  dan 72% di Indonesia yang ditemu bual dalam tinjauan tersebut mahukan Syariah dilaksanakan di negara mereka.

Sebagai orang Islam, kita mahu melaksanakan hukum Islam lebih daripada undang-undang sivil, demi memenuhi 'standard' tertinggi kehakiman kerana ia mencerminkan keadilan Tuhan. Atas kesedaran hakikat kebanyakan orang Islam mahukan Syariah, marilah bersama-sama mengorak langkah termasuk berunding dan berdoa semoga semua pihak terutama pemimpin negara kita akan terbuka hati mereka untuk mendaulatkan hukum-hakam Allah. Ya teruskan rundingan, perkasakan Mahkamah Syariah kerana Islam dan undang-undang adalah rahmat untuk sekalian alam.

Jika sejarah telah membuktikan apabila Raja-Raja Melayu memeluk Islam, rakyat akan berbondong-bondong mengikutinya, maka hari ini diharapkan apabila pembesar dan pemimpin negara terbuka hati untuk mendaulatkan hukum-hakam Islam, insya-Allah seluruh negara akan mengikuti dan insya-Allah rahmat Allah akan menyirami bumi bertuah ini! Amin...Ya Rabbal Alamin.

No comments: