Syawal 9: Dulu kentut si dia 'wangi'
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
Syawal 9: Dulu kentut si dia wangi...
JAM 10-30 - 11.00 pagi ini 'tersenyum kelat' saya mendengar 'celoteh ilmu' Ustaz Muhammad Abdullah (Ustaz Amin) di Radio IKIM mengenai alam rumah tangga berkisar topik Allahu Somad apabila beliau berkata lebih kurang begini' masa bercinta' dulu, kentut pahit pun bau wangi, selepas lama kahwin, lain pula ceritanya..."
Ya dulu lain, sekarang lain. Dunia yang fana ini sentiasa berubah. Begitu juga orang, apatah hati orang...Dulu muda, sekarang 'tak terlalu muda' (tualah tu). Dulu cantik, sekarang tak terlalu cantik (hodohlah tu), dulu gagah sekarang tak berapa gagah (dah lembiklah tu). Jadi tak hairanlah jika dulu kentut wangi sekarang wek,wek (nak muntah aku).
Semua (perkara baharu termasuk manusia) akan musnah, Yang Kekal Hanya Zat Yang Maha Kuasa.
Oleh itu sentiasalah beringat. Kita perlu berilmu untuk menjalani kehidupan di dunia. Salah satu caranya adalah bersedia 'memasang telinga'. Memang betul kita sentiasa sibuk, tetapi apa salahnya jika 'meminjamkan telinga' kita pada ketika tangan dan badan kita boleh membuat kerja...misalnya ketika memandu atau bekerja di pejabat atau di rumah (work from home).
Dengan mendengar kuliah Ustaz Amin dapatlah kita sikit sebanyak ilmu bagi membimbing kita dalam mengharungi rumah tangga yang sentiasa bergelora...sedangkan lidah lagi tergigit, ini pula suami isteri...
Namun Ustaz Amin berkata ada seorang isteri memberitahu...dia tak mahu jadi lidah, dia nak jadi gigi kerana dia boleh sentiasa menggigit. Pulak dah!
ARTIKEL KEPILAN
Muda bau minyak wangi, tua minyak angin...
ADA satu lawak mengenai pasangan kekasih atau suami isteri di kalangan rakan-rakan - ketika muda terutama yang sedang 'hangat bercintan', pasangan kita sentiasa berbau wangi tetapi 'dah tua-tua ni', bau minyak wangi sudah diganti minyak angin!
Bagi pengantin baru mungkin ada deretan minyak wangi di meja mekap kamar mereka tetapi bagi 'pengantin veteran', mungkin ada deretan minyak angin di tepi-tepi dinding. Mana tidak banyak minyak angin, badan 'pengantin tua' kerap sakit - sakit lututlah, sengal sana dan sengal sinilah - semuanya perlu diurut dengan minyak angin, takkan dengan minyak wangi!
Jika dulu apabila 'si abang' masuk kamar suami isteri, haruman semerbak menusuk hidung, sekarang terbau pula tengik minyak angin. Apa nak dikata, itulah perubahan dunia - yang muda bertukar tua dan yang tua masuk kubur! Maaf terkasar tulis pula, tetapi inilah realiti.
Baru-baru ini saya dan isteri ke Turki, percaya atau tidak, antara barangan yang banyak dibeli adalah pelbagai minyak zaitun - daripada minyak untuk urut sakit lutut, minyak urut kepala, minyak penyembuh luka, minyak menghaluskan kulitlah dan yang paling mahal adalah cebisan bunga saffron atau za'faran.
Perubahan kecenderungan daripada minyak wangi kepada minyak angin menepati pandangan cendekiawan yang mengingatkan bahawa kebanyakan manusia pada muda mereka gila untuk mengumpul harta tetapi selepas berkeluarga dan ada harta sedikit sebanyak mereka beransur tua di mana kesihatan mereka merosot dan ketika itulah kesihatan menjadi keutamaan.
Salah satu cara untuk melegakan kesakitan (lenguh-lenguh) pada tubuh adalah dengan mengurut anggota itu dengan minyak angin. Yalah macam diri saya ini, kesempatan berada di Turki digunakan untuk membeli pelbagai minyak (zaitun) - daripada minyak untuk diurut tubuh kepada untuk dimasukkan dalam makanan.
Zaitun mempunyai pelbagai keistimewaan kerana di dalam al-Quran, Allah SWT ada bersumpah dengan zaitun, demikian juga buah tiin. Demikian juga keistimewaan madu lebah diceritakan dalam al-Quran; sungguh menakjubkan di Turki, madu dihidangkan bersama dengan sarang-sarangnya sekali.
Daripada keutamaan atau 'kegilaan' pada harta pada masa muda, kemudian bertukar kepada kesihatan, akan datang ketikanya kasih sayang sesama anggota keluarga menjadi buruan. Tak percaya, rasakanlah pada waktu tua, ramai orang veteran pada musim-musim tertentu seperti hari raya akan termenung di muka pintu menanti anak cucu balik. Suami isteri veteran yang kembali hidup berdua kerana anak-anak sudah meninggalkan mereka kerana sudah bekerjaya dan berkeluarga, kerap benar terindu anak cucu dan menantu.
Pada penghujung hayat timbul pula kesedaran bahawa kehidupanlah yang amat kita perlukan sedangkan tempoh hayat kita hampir habis. Barulah kita sedar bahawa kita telah melakukan banyak pembaziran terutama dalam meraih kebajikan dan keredaan Allah, malangnya masanya sudah tamat (time is up) - kita sudah berada di ambang kubur!
Apabila balik dari Turki dan menyelongkar setor terjumpa saya barang-barang lama yang telah saya beli semasa berkesempatan ke luar negara pada masa 'muda' dulu. Antaranya replika unta hiasan yang saya beli di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 1992. Ada juga pinggan tembaga berukir hiasan yang dibeli di Uzbekistan. Ada pelbagai batu yang dibeli di Afrika Selatan pada 1994. Ada sejumlah lagi barangan hiasan yang dibeli di negara-negara lain.
Saya mengatur barangan itu berderet-deret dan kemudian memandangnya puas-puas. Melakukan tafakkur. Terdetik di hati saya...alangkah bodohnya kau LanH, kau susah payah membeli barangan ini buat apa? Kau susah payah menghabiskan wang, kemudian mengangkut barang itu untuk dinaikkan dalam kapal terbang, kemudian melepasi pemeriksaan kastam, tidakkah ini semua ini kerja bodoh; apa manfaat benda-benda ini. Semuanya sudah tercampak dalam setor, tak dihiraukan orang lagi.
Sedarlah saya masa muda kita dilalaikan (dilekakan) dengan membuat perkara lara termasuk membeli barang-barang yang tak perlu (tak banyak kegunaannya). Barang hiasan akan menjadi lama, fesyen (kegilaan orang) juga berubah, cita rasa orang sekarang tak sama seperti orang dulu. Ertinya kita banyak menghabiskan masa membuat perkara sia-sia.
Banyak duit, tenaga dan masa habis - apakah benda-benda ini dapat membawa keuntungan (memberi manfaat) kepada kita di akhirat nanti? Kepada pembaca, terutama yang masih muda-muda yang biasanya tergila-gila kepada harta dunia, waspadalah, gunakan segala kesempatan yang ada untuk menempa sesuatu yang bernilai di sisi-Nya! Ya, jangan jadi 'bodoh' macam saya!
Post a Comment On: LanH14
"Muda bau minyak wangi, tua minyak angin..."
2 Comments - Show Original PostCollapse comments
Lumayan buat nambah elmu.
Gema Parfum
Minyak wangi pria terfavorit.
----------