Thursday, November 13, 2008

MCKK: 'Benci tapi rindu', bertukar 'sayang dan rindu'

Sebagai bekas 'budak kolek' Kolej Melayu Kuala Kangsar (KMKK atau MCKK), tentulah penulis 'terasa sesuatu' apabila diuar-uarkan MCKK menyambut ulang tahunnya yang ke-100 tidak lama dulu.

'Penceritaan semula kehebatan' MCKK di dada-dada akhbar pada sambutan ke-100 tahun, mengembalikan nostalgia mengenai kehidupan penulis sepanjang lima tahun melalui dan mempelajari sesuatu berdasarkan liku-liku kehidupan remaja di sana.

Menyorot kehidupan di sana - ia merangkumi segala perasaan - suka, duka, derita, bahagia, hampa, kecewa, pahit, manis dan 1,001 rasa lagi.

Banyak peristiwa membawa bahagia tetapi tidak kurang juga yang membawa kepada rasa kecewa.

Banyak sebab untuk berasa kecewa (berdasarkan tanggapan dan tahap pemikiran penulis sebagai seorang remaja ketika itu), antaranya, layanan tidak setara antara pelajar anak orang kaya/miskin dan penyuburan cara hidup tidak sihat dan bertentangan dengan agama.

Rasa kecewa ini membawa kepada perasaan benci dan penulis tidak pernah kembali untuk menyambut 'Hujung Minggu Bersama Murid Tua' (Old Boys'Weekend) yang diadakan saban tahun di MCKK.

Bagaimanapun, publisiti mengenai sambutan 100 tahun, mengembalikan semua kenangan lama mengenai MCKK. Dalam benci, ada rasa rindu, sama seperti tajuk sebuah lagu popular, 'Benci Tapi Rindu'.

Akibat daripada rasa rindu, pada jam 5.00 pagi, Sabtu 26 Mac, selepas enam jam perjalanan dengan bas, penulis dan salah seorang anak yang berusia 8 tahun, sudah berada di Masjid Ridzwaniah yang terletak di sisi salah satu pintu pagar besar MCKK.

Apabila mentari menyinari alam selepas subuh, jelas kelihatan bangunan Roman MCKK serba gah dengan pentas diraja dan khemah tersusun rapi di depan 'Big School' dan 'Big Tree'.

Dengan niat mengembalikan ikatan sesama saudara seagama, apatah lagi rakan sekelas, sebilik tidur, setingkatan, sepermainan, semeja makan, sepersekolahan, penulis menghayun kaki ke salah sebuah khemah disediakan.

Bosan menunggu majlis yang bermula lambat, ditambah rengekan si anak, penulis meronda kawasan asrama bermula dengan 'The West Wing'. Penulis masuk bilik air di tingkat atas. Penulis termenung. Barisan 'kamar mandi' semuanya tidak berpintu. Yang berpintu hanya 'kamar buang air besar'.

Terfikir penulis, bagaimana 'budak kolek' sekarang mandi. Mungkin mereka mandi bogel atau pun pakai 'short'. Dulu masa zaman penulis, ada tirai plastik. Sekarang tirai plastik pun tidak ada. Dulu apabila dikomplen kenapa tidak dipasang pintu, jawapannya ialah susah pasang engsel sebab keadaan bilik mandi 'sudah nazak'.

Penulis melintasi sebuah bilik air lain. Deretan kamar mandinya pun begitu, tanpa pintu atau tirai. Di tingkat bawah, keadaannya pun sama. Nampaknya selepas berpuluh-puluh tahun berlalu, MCKK masih 'mengekalkan kegemilangan silamnya'. Di luar sana, pada ketika arus kebangkitan Islam sedang mengorak laju, 'pelajar MCKK mungkin masih mandi dalam keadaan mendedahkan aurat'.

MCKK juga ada kolam renang. Ia siap dibina ketika penulis masih belajar di sana. Salah satu acara dalam Pendidikan Jasmani (PE) ialah renang. Penulis malu mendedahkan aurat kerana terpaksa memakai 'seluar katuk' (swimming trunk). Jadi selalulah penulis ponteng dengan pelbagai alasan. Kini, tidaklah diketahui pelajar MCKK pakai 'swimming trunk' atau pakaian menutup aurat.

Cara hidup seperti inilah yang dibenci penulis. Sebahagian daripada penghidupan ala-MCKK memang tidak selari dengan rasa hati penulis, misalnya berseluar pendek ketika bersukan, disogokkan wayang setiap minggu, kecenderungan makan di kedai bukan Islam dan sebagainya, jadi timbul rasa kurang senang yang berpanjangan sehingga kini. Tepatlah, kata-kata 'benci tetapi rindu'.

Bagaimanapun dalam meronda-ronda itu, pertemuan penulis dengan seorang rakan lama yang kini berjinak-jinak dengan sebuah tarikat, mengubah sedikit sebanyak persepsi penulis mengenai ungkapan 'benci' itu.

Dalam pertemuan sejenak tetapi penuh makna itu terhamburlah 'mutiara-mutiara' yang membuatkan penulis berfikir...berfikir dan terus berfikir.

Lima tahun di MCKK adalah hanya sebahagian daripada penghidupan seseorang yang mungkin mempunyai hayat 50, 60 atau 70 tahun. Lima tahun yang 'habis' di MCKK itu boleh 'dikaji balik, direnung-renung, dikenang-kenang, diambil pengajaran', pendeknya dimuhasabahkan, tetapi apabila sesesorang itu sudah habis hayatnya (50,60 atau 70 tahun), dia tidak akan berpeluang lagi untuk melakukan semua itu.

Ringkasnya, dia sudah berada di alam barzakh, dia sudah meninggalkan dunia ini. Dia akan menerima pembalasan baik atau jahatnya dan dia tidak berpeluang kembali ke dunia fana ini.

Berlainan halnya dengan 'seseorang yang telah meninggalkan MCKK'. Dia boleh kembali semula (misalnya sambutan 100 tahun ini) sekali pun tidak dapat 'mengulangi semula penghidupan lalu dengan memusing balik jaram jam). Yang paling mustahak dia berpeluang untuk membaiki diri berdasarkan pengalaman beberapa tahunnya di MCKK, menjadi seorang yang benar-benar beruntung di dunia dan akhirat.

Seorang guru agama kerap kali mengingatkan bahawa 'yang lepas itu, biarkan ia berlalu'. Yang lepas itu tidak dapat digapai, manakala semalam adalah tersangat jauh kerana ia tidak akan kembali lagi. Yang ada hanya kini sedangkan esok belum pasti.

Jadi kenapa mesti ada perasaan benci? Semuanya sudah berlalu dan takkan kembali lagi. Kenyataannya, yang hidup perlu meneruskan penghidupan. Yang hidup perlu dicintai dan mencintai.

MCKK hari ini wajib disemarakkan dengan dengan cahaya ke-Islaman supaya akan lahirlah anak-anak bangsa yang cintakan agamanya lebih daripada dirinya sendiri. Akan lahirlah anak-anak bangsa yang cintakan Allah dan Rasul-Nya lebih daripada segala-galanya.

Tugas ini amat berat, dan antara orang bertanggungjawab ialah saya dan kamu wahai saudaraku, kata kawan itu membuatkan penulis tersentak.

Kamu penulis, kamu berkewajipan menulis untuk menyedarkan anak bangsa kamu, berusaha menyelamatkan diri kita semua daripada seksaan dan kehinaan dunia dan akhirat.
Inilah antara saham atau tempat pelaburan kamu untuk masa depan kamu. Tukarlah rasa benci itu kepada sayang; sayang kepada saudara seagamamu. Nabi pun amat sayang kepada umatnya, lebih daripada kepada dirinya sendiri.

Semua orang berpeluang mengubah diri. Sebuah hadis menyatakan walaupun seseorang itu sudah hampir di pintu neraka tetapi apabila dia bertaubat dia berpeluang ke syurga manakala seseorang yang hampir memasuki syurga, akan dihumbankan ke neraka jika dia tergelincir pada saat akhir.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Orang yang pandai ialah orang yang mahu menilai nafsunya dan beramal untuk bekal kehidupan sesudah mati. Dan orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya dan berangan-angan terhadap Allah (dengan angan-angan yang sia-sia'. (Riwayat Imam Ahmad).

Penghayatan Islam yang penting bukan bergantung kepada majlis-majlis sambutan, kebesaran sahaja, tetapi berterusan, detik demi detik, sepanjang masa dan ketika. Syariat dan hukum Islam hendaklah dipatuhi, bukan sekadar ucapan di seminar dan kuliah-kuliah agama.

Dan demi tuntutan ini, wahai pentadbir MCKK yang baru-baru ini diisytiharkan 'Warisan Bangsa', penulis dengan rendah hati merayu agar Islamlah kita dari semua segi. Ini termasuklah ketika berada di 'kamar kecil'.

Oleh itu, pasangkanlah pintu-pintu di kamar mandi, agar anak-anak kita di MCKK dapat menunaikan sebahagian tuntutan agama iaitu menjaga batasan aurat. Ini nampak remeh, tetapi bukankah perjalanan 1,000 batu bermula daripada langkah pertama? Allahu-Akbar!

No comments: