Monday, June 8, 2020

Syawal 16: Jadilah si tua sentiasa berzikir

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"...dan Kami telah menurunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran), untuk menjelaskan dan (juga memberi) petunjuk serta rahmat dan pengkhabaran gembira bagi orang-orang yang tunduk kepada-Nya." (Maksud Ayat 89 Surah an-Nahl)

Syawal 16

Jadilah si tua sentiasa berzikir

TIDAK lama dulu, saya mengikuti kuliah seorang tok guru yang memuzakarahkan salah satu Asma al-Husna Allah SWT iaitu 'Al-Halim'. 'Al-Halim' bermaksud, Yang Maha Tetap Menahan Marah.

 Allah SWT menahan balasan seksa-Nya terhadap orang yang sepatut telah menerimanya. Balasan seksa ditangguhkan-Nya, ada kala tidak diberi seksaan langsung, ada kalanya dimaafkan ada kalanya disegerakan seksaan-Nya. Semua ini merupakan persoalan azali dan bergantung kepada iradat dan ilmu-Nya.

Berdasarkan Al-Halim Allah SWT ini, seorang penzina terus sihat walafiat, seorang perasuah semakin kaya, seorang pemimpin zalim terus berkuasa; Allah menahan balasan seksa-Nya, termasuk memberi peluang pelaku maksiat bertaubat.

Namun, apa yang kita selalu saksikan dalam kehidupan manusia?" tanya tok guru. Seorang pemimpin zalim tak sabar-sabar menghukum rakyatnya yang dituduh bersalah, seorang guru besar berlagak 'diktator' di sekolah dan dalam rumah tangga, sang suami bagaikan raja singa, sedikit saja kesalahan anak isteri habis disepak terajangnya. Ya, kuasa baru ada ke atas seorang dua insan, tetapi lagaknya, nauzubillah...

Itulah, Allah SWT bersifat Al-Halim, tetapi saya sebagai seorang suami dan bapa bagaimana keadaannya? Segala sifat yang negatif ada pada diri ini - panas baran, tidak sabar, tamak haloba, kikir, perasan baik, sentiasa mahu menang (terutama ketika masa muda dulu)...senarai ini panjang; dulu semasa muda kita terlalu sibuk (atau buat-buat sibuk) menyebabkan tiada masa memikirkannya.

Bangun pagi, kita 'sudah berdesup' ke pejabat dan balik rumah sudah lewat malam atau dinihari ketika anak isteri sudah lama lena, jadi apa yang boleh kita fikirkan? Pada hujung minggu malah pada cuti awam pun bertungkus lumus di pejabat atau di lapangan...ya apa nak jadi dengan diri ini yang 24 jam kerja, kerja, kerja. Malah ada rakan-rakan kita solat pun tak ada masa, yang wajib pun tunggang-langang apatah lagi yang sunat...

Kini, pejam pelik mata, sudah puluhan tahun saya berkahwin...ini suatu tempoh masa yang panjang.

Anak-anak pun sudah beranak pinak, saya kini sudah bergelar datuk manakala isteri adalah nenek atau opah...oh, ada seorang rakan saya melawak - akhirnya "aku tidur dengan seorang opah!" Dulu begitu mengerikan memikirkannya...kini sudah menjadi kenyataan.

Selepas melalui zaman kanak-kanak, kita memasuki usia remaja sehingga 20 tahun, kemudian dewasa dan matang pada usia 40 tahun. Pada usia 60 tahun (had umur pencen) dan ke atas sudah menjadi tua. Umur lebih banyak daripada Nabi Muhammad s.a.w.

Ya, semua orang jika tak mati muda, akan memasuki usia tua. Kata tok guru jika seseorang tidak membersihkan jiwanya sejak muda, apabila memasuki usia tua perangainya akan menjadi lebih teruk lagi.

Jika dulu apabila baran, kaki dan tangannya 'cepat naik' ke muka dan badan orang terutama anak isteri namun apabila tua ketika tenaga hampir sudah habis dan badan sentiasa sakit-sakit dan tak kuat lagi, mulutnya akan menjadi jahat - itulah sebabnya orang tua yang kurang imannya akan selalu menghambur kata-kata kesat, memaki hamun dan sebagainya terhadap anak dan cucu.

Apabila hendak sesuatu misalnya, minta nasi dan air daripada isteri dan anak-anak, tetapi tidak dilayan segera, si tua tak sabar (beriman) akan baling pinggan, mangkok dan cawan ke dinding. Ertinya sabar tiada dalam kamus hidupnya. Walaupun dah tua, hati dan perangai masih baran.

Namun jika dibajai iman sejak muda...hati dan mulutnya akan sentiasa basah, berzikir mengingati Allah, Allah, Allah sehinggalah maut menjemput-Nya. Berusahalah untuk menjadi orang tua sebegini (BERIMAN dan BERAMAL) jika kita dipanjangkan usia oleh-Nya. Amin

No comments: