Wednesday, June 3, 2020

Syawal 11: Gembiranya dia dapat 'surat haji'

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan


"...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (Maksud Ayat 108 Surah At-Taubah)


Syawal 11


Gembiranya dia dapat 'surat haji'...


PENGHUJUNG Mac lalu (ketika kemuncak musim Covid-19), saya menghantar bapa saya dengan kereta ke sebuah klinik komuniti berhampiran kampung kami. Sebagai pesakit diabetes dan darah tinggi, bapa ada temu janji dengan doktor pada hari berkenaan yang dibuat 'lama' sebelum itu. 


Saya menunggu dalam kereta dengan memakai pelitup muka. Tiba-tiba saya terlihat wajah seorang rakan sekampung. Dia tidak mengenakan pelitup muka. Seorang wanita berpelitup muka, berjalan di belakangnya, saya agak isterinya.


Dari jauh dia melambai kepada saya. Saya tak bercadang keluar dari kereta untuk merapati beliau - bukankah sekarang 'musim Covid-19, orang ramai mesti menjarakkan diri. Dari jauh, dia sudah menjerit menyatakan dia dapat surat tawaran menunaikan haji. Dia datang ke klinik itu bersama isteri untuk membuat pemeriksaan kesihatan iaitu salah satu syarat untuk ke Tanah Suci.


Saya faham KEGEMBIRAANNYA sebab saya dan dia baru balik menunaikan umrah pada Disember 2019. Dia suami isteri dan seorang anak dan saya bersama isteri dan dua orang anak berada dalam satu kumpulan pakej yang sama. Kerap dia bercerita kepada saya dia berhajat benar menunaikan haji. Rayuan sudah dibuat beberapa kali, malah bagi mengubati 'rindu itu' dia sudah melakukan umrah sebanyak dua kali.


Ya, alhamdulillah kali ini dia dan isteri dapat surat tawaran tunai haji...tetapi melihatkan reaksinya yang sugul selepas keluar dari klinik, saya tahu ada sesuatu tak kena. Kata sahabat saya itu, PEMERIKSAAN KESIHATAN bakal jemaah haji ditangguhkan. Sekarang klinik sedang 'concentrate' kepada kes Covid-19. Jadi dia diarahkan PULANG DULU. Wajah gembira sahabat saya itu SUDAH HILANG...kini tak tahulah sama ada dia dapat tunai haji atau tindak. Saya pun dah lama tak berhubungan dengan beliau.


Malaysia belum didengari membuat keputusan menghantar atau tidak jemaah tetapi negara tetangga, 

Indonesia dilaporkan membatalkan menghantar jemaah haji. Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia umum tidak akan benarkan jemaah mereka tunaikan ibadah haji tahun ini di tengah-tengah pandemik Covid-19.


ARTIKEL SAMPINGAN (lama)

Pastikan guna wang bersih tunai haji...


SEKARANG ini musim haji. Ribuan jemaah haji Malaysia sudah berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah. Kemuncak ibadat haji akan berlangsung 23 September (9 Zulhijjah) apabila jemaah haji berwukuf di Arafah. Wukuf adalah rukun haji terpenting; tanpa melakukannya tiadalah haji bagi seseorang itu.

Sempena pemergian jemaah haji ke Tanah Suci, pengurusan masjid dan surau mengadakan majlis kesyukuran bagi bakal haji dan hajah. Biasanya pada majlis ini, ustaz akan menyentuh sedikit sebanyak mengenai bab haji sebelum bakal haji dan umrah diberi cenderamata seperti kain ihram dan telekong.


Ada ustaz mengingatkan adalah penting untuk jemaah menggunakan wang halal yang diperolehi daripada sumber bersih bagi menunaikan haji. Perkara ini amat ditekankan kerana haji adalah perkara kelima dalam Rukun Islam, jika ditunaikan dengan wang haram, maka tertolaklah haji seseorang itu. 


