Friday, November 14, 2008

Peranan media alternatif perlu diiktiraf

Tidak lama dulu Perdana Menteri Keempat (bekas PM), Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan begitu 'terkial-kial' dalam 'perangnya' dengan media arus perdana. Beliau dilaporkan pernah mencabar wartawan, kononnya kenyataan beliau tidak akan disiarkan media massa arus perdana. Antara isu diutarakan dengan hebat oleh bekas Perdana Menteri itu ialah Proton, Jambatan Bengkok dan Permit Import (AP).

Kejengkelan Dr Mahathir terhadap media memperlihatkan betapa media dikongkong pihak berkuasa. Persoalannya, bukankah dulu Dr Mahathir berkuasa, tetapi mengapa baru sekarang beliau sedar bahawa media dikongkong dan tidak bebas menyiarkan pelbagai pandangan alternatif termasuk oleh dirinya sendiri.

Sempena Hari Kebebasan Akhbar yang disambut di seluruh dunia 3 Mei, penulis menyorot peranan yang boleh dimainkan media alternatif dalam pembangunan negara. Artikel ini disiarkan dalam 'Suara Keadilan' tidak lama dulu. Selamat menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia!

Tertarik benar saya dengan wawancara Suara Keadilan dengan pemuisi muda Rahmat Haron dalam ruangan Sastera dan Budaya baru-baru ini. Jika selama ini saya mengenali Rahmat sebagai pemuda selekeh, setidak-tidaknya paparan berkenaan membuka ruang untuk pembaca mengenali cara fikir dan isi hatinya.

Semua ini menjadi kenyataan dengan adanya Suara Keadilan - sebuah akhbar alternatif yang dinafikan haknya untuk mendapat permit penerbitan walaupun sudah membuat permohonan sejak sekian lama dan sah pula di sisi undang-undang.

Paparan mengenai Rahmat, individu atau masyarakat senasibnya hampir pasti tidak disiarkan akhbar arus perdana. Sehubungan itu, adalah penting untuk akhbar atau media massa alternatif diberi hak dan tempatnya dalam proses membangunkan masyarakat.

Sempena Hari Kebebasan Akhbar yang disambut setiap 3 Mei, adalah penting untuk masyarakat disedarkan kehadiran media massa alternatif yang semakin berkembang dalam masyarakat menjunjung demokrasi.

Di sesetengah negara maju, media massa alternatif mempunyai peranan besar bagi mengetengahkan kehidupan golongan atau kumpulan minoriti sehinggakan banyak sarjana dan cendekiawan memfokuskannya dalam kajian mereka.

Media alternatif secara tradisinya dilihat sebagai suara kumpulan minoriti tetapi tidak mustahil ia boleh mewakili golongan majoriti.

Chris Atton dalam artikelnya 'A Reassessment of The Alternative Press' dalam jurnal 'Culture & Society (Volume 21, Number 1, January 1999)' menulis bahawa 'Alternatives in Print Media' mengesyorkan tiga kriteria mudah mendefinisikan penerbit alternatif.

Mereka berpendapat bahawa sesebuah penerbit itu boleh dikatakan sebagai penerbit alternatif jika ia memenuhi salah satu syarat ini:

1. Penerbit bukanlah bersifat komersial, mempamerkan keprihatinan asas idea dan bukannya keuntungan sebagai matlamat penerbitannya.

2. Subjek perkara penerbitan mereka sewajarnya memfokus kepada tanggungjawab sosial atau ekspresi kreatif atau biasanya kedua-duanya sekali.

3. Akhir sekali, penerbit mempunyai bukti cukup bagi mendefinisikan dirinya sebagai penerbit alternatif.

'Royal Commission on the Press 1997' dalam laporannya mengenai akhbar alternatif British menegaskan sesebuah penerbitan alternatif mengetengahkan pandangan kumpulan minoriti, menjadi suara kepada golongan berpandangan melampau kepada yang mempunyai pandangan yang sama dengan orang ramai dan mengetengahkan pandangan atau membicarakan perkara yang tidak dibuat liputan oleh akhbar biasa.

Berdasarkan definisi ini jelas sekali dalam masyarakat yang teguh demokrasinya peranan media alternatif diiktiraf sekali gus diberi ruang mengambil peranan sebagai sebahagian sistem masyarakat.

Di peringkat antarabangsa pentingnya peranan media alternatif dapat dilihat daripada laporan Perang Iraq yang begitu berat sebelah oleh sesetengah media massa Barat bagi menjaga kepentingan Amerika dan sekutunya.

Pembunuhan wartawan Al-Jazeera dan Reuters di Baghdad ketika kemuncak pencerobohan tentera bersekutu, membuktikan betapa sesetengah kerajaan Barat tidak senang dengan laporan mengenai kezaliman mereka.

Sikap berat sebelah itu lebih terserlah apabila wartawan Peter Arnett dipecat tetapi keterbukaan masyarakatnya terbukti apabila wartawan veteran ini diambil oleh Daily Mirror tidak sampai 24 jam beliau dipecat oleh NBC.

Berdasarkan perkembangan ini, satu hal yang perlu diakui, dunia Barat masih memberi ruang kepada mereka yang mempunyai pandangan berbeza menyatakan pandangan melalui media massa alternatif.

Bagaimanapun, perkara ini agak terbalas dalam senario dunia kewartawanan di tanah air. Peluang untuk menyatakan pandangan berbeza ini terbatas - buktinya media alternatif seperti Suara Keadilan tidak diberi ruang untuk bernafas. Banyak perkembangan dalam negara membuktikan suara golongan minoriti, malah boleh jadi kumpulan majoriti (mereka bersikap mendiamkan diri) tidak diketengahkan oleh media massa yang didakwa sebagai arus perdana.

Sebagai contoh, bantahan dan demonstrasi rakyat berhubung kenaikan harga minyak tidak disiarkan oleh kebanyakan media massa tempatan. Ertinya kumpulan rakyat ini dinafikan hak mereka mendapat tempat dalam media massa arus perdana.

Apabila dinafikan hak mereka oleh media arus perdana, adalah penting untuk media alternatif memikul tanggungjawab itu. Malangnya di negara kita yang mendakwa mengamalkan demokrasi, hak media alternatif disekat.

Buktinya media bersifat kritikal, yang mengutamakan kebenaran sentiasa dipantau dengan sebelah kaki petugas-petugasnya sudah berada dalam kurungan! Malah ada permitnya dibatalkan.

No comments: