Friday, July 3, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 25: Bagaimana Acuan, Begitulah Kuihnya

Ada yang gemar memandu dalam suasana sunyi. Sebahagiannya suka berborak dan ada yang gemar mengikuti siaran radio atau memasang kaset nyanyian. Selain itu ada yang suka memasang video - sudah pasti bukan untuk ditontonnya tetapi bagi keselesaan penumpang.

Demikianlah gelagat sebahagian pemandu bas yang menarik perhatian saya dalam perjalanan pergi dan balik kerja. Bagi saya tingkah laku pemandu ini sama dengan gelagat anggota masyarakat lain, tidak kira apa bidang pekerjaan mereka.

Sekalipun ada pihak memandang remeh tugas pemandu bas, di tangan merekalah terletak nasib penumpang (tanpa mengetepikan hakikat Allah yang menentukan nasib seseorang).

Jika pemandu cuai, bukan saja dia menanggung akibatnya, penumpang juga terkena bahananya.

Misalnya, jika seorang pemandu itu kecewa dalam hidup dan berhajat membunuh diri dengan melanggarkan basnya, semua penumpang dalam bas itu akan menerima padah.

Dalam sesebuah bas, pemandu bagaikan 'tuan' dan boleh dikatakan tidak ada penumpang yang berani menegur tindak-tanduknya.

Berdasarkan pengamatan, saya dapati ada pemandu yang terlalu taksub kepada penyanyi tertentu. Dia akan memasang kaset nyanyian artis itu daripada permulaan perjalanan sampailah ke destinasi.

Seorang pemandu berminat betul dengan penyanyi Julie Remie menyebabkan semua penumpang terpaksa mendengar lagu nyanyian artis tahun 80-an ini berulang kali sepanjang perjalanan.

Ada seorang pemandu pula cenderung kepada lagu nasyid dan dakwah. Maka sepanjang perjalanan, penumpang disajikan lagu-lagu nyanyian kumpulan Raihan, Rabbani dan banyak lagi yang saya tidak ketahui.

Tidak cukup dengan itu, kadang-kadang dia memasang video klip kumpulan ini. Saya perhatikan ada penumpang 'Mat Salih' menunjukkan minat pada lagu ini. Terhangguk-hangguk kepala 'Mat Salih' berkenaan mengikut rentak lagu dakwah itu.

Saya mengutarakan kisah pemandu bas ini bagi menunjukkan bagaimana tingkah laku pemimpin begitulah menjadi ikutan rakyatnya.

Pemandu bas boleh diibaratkan pemimpin manakala penumpang adalah rakyat. Jika pemandu memilih untuk menyiarkan lagu rock, maka semua penumpang akan mendengarnya.

Sebaliknya jika dia menyiarkan lagu dakwah, penumpang juga terpaksa mendengar dan mengikutinya, kecuali yang boleh pekakkan telinga dan tidur.

Kata orang bagaimana acuan begitulah kuihnya. Jika seseorang pemimpin itu berwibawa dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan diri, sudah tentu rakyat akan mencontohinya.

Sebaliknya jika seorang pemimpin itu korup, hampir pasti rakyatnya juga korup dan negara akan dilanda huru-hara.

Keadaan masyarakat sesebuah negara itu adalah cermin pemimpinnya. Jika masyarakat itu huru-hara bermakna ada yang tidak kena dengan pemimpinnya.

Jika maksiat berleluasa dengan moral anak-anak muda semakin teruk, bermakna adalah yang silap di peringkat kepemimpinan.

Kejatuhan dan penghinaan yang diterima diktator dunia adalah bukti betapa pemimpin korup memporakperandakan masyarakat negaranya. Di Zaire, Presiden Mobutu Sese Seko yang berkuasa secara kuku besi selama tiga dekad, menyebabkan rakyat memberontak seterusnya mencetuskan huru-hara dalam negara.

Beribu-ribu rakyat dilaporkan terbunuh sebelum pemimpin pemberontak, Laurent Kabila dapat menguasai Kinshasa seterusnya menggulingkan Mobutu. Kabila pula kemudiannya dibunuh oleh musuh beliau.

Demikian juga yang berlaku di Filipina ketika pemerintahan diktator Ferdinand Marcos. Selama beberapa puluh tahun Marcos dan isterinya, Imelda, mengumpul harta dan melonggokkannya di luar negara menyebabkan rakyat yang semakin menderita, memberontak.

Marcos akhirnya terpaksa melarikan diri, tinggal dalam buangan seterusnya mati dengan penuh penghinaan di luar tanah air.

Shah Iran, Reva Pahlavi, juga mati penuh penghinaan di luar negara selepas dia disingkirkan oleh pemimpin agama, Ayatollah Ruhollah Khomeini yang dihalaunya ketika dia berkuasa.

Kepincangan yang berlaku di Iran ketika pemerintahan Pahlavi adalah cermin perilakunya sendiri yang gemar mengumpul harta di luar negara selain mempunyai perempuan simpanan.

Cara hidup masyarakat Barat hari ini pula adalah cermin perilaku pemimpinnya. Jika amalan homoseksual diterima oleh masyarakat mereka, ia bermakna kemungkinan besar pemimpinnya terbabit sama.

Perkara ini bukan sesuatu yang luar biasa kerana ketika ini beberapa pemimpin negara Barat dan kuasa besar dunia dihadapkan ke muka pengadilan dengan dakwaan melakukan gangguan seksual dan seumpamanya.

Kita juga dihidangkan dengan berita sesetengah pemimpin Barat tidak lagi malu dengan skandal seks mereka. Misalnya, pewaris takhta Britain, Charles tidak peduli langsung tanggapan orang ramai berhubung skandal seksnya.

Dia tidak pedulikan Gereja England apatah lagi pandangan pihak lain. Charles adalah cermin masyarakat Barat hari ini yang sarat dengan masalah dan permasalahannya.

Bagaimanapun, kita tidak perlu pergi jauh untuk mencari contoh kepincangan masyarakat. Masalah moral yang melanda negara kita sekarang adalah cermin diri kita sendiri.

Tidak sukar menjawab persoalan ini dan tidak payahlah kita tuding sesiapa kerana ada pepatah berbunyi - bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

Ibu bapa, pendidik dan media massa adalah pemimpin anak-anak dan merekalah bertanggungjawab memikul sebahagian daripada bahana kepincangan ini.

Perlakuan buruk anak-anak adalah cermin ibu bapa dan pemimpin masyarakat. Bagaimanapun rasanya belum terlewat untuk kita bertindak mengorak langkah membetulkan keadaan, kerana kata Confucius, seribu langkah bermula daripada langkah pertama.


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

No comments: