Wednesday, February 17, 2010

Siri Pemikiran Kreatif (5): Hentikan budaya pak turut dengan ‘copycat’

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Wasiat Nabi Ibrahim a.s.: Allah SWT berfirman: “Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian juga Ya’qub. Ibrahim berkata, ‘Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk Islam’.” (Al-Baqarah: 132)
***

DALAM kehidupan seharian, ramai manusia suka menjadi pak turut (tidak payah berfikir kerana berfikir itu bukannya mudah). Mereka menyokong bentuk-bentuk pemikiran sedia ada seperti belajar secara menghafal (gaya burung kakatua), menyokong membabi buta slogan 'dulu, kini dan selamanya' dan menganggap cara-cara yang ada sebagai sesuatu paling ideal.

Pengamal budaya ini gagal berfikir bahawa dunia ini sentiasa berubah, sebagai contoh, dulunya dia muda tetapi kini sudah tua; dulu dia gagah sekarang dia sudah lemah.

Jika ada pihak atau individu yang cuba membawa perubahan, tanpa soal selidik, mereka akan dipandang serong atau dianggap menyongsang arus. Orang yang tidak ingin melihat perubahan akan cukup puas dengan keadaan di sekelilingnya yang kelihatan begitu ‘natural’ seolah-olah itu saja yang diperlukan dalam hidupnya.

Dia gagal mengaitkan apa yang ‘natural’ pada anggapannya itu. Hakikatnya adalah berdasarkan perubahan-perubahan yang berlaku semalam, kelmarin, seminggu, sebulan atau setahun lalu.

Mereka yang lahir dan membesar dalam keadaan serba moden tidak menyedari buku yang dibacanya, lampu yang menyinari biliknya atau komputer yang digunakan untuk menaip artikel ini, adalah berpunca daripada mereka yang mempunyai fikiran kreatif.

Daripada perasaan ingin tahu dan digabungkan dengan pemerhatian terhadap alam sekeliling, dapatlah individu atau kumpulan yang kreatif, menghasilkan alat-alat yang berfaedah kepada manusia.

Untuk mengamalkan pemikiran binatang bukannya susah sangat. Seekor lembu yang berada dalam kandang moden, misalnya, tidak perlu mengambil tahu siapa dan bagaimana kandangnya dibuat.

Seekor kucing kesayangan tuannya yang menjilat susu dari piring, tidak perlu tahu daripada apa piring itu diperbuat. Seorang manusia yang memakai baju tidak perlu mengambil tahu bagaimana bajunya dibuat – kalaulah manusia itu hendak menyamakan pemikirannya dengan apa yang dimiliki binatang!

Hakikatnya manusia enggan disamakan pemikirannya dengan binatang . Kita seronok bersiar-siar dengan Mercedes Benz, kita berbual-bual dengan menghantar SMS kepada kekasih, kita tunggang Kris untuk pergi kuliah, kita pakai lipstik dan mekap untuk menarik perhatian lelaki pujaan hati – tanpa sedikit pun rasa malu kerana tidak langsung memikirkan ruang lingkup pengetahuan serta pemprosesan bagi menghasilkan benda-benda yang kita gunakan.

Bahkan, jika ada yang berusaha mengambil tahu siapa dan bagaimana sesuatu barangan itu dihasilkan, pengetahuannya hanyalah setakat itu saja. Jarang benar seseorang itu berusaha ‘pergi’ lebih jauh lagi.

Sewajarnya kita melanjutkan pengetahuan (perasaan ingin tahu) untuk menghasilkan benda lebih baik daripada yang yang kita gunakan. Inilah namanya perubahan dalam pemikiran kreatif yang sudah menjadi budaya sesetengah bangsa maju.

Orang Jepun terkenal sebagai ‘copycat’ paling hebat di dunia. Hasil kerja (barangan) dari Eropah, mereka ‘modified’ untuk kegunaan masyarakat Asia dan hari ini terbukti usaha gigih mereka membuahkan hasil lumayan.

Sebut saja apa saja barangan, daripada kereta kepada peralatan rumah – kebanyakannya tertera perkataan ‘Made in Japan’. Bukankah ini menunjukkan betapa besarnya manfaat jika seseorang mempunyai pemikiran kreatif? - BERSAMBUNG

1 comment:

Apollo 2020 said...

Terdapat 4 golongan manusia:

1-Tahu apa yg dia tahu
2-Tahu apa yg dia tak tahu
3-Tak tahu apa yg dia tahu
4-Tak tahu apa yg dia tak tahu

Biasanya pelajar2 di sekolah & universiti ialah golongan ke-3 & ke-4.

Sebelum masuk belajar di u, mereka tak tahu apa yg mereka nak tahu.

Jadi mereka akan terus belajar, pergi kelas, salin nota, jawab kuiz, test, tutorial, report, assignment dan akhir sekali final exam tanpa berfikir samada apa yg diajar oleh pensyarah itu mereka betul2 faham.

mereka tak akan sedikit pun berfikir samada ilmu yg diajar itu berkualiti atau tidak. pensyarah hanya kerja makan gaji.

mereka tidak peduli tentang kualiti lmu pengetahuan yg disampaikan kpd para pelajar. apa yg penting ialah pelajar2 mendapat pointer yg tinggi.

biasanya, pelajar yg mendapat markah yg tinggi ialah mereka yg kuat menghafal tanpa memahami konsep sesuatu ilmu @ subjek.

mereka hanya hebat menjawab soalan di universiti tp dlm pemahaman ilmu yg sebenar mereka tidak faham, tidak boleh menjelaskan apatah lagi mengembangkan ilmu pengetahuan tersebut.

selepas memegang segulung ijazah, yg sebenarnya mereka tidak tahu apa yg mereka tahu selama 'menuntut ilmu' di universiti.

Org2 yg berfikiran kreatif sebenarnya ialah golongan pertama dan ke-2.

Mereka tahu apa yg mereka ingin tahu dan mereka akan mengkaji sendiri apa yg mereka hendak tahu.

Apabila mereka sudah faham sesuatu ilmu pengetahuan itu, mereka akan menjadi tahu apa yg mereka tahu.

Selepas itulah mereka akan mengembangkan ilmu itu kpd suatu idea baru dan lebih mendalam.

Seperti Sir Isaac Newton. Beliau berfikir kenapa buah epal boleh jatuh ke atas tanah, tetapi syurga tidak jatuh ke bumi.

Ini yg membuatkan beliau mengkaji apa yg beliau nak tahu.

Apabila beliau faham tentang konsep daya tarikan graviti, beliau mengembangkannya kpd 3 hukum yg sekarang ini dikenali sebagai 3 hukum Newton. Sila google utk maklumat lanjut.

Sehingga sekarang ketiga-iga hukum Newton ini masih dipakai oleh para jurutera dan saintis walaupun selepas lebih 400 tahun diilhamkan oleh Newton sendiri.

Oleh itu fikir-fikirkanlah kita golongan yg mana?