Dia dikhuatiri akan mendapat haji mardud (maz'ur) sedangkan matlamat seseorang Muslim dalam menunaikan Rukun Islam kelima itu adalah bagi mendapat haji mabrur (yang diterima) yang balasannya tiada lain melainkan mendapat syurga Allah SWT.


Ketika menunaikan haji, jemaah akan bertalbiyah: "Labbayk, Allahumma Labbayk. Labbayk. La shareeka laka. Labbayk. Innal-hamda wan-ni'mata laka wal-mulk. La shareeka lak" yang bermaksud: "Hamba-Mu datang menyahut panggilan- Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu."


Bagi jemaah yang mendapat keredaan Allah, Allah SWT akan mengalu-alukannya sebagai tetamu-Nya tetapi bagi yang melakukannya dengan banyak dicampuri dosa dan keharaman, misalnya mengerjakan haji dengan perbekalan daripada usaha haram seperti rasuah tidak ada pahala bagi mereka yang mengerjakan haji daripada hasil yang haram.


Dalam menunaikan haji seperti ini, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: ...ketika orang haji dengan nafkah haram keluar, kemudian dia berseru: Aku datang memenuhi panggilan-Mu, maka datanglah jawapan dari langit: "Tidak engkau tidak memenuhi panggilan, perbekalanmu haram, nafkahmu haram, hajimu penuh dosa, tidak berpahala."


Demikianlah dalam menunaikan haji, wang digunakan untuk perbekalan seperti tambang kapal terbang, bayaran penginapan dan makan minum perlulah dari sumber yang bersih (halal).


Namun satu masalah yang timbul dalam masyarakat kita sekarang ini adalah penyalahgunaan istilah. Misalnya istilah 'derma' - jika dirujuk kepada Kamus Perwira 'derma' diertikan sebagai 'bantuan, pemberian' manakala 'mendermakan' diertikan sebagai memberikan sesuatu dengan ikhlas atau dalam bahasa Inggeris "to give something sincerely".


Berdasarkan pengertian ini, tentunya wang derma hatta bagi digunakan untuk menunaikan haji adalah sumber bersih (halal) tetapi jika istilah ini digunakan untuk 'menutup' sesuatu yang meragukan...persoalannya apakah wang ini halal dan jika digunakan untuk mengerjakan haji atau menaja orang lain pergi haji, bagaimana natijah haji seseorang itu?


Bercakap mengenai penajaan haji, kita tertarik dengan laporan baru-baru ini bahawa Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menaja 1,200 jemaah haji tahun ini. Ini hanyalah satu laporan berita, kita tidak menyentuh mengenai status atau kedudukan sumber penajaan. 


PM Najib Razak ketika menyerahkan surat tawaran haji di Masjid Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, merayu jemaah haji tajaan 1MDB agar mendoakan keselamatan negara daripada campur tangan pihak luar sewaktu menyempurnakan rukun Islam kelima itu.


Beliau memohon jemaah tersebut agar berdoa di tempat-tempat yang dikenali ramai sebagai tempat mustajab untuk berdoa dan sebagai balasan, beliau akan mendoakan keselamatan mereka pergi dan balik dari Tanah Suci itu.


"Tolong doakan. Doa di tempat mustajab doanya. Insya-Allah di Masjidil Haram, di sudut pancuran emas, di Madinah, dalam Raudah, di Arafah.


"Tolong doakan supaya negara selamat, doa supaya kepimpinan kerajaan negara kita, kita yang tentukan, bukan orang luar, bukan orang asing yang boleh jadi penentu siapa dalam kerajaan, siapa yang dia mahu jatuhkan. "Oleh itu, moga Allah beri kekuatan pada tuan-tuan mengerjakan ibadah haji selama 40 hari. Saya tahu ia perlu kekuatan stamina," kata Najib.



Sekali lagi kita peringatkan bahawa ini hanyalah laporan berita namun terpulanglah kepada pembaca untuk membuat penilaian dan penafsiran!

No comments: