Thursday, November 6, 2008

Kenanganku: Ustaz Fadzil dari kaca mata golongan muda

Mengenang Almarhum Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor, saya teringatkan rencana ini yang saya tulis tidak lama dulu.

Sekalipun pada mulanya saya tidak bercadang menulis sedikit kenangan saya bersama Allahyarham dalam ruangan ini, saya menggagahinya juga. Saya berpendapat ia akan hanya mengundang kesedihan, apatah lagi memikirkan kehibaan keluarganya.

Tetapi fikiran saya berubah apabila menerima 'e-mail' daripada seorang pemudi di Johor Bahru (namanya tidak disiarkan untuk mengelak masalah yang mungkin dihadapinya) yang begitu bersemangat menceritakan perjuangan Ustaz Fadzil yang katanya boleh dijadikan perangsang kepada generasi muda.

"Assalamualaikum. Al-Fatihah buat Ustaz Fadzil Noor. Saudara, kita telah kehilangan sebutir permata yang cukup berkilau di persada perjuangan Islam yang syumul di bumi tercinta ini.

Rasa sebak dan sayu cukup mendalam, apatah lagi apabila menyelak halaman Harakah yang banyak membuatkan berita mengenai Muktamar PAS ke-48 di Putik, Kota Bharu dulu.

Kata-katanya cukup mengesankan, perjuangannya telus dan jitu. Allahyarham kelihatan begitu sihat ketika di Putik (Pusat Tarbiyah Islamiah Kelatan), tetapi kini dia sudah pergi, membuatkan air mata tidak dapat ditahan lagi...

Saudara, saya antara ribuan yang terpempan dengan takdir ini, sedaya upaya menjadi reda dengan ketentuan-Nya.

Sampaikan salam takziah saya kepada keluarga Allahyarham.

Perginya sebutir permata...sesungguhnya Allah-lah yang lebih menyayanginya.

Harap saudara dapat menyentuh tinta menulis sejarah perjuangan beliau di keluaran Harakah akan datang sebagai kenangan dan pencetus gerak generasi muda seperti saya. Wassalam."

Seperti kebanyakan rakan seangkatan yang kini dalam usia 30-an dan 40-an, dulu saya tidak ambil kisah apa yang dilakukan PAS. Saya akur saja apabila orang berkata, orang PAS ini hanya pandai buat bising (mengadakan ceramah di kampung orang).

Berbanding PAS, saya lebih tertarik dengan Al-Arqam dan pemimpinnya, Ustaz Asahari Muhammad.

Tetapi apabila berlaku krisis Anwar Ibrahim, dan menghadiri sejumlah ceramah, saya mula tertarik kepada perjuangan PAS, lantas mengisi borang menjadi ahlinya.

Salah seorang penceramah yang menarik perhatian saya adalah Ustaz Fadzil. Ketika itu, bagi saya, Ustaz Fadzil dekat di hati tetapi sukar didampingi.

Suaranya meresap ke hati tetapi tubuhnya sukar didekati kerana sebelum dan selepas ceramah, sejumlah pemuda Unit Amal akan 'mendinding' beliau sama ada ketika keluar atau menuju keretanya.

Kesempatan pertama saya bersemuka secara sendirian dengan Ustaz Fadzil terbuka ketika saya mula bertugas di Harakah pada 1999.

Pada suatu hari, peluang itu datang bergolek apabila saya diberitahu Ustaz Fadzil tidur di pejabat Harakah. Malam itu (hari 'deadline'), saya turut tidur di pejabat berkenaan. Saya di surau Tingkat 3 manakala Ustaz Fadzil di Tingkat 1.

Pagi Sabtu itu saya sudah bersedia kerana saya 'ada bahan' untuk dikemukakan kepada beliau.

Apabila saya masuk ke biliknya selepas mendengar suara memberi izin, saya dapati Ustaz Fadzil berada di katilnya. Dia masih memakai baju tidurnya. Sepatutnya, dia marahkan saya tetapi perkara itu tidak berlaku.

Sebaliknya, dengan gaya bergurau dia bertanya: "Haaaaa, ada apa? Apa hal?"

Dengan cara bersahaja, dia telah 'menyelesaikan' satu tugas saya di pagi itu. Hati mana yang tidak senang dengan pemimpin begitu. Senang untuk bermesra dan senang pula bekerjasama membereskan tugas kita.

Sebagai petugas Harakah, ada masa-masanya kami menemui beliau. Sapaan dan gurauannya menambahkan kemesraan dan sukar untuk melupakannya.

Editor Memo, Ahmad Lutfi Othman (kini Ketua Pengarang Harakah) mengakui perkara ini dalam catatannya mengenai Allahyarham. Berikut adalah petikan daripada tulisan beliau.

"Sikap ramah dan kebapaannya membuatkan bukan saja pimpinan PAS yang mendapat asuhan terus darinya sebak mengenangnya, tetapi rakyat biasa yang sesekali dapat berjumpanya pun tidak dapat melupakannya.

Seorang pembantu rapatnya memberitahu, dalam keadaan sakit sekalipun, sewaktu membuat pemeriksaan di hospital, Almarhum tetap beratur panjang, seperti pesakit lain juga, untuk mendapatkan ubat.

Malah seorang kerani Telekom di Alor Setar, melihatkan Almarhum berdiri dalam deretan untuk membayar bil telefon, langsung mengisi borang keahlian PAS.

Bagi petugas di Pejabat Agung PAS, menyantuni Almarhum adalah pengalaman berharga yang akan menjadi lipatan kenangan sampai bila-bila.

Sebelum menyewa rumah khas, Almarhum kerap tidur di ibu pejabat parti ataupun pejabat Harakah.

"Selalu sangat Ustaz Fadzil tidur di atas sofa di Pejabat Agung. Dia tak mahu menyusahkan orang lain," kata seorang aktivis parti.

Bagi sesiapa yang selalu berkunjung ke Jalan Pahang Barat, tidak sukar untuk menyapa Almarhum di Restoran Haslam ataupun gerai Kak Ros (kini sudah tiada lagi) di depan Harakah.

Dengan nada suaranya yang agak perlahan, namun gurau senda dan cerita lucunya mudah mencetuskan keceriaan berpanjangan."

Demikianlah Ustaz Fadzil dengan gaya sederhananya dapat memikat golongan muda. Selain penampilan menarik Ustaz Fadzil ini, berlaku satu peristiwa besar yang membuatkan PAS semakin mendapat sokongan golongan muda.

Peristiwa itu adalah pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Sebagai pemimpin berpandangan jauh, pendekatan yang diambil Ustaz Fadzil sebagai Presiden PAS dalam isu ini ternyata berjaya menyemarakkan perjuangan parti yang dulunya kelihatan biasa atau lesu.

Ribuan anak muda yang dulunya tidak peduli tentang politik tanah air, mula dikejutkan dan berbondong-bondong menyertai PAS. Ada antaranya tidak pernah mengundi dalam pilihan raya umum sekali pun 'sudah cukup umur'. Termasuk dalam golongan ini anak muda golongan profesional lepasan universiti luar negara.

Ketika Muktamar PAS ke-48 di Putik (31 Mei-2 Jun 2002), saya berusaha menghayati ucapan Ustaz Fadzil.

Beliau kelihatan bersemangat tetapi suaranya agak lemah. Kadang-kadang suaranya tidak kedengaran. Terfikir di benak saya mungkinkah keadaan itu disebabkan masalah 'sound system'. Tidak terfikir langsung kira-kira 20 hari dari tarikh itu, Ustaz Fadzil akan meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Pada hari Isnin, 10 Jun 2002, diberitakan Ustaz Fadzil sudah menjalani pembedahan pintasan koronari jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Pada hari Rabu, 12 Jun, saya mengikuti Ketua Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong; timbalannya, Haji Shukur Harun dan beberapa rakan sekerja menziarahinya di Unit Rawatan Intensif (ICU) HUKM.

Saya dan Haji Abu Bakar Ismail berpeluang masuk, berdiri di sisi katil Allahyarham sambil berdoa buat seketika.

Pada pagi Ahad, 23 Jun, seorang rakan menelefon, memberitahu Ustaz Fadzil sudah meninggal dunia.

Segera terbayang, Ustaz Fadzil berucap di Putik dan di pembaringan ketika di HUKM.

Rasanya, baru semalam peristiwa itu berlaku, kini beliau sudah meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT. Al-Fatihah.

No comments: