Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23)
Syawal 28
Terubatkah rindu masjid?
SAYA suka solat di beberapa masjid. Tidak tetap di sebuah masjid saja. Jumaat (semalam, Syawal 27) saya solat Jumaat di sebuah masjid di kampung sebelah kampung saya.
Pada ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, tata cara solat Jumaat di masjid ini dibuat secara 'ekspres'. Selepas azan masuk waktu Jumaat (Zuhur), seperti biasa saya berdiri untuk solat sunat sebelum Jumaat.
Namun ketika saya memulakan solat, bilal sudah bersedia menyerahkan tongkat kepada khatib (imam) dan selepas imam memberi salam, bilal melaungkan azan kali kedua. Ertinya jemaah di kampung ini 'skip' solat sunat sebelum Jumaat.
Selepas solat Jumaat, imam membaca doa ringkas (khutbah pun dibuat secara ringkas) dan selepas itu jemaah pun bersurai. Sekali lagi saya kehairanan. Saya yang sedang solat sunat selepas Jumaat, terpaksa 'meng-ekspres-kan solat saya, kerana sedar lampu dan pendingin udara sudah ditutup.
Saya tertanya-tanya mengapa tata cara solat di masjid ini dibuat secara 'ekspres' sedangkan di masjid kampung saya, ada masa untuk jemaah solat sunat sebelum dan selepas Jumaat. Jemaah tak 'terkejar-kejar' untuk bersurai seperti di masjid ini.
Pada pandangan hamba yang naif ini, berilah 'can' untuk jemaah 'berlama-lama sikit' di masjid. Allah, sikit saja. Berilah mereka peluang untuk solat sunat yang mengiringi solat wajib seperti solat Jumaat itu.
Ramai jemaah kerinduan dengan masjid. Selepas tiga bulan, 'tiada budi bicarakah' untuk mereka mengubati rindu dendam itu...setidak-tidaknya biarkan mereka untuk solat sepuas-puasnya di rumah Allah itu...
*********************
ARTIKEL (lama) IRINGAN
Beri peluang remaja ‘lepak’ di masjid…
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
BEBERAPA hari lalu saya ke KL menemui sahabat dan membereskan urusan lain. Saya solat berjemaah subuh di sebuah masjid. Selepas imam berdoa tanpa berwirid, seorang petugas menggesa jemaah keluar segera kerana dia mahu mengunci masjid. Beliau mendakwa itu arahan jabatan agama kerana tidak mahu ‘insiden tak diingini’ berlaku di masjid.
Kira-kira jam 8.00 pagi saya singgah di sebuah masjid lagi untuk solat dhuha. Pintu masjid tersergam indah ini semuanya dikunci. Jadi tak dapatlah saya masuk ke ruang solat hatta ke tandas sekalipun. Terpaksalah saya berpuas hati dengan solat di atas jubin ‘sejuk’ di beranda masjid.
Ketika waktu menghampiri zuhur saya singgah lagi di sebuah masjid. Malangnya masjid di kawasan perniagaan sesak ini pun belum dibuka. Semua pagarnya bermangga. Mungkin masjid ini hanya dibuka sejurus sebelum masuk waktu zuhur.
Demikianlah ‘suasana’ masjid di ibu kota malah boleh dikatakan di seluruh negara. Masa masjid ditutup lebih lama daripada dibuka. Mungkin masjid digunakan pada masa solat lima waktu, masa lain sentiasa ditutup.
Terfikir di benak saya, jika masjid terutama di ibu kota dan bandar besar lain ‘sentiasa’ ditutup (tidak mesra kepada orang ramai) bagaimanakah masjid dapat berfungsi sebagai pusat kegiatan orang Islam.
Saya ambil contoh mudah di kawasan kediaman rumah pangsa yang sesak di KL, anak-anak tidak betah duduk di rumah yang sempit dan pada cuti sekolah ini mereka akan ‘merayau-rayau’ dan ‘melepak’ di sana sini. Mereka ‘melepak’ di pusat membeli-belah dan pelbagai tempat yang kurang sihat.
Daripada anak-anak melepak di persekitaran kurang baik apa kata pihak berkuasa membuka masjid untuk anak-anak ‘melepak’ di persekitaran rumah Allah ini. Selain pelbagai aktiviti boleh dianjurkan, ‘time’ solat kita ajak anak-anak ini tunaikan solat berjemaah. Selama ini kita bercakap mengenai gejala buruk remaja dan ‘retua’ seperti kes penagihan dadah yang tinggi, kelahiran anak tak sah taraf yang hampir mencapai setengah juta orang tetapi apakah langkah kita telah buat untuk membendungnya?
Adakah kita sudah beri alternatif kepada anak-anak muda daripada melepak dan terbabit dalam kegiatan kurang sihat? Saya berpendapat salah satu kaedah tanpa memerlukan modal besar adalah dengan menjadikan masjid mesra orang ramai (TIDAK DIKUNCI) di mana remaja dan ‘retua’ boleh ‘melepaskan perasaan’ dan menghabiskan masa mereka secara sihat di sini.
Ya, kenapa kita tidak makmurkan masjid-masjid kita; firman Allah SWT: “Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) selain Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS. at-Taubah:18)
'Memakmurkan’ masjid adalah daripada kata dalam bahasa Arab yang antara lain bermaksud mendiami, menetapi, menyembah, mengabdi (berbakti), membangun (mendirikan), mengisi, memperbaiki, mencukupi, menghidupkan, menghormati dan memelihara.
Persoalannya mengapa kita tak memakmurkan masjid-masjid kita yang gah tersergam indah itu tetapi kerap MENGUNCINYA? Jadi apabila gejala buruk kian teruk, salahkan diri kita sendiri kerana tidak bertindak menepati kehendak Illahi.
Adakah masjid-masjid kita sekarang ini didirikan atas dasar takwa atau untuk kebanggaan? Berkenaan masjid yang didirikan di atas dasar takwa, Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 108, bermaksud: “Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba’) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya.”
Demikianlah, wahai pihak berkuasa pada ketika masyarakat kita kronik dengan permasalahan sosial sekarang ini, kembalikanlah fungsi masjid – imarahkan rumah Allah itu termasuk menarik golongan muda yang sebahagiannya selama ini melihat rumah ibadat sebagai tempat 'transit' golongan KRU (kumpulan rambut uban) dan RTM (rehat tunggu mati) meluangkan masa sebelum dipanggil Illahi!
Subhanallah, sedarlah adalah lebih baik untuk remaja dan 'retua' kita ‘lepak’ di masjid daripada ‘lepak’ di pub, disko dan pelbagai tempat kurang elok lain. Jadi beri peluang anak-anak ‘lepak’ di masjid cuti sekolah ini; oleh itu JANGAN DIKUNCI masjid atau pagarnya!
No comments:
Post a Comment