Sunday, February 21, 2010

Siri Pemikiran Kreatif (8): Memikul peti sejuk mendaki Gunung Everest

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan jangan sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain; dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya), maka merekalah orang-orang yang zalim. (Al-Hujurat: 11)
***

SETIAP tahun umat Islam memperingati dan menyambut Israk Mikraj. Sebahagian besar pengurusan surau dan masjid meneruskan tradisi iaitu menganjurkan ceramah atau pengkisahan semula perjalanan Rasulullah s.a.w. itu.

Salah satu kisah ialah Rasulullah s.a.w. menyaksikan segolongan manusia yang menambah pikulan demi pikulan sekalipun bebanan ditanggung sudah terlalu berat.

Ini membayangkan manusia itu cinta, gila dan tamakkan harta, pangkat, kedudukan, pengaruh, kuasa dan sebagainya sedangkan mereka tahu tanggungan tidak lagi terpikul oleh bahu mereka.

Bagaimanapun kisah ini hanya didengar saban tahun tetapi sebahagian besar manusia tidak mengambil iktibar apatah lagi berubah. Sebagai contoh ramai yang berebut-rebut jawatan di masjid, merampas pentadbiran masjid dan surau daripada AJK lama yang dilantik kariah dan menghalang kegiatan keagamaan di masjid.

Perebutan jawatan dan kuasa ini bukan berlaku dalam institusi masjid tetapi lebih parah lagi dalam pejabat, kampung, parti, negeri dan negara. Kebanyakan manusia berebutan jawatan sekalipun sedar bebanan sudah terlalu berat tetapi mereka ikutkan nafsu untuk berkuasa.

Manusia berwawasan adalah insan terpuji. Kebanyakannya mahu bahagia di dunia dan akhirat. Untuk mencapai matlamat tersebut, pendakian ke arahnya perlu dilakukan secara bijaksana dengan berpandukan ajaran Rasul.

Namun dalam pendakian tersebut, ramai yang 'membawa barangan tidak diperlukan' - ibarat seorang pendaki yang mahu ke puncak Gunung Everest tetapi dia memikul peti sejuk.

Dalam kehidupan, perkara seperti ini kerap berlaku. Misalnya, pelajar diamanahkan untuk belajar dengan matlamat untuk lulus cemerlang. Tetapi ramai yang memikul peti sejuk. Beban-beban itu adalah seperti bermain api cinta, menagih dadah, menyertai geng mat rempit atau yang paling mudah enggan belajar.

Untuk berjaya dalam hidup, tidak perlu bagi kita menggalas peti sejuk untuk ke puncak Everest. Seorang bijak pandai memberikan contoh mudah ini. Jika anda memasang lampu hadapan basikal anda dalam kegelapan malam, sudah tentu keadaan di depan anda terang.

Apa kata anda sengaja mencari pasal dengan memasang lampu-lampu lain di sekeliling basikal anda. Sudah tentu cahaya di depan menjadi malap menyebabkan kita hilang panduan menuju matlamat.

Jika sudah terlalu banyak perkara yang terpaksa kita fikirkan sedangkan ia tidak perlu, kita akan gagal dalam mengejar cita-cita kita. Kita perlu ingat bahawa otak kita hanya satu dan ia bukan mesin yang boleh bekerja 24 jam. Kita perlu rehat (tidur) bagi memastikan mesin itu bergerak lancar.

Mungkin kita bernasib baik pada satu-satu masa, ertinya kita bertuah. Bertuahnya diri kita bukannya sepanjang masa atau adanya kelebihan pada diri kita. Tiada orang yang bertuah sepanjang hayatnya. Ada kalanya bernasib tidak baik, seperti terbabit dalam kemalangan.

Dalam mengejar cita-cita, tentulah kegagalan sentiasa mengekori kita. Ditakdirkan kita gagal sedangkan kita sudah berusaha, ia dapat dijadikan teladan membangunkan usaha dan cita-cita kita.

Namun jika kita gagal kerana tidak dapat berfikir dengan matang, atau kita sudah tahu kelakuan kita itu tidak akan mendatangkan sebarang faedah pada diri kita, ia menunjukkan ketidaksempurnaan fikiran kita. Jika kita tahu api itu panas, buat apa kita hulurkan tangan, membakar diri.

Jika kita sudah tahu keadaan di puncak Everest keadaannya membeku, buat apa kita pikul peti sejuk ke sana. - BERSAMBUNG

No comments: