Wednesday, February 10, 2010

Isu rasuah: Hanya jauhari mengenal manikam

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keuntungan besar." (Q. Fushilat: 35)
***

AKHIR-AKHIR ini, saya kerap mendengar kuliah dan membaca artikel berkenaan rasuah. Khutbah Jumaat yang saya ikuti di sebuah masjid di Kuala Lumpur pada 9 Oktober membicarakan rasuah, kemudian pada kuliah subuh di masjid kampung saya pada 12 Oktober menyentuh soal sama, malah majalah Hidayah (keluaran Oktober 2009) ada membicarakan hal rasuah.

Dalam ruangan Mutiara, Hidayah, ditulis; - “Pelaku rasuah masuk neraka: Abdullah bin ‘Amr bin Ash menceritakan, bahawa dulu ada seorang dalam pasukan perang Rasulullah s.a.w. seorang lelaki yang digelar ‘karkaroh’. Orang tersebut meninggal, lalu Nabi s.a.w. bersabda: “Ia masuk neraka.” Pada sahabat pergi melihat orang tersebut, ternyata mendapati orang itu melakukan rasuah dengan mengambil rampasan perang.” (Hadis riwayat Bukhari)

Hadis di atas menegaskan sesiapa pun yang melakukan rasuah kelak ia akan masuk neraka. Tidak peduli ia seorang pegawai kerajaan atau tokoh masyarakat yang banyak berjasa kepada masyarakat dan negara. Apalagi pegawai sudah dibayar gajinya dan menerima pelbagai kemudahan daripada negara.

Seorang yang turut berjuang dengan Rasulullah s.a.w. tanpa digaji saja, setelah terbukti rasuah dihukum masuk neraka. Mudah-mudahan hadis ini membangkitkan keinsafan kita untuk berhati-hati dalam mencari wang.

Dalam kuliah Subuh seorang ustaz membicarakan bab qisas berdasarkan kitab Badru Madzi iaitu berkenaan dengan hadis Termizi yang disyarahkan oleh Syeikh Idris Marbawi. Ilmuan dari Perak ini adalah satu-satunya ulama berketurunan Melayu yang mensyarahkan hadis-hadis.

Ustaz itu membawakan kisah khianat (pecah amanah, rasuah) berdasarkan sebuah hadis mengenai ghanimah iaitu harta rampasan perang. Katanya, hadis daripada Sayidina Umar al-Khattab ini menceritakan seorang lelaki yang pecah amanah dengan menyembunyikan jubah (ada menyatakan sehelai sapu tangan) bagi tujuan kegunaannya sebelum dilakukan pembahagian dibuat ke atas harta rampasan perang itu.

Hukum bagi orang khianat ini ialah dibakar semua harta bendanya manakala dirinya menempah tempat di neraka. Ustaz bertanya jika seorang khianat dengan hanya menyembunyikan sehelai sapu tangan atau jubah dihukum begitu, apa agaknya balasan bagi orang mengkhianati amanah atau melakukan rasuah jutaan ringgit atau ratusan juta ringgit seperti zaman sekarang?

Berdasarkan perkembangan kini, keadaan begitu membimbangkan apabila masyarakat mengambil ringan perkara rasuah sehingga ada tokoh yang disabitkan dengan kesalahan seumpama ini masih diberi kepercayaan untuk memimpin mereka.

Perkara ini cukup bahaya; satu isyarat kecemasan telah diberikan bahawa masyarakat mengundang kemurkaan Allah SWT dengan memilih dan melantik seseorang yang tidak layak ke jawatan tinggi. Apa yang dibimbangkan, apabila berlaku khianat dalam pemilihan pemimpin, manusia seolah-olah menunggu hukuman daripada Allah SWT.

Ustaz menerangkan bahawa masyarakat kini hancur gara-gara manusia tidak berhukum dengan undang-undang Allah SWT. Katanya, hukum-hakam Allah SWT adalah kehidupan tetapi manusia hari ini berlagak lebih pandai daripada Sang Pencipta.

Katanya, jika sesebuah kereta rosak, untuk membaikinya perlulah dirujuk kepada si pembuat atau pakarnya (mekanik) kerana dia yang tahu selok belok mengenai kenderaan itu. Allah sebagai Pencipta manusia (dan seluruh makhluk) tahu segala hal mengenai ciptaan-Nya, jadi mengapa manusia dengan bongkak menolak bulat-bulat undang-undang-Nya?

Ustaz bertanya, jika pembeli kereta boleh patuh kepada ‘manual’ (buku panduan) kereta, kenapa mereka enggan saja mengikuti ‘manual’ yang disediakan oleh Allah SWT. Jelas sekali manusia sombong dan bongkak, berlagak lebih tahu daripada Pencipta mereka.

Satu persoalan penting, mengapa rasuah terus berleluasa sedangkan ia kerap disyarahkan? Ia seolah-olah sama seperti gejala arak dan judi; sekalipun hebat disyarahkan akan akibat buruk dan dosanya, tetapi kegiatan ini berterusan menular dalam masyarakat.

Ustaz berkata, sebab utama perkara ini terjadi kerana manusia tidak mengambil hukum-hakam Allah SWT dalam kehidupan mereka. Sebaliknya mereka mengambil undang-undang manusia, apabila tidak berhukum dengan undang-undang Allah SWT, mereka sengsara dan sesat dalam kehidupan.

Sekarang ini hampir setiap hari berlaku jenayah bunuh, merompak, merogol dan sebagainya. Menurut Ustaz apabila hukum-hakam Allah SWT tidak dilaksanakan, tiada barakah dalam kehidupan sebaliknya masyarakat dan negara menjadi huru-hara dan menuju kehancuran.

Kemajuan dan kemodenan yang dilihat dan diuar-uarkan sekarang ini adalah kemewahan material sedangkan pembangunan insaniah semakin lama semakin merosot. Lihatlah semakin banyak masjid-masjid hebat didirikan tetapi isinya, ternyata kosong; ia bagaikan hampas.

Masjid hebat tetapi golongan muda semakin menjauhkan diri. Jenguklah masjid-masjid di luar bandar; kadang-kadang untuk mendirikan solat jemaah pun sukar; golongan tua saja yang hadir sekali-sekala sedangkan orang muda entah ke mana lesapnya.

Berhubung pemilihan tokoh yang disabitkan dengan kesalahan rasuah sebagai pemimpin, dikhuatiri perkembangan ini akan menjadi kes rujukan yang menyeramkan kepada generasi masa depan. Ini kerana masyarakat akan beranggapan tidak ada apa-apa dengan rasuah, sogokan dan aneka kejahatan lain; seterusnya menjadikan mereka tidak kenal apa itu hak dan yang batil.

Demikianlah apabila hukum-hakam Islam tidak terlaksana; undang-undang dan harga diri boleh dibeli dengan wang ringgit. Falsafahnya mudah, ada wang semua boleh jadi, tiada wang merempatlah kau sendiri. Apabila majoriti orang kini berkiblat atau bertuhankan wang ringgit, pangkat dan kuasa, kebenaran akan terhumban ke dalam lumpur.

Kini, alangkah beratnya untuk menggali kebenaran atau permata dalam lumpur itu; hanya dengan iman, ilmu dan amal yang dapat menyelamatkan seseorang itu daripada hanyut; bukankah perpatah Melayu ada menyebut, hanya jauhari (orang berilmu) mengenal manikam!

No comments: