Monday, February 8, 2010

Berhijrah dengan mengkoreksi diri, keluarga

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal mereka (yang baik). Mereka tidak diberikan balasan (pada hari akhirat) melainkan (bagi) apa yang telah mereka kerjakan (daripada perbuatan kufur dan maksiat)." (Al-A'raaf: Ayat 147)
***

JUMAAT nanti (12 Rabiulawal 1431, 26 Februari 2010), umat Islam akan menyambut Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Tidak lama dulu (18 Disember 2009) kita sudah menyambut tahun baru 1431 Hijrah. Tahun baru bermakna semakin kuranglah umur kita - diri kita semakin hampir untuk menemui Allah SWT.

Sempena ulang tahun keputeraan junjungan dan tahun baru ini, alangkah eloknya kita bermuhasabah diri, merenung apa yang telah dilakukan sepanjang tahun lalu dan sebelumnya serta berusaha untuk melakukan yang terbaik sekarang ini, selagi hayat masih dikandung badan.

Bijak pandai membahagikan masa kepada tiga keadaan - semalam, hari ini dan esok. Semalam sudah menjadi sejarah, esok hanya Dia yang mengetahuinya. Apa yang ada pada kita adalah hari ini, itulah modal kita yang perlu digunakannya semaksimum mungkin untuk mencipta bahagia pada hari muka.

Sebagai makhluk-Nya yang lemah, dalam mengharungi kehidupan kita memerlukan panduan-Nya. Panduan itu telah pun disampaikan kepada kekasih-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Daripada sinilah kita dapat mengukur sama ada kehidupan kita berada di jalan benar atau sudah terpesong jauh kerana Nabi s.a.w. pernah mengungkapkan bahawa jika kita berpandukan al-Quran dan hadisnya kita tidak akan sesat selama-lamanya.

Bagi memulakan muzakarah, eloklah kita mulai menyemak diri sendiri dan keluarga kita. Disebabkan dalam dunia moden ini, hampir semua orang bercakap mengenai pendapatan (anak-anak muda sekarang menamakannya wang masyuuk), bertanyalah kepada diri sendiri secara jujur apakah sumber perolehan kita halal.

Berdasarkan pengamatan kita, ramai juga orang Islam tidak peduli akan sumber halal/haram pendapatan mereka. Ada yang terbabit dalam maksiat secara nyata seperti merompak, melacurkan diri, terbabit dalam operasi najis minuman keras, dadah dan perjudian tetapi sejumlah lagi walaupun mempunyai pekerjaan mulia seperti pemimpin negara, ahli politik, pegawai kerajaan, ahli perniagaan, ketua kampung, malahan guru, ustaz dan penulis juga terbabit dalam amalan keji seperti rasuah, menerima wang haram, menyalahgunakan kedudukan dan sebagainya.

Jika rezeki kita daripada sumber yang haram bagaimana kita mahu membina keluarga bahagia atau istilah polular sekarang, rumahku syurgaku? Pada peringkat ini saja kita sudah sangkut, jadi usahlah sibuk untuk melahirkan anak-anak yang cemerlang sekali gus anak soleh yang doanya akan menjadi dambaan ibu bapa apabila kita berada dalam kubur nanti jika kita masih bergelumang, bermati-matian mencari rezeki di lubuk yang haram.

Kemudian marilah kita mengkoreksi keluarga kita, adakah kehidupan yang kita jalani menepati jalan hidup Rasulullah s.a.w. Kita ambil bab paling penting iaitu solat. Jika ibu bapa liat untuk solat, bagaimana anak-anak mahu solat? Ambil waktu subuh sebagai contoh. Ada pak haji boleh bangun awal untuk ke masjid, tetapi anak siapakah itu yang masih dibuai mimpi bersama syaitan sehingga matahari sudah tersembul di langit? Apakah pak haji seorang saja mahu masuk ke syurga sedangkan anak-anak dibiarkan mencari jalan ke neraka?

Mak aji juga bagus, dapat bersolat subuh awal waktu, tetapi bagaimana anak-anaknya? Mak aji ketika ke bandar, berpakaian tudung labuh, bagus tetapi siapakah anak gadis di sisinya yang berpakaian seluar sendat dengan baju-T tanpa lengan dengan rambutnya berwarna bulu jagung (diwarnakan)? Apakah mak aji sahaja mahu ke syurga, anak dibiarkan menempah laluan ke neraka?

Selain koreksi diri, koreksilah si anak-anak, apakah mereka solat lima waktu sehari? Jawapannya sangat mendukacitakan, satu kajian menunjukkan hanya 20 peratus anak-anak muda solat, bakinya bagaimana? Kemudian periksa rukun Islam lain, sudah disempurnakan oleh kita dan anak-anak?

Bagaimana puasa kita, bagaimana zakat kita; sudah hajikah kita? Apakah kita tergolong dalam jenis orang yang sudah ke London, Paris, New York dan Hatyai tetapi ke Makkah saja saya belum?

Sesudah puas kita mengkoreksi diri sendiri dan keluarga, renunglah rumah jiran kita. Apakah kita hidup berjiran berpandukan ajaran Rasul. Apakah kita daripada jenis yang makan kenyang, jiran kelaparan kita tidak 'ambil pot'? Ataupun kita tidak langsung kenal jiran kita, ataupun kita jenis suka berkelahi dengan jiran membabitkan hal-hal seperti rumput karpet, pokok, bunyi bising dan binatang peliharaan.

Kemudian tanyalah diri sendiri sama ada kita jenis yang tidak boleh kalah dengan jiran. Jika jiran pakai Kancil kita pakai Rusa; jika jiran pakai Wira kita pakai Perdana; jika jiran berperabot jati, kita order perabot dari Itali. Persaingan ini memerlukan wang yang banyak, jika wang gaji tidak cukup, kita pun 'bedal' wang rasuah, wang pelincir, wang ihsan dan sebagainya.

Demikianlah manusia dilahirkan tamak, tidak akan puas sehingga tanah memasuki hidung dan mulut (berada dalam kuburlah) atau sudah diberikan satu gunung emas, dia mahu tiga atau empat lagi. Sehubungan dengan nafsu jahat diri saya dan tuan puan ini, sempena tahun baru Hijrah 1431, marilah melakukan muhasabah dengan mengkoreksi diri dan keluarga sendiri dulu sebelum terjun ke gelanggang masyarakat, bangsa, negara dan ummah.

No comments: